PERKATAAN HARI INI
فَسَرَ Mentafsirkan, menerangkan, memecahkan. 1 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
- Al-Quran hadir dengan penjelasan terbaik (25:33)
- Balasan kepada pendusta kebenaran (25:34)
- Kisah sebahagian para nabi dan balasan bagi golongan yang mendustakan mereka (25:35-40)
- Penghinaan kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad SAW dan melabel dakwah sebagai sesat (25:41-43)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 363 surah al-Furqan, halaman kedua Juz 19. Surah ini membezakan yang hak dan yang batil.
Al-Quran maknanya sesuatu yang dibaca berulang kali. Qaraa (قرأ) itu menggabungkan beberapa perkara menjadi sesuatu yang bermakna, maka kita kena cari makna di sebalik apa yang kita baca.
Ayat 25:33
وَلَا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئْنَٰكَ بِٱلْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا
Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu).
Pengajaran
- Fungsi kedua al-Quran ini ialah ia membawa kebenaran. Ada peristiwa, masalah, atau kekeliruan, maka turun wahyu pada zama nabi SAW.
- Pada masa ini al-Quran sudah lengkap. Masalah kita berbeza, tetapi ada ayat al-Quran berkaitan yang menjelaskan persitiwa yang sedang kita hadapi. Ia akan menjelaskan sebaik-baiknya. Ini adalah peranan al-Quran yang turun berdikit-dikit.
- Orang yang tidak beriman, mereka menterbalikkan kebenaran.
Ayat 25:34
ٱلَّذِينَ يُحْشَرُونَ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ أُو۟لَٰٓئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ سَبِيلًا
Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya.
Pengajaran
- 1Hukuman bagi mereka ialah mereka akan diseret di atas wajah mereka. Ini kerana semasa di dunia mereka menterbalikkan kebenaran.
- Di neraka jahannam tidak ada jalan keluar kerana di atas dunia ini Allah SWT sudah bagi jalan keluar. Al-Quran yang kita baca ini adalah jalan keluar. Tetapi mereka tidak mahu menghargai kepada al-Haq yang Allah SWT turunkan.
Ayat 25:35
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَٰبَ وَجَعَلْنَا مَعَهُۥٓ أَخَاهُ هَٰرُونَ وَزِيرًا
Dan sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya.
Pengajaran
1. Nabi Musa AS diberi Taurat dan juga diberi pembantu iaitu saudaranya Nabi Harun AS.
2. Wazir ialah pembantu yang tugasnya berat.
Ayat 25:36
فَقُلْنَا ٱذْهَبَآ إِلَى ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَٰتِنَا فَدَمَّرْنَٰهُمْ تَدْمِيرًا
Lalu Kami perintahkan: "Pergilah kamu berdua kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami"; maka (kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya.
Pengajaran
- Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS ditugaskan kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah SWT.
- Kaum yang mendustakan itu akhirnya dihancurkan.
Ayat 25:37
وَقَوْمَ نُوحٍ لَّمَّا كَذَّبُوا۟ ٱلرُّسُلَ أَغْرَقْنَٰهُمْ وَجَعَلْنَٰهُمْ لِلنَّاسِ ءَايَةً وَأَعْتَدْنَا لِلظَّٰلِمِينَ عَذَابًا أَلِيمًا
Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat manusia; dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim; azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Pengajaran
- Jika mendustakan seorang rasul, bermakna mendustakan semua rasul. Seperti kita sekarang, jika kita mendustakan orang yang berbuat kebaikan, bermakna kita tidak menghargai orang-orang yang berbuat kebaikan.
- Allah SWT tenggelamkan orang-orang yang mendustakan Nabi Nuh AS.
- Semua nabi-nabi menghadapi cabaran. Maka Nabi SAW tidak berasa keseorangan. Kita, yang mengikut Nabi SAW juga, jangan rasa keseorangan.
- Semoga kita dijauhkan daripada segala azab ini.
Ayat 25:38
وَعَادًا وَثَمُودَا۟ وَأَصْحَٰبَ ٱلرَّسِّ وَقُرُونًۢا بَيْنَ ذَٰلِكَ كَثِيرًا
Dan (demikian juga Kami telah binasakan) Aad dan Thamud serta Ashaabur-Rassyi dan banyak lagi dalam zaman-zaman di antara masa yang tersebut itu.
Pengajaran
1. Kaum-kaum terdahulu juga telah dihancurkan.
Ayat 25:39
وَكُلًّا ضَرَبْنَا لَهُ ٱلْأَمْثَٰلَ وَكُلًّا تَبَّرْنَا تَتْبِيرًا
Dan masing-masing, telah Kami berikan kepadanya contoh tauladan yang mendatangkan iktibar, dan masing-masing telah Kami hancurkan sehancur-hancurnya.
Pengajaran
- Allah SWT membawakan contoh-contoh orang terdahulu ini supaya kita mendapat idea bahawa jika kita tidak mengikut wahyu, kita akan dihancurkan (تَتْبِيرًا تَبَّرْنَا).
- Al-Furqan ini bukan sekadar isimnya sahaja, siap dengan melodi dan kisah yang dibawakan. Al-Quran menjelaskan perkara yang tidak jelas. Dengan al-Furqan kita tahu memilih yang batil dan yang haq sehingga kita ada pendirian dalam kehidupan kita. Itulah yang dijanakan oleh al-Quran bila kita banyak berinteraksi dengannya.
Ayat 25:40
وَلَقَدْ أَتَوْا۟ عَلَى ٱلْقَرْيَةِ ٱلَّتِىٓ أُمْطِرَتْ مَطَرَ ٱلسَّوْءِ أَفَلَمْ يَكُونُوا۟ يَرَوْنَهَا بَلْ كَانُوا۟ لَا يَرْجُونَ نُشُورًا
Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan) azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih berdegil), tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya? (Mereka tidak fikirkan yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan hidup semula (untuk menerima balasan).
Pengajaran
- Mereka yang tidak taat kepada Nabi Lut AS diazab dengan hujan batu yang akhirnya mereka jadi hancur. Mereka terlibat dengan apa yang orang sekarang sebut LGBTQ.
- Orang yang ada al-Furqan dapat membezakan syariat yang betul atau tidak betul. Tidak mungkin Allah SWT menciptakan sesuatu yang keji dalam masyarakat.
- Bila melalui kawasan itu, kita ambil iktibar dan cepat-cepat berlalu. Jangan bersekongkol dengan orang begitu kalau ada dalam zaman ini.
- Mereka tidak bersedia untuk menghadapi hari kebangkitan semula. Mereka hendak hidup berseronok-seronok sahaja. Ini bermakna al-Furqan tidak masuk dalam jiwa. Mereka tidak dapat membezakan yang haq dan yang batil.
Ayat 25:41
وَإِذَا رَأَوْكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَٰذَا ٱلَّذِى بَعَثَ ٱللَّهُ رَسُولًا
Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata): "Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya
Pengajaran
- Mereka mengambil agama sebagai bahan ejekan, terutamanya agama Islam.
- Kenapa agama Islam sahaja yang diejek? Ini kerana Islam adalah sesuatu yang amat unik maka tidak disenangi oleh musuh.
- Islam dan orang Islam berbeza. Orang Islam banyak kelemahan tetapi Islam itu sempurna.
Ayat 25:42
إِن كَادَ لَيُضِلُّنَا عَنْ ءَالِهَتِنَا لَوْلَآ أَن صَبَرْنَا عَلَيْهَا وَسَوْفَ يَعْلَمُونَ حِينَ يَرَوْنَ ٱلْعَذَابَ مَنْ أَضَلُّ سَبِيلًا
"Sebenarnya ia hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari tuhan-tuhan kami, jika tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya". Dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya.
Pengajaran
- Ini tuduhan kepada Nabi SAW. Cuba bayangkan betapa peritnya tetapi Nabi SAW terus berjuang sampai ke hujung. Manfaatnya sampai kepada kita.
- Jangan terpengaruh dengan dakyah yang cuba melemahkan kita. Kalau diejek atau dipandang sinis apabila membuat perkara mengikut rasul, ini berlaku sepanjang zaman.
- Kalau mereka salah, minta ampun untuk mereka.
- Bila kita ada al-Quran, inilah peluang untuk kita jauh daripada masalah di atas dunia dan di akhirat nanti daripada azab Allah SWT.
Ayat 25:43
أَرَءَيْتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?
Pengajaran
- Ada ilah dalam bentuk berhala, ideologi atau orang. Dalam ayat ini, hawa ini ialah hawa nafsu. Keinginannya itu melampau daripada apa yang Allah SWT inginkan. Mereka rasa bebas untuk membuat apa sahaja. Mereka rasa mereka yang berkuasa. Mereka rasa al-Quran tidak ada apa yang istimewa. Masa solat juga mereka tidak kisah.
- Hawa juga ada pada binatang. Kita tidak mahu mengikut binatang. Makan kambing sedap, tetapi kita tidak mahu jadi kambing kerana kambing ikut hawa nafsu itu ok. Tetapi manusia yang diberikan akal dan hawa nafsu, apabila tidak letakkan akal di atas hawa nafsu maka tidak akan ada pelindung untuk mereka. Allah dan Nabi tidak akan lindunginya. Kalau kita tidak dilindungi oleh sesiapa, dengan kelemahan yang kita ada, itu adalah risiko yang paling besar.
- Al-Quran adalah pelindung kepada kita. Semakin kita belajar memahami perkataan Allah SWT, dapat al-Furqan, kita makin bertawakal kepada Allah SWT menyebabkan kita semakin selamat.
RESOLUSI
Ingat!
1. Jadikan al-Quran sebagai sumber puncak kebenaran (25:33)
2. Jaga air muka kita dengan beriman kepada kebenaran dan jangan mendustakannya (25:34)
3. Perjuangkan wahyu kerana ia menyelamatkan umat daripada azab (36)
Saya berasa lega, Allah SWT akan jaga air muka saya sekiranya saya beriman kepada kebenaran dan tidak mendustakannya.
Saya jelas saya mesti jadikan al-Quran sebagai sumber puncak kebenaran. Saya jelas untuk jaga air muka dengan beriman kepada kebenaran dan jangan mendustakannya. Saya jelas untuk perjuangkan wahyu kerana ia menyelamatkan umat daripada azab.
Ya Allah, bimbing kami untuk jadikan al-Quran sebagai sumber puncak kebenaran. Ya Allah, jadikan kami orang beriman kepada kebenaran dan jangan mendustakannya. Ya Allah, bantu kami untuk perjuangkan wahyu kerana ia menyelamatkan umat daripada azab.
"Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat".
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.