PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Jangan ikut syaitan (24:21)
- Jangan bersumpah untuk tidak memberi bantuan (24:22)
- Balasan akhirat bagi para pelaku Qadzf dalam kisah Al-Ifk (24:23-26)
- Hukum keenam: minta izin ketika hendak masuk rumah (24:27)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 352. Surah al-Nur ini adalah surah yang istimewa yang ditunggu-tunggu oleh Saidatina Aisyah. Ini adalah surah untuk masyarakat. Kita kena kempenkan kepada segenap lapisan masyarakat supaya baca, faham dan amal surah ini kerana ia memberi cahaya untuk masyarakat. Kalau masyarakat tidak dapat cahaya daripada surah ini, hidup mereka akan dipenuhi dengan kegelapan.
Dalam ayat 20 Allah SWT mengatakan kalau bukan kerana rahmat dan kasih sayang-Nya kepada kita, nescaya kita akan ditimpa azab yang besar. Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.
Ayat 24:21
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيْطَٰنِ فَإِنَّهُۥ يَأْمُرُ بِٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُۥ مَا زَكَىٰ مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui
Pengajaran
- Allah SWT melarang kita mengikut langkah-langkah syaitan yang mengajak kepada perbuatan keji dan mungkar.
- Antara langkah-langkah syaitan ialah dia meniupkan perkataan was-was pada hati yang akan muncul pada mulut dan akhirnya tersebarlah berita-berita yang tidak benar.
- Menyebar berita palsu, gosip, adalah kerja syaitan. Sesiapa yang menulis atau menyebar berita palsu adalah agen kepada langkah-langkah syaitan. Jangan follow page yang menyebar perkara keji yang boleh membawa kepada perkara mungkar. Seseorang yang melakukan perbuatan mungkar seperti zina, biasanya bermula dengan perbuatan fahsya' (keji)
- Tanpa fadhol dan rahmat daripada Allah SWT, kita tidak akan bersih. Allah SWT yang membersihkan kita. Jangan kita rasa confident yang kita ini terkawal, kita selalu menundukkan pandangan, kita tidak akan terjebak.
- Allah SWT tahu apa yang ada di hati kita. Tanpa fadhol dan rahmat dariNya, kehidupan ini akan penuh dengan perkara fahsya' yang membawa kepada perkara mungkar kerana mengikut langkah syaitan.
Ayat 24:22
وَلَا يَأْتَلِ أُو۟لُوا۟ ٱلْفَضْلِ مِنكُمْ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤْتُوٓا۟ أُو۟لِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينَ وَٱلْمُهَٰجِرِينَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلْيَعْفُوا۟ وَلْيَصْفَحُوٓا۟ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغْفِرَ ٱللَّهُ لَكُمْ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Surah ini memberikan kegembiraan kepada Saidatina Aisyah, Rasulullah SAW dan orang-orang beriman.
- Sebab nuzul: Saidina Abu Bakar RA mendapati sepupunya yang miskin iaitu Misthoh bin Usasah percaya kepada peristiwa fitnah tersebut. Maka Saidina Abu Bakar RA tidak lagi mahu membantunya.
- Ayat ini turun mengingatkan agar orang beriman yang mempunyai kelebihan harta, sabar, iman, keluasan, bersumpah untuk tidak membantu keluarganya yang miskin. Misthoh memang miskin tetapi beliau adalah muhajirin yang berhijrah dengan Nabi SAW. Allah SWT mengangkat Misthoh kerana itu. Allah SWT menyuruh Saidina Abu Bakar RA untuk memaafkan dan melupakan kesalahan Misthoh (Forgive and forget).
- Allah SWT tahu kapasiti manusia. Kalau kita memaafkan dan berlapang dada, Allah SWT memberi keampunanNya.
- Hendaklah kita unfollow group yang membawa cerita-cerita sampah agar kita tidak menjadi sampah di sisi Allah SWT.
- Saidatina Aisyah meminjam kata-kata Nabi Yaakub AS yang tersebut di dalam Surah Yusuf "fasabrun jamil". Saidatina Aisyah berkata yang dia tidak ingin berterima kasih kepada rasul tetapi berterima kasih kepada Allah SWT.
- Peristiwa ini amat perit kepada Nabi SAW tetapi ia memberi pelajaran kepada kita. Sebab itu surah ini perlu diajarkan kepada masyarakat kerana kita perlu tahu etika ketika kita bercakap. Kalau tidak puas hati atau dengki jangan sampai melanggar apa yang ada di dalam surah ini yang menjadi cahaya kepada masyarakat.
Ayat 24:23
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَرْمُونَ ٱلْمُحْصَنَٰتِ ٱلْغَٰفِلَٰتِ ٱلْمُؤْمِنَٰتِ لُعِنُوا۟ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْءَاخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar;
Pengajaran
- Allah SWT memberikan penegasan tentang orang-orang yang menuduh wanita yang terpelihara dan tidak memikir untuk melakukan perbuatan buruk, bahawa mereka akan dilaknat di dunia dan di akhirat.
- Bagi mereka azab yang besar kerana ini adalah maruah yang besar daripada Allah SWT.
Ayat 24:24
يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.
Pengajaran
- Allah SWT mengingatkan modus operandi orang-orang yang menyebarkan berita-berita palsu. Dalam konteks fitnah, mereka mula menggunakan lidah, cakap ringan-ringan. Jika berita itu membawa kepada fitnah, kita kena berhentikan. Boikot rancangan-rancangan yang ada gosip.
- Kita bimbang di akhirat nanti:
- Lidah akan dakwa kita.
- Tangan akan menjadi pendakwa kepada kita. Elakkan melawat page-page gosip.
- Kaki juga akan menjadi saksi atas apa yang kita lakukan.
- Semoga lidah, tangan dan kaki kita digunakan untuk melakukan amal kebaikan.
Ayat 24:25
يَوْمَئِذٍ يُوَفِّيهِمُ ٱللَّهُ دِينَهُمُ ٱلْحَقَّ وَيَعْلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ ٱلْمُبِينُ
Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
Pengajaran
- Allah SWT akan menyempurnakan azab di akhirat atas dasar kebenaran. Sesuatu yang kita tidak tahu, contohnya masih di mahkamah, hendaklah kita diam. Allah SWT Maha Adil.
- Bagaimana kita nak menata (memastikan) kehidupan kita? Jangan dengar perkara yang tidak elok, bimbang ia akan melekat di hati dan mempengaruhi kita.
- Wartawan dan editor kena bertanggungjawab dengan berita yang hendak disiarkan. Jangan gunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai di muka depan akhbar yang boleh merosakkan hati dan fikiran pembaca.
Ayat 24:26
ٱلْخَبِيثَٰتُ لِلْخَبِيثِينَ وَٱلْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَٰتِ وَٱلطَّيِّبَٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَٰتِ أُو۟لَٰٓئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
Pengajaran
- Ayat ini menutup kisah ifk tentang Saidatina Aisyah sebagai pelajaran untuk kita.
- Orang yang tidak baik adalah untuk yang tidak baik. Sebaliknya, orang yang baik, yang berbuat baik adalah untuk yang baik-baik juga.
- Dalam masyarakat, orang yang tidak baik akan suka menyebarkan keburukan orang.
- Terbukti bahawa Saidatina Aisyah adalah seorang perempuan yang baik, selayaknya untuk Nabi Muhammad SAW yang membawa kebaikan. Ketika peristiwa itu, Saidatina Aisyah dihina tetapi kemudian dibersihkan oleh Allah SWT.
- Mereka yang baik itu akan beroleh pengampunan dari Allah SWT dan pengurniaan yang mulia.
Ayat 24:27
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدْخُلُوا۟ بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا۟ وَتُسَلِّمُوا۟ عَلَىٰٓ أَهْلِهَا ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
Pengajaran
- Ini tentang adab masuk ke rumah. Hendaklah kita minta izin serta memberi salam kepada penghuni rumah.
- Kalau di rumah sendiri ada ramai tetamu perempuan, tuan rumah lelaki juga hendaklah beri signal dan beri salam sebelum masuk rumah.
- Mulakan adab di rumah sendiri sebelum bercakap tentang adab dalam masyarakat.
RESOLUSI
Ingat!
- Jangan ikut langkah syaitan dan sentiasa melakukan pembersihan diri (24:21)
- Berazam membantu ahli keluarga, orang miskin dan orang berhijrah serta memaafkan dan berlapang dada (24:22)
- Minta izin sebelum masuk rumah sebagai adab orang beriman (24:27)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jadi orang beriman yang memaafkan dan berlapang dada.
Saya jelas jangan ikut langkah syaitan dan saya mesti sentiasa melakukan pembersihan diri. Saya jelas untuk berazam membantu ahli keluarga, orang miskin dan orang berhijrah serta memaafkan dan berlapang dada. Saya jelas untuk minta izin sebelum masuk rumah sebagai adab orang beriman.
Ya Allah, pelihara kami dari ikut langkah syaitan dan bimbing kami untuk sentiasa melakukan pembersihan diri. Ya Allah, bantu kami untuk membantu ahli keluarga, orang miskin dan orang berhijrah. Jadikan kami orang yang memaafkan dan berlapang dada. Ya Allah, bimbing kami untuk jadi orang beradab dalam keluarga dan masyarakat.
"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
Rujukan: My #QuranTime Episod 457