Friday, September 1, 2023

Halaman 326 : Al-Anbiya', 21:45-57

PERKATAAN HARI INI 

 وَضَعَ  Bersalin, meletakkan. 26  kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Realiti dan proses yang berlaku pada hari hisab dan keadilan (21:45-47)
  2. Kisah Nabi Musa AS (21:48-50)
  3. Kisah Nabi Ibrahim AS (21:51-57)

Mukadimah

Tadabbur oleh Profesor Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran pada halaman 326 Surah al-Anbiya'.

Ayat 21:45

قُلْ إِنَّمَآ أُنذِرُكُم بِٱلْوَحْىِ وَلَا يَسْمَعُ ٱلصُّمُّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا مَا يُنذَرُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran kepada kamu dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan sudah tentu orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan amatlah berat).

Pengajaran

  1. Setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini, mestilah berteraskan wahyu. Wahyulah yang membimbing para Nabi dan kita semua. Jika kita susah musim PKP ini, kembalilah kepada al-Quran.
  2. Wahyu inilah yang mengetuk pintu hati orang Quraisy dan para sahabat dahulu. Nabi SAW membacakan ayat al-Quran yang membersihkan jiwa mereka dan memberi peringatan tentang kitab. 
  3. Imam Syed Qutub di dalam tafsirnya menceritakan bagaimana wahyu ini bukan hanya menyentuh hati orang Islam namun menyentuh hati Al-Walid Ibn Mughirah, yang bukan calang-calang orangnya. Anaknya Khalid Al-Walid adalah tokoh besar Islam. Abu Jahal menyuruh Al-Walid untuk pergi  mendengar apa yang dikata oleh Nabi SAW. Bila Al-Walid mendengar, ia terpukau dengan ayat al-Quran itu. Wahyu membuka pintu hati manusia. 

Ayat 21:46

وَلَئِن مَّسَّتْهُمْ نَفْحَةٌ مِّنْ عَذَابِ رَبِّكَ لَيَقُولُنَّ يَٰوَيْلَنَآ إِنَّا كُنَّا ظَٰلِمِينَ

Dan demi sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, sudah tentu mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami! Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!"

Pengajaran

  1. Allah SWT memberitahu tentang implikasi jika tidak mengikuti wahyu. Jika mereka ditimpa sedikit sahaja azab Allah SWT, mereka akan mengatakan celakalah mereka. Di akhirat, manusia yang tidak mengikuti wahyu akan menyesal.
  2. Dalam al-Quran, banyak cerita tentang orang beriman yang akan menyesal nanti. Ahli syurga juga akan menyesal bila mereka memerhatikan bahawa di dalam kehidupan mereka, mereka tidak banyak berzikir. Zikir akan memberi kesan yang baik buat diri kita.  

Ayat 21:47

وَنَضَعُ ٱلْمَوَٰزِينَ ٱلْقِسْطَ لِيَوْمِ ٱلْقِيَٰمَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْـًٔا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَىٰ بِنَا حَٰسِبِينَ

Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.

Pengajaran

  1. Allah SWT akan memperincikan sehalus-halusnya penilaian mengenai apa yang kita telah lakukan di muka bumi. Jangan main-main. Setiap perlakuan kita akan dihitung oleh Allah SWT. Kena perhatikan apa yang kita lakukan pada hari ini kerana semuanya dinilai oleh Allah SWT di hari akhirat. 
  2. Para solafulsoleh amat menjaga semua perkara, termasuk sumber rezeki mereka.

Ayat 21:48

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ وَهَٰرُونَ ٱلْفُرْقَانَ وَضِيَآءً وَذِكْرًا لِّلْمُتَّقِينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.

Pengajaran

  1. Allah SWT memberikan contoh untuk manusia, iaitu Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang diberikan al-Furqan iaitu kitab Taurat.
  2. Al-Furqan membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.
  3. Kisah Nabi Musa AS sangat banyak diceritakan dalam al-Quran kerana baginda membawa risalah tauhid kepada musuh yang luar biasa, iaitu Firaun yang mengaku tuhan. Firaun adalah musuh yang luar biasa yang pernah menjaga Nabi Musa AS. Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS berdakwah berpandukan wahyu daripada Allah SWT.
  4. Nabi Musa AS digelar kalimullah kerana baginda pernah bercakap dengan Allah SWT. Apabila Allah SWT tanya satu soalan tentang tongkatnya, Nabi Musa menjawab panjang lebar dengan memberikan empat jawapan. Ini kerana rindunya baginda untuk bercakap dengan Allah SWT.  

Ayat 21:49


ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِٱلْغَيْبِ وَهُم مِّنَ ٱلسَّاعَةِ مُشْفِقُونَ

Iaitu mereka yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari kiamat.

Pengajaran

  1. Orang yang takut kepada Allah SWT akan gerun dengan peristiwa hari kiamat.

Ayat 21:50

وَهَٰذَا ذِكْرٌ مُّبَارَكٌ أَنزَلْنَٰهُ أَفَأَنتُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ

Dan Al-Quran ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu mengingkarinya?

Pengajaran

  1. Al-Quran adalah peringatan yang memberi berkat kepada diri kita, maka janganlah kita ingkarinya.

Ayat 21:51

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَآ إِبْرَٰهِيمَ رُشْدَهُۥ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِهِۦ عَٰلِمِينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS diberi petunjuk iaitu bimbingan yang datang daripada Allah SWT. 
  2. Dalam Surah al-Kahfi yang kita lazimi pada hari Jumaat, ada satu doa untuk kita diberi petunjuk: "Berilah kepada kami petunjuk di dalam kehidupan kami dan hidupkan dalam jiwa kami petunjukMu."

Ayat 21:52

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَا هَٰذِهِ ٱلتَّمَاثِيلُ ٱلَّتِىٓ أَنتُمْ لَهَا عَٰكِفُونَ

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?"

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS memulakan dakwahnya dengan bertanya soalan. Inilah teknik untuk menegur orang lain. Sebagai seorang anak, lihat cara Nabi Ibrahim AS menegur dengan bertanya terlebih dahulu.
  2. Nabi Ibrahim juga sangat perihatin tentang anaknya. Baginda berdoa untuk dikurniakan anak yang soleh dan anak yang mendirikan solat. Anak soleh penting untuk mendoakan kita apabila telah mati. Nabi Ibrahim AS juga mendoakan agar anaknya diselamatkan semasa meninggalkan Nabi Ismail AS di Mekah.
  3. Kaedah bertanya ini pernah juga dibuat oleh seorang sahabat bila Nabi SAW menyuruh mereka berkubu dalam peperangan Badar. 'Apakah ini wahyu? seakan-akan teguran buat baginda SAW.

Ayat 21:53

قَالُوا۟ وَجَدْنَآ ءَابَآءَنَا لَهَا عَٰبِدِينَ

Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya".

Ayat 21:54

قَالَ لَقَدْ كُنتُمْ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُمْ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Pengajaran Ayat 53-54

  1. Mereka menjawab, mereka mengikut nenek moyang mereka
  2. Nabi Ibrahim AS memberitahu apa yang ayahnya lakukan itu adalah kesesatan yang nyata.

Ayat 21:55

قَالُوٓا۟ أَجِئْتَنَا بِٱلْحَقِّ أَمْ أَنتَ مِنَ ٱللَّٰعِبِينَ

Mereka bertanya: "Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?"

Ayat 21:56

قَالَ بَل رَّبُّكُمْ رَبُّ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلَّذِى فَطَرَهُنَّ وَأَنَا۠ عَلَىٰ ذَٰلِكُم مِّنَ ٱلشَّٰهِدِينَ

Ia menjawab: "(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu."

Ayat 21:57

وَتَٱللَّهِ لَأَكِيدَنَّ أَصْنَٰمَكُم بَعْدَ أَن تُوَلُّوا۟ مُدْبِرِينَ

"Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sampaikan peringatan berdasarkan wahyu dan jangan melampau (21:45)
  2. Jadikan al-Quran sebagai sumber cahaya kehidupan (21:48)
  3. Jangan ikut membuta tuli sesuatu perkara (21:53)

Saya berasa lega, Allah SWT berikan al-Quran sebagai sumber cahaya kehidupan.

Saya jelas untuk sampaikan peringatan berdasarkan wahyu dan jangan melampau. Saya jelas untuk jadikan al-Quran sebagai sumber cahaya kehidupan. Saya jelas untuk tidak ikut membuta tuli sesuatu perkara.

Ya Allah, bimbing kami untuk sampaikan peringatan berdasarkan wahyu dan jangan melampau. Ya Allah, jadikan al-Quran sebagai sumber cahaya kehidupan kami. Ya Allah, peliharalah kami agar tidak ikut membuta tuli sesuatu perkara.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...