PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Minta izin ketika keluar, adab berbicara kepada Nabi Muhammad SAW dan peringatan agar jangan melanggar perintah baginda (24:62-64)
- Penurunan al-Quran dan keesaan Allah SWT (25:1-2)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman terakhir Surah al-Nur dan permulaan surah al-Furqan. Semoga nur dari hati kita bertemu dengan nur dari Allah SWT.
Jangan biarkan rumah kita gelap gelita tanpa surah al-Nur yang kita fahami bersama dengan anak, dan ahli keluarga kita.
Salah satu peraturan akhir pada halaman lepas ialah menjaga tempat makan. Tidak ada masalah untuk pergi makan di rumah saudara mara, dan kawan tetapi kena jaga adab. Salah satunya, kaitkan ayat 61 dengan 31 berkaitan dengan aurat. Jaga adab di rumah orang lain, khuatir ia mengganggu kepada hak, kawasan dan lebih daripada itu kalau ia melibatkan peraturan syariat contohnya bila bersama bapa saudara, emak saudara dan sepupu.
Ayat 24:62
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَإِذَا كَانُوا۟ مَعَهُۥ عَلَىٰٓ أَمْرٍ جَامِعٍ لَّمْ يَذْهَبُوا۟ حَتَّىٰ يَسْتَـْٔذِنُوهُ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَـْٔذِنُونَكَ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ فَإِذَا ٱسْتَـْٔذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَن لِّمَن شِئْتَ مِنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمُ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan rasul adalah tanda hati yang benar-benar bercahaya. Allah SWT gelar mereka Al-Mukminun kerana mereka mengambil cahaya daripada Allah SWT sehinggakan cahaya bertemu cahaya.
- Sifat orang-orang yang benar-benar beriman: Bila bersama baginda SAW, mereka tidak meninggalkan baginda sebelum mendapat izin daripada baginda SAW. Orang munafik tidak kisah pun minta izin. Perkara yang paling tinggi ialah perjuangan agama. Contoh: Jangan ikut suka hati tinggalkan mesyuarat atau tidak hadir walaupun urusan NGO.
- Orang-orang yang minta izin bermakna mereka betul-betul beriman kepada Allah SWT dan Rasul. Perkara ini nampak remeh, tetapi peraturan ini adalah untuk menjaga cahaya dalam hati. Kalau seseorang itu tidak ada cahaya, dia main redah sahaja. Tidak ada protokol, tidak ikut peraturan, hendak masuk keluar ikut suka hati. Amalan ini perlu kita hidupkan, kita kena didik anak-anak.
- Bila mereka minta izin, berilah izin. Surah al-Nur turun dahulu daripada Surah al-Taubah. Nabi SAW sudah biasa dengan ayat ini, baginda selalu memberi izin kepada para sahabat pada bila-bila masa, sehingga Allah SWT menegur dalam surah al-Taubah.
- Surah al-Nur ini adalah pada urusan-urusan kecil bersama dengan Nabi SAW yang bukan hal kecemasan. Surah al-Taubah turun ketika wajib perang iaitu masa kritikal/kecemasan.
- Ketua hendaklah beri izin jika anak buah/staf minta izin jika tidak melibatkan waktu kecemasan/kritikal. Ketua hendaklah mohon keampunan untuk mereka yang minta izin itu. Ini adalah satu seni yang diajar oleh Allah SWT kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.
Ayat 24:63
لَّا تَجْعَلُوا۟ دُعَآءَ ٱلرَّسُولِ بَيْنَكُمْ كَدُعَآءِ بَعْضِكُم بَعْضًا قَدْ يَعْلَمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ يَتَسَلَّلُونَ مِنكُمْ لِوَاذًا فَلْيَحْذَرِ ٱلَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِۦٓ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Allah SWT mengatakan bahawa seruan daripada Rasul SAW tidak sama dengan seruan daripada orang lain kerana seruan Rasul SAW adalah untuk agama.
- Bila Nabi SAW ajak pergi berperang, berjuang, untuk bantu orang, ada orang yang keluar senyap-senyap dari majlis. Kalau dalam majlis yang ada mengumpat, kita kena cuba jauhkan diri selepas mengingatkan kalau kita mampu mengingatkan bahawa itu adalah dosa yang besar.
- Kalau kita keluar/ponteng dari sesuatu majlis, itu adalah sifat orang yang hatinya tidak ada cahaya. Itu adalah sifat orang munafik. Semoga kita dijauhkan daripada sifat begini.
- Kesannya apabila keluar majlis tanpa izin, mereka akan dapat fitnah (malapetaka) kerana hati mereka ada masalah. Lebih daripada itu, apabila sampai di akhirat, mereka akan mendapat azab yang pedih.
Ayat 24:64
أَلَآ إِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ قَدْ يَعْلَمُ مَآ أَنتُمْ عَلَيْهِ وَيَوْمَ يُرْجَعُونَ إِلَيْهِ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوا۟ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۢ
Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.
Pengajaran
- Allah SWT pemilik segalanya. Allah SWT Maha Mengetahui tentang kita dan apa yang kita buat.
- Pada hari kiamat nanti, umat manusia akan kembali kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan menerangkan kepada kita segala yang kita lakukan.
- Allah SWT tidak mahu cakap dengan orang munafik. Orang munafik cahaya di hatinya berkelip-kelip, tidak terang, kena digilap.
- Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kita cuba sembunyikan.
- Menjaga akhlak dan adab akan menambahkan lagi cahaya dalam hati kita sehingga kita dapat membezakan yang hak dan yang batil.
- Identiti Surah al-Nur ialah cahaya atas cahaya.
Surah 25: Al-Furqan
Ayat 25:1
تَبَارَكَ ٱلَّذِى نَزَّلَ ٱلْفُرْقَانَ عَلَىٰ عَبْدِهِۦ لِيَكُونَ لِلْعَٰلَمِينَ نَذِيرًا
Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
Pengajaran
- Al-Furqan ialah nama lain bagi al-Quran. Ini adalah surah Makkiyyah yang diturunkan kepada hambaNya sebagai peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam.
- Al-Quran adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNya. Puncak kehambaan itulah yang melayakkan kita untuk mendapat manfaat daripada al-Quran. Kalau kita baca al-Quran, tetapi tidak ada jiwa hamba yang perlukan bantuan Allah SWT, kita tidak merendah diri, al-Quran tidak akan memberi kesan walaupun kita baca, tadabbur pun tidak jadi.
- Tadabbur sepatutnya kita kena ambil mesej untuk diri sendiri, bukannya untuk orang ramai. Orang lain yang dengar itu hanya sebagai tambahan sahaja.
- Nabi SAW kena manfaatkan al-Quran untuk seluruh alam. Sebagai umat Nabi SAW, hendaklah kita juga ajak keluarga, kawan kepada Allah SWT, bukan ajak kepada diri kita.
- Jika kita ikut skrip yang Allah SWT beri di dalam al-Quran, itu akan menjadi sebagai peringatan kepada seluruh alam. Nabi SAW adalah hamba, dan rasul. Begitu juga kita. Kalau kita betul-betul hendak menjadikan Nabi SAW ikutan, kita juga kena melaksanakan tugas Nabi SAW, baru kita digelar sebagai umat Nabi Muhammad SAW.
Ayat 25:2
ٱلَّذِى لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٌ فِى ٱلْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَىْءٍ فَقَدَّرَهُۥ تَقْدِيرًا
Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya; dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.
Pengajaran
- Semua surah Makkiyyah menceritakan tiga perkara iaitu tauhid, al-Quran dan akhirat.
- Dalam ayat ini Allah SWT ingatkan kita bahawa:
- Allah SWT adalah Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi,
- Allah SWT tidak mempunyai anak,
- Allah SWT tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahanNya,
- Allah SWT yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.
- Allah SWT tidak perlu sekutu. Contohnya, mandi safar untuk menolak bala yang membawa kepada syirik.
RESOLUSI
Ingat!
- Istighfar kepada Allah SWT untuk orang muslim, muslimat, mukmin dan mukminat, semua yang hidup dan telah meninggal dunia (24:62)
- Selawat kepada Nabi Muhammad SAW seperti dituliskan nama baginda (24:63)
- Buat persediaan amal dengan panduan cahaya Allah SWT (24:64)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya buat persediaan amal dengan panduan al-Quran dan jangan lari daripada kebaikan.
Saya jelas saya mesti istighfar kepada Allah SWT untuk orang muslim, muslimat, mukmin dan mukminat, semua yang hidup dan telah meninggal dunia. Saya jelas untuk banyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Saya jelas saya mesti buat persediaan amal dengan panduan cahaya Allah SWT.
Ya Allah, ampunkan kami, orang muslim, muslimat, mukmin dan mukminat, semua yang hidup dan telah meninggal dunia. Ya Allah, ingatkan kami untuk banyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan amal dengan panduan cahaya al-Quran.
Rujukan: My #QuranTime Episod 466