Saturday, September 9, 2023

Halaman 383 Al-Naml, 64-76

 

PERKATAAN HARI INI 


بَرْهَنَ Bukti nyata. 8 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

 

1.     Kehebatan Allah SWT menciptakan makhluk (27:64)

2.     Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib selain Allah SWT (27:65-66)

3.     Pengingkaran orang musyrik terhadap hari kebangkitan (27:67-75)












     4.  Bukti kenabian Nabi Muhammad SAW dengan al-Quran (27:76)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 383 untuk melihat permata daripada surah al-Naml.

 

Ayat 27:64

 

أَمَّن يَبْدَؤُا۟ ٱلْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُۥ وَمَن يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ أَءِلَٰهٌ مَّعَ ٱللَّهِ قُلْ هَاتُوا۟ بُرْهَٰنَكُمْ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

 

Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya). dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar ".

 

Pengajaran

 

  1. Perkataan أَمَّن berulang beberapa kali. Ini hendak menceritakan bahawa sepanjang sejarah itu walau waktu berbeza, para rasul membawa mesej yang sama iaitu untuk bertakwa kepada Allah SWT, mengelakkan berbagai masalah di dunia dan akhirat dengan meminta perlindungan daripada Allah SWT.
  2. Dalam ayat ini diulang lagi persoalan tentang siapa yang memulakan penciptaan makhluk termasuk kita. Dari alam roh, dalam perut ibu, jadi kanak-kanak dan akhirnya kita kembali ke perut bumi. Ada orang lupa yang dia dulu baby, kanak-kanak, belajar ABC, kena marah oleh guru.  Bila sudah hebat, dia lupa. Dicadangkan, untuk mengingatkan tentang ini, letak tiga gambar, gambar semasa dalam perut, masa baby dan masa jadi jenazah. Baru akan nampak kebesaran Allah SWT agar iman kita bertambah.
  3. Allah SWT juga mengingatkan kepada kita siapa yang memberi rezeki dari langit dan bumi. Dari langit ada air, dari bumi ada logam, tumbuh-tumbuhan. Semua itu bergabung, menjadi sumber rezeki daripada Allah SWT. Contoh: Allah SWT sudah menyusun lapisan bumi beribu tahun sehingga jadi petrolium. Bayangkan kalau kita hendak guna kereta, minyak belum siap. Ini semua adalah daripada Allah SWT yang menciptakan untuk kita. Walaupun bukan Islam atau Islam, semuanya daripada Allah SWT.
  4. Dengan tegas Allah SWT mengatakan bawakan bukti jika mereka betul bahawa ada tuhan lain, atau berhala atau manusia lain yang dapat menciptakannya.
  5. Allah SWT ingatkan kepada orang musyrik dan kepada kita, kalau tidak beriman kepada Allah SWT, mereka boleh buat apa sahaja. Mereka rasa dunia ini mereka yang punya. Contoh: Ratu Saba' dan kaumnya ada kekuatan tetapi bila terlupa kepada siapa yang menciptakan, mereka menyembah matahari, namun akhirnya kembali kepada Islam selepas didakwahkan oleh Nabi Sulaiman AS.

 

Ayat 27:65

 

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ٱلْغَيْبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

 

Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah seruan untuk dakwah. Tiada siapa pun yang tahu perkara ghaib yang ada di langit dan bumi, kecuali Allah SWT.
  2. Kita mendapat ilmu tentang perkara ghaib daripada Allah SWT. Contoh: Biji benih boleh tumbuh, jadi pokok, ada fotosintesis. Tidak mustahil kalau Allah SWT hendak bangkitkan kita.
  3. Inilah hujah kepada mereka yang tidak percaya kepada hari pembalasan. Mereka tengok nasi, gandum, jagung tetapi mereka tidak kaitkan dengan hari akhirat. Kesannya, mereka tidak kisah pun apa yang mereka hendak buat. Mereka hendak menekan orang lain, hendak ambil projek rasuah, mereka buat sahaja kerana tidak fikir hari akhirat. Ada orang yang pada musim banjir ini, menyimpan stok barangan untuk kepentingan mereka sendiri. Ada aset-aset pun mereka tidak gunakan untuk membantu.
  4. Semoga kita jadi orang yang bersedia untuk menghadapi hari akhirat dan tidak mementingkan diri sendiri.

 

Ayat 27:66

 

بَلِ ٱدَّٰرَكَ عِلْمُهُمْ فِى ٱلْءَاخِرَةِ بَلْ هُمْ فِى شَكٍّ مِّنْهَا بَلْ هُم مِّنْهَا عَمُونَ

 

Bahkan mereka (yang kafir) telah berkali-kali mengetahui tentang hari akhirat (tetapi mereka tidak meyakininya), bahkan mereka berada dalam syak mengenainya; bahkan matahati mereka buta langsung daripada memikirkannya.

 

Pengajaran

 

  1. Istilah درَكَ, bermakna sesuatu yang rendah. Ini komentar tentang orang yang tidak percaya kepada hari akhirat. Ilmu mereka itu dangkal. Ada orang membantu hanya sekadar  untuk populariti, untuk diambil gambar sahaja dan akhirnya, terbongkar semua kebenaran. Ini kerana ilmu mereka itu dangkal.
  2. Bila hendak buat sesuatu, kita perlu ada ilmu yang sampai ke akhirat. Orang Islam jika tidak memberi perhatian kepada akhirat, samalah seperti orang kafir yang hanya nampak dunia sahaja. Cara berfikir mereka dangkal.

 

Ayat 27:67

 

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَءِذَا كُنَّا تُرَٰبًا وَءَابَآؤُنَآ أَئِنَّا لَمُخْرَجُونَ

 

Dan orang-orang yang kafir berkata: "Adakah sesudah kami menjadi tanah, dan juga datuk nenek kami, adakah kami semua akan dikeluarkan dari kubur (hidup semula)?

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang kafir mempersoalkan tentang hari akhirat. Benarkah mereka akan dibangkitkan semula sesudah menjadi debu?
  2. Pertanyaan ini menggambarkan tiada keyakinan mereka kepada hari akhirat.

 

Ayat 27:68

 

لَقَدْ وُعِدْنَا هَٰذَا نَحْنُ وَءَابَآؤُنَا مِن قَبْلُ إِنْ هَٰذَآ إِلَّآ أَسَٰطِيرُ ٱلْأَوَّلِينَ

 

"Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan dengan perkara ini, kami dan juga datuk nenek kami dahulu; ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

 

Pengajaran

 

  1. Mereka mengatakan akhirat itu sebagai cerita-cerita dongeng sahaja.
  2. Mereka mempersendakan hari akhirat. Mereka buat apa sahaja yang mereka hendak. Tekan orang lain, tidak membantu orang yang memerlukan.
  3. Semoga kita sentiasa menjadi orang yang 'burhan', dapat bukti nyata seperti matahari bila kita selalu bersama al-Quran dan makin beramal dengannya.

 

Ayat 27:69

 

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang berdosa itu".

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini muncul selepas Allah SWT ceritakan tentang tauhid. Ada orang tidak terkesan bila lihat matahari setiap hari. Dia rasa sama sahaja.
  2. Allah SWT galakkan untuk berjalan supaya dapat lihat kesan kepada mereka yang berbuat dosa. Contoh: Bila kita tengok piramid di Mesir, kita tahu itu adalah lambang kepada kezaliman. Pada musim banjir ini, Allah SWT boleh memberikan kesan kepada sesiapa sahaja. Semoga Allah SWT beri pahala atas ujian yang menimpa dan digantikannya dengan yang lebih baik. Ini semua adalah kuasa Allah SWT. Allah SWT memang betul-betul ada.
  3. Bila kita ingat kita ini hamba, kita ada pencipta. Kalau berjalan, kita dapat melihat memang betul dosa ini ada kesannya. Bila melihat persitiwa banjir sekarang ini, bukan kita kata orang yang kena banjir ini dia berdosa. Itu bukan cara kita melihatnya. Kita lihat kenapa terjadi banjir di sini? Adakah kerana pembalakan tidak terancang? Siapa perancang bandarnya? Siapakah yang meluluskannya? Kemungkinannya ada orang-orang yang meluluskannya tanpa ilmu menuju akhirat, sekadar untuk dapatkan habuan di dunia sahaja, inilah yang digelar ٱلْمُجْرِمِينَ.
  4. Kesan orang yang berbuat dosa, mereka mengambil tindakan tanpa memikirkan manfaatnya, maka ini memberi kesan kepada sesebuah negeri atau negara. Ia membahayakan masyarakat.
  5. Pendosa ini bukan sekadar mereka yang tidak solat semata-mata. Lebih daripada itu, mereka mensyirikkan Allah SWT ataupun tidak takut kepada Allah SWT ketika membuat keputusan. Sebab itu dalam surah al-Naml ini banyak menceritakan tentang pemimpin. Tanpa ilmu yang betul, mereka memimpin dengan rakus sekali seperti contoh kaum Aad dan Thamud.

 

Ayat 27:70

 

وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُن فِى ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ

 

Dan janganlah engkau berdukacita terhadap (keingkaran) mereka (yang kafir itu,) dan janganlah engkau resah-gelisah disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memujuk Nabi SAW dalam ayat ini. Firaun ada perancangan tipu dayanya. Nabi Sulaiman AS ialah pemimpin yang tegas. Nabi Soleh ada 9 kumpulan yang menentangnya. Orang Quraisy pun menentang Nabi SAW. Allah SWT memujuk baginda SAW agar jangan bimbang.

 

Ayat 27:71

 

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

 

Dan mereka bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"

 

Pengajaran

 

  1. Mereka memberi respon. Kesan mengingat hari akhirat bukan hanya di akhirat sahaja tetapi 10 hingga 20 ke hadapan. Ketika membuat keputusan, mereka tidak ingat akhirat.
  2. Mereka menyoal bila azab akan berlaku.

 

Ayat 27:72

 

قُلْ عَسَىٰٓ أَن يَكُونَ رَدِفَ لَكُم بَعْضُ ٱلَّذِى تَسْتَعْجِلُونَ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Dipercayai tidak lama lagi akan datang kepada kamu sebahagian dari azab yang kamu minta disegerakan itu".

 

Pengajaran

 

  1. Azab Allah SWT itu amat dekat (رَدِفَ). Seperti unta-unta yang berlari yang jarak antaranya dekat. Bila Nabi berhijrah, perang Badar itu dekat dan ia azab kepada orang-orang musyrik.
  2. Azab bagi orang musyrik Mekah ialah bila mereka diserang oleh tentera Allah SWT dalam kalangan orang-orang mereka sendiri yang memeluk Islam.

 

Ayat 27:73

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَشْكُرُونَ

 

Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurniaNya kepada umat manusia seluruhnya tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.

 

Pengajaran

 

1.     Allah SWT memberi kurnia kepada manusia tetapi ramai yang tidak bersyukur.

2.     Allah SWT mengangkat orang-orang yang beriman dalam peristiwa Badar.

3.     Bila kita sudah dapat al-Quran, dapat ekonomi yang bagus, dapat keamanan, maka hendaklah kita bersyukur. Kalau tidak bersyukur, kita akan dihinakan.

 

Ayat 27:74

 

وَإِنَّ رَبَّكَ لَيَعْلَمُ مَا تُكِنُّ صُدُورُهُمْ وَمَا يُعْلِنُونَ

 

Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT membongkar hati orang-orang musyrik. Kita kena ambil perhatian kerana ini mungkin juga termasuk dalam hati kita.
  2. Orang musyrik, nampak seperti kagum bila mendengar al-Quran tetapi sebenarnya, mereka sembunyikan ketidakpuasan hati mereka.
  3. Kita juga kena jaga perkara ini. Jangan ragu-ragu tentang al-Quran boleh mengubah kita. Kita membaca al-Quran dan pada masa yang sama, di dalam hati kita juga kena yakin betul-betul bahawa Allah yang sama berikan kita berbagai-bagai kurnia dalam hidup ini. Contoh: Saidina Umar Al-Khattab, dapat beberapa ayat sahaja, beliau sudah terkesan dan berubah.

 

Ayat 27:75

 

وَمَا مِنْ غَآئِبَةٍ فِى ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ إِلَّا فِى كِتَٰبٍ مُّبِينٍ

 

Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengetahui segala yang ghaib dan semua yang tertulis di Luh Mahfuz..

 

Ayat 27:76

 

إِنَّ هَٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَقُصُّ عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَكْثَرَ ٱلَّذِى هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

 

Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrail (perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal ugama) yang mereka berselisihan padanya.

 

Pengajaran

 

  1. Al-Quran ini menceritakan kepada Bani lsrael sebahagian besar daripada perkara yang mereka perselisihkan.
  2. Semoga kita menjadi orang yakin dengan al-Quran, yakin dengan kuasa Allah SWT dan bersyukur atas segala kurniaanNya. Semoga Allah SWT menolong kita pada setiap masa.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Yakin rezeki diuruskan oleh Allah SWT (27:64)
  2. Buat persediaan ke akhirat sebagai tanda keyakinan yang teguh (27:66)
  3. Bermusafir untuk melihat kesan orang yang berbuat jenayah dosa (27: 69)

 

Saya berasa lega, Allah SWT uruskan rezeki saya.

 

Saya jelas saya mesti yakin rezeki diuruskan oleh Allah SWT. Saya jelas untuk buat persediaan ke akhirat sebagai tanda keyakinan yang teguh. Saya jelas untuk bermusafir bagi melihat kesan orang yang berbuat jenayah dosa.

 

Ya Allah, kurniakan kami keyakinan bahawa Engkau yang menguruskan rezeki. Ya Allah, bimbing kami untuk buat persediaan ke akhirat sebagai tanda keyakinan yang teguh. Ya Allah, berikan kami peluang untuk bermusafir bagi melihat kesan orang yang berbuat jenayah dosa.

 

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...