Sunday, September 3, 2023

Halaman 371 Al-Syu'ara', 84-111

PERKATAAN HARI INI

    لَسِنَ  Berkata, lisan. 25 kali disebut dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Doa Nabi Ibrahim AS sebagai doa orang yang ikhlas dan bertaubat (26:84-89)
  2. Sifat hari kebangkitan, balasan Allah SWT berupa pahala dan azab, serta penyesalan orang musyrik atas kesesatannya (26: 90-104)
  3. Kisah Nabi Nuh AS dan kaumnya (26:105-111)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 371. Kita gunakan peluang selagi hayat dikandung badan, untuk mengisi masa kita dengan Az-Zikr.

Kita akan ditanya tentang masa kita dihabiskan ke mana? Semoga kita gunakan masa kita untuk al-Quran.

Ayat 26:84

وَٱجْعَل لِّى لِسَانَ صِدْقٍ فِى ٱلْءَاخِرِينَ

"Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian;

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS berdoa supaya dapat bersama orang-orang yang soleh. Baginda amat merendah diri ketika berdoa. Soleh adalah satu status yang amat tinggi di sisi Allah SWT.
  2. Nabi Ibrahim AS menjadi legasi kebaikan yang diucapkan oleh orang-orang yang kemudian kerana perjuangan benar yang dibawa oleh baginda. Bukan kerana banyak harta dan pangkat. Contoh: Raya haji dan raya puasa ada kaitan dengan Nabi Ibrahim AS. Itu tanda doa baginda dimakbulkan. Ada juga agama lain yang menyatakan baginda kejam kerana hendak membunuh anaknya sedangkan itu adalah arahan daripada Allah SWT.
  3. Jadikan lisan yang baik ikutan bagi orang yang kemudian. Semoga kita termasuk dalam kalangan orang-orang yang mengikut Nabi Ibrahim AS.

Ayat 26:85

وَٱجْعَلْنِى مِن وَرَثَةِ جَنَّةِ ٱلنَّعِيمِ

"Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS bukan hanya mahu kebun di dunia tetapi baginda hendak mewarisi kebun di syurga. Baginda memohon syurga Jannatun Naim. 
  2. Nabi Ibrahim semasa zaman remajanya tidak dapat baiti jannati apabila baginda dihalau oleh ayahnya kerana memperjuangkan keimanan. Allah SWT gantikannya dengan Jannatun Naim.
  3. Kalau rumah kita sekarang baiti jannati, teruskan berdoa agar dapat Jannatun Naim di akhirat nanti. Rumah kita bukanlah seperti Jannatun Naim. Kadang-kadang ada nikmat, kadang-kadang tidak ada. Di Jannatun Naim, nikmat kekal selamanya. 

Ayat 26:86

وَٱغْفِرْ لِأَبِىٓ إِنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلضَّآلِّينَ

"Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah dari orang-orang yang sesat

Pengajaran

  1. Nabi Ibrahim AS meminta keampunan bagi ayahnya yang sesat untuk kembali kepada nikmat. Salah satu nikmat besar ialah apabila ahli keluarga kita kembali kepada jalan yang diberi nikmat. Ayahnya tidak mendapat nikmat hidayah tersebut.
  2. Apabila Nabi Ibrahim berdoa ini, ayat ini terbatal. Allah SWT menegur Nabi Ibrahim AS yang berdoa untuk ayahnya yang kufur.

Ayat 26:87

وَلَا تُخْزِنِى يَوْمَ يُبْعَثُونَ

"Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula"

Pengajaran

  1. Baginda memohon supaya tidak dihinakan di akhirat.
  2. Nabi Muhammad SAW juga perit apabila bapa saudaranya mati dalam keadaan kufur. Begitu juga Nabi Nuh AS, perit kerana anaknya tidak beriman kepada Allah SWT.
  3. Perit memang perit, namun kata-kata Allah SWT lebih patut diberi keutamaan kerana iman melangkau daripada hubungan antara ayah, ibu, anak dan sebagainya. Kita semua adalah makhluk Allah SWT.

Ayat 26:88

يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun

Pengajaran

  1. Ayat ini adalah solusi kalau ada ahli keluarga yang beriman atau tidak beriman. Panduan ini perlu kita beri perhatian. 
  2. Harta dan anak pinak tidak bermanfaat satu habuk pun di sisi Allah SWT pada hari manusia dibangkitkan kembali untuk menghadap Allah SWT. 

Ayat 26:89

إِلَّا مَنْ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ

"Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)  

Pengajaran

  1. Kalau hendak pastikan ia bermanfaat, datanglah kepada Allah SWT dengan qalbun salim. Iaitu, buat kebaikan dengan hati yang ringan. 
  2. Jika kita rasa berat sahaja hendak berbuat kebaikan, itu bermakna yang hati kita belum lagi sejahtera. 

Ayat 26:90

وَأُزْلِفَتِ ٱلْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ

"Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa,

Pengajaran

  1. Orang yang bertakwa akan didekatkan dengan syurga.

Ayat 26:91

وَبُرِّزَتِ ٱلْجَحِيمُ لِلْغَاوِينَ

"Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat;

Pengajaran

  1. Yang sesat akan dinampakkan neraka. 

Ayat 26:92

وَقِيلَ لَهُمْ أَيْنَ مَا كُنتُمْ تَعْبُدُونَ

"Serta dikatakan kepada mereka: ` Mana dia benda-benda yang kamu sembah dahulu -

Pengajaran

  1. Akan dipersoalkan tentang benda-benda yang mereka sembah. Amat mengerikan.

Ayat 26:93

مِن دُونِ ٱللَّهِ هَلْ يَنصُرُونَكُمْ أَوْ يَنتَصِرُونَ

`Selain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri ? '

Pengajaran

  1. Adakah sembahan itu dapat menolong mereka?
  2. Apabila menterbalikkan hidayah, maka akan datang azab.

Ayat 26:94

فَكُبْكِبُوا۟ فِيهَا هُمْ وَٱلْغَاوُۥنَ

"Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, - mereka dan orang-orang yang sesat bersama,

Pengajaran

  1. Maka akan disembamkan mereka bersama orang-orang yang sesat. Jatuh bangun berulang-ulang dalam neraka.

Ayat 26:95

وَجُنُودُ إِبْلِيسَ أَجْمَعُونَ

"Termasuk juga bala tentera iblis semuanya.

Pengajaran

  1. Kuncu-kuncu iblis juga disembamkan bersama. Ini semua geng-geng yang tidak mahu bersujud.
  2. Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada disembamkan dalam neraka bersama kuncu-kuncu iblis.

Ayat 26:96

قَالُوا۟ وَهُمْ فِيهَا يَخْتَصِمُونَ

"Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam neraka:

Pengajaran

  1. Mereka bertengkar antara satu sama lain. 
  2. Di atas muka bumi mereka tidak mahu bertengkar atau tidak mahu menegur, hanya hendak mengikut nenek moyang dan ketua.
  3. Nabi Ibrahim AS menegur ayahnya. Berlaku sedikit pertengkaran antara ayah dan anak kerana kebenaran. Nanti di akhirat tidak payah lagi bertengkar.

Ayat 26:97

تَٱللَّهِ إِن كُنَّا لَفِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

" Demi Allah! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu) adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata,"

Pengajaran

  1. Mereka bersumpah dengan rasa amat kecewa. 
  2. Mereka mengaku yang mereka dahulu sesat.

Ayat 26:98

إِذْ نُسَوِّيكُم بِرَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

"Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam"

Pengajaran

  1. Mereka menyatakan yang mereka menyamakan tuhan berhala dengan Tuhan sekalian alam. 
  2. Tuhan sekalian alam ini tidak sama dengan makhluk yang ada. Dia hebat, menguasai segala-galanya. 
  3. Firaun tidak hebat, tidak ada apa-apa. Begitu juga kita.

Ayat 26:99

وَمَآ أَضَلَّنَآ إِلَّا ٱلْمُجْرِمُونَ

" Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa."

Pengajaran

  1. Mereka tidak mahu ambil al-Quran sebagai panduan lalu mereka disesatkan.

Ayat 26:100

فَمَا لَنَا مِن شَٰفِعِينَ

" Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang memberi pertolongan,

Pengajaran

  1. Mereka mengatakan mereka tiada lagi penolong dari mana-mana pun. 
  2. Al-Quran akan menjadi hujah untuk kita di sana. 
  3. Semoga Allah SWT ampunkan kekurangan kita dan diharapkan al-Quran, malaikat boleh memberi syafaat dengan izin Allah SWT.

Ayat 26:101

وَلَا صَدِيقٍ حَمِيمٍ

Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.

Pengajaran

  1. Tiada lagi sahabat akrab. 
  2. Di dunia ini, carilah kawan yang bukan kuncu iblis. 
  3. Doakan anak-anak kita dilindungi daripada pembuli dan perkara-perkara tidak baik. Buli ialah sifat iblis yang mahu merosakkan. Pengetua sekolah, jangan simpan kes-kes buli  bawah karpet.

Ayat 26:102

فَلَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَكُونَ مِنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ


"Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman. "

Pengajaran

  1. Di akhirat, mereka akan menyesal, mahu kembali menjadi orang-orang yang beriman.

Ayat 26:103

إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَءَايَةً وَمَا كَانَ أَكْثَرُهُم مُّؤْمِنِينَ

Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membukitkan keesaan Allah dan kekuasaanNya); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

Pengajaran

  1. Memang Allah SWT menyebut ramai yang tidak mahu beriman. 
  2. Jika hendak simpan kebatilan di bawah karpet, jangan sampai Allah SWT bongkarkan. Hendaklah kita melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Ayat 26:104

وَإِنَّ رَبَّكَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani.

Pengajaran

  1. Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengasihani.

Ayat 26:105

كَذَّبَتْ قَوْمُ نُوحٍ ٱلْمُرْسَلِينَ

(Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka.

Pengajaran

  1. Allah SWT membawa kisah-kisah ini berulang-ulang untuk memujuk Nabi SAW. 
  2. Memang ramai yang tidak beriman, tetapi bukan tugas nabi untuk menjadikan orang beriman. Hidayah itu bukan milik nabi tetapi nabi perlu terus menjalankan tugasnya.
  3. Peranan untuk kita, bila tengok kisah-kisah ini, kita sedar bahawa Nabi Nuh AS juga didustakan. 
  4. Apabila mendustakan seorang rasul, bermakna mereka mendustakan semua rasul kerana mesejnya yang sama.
  5. Kita bersama dengan rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Ayat 26:106

إِذْ قَالَ لَهُمْ أَخُوهُمْ نُوحٌ أَلَا تَتَّقُونَ

Ketika saudara mereka - Nabi Nuh, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya."

Pengajaran

  1. Nabi Nuh menyeru mereka supaya mematuhi suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

Ayat 26:107

إِنِّى لَكُمْ رَسُولٌ أَمِينٌ

"Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.

Pengajaran

  1. Nabi Nuh AS memberitahu bahawa baginda adalah rasul yang amanah.
  2. Takwa kepada Allah SWT kena dibina. Pengetua kena kuatkan institusi solat supaya pelajar nampak contoh untuk diikuti. 

Ayat 26:108

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

" Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.

Pengajaran

  1. Takutlah kepada kemurkaan Allah SWT dan taatlah kepada rasul.
  2. Elakkan masalah dengan bertakwa kepada Allah SWT dalam hati. Taat kepada rasul. Ikut sunnah Nabi SAW. Inilah 2 perkara yang menjadi asas dalam syahadah kita.
  3. Takwa kepada Allah SWT kena dibina. Pengetua kena kuatkan institusi solat supaya pelajar nampak contoh untuk diikuti. 

Ayat 26:109

وَمَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ ٱلْعَٰلَمِينَ

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.

Pengajaran

  1. Nabi Nuh AS tidak meminta upah dan berkata baginda hanya mengharapkan upah daripada  Allah SWT. 
  2. Guru-guru, termasuk yang bukan ustazah, walaupun sudah banyak tugas, kena hidupkan lisan Nabi Ibrahim kerana tugas membina takwa dan ketaatan sangat penting.
  3. Tidak perlu minta upah atas usaha membawa takwa, kerana Allah SWT akan berikan ganjaranNya.

Ayat 26:110

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ

"Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku".

Pengajaran

  1. Allah SWT sayang kepada kita semua. Allah perintahkan kita supaya takut akan kemurkaanNya dan taat kepada rasul.
  2. Allah SWT beri peluang untuk perbaiki budaya yang ada. Contoh: Jangan biarkan budaya buli berleluasa. Kena betul-betul bersidang, bangkit untuk menangani perkara ini. 
  3. Takwa dan taat rasul mesti diusahakan beramai-ramai.

Ayat 26:111

قَالُوٓا۟ أَنُؤْمِنُ لَكَ وَٱتَّبَعَكَ ٱلْأَرْذَلُونَ

Mereka menjawab: "Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah (pangkatnya dan hina pekerjaannya)?"

Pengajaran

  1. Jangan pandang rendah kepada sesiapa kerana ini adalah tanda kesombongan. Contoh: Jangan hanya apabila buli berlaku kepada anak-anak orang besar sahaja baru kita mahu bertindak.
  2. Jangan hirau apabila dikecam. Teruskan usaha membina takwa dan ketaatan kepada Allah SWT.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Sentiasa berdoa agar menjadi buah mulut kebaikan masa depan (26:84)
  2. Berusaha menjaga hati agar sejahtera ke syurga (26:88-89)
  3. Walaupun banyak cabaran di dunia, tetapi dekatkan diri kepada orang beriman dan sekaligus didekatkan dengan syurga. (26:90)

Saya berasa lega, Allah SWT akan dekatkan saya dengan syurga sekiranya saya dekatkan diri kepada orang beriman.

Saya jelas saya mesti sentiasa berdoa agar menjadi buah mulut kebaikan masa depan. Saya jelas saya mesti berusaha menjaga hati agar sejahtera ke syurga. Saya jelas walaupun banyak cabaran di dunia, tetapi dekatkan diri kepada orang beriman dan sekaligus didekatkan dengan syurga.
 
Ya Allah, jadikan kami buah mulut kebaikan masa depan. Ya Allah, bimbing kami untuk menjaga hati agar sejahtera ke syurga. Ya Allah, bimbing kami untuk dekatkan diri kepada orang beriman agar kami didekatkan dengan syurga. Ya Allah, pimpin kami untuk hadapi cabaran dengan tabah dan sabar.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 598 : Al Qadr 97 : 1-5 & Al Bayyinah 98 : 1-8

  Surah Al Qard PERKATAAN HARI INI   سَلِمَ  =   selamat, sejahtera Diulang  140 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Permulaan p...