PERKATAAN HARI INI
سَعَى / سَعَيَ Bersegera, menjalar
30 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Pertandingan antara Nabi Musa AS dengan para penyihir serta keimanan mereka kepada Allah SWT (20:65-76)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 316 Surah Taha untuk terus menjejak kisah Nabi Musa AS pada hari temasya yang menunjukkan kebenaran dan kebatilan.
Kita sama-sama berdoa agar Allah SWT menerima amal kebaikan kita ini dan kita dan keluarga dijauhkan daripada azab api neraka.
Pada ayat 64 ahli-ahli sihir digertak dengan ucapan daripada Nabi Musa AS. Mereka sudah mula rasa gementar. Mereka buat mesyuarat khas untuk melihat macam mana hendak berdepan dengan Nabi Musa AS.
Mereka mengeluarkan propaganda-propaganda untuk menyatukan saf ahli sihir yang ada. Mereka berkata siapa yang menang pasti akan diangkat, diberikan pelbagai ganjaran dan mendapat pangkat oleh Firaun. Kalau kalah mereka akan dihina dan diletak paling rendah. Kerana hendakkan kejayaan, mereka pun bangkit.
Ayat 20:65
قَالُوا۟ يَٰمُوسَىٰٓ إِمَّآ أَن تُلْقِىَ وَإِمَّآ أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ
Mereka berkata: "Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula mencampak?"
Pengajaran
Perkataan ini dirakamkan kerana mereka bersatu kembali atas kebatilan.
Jangan sampai kita ini yang membawa kebenaran, mesyuarat-mesyuarat tetapi berpecah. Sepatutnya kita makin lagi bersatu, makin lagi berpadu untuk kita memperjuangkan kebaikan.
Ayat 20:66
قَالَ بَلْ أَلْقُوا۟ فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ
Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka.
Pengajaran
Nabi Musa AS menyuruh mereka melemparkan tali-tali dan tongkat-tongkat yang ada pada mereka.
Apa yang mereka lemparkan terbayang-bayang oleh Nabi Musa AS seolah-olah merayap-rayap seperti ular disebabkan sihir mereka.
Ayat 20:67
فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِۦ خِيفَةً مُّوسَىٰ
Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya
Pengajaran
Nabi Musa AS rasa takut dalam hatinya.
Mengikut ulamak, Nabi Musa AS tidak takut kerana baginda sudah dilatih. Yang ditakutnya ialah khuatir orang-orang tidak beriman yang memerhati akan makin percaya yang baginda penipu dan orang yang beriman dalam kalangan Bani Israel mungkin menjadi goyang keimanan mereka.
Ayat 20:68
قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْأَعْلَىٰ
Kami berfirman kepadanya: "Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan
Pengajaran
Allah SWT memujuk Nabi Musa AS supaya tidak takut kerana baginda adalah yang paling unggul, baginda yang menang. Syaratnya mesti bersama mukjizat yang belum dibalingkan.
Bila kita ada kebenaran, kalau kita tengok orang lain macam berjaya, kadang-kadang kita pun goyang; Orang lain mungkin terpengaruh dengan propaganda, dengan kebatilan yang dibina secara berstruktur dan nampak seperti betul. Contoh: Kalau hendak bawa al-Quran dalam organisasi korporat orang akan mempersoalkan "betulkah pegang al-Quran boleh berjaya?".
Kita sebagai ketua, atau ibu ayah yang hendak mendidik anak, kadang-kadang kita berdepan dengan perasaan ini. Kita rasakan bahawa kita ada mukjizat kebenaran ini tetapi apa yang kita boleh tawarkan?
Ayat 20:69
وَأَلْقِ مَا فِى يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوٓا۟ إِنَّمَا صَنَعُوا۟ كَيْدُ سَٰحِرٍ وَلَا يُفْلِحُ ٱلسَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ
"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada".
Pengajaran
Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk melemparkan tongkatnya. Tongkat baginda menjadi ular besar yang menelan semua benda ahli sihir.
Ahli sihir sudah lama rancang untuk membuat persembahan ini. Bila benda-benda mereka ditelan, itu sangat mengejutkan. Apa yang mereka buat itu adalah sihir dan sihir tidak mungkin berjaya walau dari mana pun ia datang.
Apa-apa sahaja kekufuran tidak mungkin berjaya walaupun nampak kemas dengan pakej yang cantik.
Zaman sekarang, kita tidak ada tongkat tetapi kita ada mukjizat al-Quran. Isi al-Quran adalah mukjizat sepanjang zaman. Ia akan menelan segala kebatilan yang dibuat-buat (صَنَعُوٓا۟ مَا). Bila al-Quran dibawakan, dengan kefahaman dan latihan yang betul, ia akan menelan kebatilan.
Ayat 20:70
فَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ هَٰرُونَ وَمُوسَىٰ
(Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa".
Pengajaran
Apabila tongkat Nabi Musa AS menjadi ular besar yang menelan semua benda mereka, ahli-ahli sihir itu terus bersujud.
Ahli sihir adalah ulama (ahli ilmu) pada waktu itu. Mereka faham tentang teknologi sihir, jadi dapat membezakan mana sihir, mana tidak. Yang berilmu sahaja yang mengetahui bahawa ini bukan sihir tetapi mukjizat. Rakyat lain yang tidak berapa berilmu kesannya mereka tidak bersujud.
Pada zaman kita, ada orang yang mendengar al-Quran, merasa sayu, merasa terkesan. Tetapi yang betul-betul akan sujud dengan al-Quran iaitu dengan menyerah kepada Allah, ubah cara hidup mengikut mukjizat al-Quran hanyalah orang yang mencari ilmu.
Semoga kita menjadi orang-orang berilmu yang semakin tunduk kepada Allah SWT apabila memahami dan jelas tentang mukjizat al-Quran.
Ayat 20:71
قَالَ ءَامَنتُمْ لَهُۥ قَبْلَ أَنْ ءَاذَنَ لَكُمْ إِنَّهُۥ لَكَبِيرُكُمُ ٱلَّذِى عَلَّمَكُمُ ٱلسِّحْرَ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَٰفٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِى جُذُوعِ ٱلنَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَآ أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ
Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal".
Pengajaran
Firaun tidak puas hati lalu membalas. Menurut Ibnu Asyur, Firaun marah maka dia mencipta alasan-alasan kecil dengan menggunakan kekerasan dan memberi ancaman fizikal untuk memotong tangan dan kaki ahli sihir.
Respon Firaun adalah respon orang politik. Bila mereka tidak boleh menang dengan hujah, mereka akan menggunakan kekasaran.
Ayat 20:72
قَالُوا۟ لَن نُّؤْثِرَكَ عَلَىٰ مَا جَآءَنَا مِنَ ٱلْبَيِّنَٰتِ وَٱلَّذِى فَطَرَنَا فَٱقْضِ مَآ أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِى هَٰذِهِ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَآ
Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.
Pengajaran
Firaun menuduh Nabi Musa AS adalah ketua kepada ahli sihir, padahal ahli sihir adalah perancangan Firaun sendiri. Ahli sihir telah melompat kepada kebenaran, masuk kumpulan Nabi Musa AS.
Mereka menjawab kepada ancaman daripada Firaun. Mereka tidak akan tunduk kepada Firaun atas bukti-bukti yang nyata (ٱلْبَيِّنَٰتِ) yang telah datang kepada mereka daripada Allah SWT yang mencipta mereka.
ٱلْبَيِّنَٰتِ merujuk kepada tongkat Nabi Musa yang bertukar menjadi ular yang makan segala ular-ular mereka. Mereka nampak bukti-bukti yang jelas kerana mereka ada ilmu, dapat bezakan yang betul dan yang salah.
Iman yang yakin itu menyebabkan mereka sudah tidak kisah untuk menggadaikan nyawa mereka. Ini bukti orang yang sudah beriman kerana semua orang akan mati, tetapi kalau mati dalam memperjuangkan kebenaran, syahid, mereka sanggup bercakap menyampaikan kebenaran.
Ayat 20:73
إِنَّآ ءَامَنَّا بِرَبِّنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَٰيَٰنَا وَمَآ أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ ٱلسِّحْرِ وَٱللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰٓ
"Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.
Pengajaran
Mereka mengaku telah beriman kepada Tuhan mereka, memohon ampun di atas sihir-sihir yang dirancang oleh Firaun dan mengharap balasan yang lebih baik dan lebih kekal daripada Allah SWT.
Mereka berhujah dengan mantap kerana mereka adalah orang berilmu yang sudah nampak kebenaran.
Ayat 20:74
إِنَّهُۥ مَن يَأْتِ رَبَّهُۥ مُجْرِمًا فَإِنَّ لَهُۥ جَهَنَّمَ لَا يَمُوتُ فِيهَا وَلَا يَحْيَىٰ
"Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.
Pengajaran
Ayat 72 hingga 76 adalah ceramah dakwah daripada ahli sihir. Nabi Musa AS senyap sahaja. Ahli sihir terus bercakap, kesan mukjizat.
Bila mukjizat difahami oleh orang berilmu, dia akan menjadi ejen dakwah yang akan menyebarkan kebenaran.
Mereka mengingatkan bahawa pendosa akan diazab di neraka jahannam.
Ayat 20:75
وَمَن يَأْتِهِۦ مُؤْمِنًا قَدْ عَمِلَ ٱلصَّٰلِحَٰتِ فَأُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلدَّرَجَٰتُ ٱلْعُلَىٰ
"Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:
Pengajaran
Sesiapa yang beriman dan beramal soleh akan beroleh darjat yang tinggi di sisi Allah SWT.
Jika ahli sihir pun teruja dengan mukjizat Nabi Musa AS kita pun pasti teruja dengan mukjizat al-Quran yang kita baca, faham dan amal. Al-Quran tidak akan mengecewakan kita.
Ayat 20:76
جَنَّٰتُ عَدْنٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا وَذَٰلِكَ جَزَآءُ مَن تَزَكَّىٰ
"(Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat
Pengajaran
Ahli sihir terus menyampaikan ucapan. Bagi orang-orang yang menyucikan diri mereka, balasannya ialah syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya.
Firaun mempunyai Sungai Nil yang luas dengan istana yang indah. Tetapi rakyatnya tidak dapat kemewahan itu. Firaun menggunakan keringat rakyat Mesir termasuk Bani Israel untuk membina kekayaannya.
Ahli sihir mengingatkan rakyat Mesir, kalau tidak dapat kekayaan di dunia, di akhirat nanti mereka akan dapat kekayaan yang kekal.
Mengikut perbincangan ulama, ahli sihir mengeluarkan ucapan begitu kerana sebenarnya, sudah mengkaji dakwah Nabi Musa AS secara senyap namun waktu itu mereka tidak mengikut. Tetapi bila melihat mukjizat Nabi Musa AS, mereka terus bersujud kepada Allah SWT.
Mereka menyeru rakyat Mesir supaya menyucikan diri, jangan buat perbuatan kufur dan maksiat, nanti akan dapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya.
Barulah orang Mesir sedar yang selama ini mereka ditindas oleh Firaun. Bani Israel pun memilih untuk diselamatkan oleh Nabi Musa AS.
Pada awalnya Nabi Musa AS berceramah mengingatkan kepada Firaun, tetapi dengan mukjizat yang difahami ilmunya, akhirnya ahli-ahli sihir pula yang menjadi jurucakap kebenaran.
Semoga kita yang sudah ada ilmu dan memahami mukijizat al-Quran juga dapat menyampaikan kebenaran daripada al-Quran.
RESOLUSI
Ingat!
Bina strategi agar masyarakat nampak mukjizat al-Quran lebih hebat daripada idea biasa (20:66)
Sentiasa yakin Allah SWT bersama pejuang kebenaran (20:68)
Sentiasa menyampaikan kebenaran dan orang yang berilmu akan lebih mudah memahami kebenaran (20:70)
Saya berasa lega, Allah SWT akan bersama saya dalam perjuangan kebenaran, jadi saya tidak perlu takut.
Saya jelas untuk bina strategi agar masyarakat nampak mukjizat al-Quran lebih hebat daripada idea biasa. Saya jelas untuk sentiasa yakin Allah SWT bersama pejuang kebenaran. Saya jelas untuk sentiasa menyampaikan kebenaran dan orang yang berilmu akan lebih mudah memahami kebenaran.
Ya Allah, bimbing kami untuk bina strategi agar masyarakat nampak mukjizat al-Quran lebih hebat daripada idea biasa. Ya Allah, kuatkan keyakinan kami bahawa Engkau bersama pejuang kebenaran. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa menyampaikan kebenaran. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan agar kami mudah memahami kebenaran dan menjauhi kebatilan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib