PERKATAAN HARI INI
SINOPSIS
- Situasi kaum musyrikin pada Hari Kiamat serta perbandingan mereka dengan penghuni syurga (25:12-16)
- Keadaan kaum kafir dan sembahan mereka pada Hari Kiamat (25:17-19)
- Basyariyyah (sifat manusia) para rasul (25:20)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 361 surah al-Furqan, halaman terakhir Juz 18. Hidup kita berganjak. Setiap hari Allah SWT berikan kita nafas. Nafas kita ini pinjaman untuk mengingat bahawa satu masa nanti kita akan pergi jua. Semoga kita diberkati, diberikan kesihatan, dan dimudahkan urusan untuk kita terus bersama al-Quran.
Ayat 25:12
إِذَا رَأَتْهُم مِّن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ سَمِعُوا۟ لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا
Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.
Pengajaran
- Orang-orang musyrik memandang hina kepada rasul. Mereka memperlekehkan al-Quran, wahyu dan pembawa wahyu iaitu Nabi Muhammad SAW. Meraka menterbalikkan mana yang patut.
- Mereka diberikan banyak nikmat oleh Allah SWT, tetapi masih lagi mempersoalkan pilihan Allah. Allah SWT sediakan untuk mereka neraka yang nyala-nyala.
- Neraka memerhatikan mereka di akhirat, malah neraka memerhati mereka dari dunia lagi. Neraka memerhati dengan keadaan yang amat marah kepada orang yang membuat Allah SWT marah kerana mempersoalkan utusanNya, wahyu, kata-kataNya.
- Jangan biarkan sifat marah ada dalam diri kita kerana itu adalah sifat neraka.
- Salah satu sifat orang bertakwa ialah tidak mudah marah. Nak marah pun buat apa? Kalau marah nak jadi neraka ka? Kita tidak mahu jadi neraka. Kita hendak jadi syurga kepada keluarga kita di sini. Semoga Allah izinkan kita syurga sebenarnya.
Ayat 25:13
وَإِذَآ أُلْقُوا۟ مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُّقَرَّنِينَ دَعَوْا۟ هُنَالِكَ ثُبُورًا
Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu).
Pengajaran
- Mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka dengan keadaan mereka dibelenggu. Mereka menjerit meminta sejenis kebinasaan yang melepaskan dari azab itu. Kalau boleh, apabila masuk sahaja ke dalam, mereka mahu terus dihancurkan kerana tidak tahan azab.
- Allah SWT bawakan perkara ini kerana mereka diberi akal, tetapi tidak dapat membezakan yang hak dan yang batil dengan al-Furqan. Mereka ambil al-Quran sambil lewa, malah kutuk pula Nabi SAW dan sunnah-sunnah baginda.
Ayat 25:14
لَّا تَدْعُوا۟ ٱلْيَوْمَ ثُبُورًا وَٰحِدًا وَٱدْعُوا۟ ثُبُورًا كَثِيرًا
(Lalu dikatakan kepada mereka): "Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya)".
Pengajaran
- Pada hari itu jeritan mereka tidak berguna lagi. Yang menunggu mereka adalah azab yang berbagai-bagai jenisnya.
- Mereka dihancurkan berulang kali. Ini Allah SWT bandingkan dengan syurga agar dalam dunia ini kita boleh buat keputusan hendak pilih yang mana, jalan ke syurga atau jalan untuk dihancurkan berulang kali di neraka?
Ayat 25:15
قُلْ أَذَٰلِكَ خَيْرٌ أَمْ جَنَّةُ ٱلْخُلْدِ ٱلَّتِى وُعِدَ ٱلْمُتَّقُونَ كَانَتْ لَهُمْ جَزَآءً وَمَصِيرًا
Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?" Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
Pengajaran
- Bila makin kita bersama al-Quran, kita akan dapat membezakan yang hak dan yang batil.
- Di sini disebut tentang syurga yang kekal, bukan tentang manusia yang kekal di dalamnya.
- Syurga yang kekal ini dijanjikan kepada orang yang sentiasa berjaga-jaga, mengelakkan diri daripada masalah pada masa hadapan (ٱلْمُتَّقُونَ). Mereka tidak mahu disambar oleh risiko yang paling besar, iaitu azab api neraka.
- Allah SWT sediakan syurga untuk mereka sebagai balasan dan tempat kembali.
- Orang yang ada al-Furqan selalu fikir berbaloi atau tidak buat dosa dengan tidak buat dosa, beriman atau tidak beriman.
Ayat 25:16
لَّهُمْ فِيهَا مَا يَشَآءُونَ خَٰلِدِينَ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ وَعْدًا مَّسْـُٔولًا
Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).
Pengajaran
- Mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki. Mereka pula kekal di dalamnya.
- Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Allah SWT, atas doa yang kita pohonkan. Mohonlah padaNya apa sahaja di akhirat nanti. Ia adalah jaminan janji Allah SWT. Gunakan peluang yang ada dengan panduan al-Furqan agar kita berjaya sampai ke syurga.
- Berfikir aras tinggi bukan sekadar kita berfikir apa yang ada di sini sahaja, tetapi kita kena fikir sampai ke akhirat.
Ayat 25:17
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَقُولُ ءَأَنتُمْ أَضْلَلْتُمْ عِبَادِى هَٰٓؤُلَآءِ أَمْ هُمْ ضَلُّوا۟ ٱلسَّبِيلَ
Dan (ingatkanlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang telah dipuja dan disembah itu): "Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan?"
Pengajaran
- Allah SWT bawakan dalam proses penghisaban, tentang mereka yang memilih jalan yang batil.
- Ditanya kepada makhluk yang disembah adakah mereka yang menyesatkan atau hamba Allah SWT yang sesat jalan.
Ayat 25:18
قَالُوا۟ سُبْحَٰنَكَ مَا كَانَ يَنۢبَغِى لَنَآ أَن نَّتَّخِذَ مِن دُونِكَ مِنْ أَوْلِيَآءَ وَلَٰكِن مَّتَّعْتَهُمْ وَءَابَآءَهُمْ حَتَّىٰ نَسُوا۟ ٱلذِّكْرَ وَكَانُوا۟ قَوْمًۢا بُورًا
Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau (wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran agamaMu, dan menjadilah mereka kaum yang binasa".
Pengajaran
- Mereka yang disembah tidak mengaku mengambil sesiapa pun yang lain daripada Allah sebagai pelindung yang disembah.
- Pelindung yang sebenar-benarnya adalah Allah SWT. Tidak ada pelindung selain daripada Allah SWT.
- Makhluk tidak ada kekuatan apa pun. Mereka juga dilindung oleh Allah SWT.
- Janganlah kita minta perlindungan daripada kubur-kubur wali dan sebagainya. Jangan takut kepada perkara yang tidak sepatutnya.
- Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW tidak pernah minta disembah. Kita berselawat kepada Nabi SAW kerana kita mendoakan untuk Nabi SAW. Bukan meletak Nabi sama tahap dengan Allah SWT.
- Mereka juga katakan tidak patut mereka menyeru orang menyembah mereka.
- Mereka katakan Allah SWT yang beri kesenangan kepada mereka. Kesan senang, mereka tidak boleh membezakan yang hak dan yang batil. Mereka fikir kesenangan diri sendiri sahaja. Mereka lupa kepada Allah SWT dan al-Quran. Mereka menjadi orang-orang yang binasa.
Ayat 25:19
فَقَدْ كَذَّبُوكُم بِمَا تَقُولُونَ فَمَا تَسْتَطِيعُونَ صَرْفًا وَلَا نَصْرًا وَمَن يَظْلِم مِّنكُمْ نُذِقْهُ عَذَابًا كَبِيرًا
Maka (dikatakan pula kepada golongan itu): "Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah) itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh sebarang pertolongan". Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang besar.
Pengajaran
- Allah SWT hendak menceritakan bahawa kalau kita sembah sesiapa atau kagum kepada sesiapa yang tidak membawa kepada Allah SWT, orang itu sebenarnya zalim dan akan ditimpa azab yang besar.
- Hendaklah kita berjaga-jaga kepada siapa yang kita hendak kagum. Tengok sama ada dia kembali kepada Tuhan atau tidak? Jika tidak, amat rugi.
Ayat 25:20
وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّآ إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِى ٱلْأَسْوَاقِ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).
Pengajaran
- Rasul adalah manusia biasa yang mengikut perintah Allah SWT.
- Realitinya, rasul-rasul ini adalah selebriti. Apa yang dimakan atau pergi ke pasar mana, ramai akan ikut. Kalau itu yang mendekatkan diri kepada Allah, eloklah diikut.
- Pastikan jangan sampai kita tersasar daripada objektif sebenarnya iaitu makan untuk beribadah. Jangan sampai kita fikir perkara yang tidak berkaitan sehingga hilang perspektif dalam kehidupan.
- Sebahagian daripada manusia menjadi ujian bagi sebahagian yang lain. Allah SWT tahu hakikat sebenarnya. Orang miskin ada yang bertakwa, orang kaya ada yang bertakwa, yang sihat ada yang bertakwa, yang sakit pun ada yang bertakwa. Jangan sampai kita tertipu dengan pelbagai perkara. Yang kaya kena bantu mereka yang miskin. Itulah ujian yang kita mesti lulus. Semoga Allah SWT terima amal kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Mohon Allah SWT jauhkan azab sengsara setiap masa (25:12-13)
- Gunakan kenikmatan untuk mentauhidkan dan mengingati Allah SWT (25:18)
- Hadapi ujian sesama manusia dengan sabar dan yakin Allah SWT memerhati (25:20)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya hadapi ujian sesama manusia dengan sabar.
Saya jelas saya mesti mohon Allah SWT jauhkan azab sengsara setiap masa. Saya jelas untuk gunakan kenikmatan untuk mentauhidkan dan mengingati Allah SWT. Saya jelas untuk hadapi ujian sesama manusia dengan sabar dan yakin Allah SWT memerhati.
Ya Allah, jauhkan kami daripada azab sengsara di dunia dan akhirat. Ya Allah, bimbing kami untuk gunakan kenikmatan untuk mentauhidkan dan mengingati Mu. Ya Allah, bimbing kami untuk hadapi ujian sesama manusia dengan sabar. Ya Allah, kami yakin bahawa Engkau memerhati.
Rujukan: My #QuranTime Episod 468