Saturday, September 2, 2023

Halaman 360 : Al-Furqan, 25:3-11

PERKATAAN HARI INI  

نَشَرَ  Bangkit, bertebaran. 
21 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Ada yang menyembah selain Allah SWT (25:3)
  2. Tuduhan orang musyrik terhadap al-Quran (25:4-6)
  3. Tuduhan orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW yang diturunkan al-Quran kepadanya (25:7-10)
  4. Pengingkaran orang musyrikin terhadap hari kiamat (25:11)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 360 surah al-Furqan dengan penuh semangat, ceria gembira untuk melihat bait-bait hidayah daripada Allah SWT yang kita mohon setiap hari di dalam solat. 

Surah al-Furqan ini adalah untuk mengisi jiwa kita dalam kegalauan, dalam keperitan dan ketika ‘chaos’. Al-Furqan akan pastikan hati kita lurus kembali. Surah ini turun di tengah-tengah perjuangan Nabi SAW di Mekah. Pada masa itu kaum musyrik mengutuk Nabi SAW, maka surah ini diturunkan untuk memujuk baginda.

Permulaan dan hujung surah ini ada perkataan hamba. Hamba-hamba al-Rahman ada beberapa ciri. Allah SWT menggunakan perkataan hamba, maksudnya ada kerja yang besar. Kita akan merasa amat kerdil, tetapi yang menariknya Allah SWT melindungi hambaNya. Kita ada tugas besar, bukan sekadar baca al-Quran dan tutup sahaja. Tugas besar itu adalah untuk mengingatkan manusia tentang tauhid kepada Allah SWT.


Ayat 25:3


وَٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً لَّا يَخْلُقُونَ شَيْـًٔا وَهُمْ يُخْلَقُونَ وَلَا يَمْلِكُونَ لِأَنفُسِهِمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا وَلَا يَمْلِكُونَ مَوْتًا وَلَا حَيَوٰةً وَلَا نُشُورًا

Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembah-penyembahnya dari bahan-bahan di bumi); dan benda-benda itu pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu faedah untuk dirinya sendiri; dan tidak berkuasa mematikan atau menghidupkan, atau pun membangkitkan hidup semula makhluk-makhluk yang telah mati.


Pengajaran

  1. Mereka yang musyrik itu,  mengambil selain daripada Allah SWT sebagai Tuhan. 
  2. Makhluk-makhluk yang mereka sembah itu tidak boleh:
    • mencipta apa-apa pun, malah mereka sendiri pun dicipta, 
    • memberi mudharat atau memberi manfaat,
    • mematikan, menghidupkan, atau pun membangkitkan makhluk yang telah mati. 
  3. Allah SWT menegaskan tentang kepentingan tauhid. Syirik adalah kezaliman yang besar. Ia menyebabkan kegelapan pada hati yang akan dikeluarkan dalam bentuk perkataan dan perbuatan dalam hidup.
  4. Kita hamba yang lemah. Kalau kita bergantung kepada yang lemah, kita akan kecundang. Bergantunglah pada Allah SWT.


Ayat 25:4


وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِنْ هَٰذَآ إِلَّآ إِفْكٌ ٱفْتَرَىٰهُ وَأَعَانَهُۥ عَلَيْهِ قَوْمٌ ءَاخَرُونَ فَقَدْ جَآءُو ظُلْمًا وَزُورًا

Dan orang-orang yang kafir itu berkata: "(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain". Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.


Pengajaran

  1. Mereka mengatakan al-Quran adalah pembohongan yang diada-adakan oleh Nabi Muhammad SAW dan dibantu oleh sumber luar, tetapi mereka tidak tahu siapa yang bantu.
  2. Mereka membuat pendustaan, propaganda tentang baginda SAW. Inilah kesan orang yang syirik kepada Allah tanpa ilmu. Malah mereka akan menyesatkan orang-orang lain.
  3. Zaman sekarang janganlah kita buat propaganda di media sosial. Gunakan teknologi dengan cara yang betul. Letakkan nur dari al-Quran untuk menerangi kepada pelbagai kegelapan-kegelapan.
  4. Nabi SAW tidak marah kepada orang yang mengutuk baginda tetapi baginda SAW kasihan melihat mereka begitu.


Ayat 25:5


وَقَالُوٓا۟ أَسَٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ ٱكْتَتَبَهَا فَهِىَ تُمْلَىٰ عَلَيْهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Dan mereka berkata lagi: "Al-Quran itu adalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya)".


Pengajaran

  1. Mereka menuduh Nabi SAW membaca cerita dongeng sahaja. Sebenarnya mereka tahu Jibril yang mengajar Nabi SAW tetapi mereka tetap tidak mahu menerima. 
  2. Ilmu yang ada dalam al-Quran tidak bertepian, sentiasa ada point baru yang dapat disampaikan. Itulah ilmu daripada Allah SWT.


Ayat 25:6


قُلْ أَنزَلَهُ ٱلَّذِى يَعْلَمُ ٱلسِّرَّ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِنَّهُۥ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Pengajaran

  1. Al-Quran adalah lambang kasih sayang Allah yang amat tinggi. Allah SWT memujuk Nabi SAW untuk katakan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah SWT yang tahu segala rahsia langit dan bumi. 
  2. Allah SWT bagi peluang. Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. Allah SWT pujuk Nabi SAW untuk menyanyangi mereka yang buat hal. Betapa tingginya rasa munajat Nabi SAW yang diajar dalam ayat ini.


Ayat 25:7


وَقَالُوا۟ مَالِ هَٰذَا ٱلرَّسُولِ يَأْكُلُ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشِى فِى ٱلْأَسْوَاقِ لَوْلَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُۥ نَذِيرًا

Dan mereka pula berkata: "Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya).


Pengajaran

  1. Surah ini menggarap perasaan Nabi SAW yang dikutuk. Kita kena bawa diri kita ke suasana itu. Bukan sekadar baca tanpa rasa apa-apa. Di sebalik ayat ini ada perasaan, ada asbabul nuzulnya. 
  2. Mereka tidak mahu melihat kebaikan baginda SAW tetapi mempersoalkan perkara remeh temeh seperti baginda SAW itu manusia biasa, makan minum seperti biasa, berjalan di pasar. Mereka melakukan ‘character assassination.’ Di sebalik berjalan di pasar dan makan itu ada jerit perih Nabi SAW. Apa yang dibawa oleh Nabi SAW, sunnah baginda adalah real dan praktikal untuk manusia seperti kita ini.


Ayat 25:8


أَوْ يُلْقَىٰٓ إِلَيْهِ كَنزٌ أَوْ تَكُونُ لَهُۥ جَنَّةٌ يَأْكُلُ مِنْهَا وَقَالَ ٱلظَّٰلِمُونَ إِن تَتَّبِعُونَ إِلَّا رَجُلًا مَّسْحُورًا

"Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya". Dan orang-orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang beriman): "Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang tidak siuman".


Pengajaran

  1. Mereka terus mempersoalkan Nabi SAW. Mereka menyatakan Nabi SAW disihir dan tidak siuman. Cuba bayangkan jika orang menyatakan emak kita tidak betul, tentu kita tidak mahu dengar. Jika orang mengutuk ayah emak kita, kita tentu marah kerana mereka telah berjuang untuk kita. 
  2. Nabi SAW telah berjuang untuk iman kita dunia akhirat. Nabi SAW membawa al-Furqan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Nabi SAW berjiwa hamba walaupun dihenyak, dikutuk, digelar macam-macam.


Ayat 25:9


ٱنظُرْ كَيْفَ ضَرَبُوا۟ لَكَ ٱلْأَمْثَٰلَ فَضَلُّوا۟ فَلَا يَسْتَطِيعُونَ سَبِيلًا

Lihatlah (Wahai Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu berbagai misal perbandingan (yang bukan-bukan), dengan sebab itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak mendapat jalan petunjuk.


Pengajaran

  1. Mereka membuat perbandingan macam-macam tentang Nabi SAW. Sekarang ada orang yang menulis buku untuk mempersoalkan Nabi SAW dan al-Quran. 
  2. Persoalannya bukan tentang Nabi, tetapi siapa yang menghantar Nabi, itu yang perlu kita ambil perhatian.
  3. Mereka yang memperolok-olokkan Nabi SAW adalah orang yang sesat, mereka tidak mendapat jalan petunjuk.


Ayat 25:10


تَبَارَكَ ٱلَّذِىٓ إِن شَآءَ جَعَلَ لَكَ خَيْرًا مِّن ذَٰلِكَ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ وَيَجْعَل لَّكَ قُصُورًۢا

Maha Berkat Tuhan yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan mengadakan untukmu (di dunia ini) sesuatu yang lebih baik dari apa yang mereka katakan itu, iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta mengadakan untukmu istana-istana (yang tersergam indah).


Pengajaran

  1. Allah SWT memuji diriNya sendiri, Allah yang Maha Berkat.
  2. Nabi SAW memilih akhirat. Nabi SAW tidak memikirkan diri sendiri sahaja tetapi Nabi SAW memikirkan umatnya agar dapat bersama baginda di akhirat nanti. 
  3. Nabi SAW memilih untuk menguruskan al-Quran dan sunnah yang dapat kita kecapi sekarang. Baginda tidak memilih kesenangan dan harta benda dunia. Orang-orang pada masa itu tidak nampak nikmat di akhirat. Mereka hendak nikmat yang di depan mata sahaja. 


Ayat 25:11


بَلْ كَذَّبُوا۟ بِٱلسَّاعَةِ وَأَعْتَدْنَا لِمَن كَذَّبَ بِٱلسَّاعَةِ سَعِيرًا

(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang.


Pengajaran

  1. Orang-orang yang mendustakan Nabi SAW sebenarnya mereka mendustakan hari kiamat. Mereka memilih dunia, maka tidak akan dapat nikmat di akhirat. Nanti mereka akan mendapat api yang menjulang-julang.


RESOLUSI

Ingat!

  1. Sentiasa belajar tauhid dan jelaskan kepada ahli keluarga (25:3)
  2. Belajar ilmu al-Quran agar tidak mudah terpengaruh dakwaan al-Quran itu bohong atau dongeng (25:4)
  3. Laksanakan kempen kesedaran agar tidak anti Nabi Muhammad SAW (25:7-8)

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya belajar ilmu al-Quran agar tidak mudah terpengaruh dakyah tentang al-Quran.

Saya jelas saya mesti sentiasa belajar tauhid dan jelaskan kepada ahli keluarga. Saya jelas untuk belajar ilmu al-Quran agar tidak mudah terpengaruh dakwaan al-Quran itu bohong atau dongeng. Saya jelas untuk laksanakan kempen kesedaran agar tidak anti Nabi Muhammad SAW.

Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa belajar tauhid dan jelaskan kepada ahli keluarga. Ya Allah, ajarkan kami ilmu al-Quran agar tidak mudah terpengaruh dakwaan al-Quran itu bohong atau dongeng. Ya Allah, bantu kami untuk laksanakan kempen kesedaran agar tidak anti Nabi Muhammad SAW.


Rujukan: My #QuranTime Episod 467

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...