Saturday, September 2, 2023

Halaman 353 : Al-Nur, 24:28-31

PERKATAAN HARI INI  


أَذِنَ  Mengizinkan. 
102 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  

 

  1. Adab ketika ke rumah orang lain (24:28-29)
  2. Hukum ketujuh: Hukum pandangan dan hijab (24:30-31)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 353 untuk mencari cahaya demi cahaya dalam surah al-Nur, melihat mutiara kata dan amalan untuk menjaga diri dan keluarga kita agar sampai ke syurga Allah SWT. 

Dalam surah ini, Allah SWT memberitahu kepada kita, selain daripada menjaga solat, amalan spiritual peribadi, kita juga ada disiplin untuk menjaga maruah, amanah dan tidak melakukan perkara yang sia-sia.

Pada ayat 27 kita telah belajar bahawa kalau hendak masuk ke rumah kita kena buat dua perkara iaitu bagi signal (berdehem, ketuk pintu, loceng) supaya orang-orang dalam rumah itu bersedia, dan beri salam kepada ahli rumah.


Ayat 24:28


فَإِن لَّمْ تَجِدُوا۟ فِيهَآ أَحَدًا فَلَا تَدْخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤْذَنَ لَكُمْ وَإِن قِيلَ لَكُمُ ٱرْجِعُوا۟ فَٱرْجِعُوا۟ هُوَ أَزْكَىٰ لَكُمْ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.


Pengajaran

  1. Jangan masuk ke rumah orang jika tidak diberi izin. Jika disuruh balik, baliklah. Contoh: jika ke kenduri kahwin terlalu awal, kalau disuruh balik, hendaklah balik. Itu hak tuan rumah. 
  2. Walaupun ada tersebut tentang kena melayan tetamu 3 hari tetapi di dalam konteks ayat ini,  jika disuruh balik, baliklah. Allah SWT Amat Mengetahui apa yang kita lakukan.


Ayat 24:29


لَّيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَدْخُلُوا۟ بُيُوتًا غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَٰعٌ لَّكُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.


Pengajaran

  1. Tidak salah jika masuk ke tempat-tempat bukan tempat tinggal tanpa ikut syarat di ayat 27. Contohnya pejabat, dewan orang ramai,  masjid.
  2. Ada rumah yang didiami (مَسْكُونَةٍ) atau tidak didiami. Rumah kita adalah ruang privacy bagi kita untuk menjaga maruah keluarga. Orang Islam sepatutnya faham tentang adab-adab di ruang-ruang ini, tidak boleh main hentam sahaja.
  3. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita sembunyikan. Mana yang perlu kita sembunyikan, hendaklah disembunyikan. Cerita-cerita dalam rumah tidak perlulah dipaparkan di media sosial. Gambar suami isteri dalam keadaan terlampau intim, tidak sesuai diletak di media sosial. Ini antara adab-adab untuk menjaga privasi keluarga. 
  4. Ini adalah tarbiah daripada Allah SWT selepas umat Islam telah dilatih dengan iman, maka mereka menerima hakikat ini.


Ayat 24:30


قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.


Pengajaran

  1. Ini adalah ayat yang mengingatkan kita untuk menjaga maruah. Dalam ayat kedua surah ini, Allah SWT memulakan dengan perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina. Dalam ayat ini, Allah SWT mulakan dengan lelaki dahulu tetapi hukumnya merangkum semua, lelaki dan perempuan. 
  2. Allah SWT ajar adab akhlak peribadi orang-orang beriman. Tundukkanlah pandangan. Pandangan ialah pintu yang paling besar kepada hati. Zaman sekarang, pandangan sangat mencabar dengan adanya media sosial dan television. Hendaklah kita pilih hendak tengok perkara yang bermanfaat. Yang sia-sia perlu dielakkan. 
  3. Jika pandangan tidak dijaga, ia memberi kesan kepada maruah seseorang.  Bagi lelaki, mereka tertarik kepada wanita dari segi pandangan. Bagi wanita pula, pandangan dan suara memberi kesan kepada mereka.
  4. Lelaki yang berminat kepada seseorang wanita melalui pandangan, dia akan membuat perancangan seterusnya yang akan menyebabkan tergadai maruah lelaki dan wanita yang terlibat.
  5. Bila kita selalu minta izin, selalu menjaga privasi rumah orang dan di lokasi lain, itu adalah salah satu tarbiah untuk menjaga pandangan.
  6. Menjaga pandangan ada kaitan dengan menjaga maruah antara lelaki dan wanita. Itulah cara  mengubat masalah sosial yang banyak berlaku apabila izin menjadi sesuatu yang tidak dianggap penting. Kita hidupkanlah roh dan cahaya al-Quran dalam diri dan masyarakat.


Ayat 24:31


وَقُل لِّلْمُؤْمِنَٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ ءَابَآئِهِنَّ أَوْ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَآئِهِنَّ أَوْ أَبْنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوْ نِسَآئِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّٰبِعِينَ غَيْرِ أُو۟لِى ٱلْإِرْبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفْلِ ٱلَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوْرَٰتِ ٱلنِّسَآءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.


Pengajaran

  1. Ayat ini memberi penekanan kepada wanita beriman:
    • Tundukkan pandangan
    • Jaga kemaluan/maruah
    • Tidak menampakkan perhiasan kecuali muka dan tapak tangan. Labuhkan tudung. 
  2. Bila iman telah ada, wanita di Madinah sanggup koyakkan kain untuk melaksanakan perintah Allah SWT dalam ayat ini. 
  3. Begitu juga apabila diperintahkan arak itu haram, orang beriman sanggup mencurahkan arak walaupun harganya mahal dan sukar untuk dibuat. Kerana Allah telah masuk dalam hati, mereka sanggup untuk berubah.
  4. Pakai tudung yang nampak jambul atau nampak telinga, itu bukan pakai tudung yang dimaksudkan dalam ayat ini. 
  5. Melabuhkan tudung (خُمُرِ) ada kaitan dengan arak yang memabukkan. Arak menutup kewarasan akal, tudung ialah untuk menutup perhiasan iaitu menutup aurat.
  6. Wanita-wanita beriman adalah permata-permata yang perlu dijaga. Jika ayat ini turun di Mekah awal-awal lagi, ramai yang tidak akan beriman kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana syariat ini memerlukan proses pendidikan. 
  7. Islam amat menjaga kesucian wanita. 
  8. Orang-orang yang boleh ditampakkan aurat (tidak perlu pakai tudung):
    • Suami
    • Ayah
    • Ayah mertua
    • Anak-anak lelaki
    • Anak-anak lelaki suami (anak tiri)
    • Saudara lelaki (abang/adik)
    • Anak lelaki saudara lelaki
    • Anak lelaki saudara perempuan
    • Perempuan Islam
    • Hamba sahaya
    • Mereka yang tidak mempunyai keinginan kepada wanita
    • Kanak-anak yang belum baligh
  9. Jika tidak melakukan 3 perkara di atas, bertaubatlah agar kita berjaya.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Pulang jika tuan rumah tidak selesa atau suruh pulang (24;28)
  2. Boleh masuk ke rumah yang tidak ada penghuni (24:29)
  3. Tundukkan pandangan dan jaga maruah (24:30)

Saya berasa lega, Allah SWT akan kurniakan kejayaan di dunia dan akhirat sekiranya saya bertaubat dan menjaga maruah. 

Saya jelas untuk pulang jika tuan rumah tidak selesa atau suruh pulang. Saya jelas saya boleh masuk ke rumah yang tidak ada penghuni. Saya jelas saya mesti tundukkan pandangan dan jaga maruah.

Ya Allah, bimbing kami untuk jaga adab apabila hendak pergi ke rumah orang lain atau masuk ke rumah yang tidak ada penghuni. Ya Allah, ingatkan kami untuk tundukkan pandangan dan jaga maruah.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 


Rujukan: My #QuranTime Episod 459

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...