PERKATAAN HARI INI
غَفَلَ Lalai. 35 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Kelalaian manusia atas hisab dan tandanya (21:1-6)
- Para rasul diutus dalam kalangan manusia, realisasi janji untuk mereka dan al-Quran (21:7-10)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada hari ini dengan surah baru. Surah Taha mengingatkan kita kepada pentingnya zikir. Puncak zikir ialah dalam solat. Hendaklah kita bersungguh-sungguh menghidupkan institusi solat dalam keluarga dan organisasi. Itu adalah peluang untuk kita sentiasa mendapat ketenangan, kebahagiaan dalam hidup kita.
Kita segarkan kembali peranan al-Quran, jangan kita teralpa dan terlalai, khuatir kita akan gagal dalam kehidupan kita.
Sempena bulan Rabiulawal, kita hendak mengenang perjuangan nabi-nabi terutamanya Nabi Muhammad SAW.
Ayat 21:1
ٱقْتَرَبَ لِلنَّاسِ حِسَابُهُمْ وَهُمْ فِى غَفْلَةٍ مُّعْرِضُونَ
Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
Pengajaran
- Ini adalah peringatan Allah SWT kepada seluruh manusia sebagai tanda kasih sayangNya. Seperti guru yang mengingatkan kita tentang exam yang masih jauh di hadapan untuk kita buat persediaan.
- Siapa yang payah untuk berbuat kebaikan, masih ada harapan untuk diperbaiki. Seperti bab rentas negeri sekarang. Lama ditunggu, akhirnya tercapai harapan.
- Ramai manusia lalai dan tidak membuat persediaan untuk menghadapi hari hisab.
Ayat 21:2
مَا يَأْتِيهِم مِّن ذِكْرٍ مِّن رَّبِّهِم مُّحْدَثٍ إِلَّا ٱسْتَمَعُوهُ وَهُمْ يَلْعَبُونَ
Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya.
Pengajaran
- Mereka mendengar sedangkan mereka main-main sahaja.
- Inilah tempelak Allah SWT kepada orang musyrik.
Ayat 21:3
لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ هَلْ هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ أَفَتَأْتُونَ ٱلسِّحْرَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ
Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?"
Pengajaran
- Mereka mempersoalkan kredibiliti Nabi Muhammad SAW. Orang Yahudi tidak percaya kepada Nabi SAW. Mereka ada Taurat tetapi tidak mahu ikut nabi. Orang sekarang pun ada yang hanya mahu ikut al-Quran sahaja dan tidak mahu menerima hadis.
- Orang-orang musyrik menganggap al-Quran itu sihir dan mempengaruhi kawan-kawan mereka untuk tidak percaya. Berjaga-jaga dengan tekanan daripada kawan (peer pressure).
Ayat 21:4
قَالَ رَبِّى يَعْلَمُ ٱلْقَوْلَ فِى ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
(Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: "Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi; dan Dia lah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
Pengajaran
- Allah SWT mengetahui setiap perkataan di langit dan di bumi. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
- Jika ada orang memperlekehkan kita berbuat kebaikan, beritahulah kepada mereka yang kita buat itu kerana kita hendak jadi baik.
Ayat 21:5
بَلْ قَالُوٓا۟ أَضْغَٰثُ أَحْلَٰمٍۭ بَلِ ٱفْتَرَىٰهُ بَلْ هُوَ شَاعِرٌ فَلْيَأْتِنَا بِـَٔايَةٍ كَمَآ أُرْسِلَ ٱلْأَوَّلُونَ
(Mereka bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus dahulu".
Pengajaran
- Mereka serang Nabi SAW lagi. Nabi SAW diserang sehingga sekarang. Mereka mempersoalkan al-Quran.
- Mereka mengatakan apa yang Nabi SAW sampaikan adalah perkara karut yang dimimpikan, ia diada-adakan sahaja, apa yang dikata hanyalah syair. Mereka mahukan mukjizat-mukjizat lain.
- Menurut Imam At-Tabari, dengan tadabbur al-Quran kita tidak akan lalai.
Ayat 21:6
مَآ ءَامَنَتْ قَبْلَهُم مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَٰهَآ أَفَهُمْ يُؤْمِنُونَ
Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu beriman?
Pengajaran
- Ada masalah dalam jiwa mereka. Tidak mahu tunduk kepada kebenaran.
- Allah SWT menghancurkan mereka. Firaun diabadikan untuk memberitahu bahawa Firaun memang wujud dalam sejarah kehidupan. Mereka dihancurkan kerana mempersoalkan kebenaran. Datang mukjizat pun masih tidak beriman.
- Di alam ini, kita boleh nampak kebenaran seperti COVID-19. Jika ada lagi yang masih percaya teori konspirasi, mereka sepatutnya sedar bahawa hanya Allah SWT yang boleh mendatangkan mudharat kepada manusia, bukan orang China dan sebagainya.
Ayat 21:7
وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِىٓ إِلَيْهِمْ فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahlu az-Zikri" jika kamu tidak mengetahui.
Pengajaran
- Ayat ini penting untuk kita fahami pentingnya mencari guru. Nabi SAW adalah guru. Jika kita tidak berguru, dibuang elemen beriman kepada rasul, akan timbul macam-macam tafsiran ayat-ayat al-Quran mengikut kefahaman masing-masing.
- Menurut Imam As-Sa'di, kalau tidak tahu, wajib tanya kepada orang yang tahu (ٱلذِّكْرِ أَهْلَ). Jangan tanya kepada orang yang jahil, yang sama-sama tidak tahu. Kenali pakar dalam sesuatu bidang.
Ayat 21:8
وَمَا جَعَلْنَٰهُمْ جَسَدًا لَّا يَأْكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَمَا كَانُوا۟ خَٰلِدِينَ
Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di dunia).
Pengajaran
- Mereka tidak mahu orang biasa yang tidak kekal sebagai nabi. Mereka mahu yang 'super-super'. Mereka yang mempersoalkan itu juga tidak akan kekal hidup selama-lamanya di dunia.
Ayat 21:9
ثُمَّ صَدَقْنَٰهُمُ ٱلْوَعْدَ فَأَنجَيْنَٰهُمْ وَمَن نَّشَآءُ وَأَهْلَكْنَا ٱلْمُسْرِفِينَ
Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka dan sesiapa yang Kami kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.
Pengajaran
- Allah SWT selamatkan mereka yang dikehendakiNya dan membinasakan mereka yang melampau batas. Ikut Nabi SAW, kita akan diselamatkan.
- Melampau ialah bila tidak mahu mengikut mesej yang dibawa oleh Nabi SAW. Cari guru, jangan faham sendiri. Tanyalah kepada guru dan orang yang betul, jangan tanya Google sahaja dalam berinteraksi dengan kitab Allah SWT.
Ayat 21:10
لَقَدْ أَنزَلْنَآ إِلَيْكُمْ كِتَٰبًا فِيهِ ذِكْرُكُمْ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu)?
Pengajaran
- ذِكْرُكُمْ ada dua maksud:
- Al-Quran adalah peringatan kepada kita. Setiap kali berinteraksi dengan ayat al-Quran, kita akan terasa ia peringatan direct untuk kita. Jangan fikir ia untuk orang lain. Ia peringatan untuk kita semasa.
- Al-Quran juga adalah zikir kita. Inilah cara untuk kita ingat Allah SWT. Makin ingat Allah, Allah akan memberi kebahagiaan kepada kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Rancang persiapan ke akhirat (21:1)
- Jangan mempermain-mainkan ayat atau peringatan daripada Allah SWT (21:2)
- Beriman dengan ayat Allah SWT dan jangan mencabar Allah SWT dengan meminta sesuatu yang pelik (21:5-7)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan saya supaya rancang persiapan ke akhirat.
Saya jelas saya mesti rancang persiapan ke akhirat. Saya jelas untuk jangan mempermain-mainkan ayat atau peringatan daripada Allah SWT. Saya jelas saya mesti beriman dengan ayat Allah SWT dan jangan mencabar Allah SWT dengan meminta sesuatu yang pelik.
Ya Allah, bimbing kami untuk rancang persiapan ke akhirat. Ya Allah, jauhkan kami daripada mempermain-mainkan ayat atau peringatan daripada Mu. Ya Allah, bimbing kami agar kami beriman dengan ayat Mu dan tidak mencabar Mu dengan meminta sesuatu yang pelik.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib