PERKATAAN HARI INI
عَتَا / عَتَوَ Sombong, melampaui batas. 10 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Permintaan kaum musyrikin agar malaikat turun kepada mereka atau mereka melihat Allah SWT serta penjelasan akan batalnya amalan mereka (25:21-24)
- Keadaan menakutkan pada Hari Kiamat (25:25-29)
- Kaum kafir meninggalkan al-Quran dan meminta agar al-Quran diturunkan sekaligus (25:30-32
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 362 surah al-Furqan, memulakan Juz 19. Syukur Allah SWT mengizinkan kita untuk terus menghirup nafas bersama al-Quran. Bukan satu kebetulan tetapi telah disusun oleh Allah SWT.
Surah al-Furqan ini umumnya merumuskan 4 perkara penting:
1. Allah yang Maha Hebat (tabarak)
2. Al-Furqan
3. Rasul
4. Amaran tentang hari kiamat
Ayat 25:21
وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَوْ نَرَىٰ رَبَّنَا لَقَدِ ٱسْتَكْبَرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ وَعَتَوْ عُتُوًّا كَبِيرًا
Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.
Pengajaran
- Mereka mempersoalkan Nabi, al-Furqan dan Tuhan Yang Maha Barakah. Mereka tidak membuat persediaan ke akhirat.
- Mereka mencabar Allah SWT untuk mendatangkan malaikat dan mahu melihat Tuhan. Mereka melampau kerana sombong. Mereka hanya ikut kata mereka sahaja bukan ikut rasul.
- Semoga kita tidak sombong pada Allah SWT. Teruslah menghargai al-Quran dengan baca, faham dan amal al-Quran.
Ayat 25:22
يَوْمَ يَرَوْنَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةَ لَا بُشْرَىٰ يَوْمَئِذٍ لِّلْمُجْرِمِينَ وَيَقُولُونَ حِجْرًا مَّحْجُورًا
(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata: "Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".
Pengajaran
1. Tidak ada kabar gembira kepada orang yang melakukan dosa.
2. Mereka minta dijauhkan daripada segala azab yang didatangkan ini kerana mereka tidak tahan.
Ayat 25:23
وَقَدِمْنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُوا۟ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَٰهُ هَبَآءً مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.
Pengajaran
- Allah SWT menegaskan yang Dia akan menyerahkan amalan mereka yang mereka sangka banyak tetapi hanya umpama debu yang berterbangan.
- Amal kalau tidak diasaskan kepada Allah SWT, Rasul, al-Quran, tiada nilainya. Umpama debu yang berterbangan
- Kita baca al-Quran untuk lihat standard Allah SWT. Apa nilai yang Allah hendak kita buat. kalau kita ikut standard Allah barulah lulus mengikut Tuhan.
- Kalau ikut hawa nafsu, maka itu akan menyebabkan amal akan jadi debu yang berterbangan.
Ayat 25:24
أَصْحَٰبُ ٱلْجَنَّةِ يَوْمَئِذٍ خَيْرٌ مُّسْتَقَرًّا وَأَحْسَنُ مَقِيلًا
Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehat.
Pengajaran
- Orang-orang yang mengikut standard Allah SWT adalah ahli-ahli syurga. Mereka ada tempat istirehat yang paling baik.
- Di sana, istirehat bukan kerana penat. Tidak ada rasa letih, tidak ada rasa bosan. Di dunia, kalau kita pergi bercuti lama pun, kita akan rasa bosan dan rindu hendak balik ke rumah.
- Kita dapat apa yang kita inginkan dan tidak merasa bosan di tempat syurga.
Ayat 25:25
وَيَوْمَ تَشَقَّقُ ٱلسَّمَآءُ بِٱلْغَمَٰمِ وَنُزِّلَ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ تَنزِيلًا
Dan (sebutkanlah perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan awan (yang berisi malaikat), dan (pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat itu dengan cara berpasuk-pasukan.
Pengajaran
- Allah SWT membawa tentang syurga dan diberiNya amaran.
- Amaran bukan tanda kebencian tetapi adalah untuk menegaskan peringatan kepada hambaNya.
Ayat 25:26
ٱلْمُلْكُ يَوْمَئِذٍ ٱلْحَقُّ لِلرَّحْمَٰنِ وَكَانَ يَوْمًا عَلَى ٱلْكَٰفِرِينَ عَسِيرًا
Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha melimpah rahmatNya, dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir.
Pengajaran
- Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu hanyalah Allah Yang Maha melimpah rahmatNya.
- Yang betul ialah al-Haq dan al-Furqan.
- Allah SWT Yang Maha Penyayang tetap bersedia mengampunkan dengan syarat kita patuh kepada perintah Allah SWT, al-Quran, rasul dan sentiasa bersedia untuk hari akhirat.
Ayat 25:27
وَيَوْمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَٰلَيْتَنِى ٱتَّخَذْتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلًا
Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?
Pengajaran
- Mereka menyesal dan merasa rugi tidak berjuang bersama rasul di dunia.
- Hari ini kita boleh berjuang dengan share di facebook program ini. Ajak kawan, beritahu anak dan keluarga tentang al-Quran.
Ayat 25:28
يَٰوَيْلَتَىٰ لَيْتَنِى لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا
"Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!
Pengajaran
- Mereka menyesal dan rugi mengambil si dia (فُلَانًا) sebagai kawan akrab kerana amat benci dengan kawan yang tidak berjuang bersama rasul.
- خَلِيلًا ialah rakan, suami/isteri, anak yang kita ambil masa yang banyak bersama mereka.
- Semoga kita bersama-sama mereka yang berjuang bersama rasul.
Ayat 25:29
لَّقَدْ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَآءَنِى وَكَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ لِلْإِنسَٰنِ خَذُولًا
"Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
Pengajaran
- Mereka mengatakan kawan karibnya itu adalah syaitan. Kawan begini meninggalkan mereka di waktu susah.
- Pilihlah kawan yang berjuang bersama rasul. Tinggalkan kawan yang tikam daripada belakang.
Ayat 25:30
وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَٰرَبِّ إِنَّ قَوْمِى ٱتَّخَذُوا۟ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ مَهْجُورًا
Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".
Pengajaran
- Nabi SAW merinith kepada Allah SWT bahawa mereka telah mengabaikan al-Quran. Mereka tidak merujuk kepada al-Quran, tidak mahu mengikut ajarannya.
- Janganlah kita hanya kadang-kadang sahaja buka al-Quran. Kita mesti memastikan al-Quran ini kita tidak tinggalkan dalam semua urusan kehidupan.
Ayat 25:31
وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّا مِّنَ ٱلْمُجْرِمِينَ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).
Pengajaran
- Allah SWT jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang berbuat dosa.
- Cukuplah Allah SWT menjadi Pemimpin ke jalan mengalahkan mereka serta menjadi Penolong terhadap mereka.
- Al-Quran adalah sumber hidayah. Orang yang mendapat hidayah tidak akan buat perkara yang berdosa.
- Kalau tidak ada al-Quran kita tidak tahu yang kita ada misi kehidupan. Jika kita tengah down, Allah SWT ada untuk membantu kita.
Ayat 25:32
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ ٱلْقُرْءَانُ جُمْلَةً وَٰحِدَةً كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِۦ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَٰهُ تَرْتِيلًا
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.
Pengajaran
- Al-Quran diturunkan sedikit-sedikit kepada Nabi SAW untuk meneguhkan 'fuad' iaitu lapisan ketiga dalam hati kita. Ini lapisan hati tempat perjuangan dan perasaan.
- Hendak berjuang dengan al-Quran kena nafas panjang. Kalau tidak, makin lama makin down.
- Kita kena baca dengan tartil, faham dan amal, sedikit demi sedikit barulah al-Quran dapat meneguhkan hati kita. Semoga Allah SWT meneguhkan hati kita bersama rasul dan al-Quran.
RESOLUSI
Ingat!
- Sentiasa buat persediaan bertemu Allah dengan amal - bukan mempersoalkan malaikat dan Allah SWT (25:21)
- Semak amal kita agar tidak menjadi debu (25:23)
- Tempah tempat rehat sebenarnya di syurga, bukan di sini (25:24)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya semak amal agar tidak menjadi debu.
Saya jelas saya mesti sentiasa buat persediaan bertemu Allah dengan amal - bukan mempersoalkan malaikat dan Allah SWT. Saya jelas saya mesti semak amal agar tidak menjadi debu. Saya jelas untuk tempah tempat rehat sebenarnya di syurga, bukan di sini.
Ya Allah, bimbing kami untuk lakukan amal soleh sebagai persediaan untuk bertemu dengan Mu. Ya Allah bimbing kami untuk semak amal agar tidak menjadi debu. Ya Allah, kurniakan kami tempat rehat sebenarnya di syurga.
"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.