Saturday, September 9, 2023

Halaman 390 al-Qasas, 28:36-43

 

PERKATAAN HARI INI


وقد Membakar. 

11 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1. Firaun mendustakan mukjizat dan respons Nabi Musa AS (28:36-37)
  2. Perdebatan Firaun mengenai ketuhanan Allah SWT dan akibat kesombongannya (28:38-43)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 390 untuk menyambung kisah Nabi Musa AS. Nabi Muhammad SAW tidak tahu tentang kisah Nabi Musa AS kecuali apa yang dibawa oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

 

Ayat 28:36

 

فَلَمَّا جَآءَهُم مُّوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا بَيِّنَـٰتٍ قَالُوا۟ مَا هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّفْتَرًى وَمَا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِىٓ ءَابَآئِنَا ٱلْأَوَّلِينَ

 

Setelah Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami yang terang nyata, mereka berkata: "Apa yang engkau bawa ini hanyalah sihir yang dibuat-buat, dan kami tidak pernah mendengar tentang perkara ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu". 

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS datang kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa mukjizat yang Allah SWT berikan.
  2. Mereka mengatakan itu adalah sihir yang dibuat-buat dan mereka tidak pernah dengar tentang perkara itu daripada nenek moyang mereka.
  3. Begitu juga pada zaman Nabi Muhammad SAW, al-Quran ini dikatakan dibuat-buat. Zaman sekarang juga sebahagian manusia tidak percaya kepada al-Quran.
  4. Sihir adalah sesuatu yang mengagumkan kepada mereka. Begitu juga zaman Nabi SAW, mereka kagum pada al-Quran. Dalam masa mereka mengutuk Nabi SAW mereka mengakui ada sesuatu yang tidak dapat diterangkan. Ia adalah urusan Allah SWT.
  5. Mereka menutup daripada kebenaran yang telah dibawa oleh nenek moyang.  Padahal 400 tahun sebelum itu Nabi Yusuf AS telah membawa mesej tauhid tetapi mereka sesat kerana mereka tidak menuntut ilmu atau tidak tahu sejarah atau mereka cuba mengelabui sejarah.
  6. Bila kita baca buku sejarah, hendaklah berhati-hati kerana kebanyakan buku sejarah ditulis oleh penjajah yang telah membuang nilai-nilai Islam.

 

Ayat 28:37

 

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبِّىٓ أَعْلَمُ بِمَن جَآءَ بِٱلْهُدَىٰ مِنْ عِندِهِۦ وَمَن تَكُونُ لَهُۥ عَـٰقِبَةُ ٱلدَّارِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

 

Dan (bagi menjawabnya) Nabi Musa berkata: "Tuhanku lebih mengetahui siapakah yang membawa hidayah petunjuk dari sisiNya dan siapa yang akan beroleh kesudahan yang baik di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS menjawab bahawa Tuhanku lebih mengetahui siapa yang datang membawa hidayah petunjuk dari sisiNya dan siapa yang akan beroleh kesudahan yang baik di dunia.
  2. Orang-orang zalim tidak akan berjaya.
  3. Yang penting bila kita menyampaikan dakwah ini ialah bukan kepada kita kebenaran itu. Kita kena kembalikan kepada Allah SWT.
  4. Nabi Musa AS merendahkan intelek Firaun dan memberitahu bahawa dia tidak selamat kerana tidak mendapat hidayah.

 

Ayat 28:38

 

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَـٰهَـٰمَـٰنُ عَلَى ٱلطِّينِ فَٱجْعَل لِّى صَرْحًا لَّعَلِّىٓ أَطَّلِعُ إِلَىٰٓ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّى لَأَظُنُّهُۥ مِنَ ٱلْكَـٰذِبِينَ

 

Dan Firaun pula berkata: "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta".

 

Pengajaran

 

  1. Firaun berkata yang dia tidak tahu ada tuhan lain selain dia. Ini adalah cara propaganda untuk tarik pengikut.
  2. Kita mestilah berdiri atas hujah yang jelas. Sampaikan mesej tauhid.
  3. Firaun minta Haman buat bangunan yang tinggi untuk melihat tuhan Musa.
  4. Firaun mengejek kepada perkataan yang dikeluarkan oleh Nabi Musa AS. Sekarang ada orang mengejek al-Quran mengatakan tidak releven lagi dengan zaman ini.
  5. Janganlah kita berhujah tanpa ilmu atau buat projek mengejek kepada ajaran wahyu yang disampaikan.

 

Ayat 28:39

 

وَٱسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُۥ فِى ٱلْأَرْضِ بِغَيْرِ ٱلْحَقِّ وَظَنُّوٓا۟ أَنَّهُمْ إِلَيْنَا لَا يُرْجَعُونَ

 

Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.

 

Pengajaran

 

  1. Firaun dan tenteranya sombong takbur. Mereka tiada alasan yang benar untuk menentang Nabi Musa AS.
  2. Mereka sanggup buat begitu kerana mereka yakin mereka tidak akan dikembalikan kepada Allah SWT. Mereka tidak percaya kehidupan selepas mati, jadi mereka ambil segala-galanya masa hidup dan buat sesuka hati. Jangan rasa kita selamat di sini.
  3. Semoga kita tidak jadi orang yang suka mengejek-ngejek kepada masa yang Allah SWT berikan untuk kita baiki dan bertaubat.
  4. Firaun yang Allah berikan masa, berbagai pengaruh, rupa-rupanya dia gunakannya untuk jauh daripada Allah SWT.
  5. Apa yang berlaku kepada Nabi Musa AS sepatutnya kita kena ikut dekat-dekat. Itulah yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW dan juga berlaku kepada kita yang ingin membawakan wahyu kepada pelbagai kumpulan manusia.

 

Ayat 28:40

 

فَأَخَذْنَـٰهُ وَجُنُودَهُۥ فَنَبَذْنَـٰهُمْ فِى ٱلْيَمِّ ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلظَّـٰلِمِينَ

 

Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya serta Kami humbankan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.

 

Pengajaran

 

  1. Inilah kisah pemisahan dakwah Nabi Musa dan Nabi Harun kepada iraun dan kuncu-kuncunya berakhir.
  2. Firaun tetap mengatakan Nabi Musa penipu dan memperolok-olokkan baginda.
  3. Kerana kesombongan mereka itu, Allah SWT menyeksa Firaun dan bala tenteranya. Allah SWT sebut spesifik Firaun dan bala tenteranya untuk menegaskan bahawa seorang pemimpin itu tidak boleh berdiri sendiri tanpa kuncu-kuncu, pembesar-pembesarnya. Mereka inilah yang akan sokong antara satu sama lain. Mereka bersekongkol melakukan kerja kezaliman.  
  4. Inilah senario politik yang berlaku sepanjang zaman. Orang atas tidak boleh berdiri sendiri. Dia disokong oleh orang bawah. Kalau orang bawah beriman, pemimpin juga beriman. Begitulah sebaliknya.
  5. Dalam masa 400 tahun, nilai-nilai baik yang dibawa oleh Nabi Yusuf AS di Mesir semakin musnah, maka yang naik itu adalah pemimpin yang tidak beriman dan zalim kepada rakyatnya.
  6. Inilah yang kita perlu ambil perhatian bagaimana wahyu dapat memastikan pemimpin dan rakyat tidak zalim. Kalau rakyat baca al-Quran tidak tahu apa isinya lambat laun dia rasa tidak apa kalau bayar RM5 untuk lancarkan fail di pejabat tanah, contohnya. Dia rasa itu perkara normal.
  7. Allah SWT tenggelamkan Firaun dan kuncu-kuncunya dalam laut.
  8. Perhatikan kesan yang berlaku kepada orang yang zalim. Orang zalim rasakan dia selamat, boleh terus berkuasa, tetapi sebenarnya Allah SWT akan memberikan ancaman dan azab dari masa ke semasa.
  9. Nabi Muhammad SAW tidak nampak peristiwa ini tetapi Allah SWT suruh lihat dengan mata hati. Kita tidak nampak peristiwa ini, tetapi Allah SWT suruh lihat dengan ilmu dan mata hati untuk memastikan kita tidak terlibat seperti mereka.
  10. Semoga kita tidak menjadi pemimpin yang mengajak ahli keluarga ke neraka.

Ayat 28:41

 

وَجَعَلْنَـٰهُمْ أَئِمَّةً يَدْعُونَ إِلَى ٱلنَّارِ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا يُنصَرُونَ

 

Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.

 

Pengajaran

 

  1. Inilah kesimpulan tenggelamnya Firaun dan tentera-tenteranya.
  2. Para pemimpin yang menyeru ke neraka ini sebenarnya sebelum naik mereka datang daripada orang biasa-biasa.  Mereka menyeru ke neraka kerana tidak berpegang dengan al-haq (kebenaran) yang datang daripada wahyu. Mereka buat sekadar ikut kepada nafsu atau pak su (nenek moyang). Pengikut mereka adalah orang-orang yang tidak menegur kepada pemimpin seperti Firaun yang bermewah, ambil bahagian masing-masing kemudiannya menindas kepada Bani Israel yang ada di Mesir.
  3. Firaun dan pembesar-pembesarnya saling tolong menolong. Di akhirat mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.

 

Ayat 28:42

 

وَأَتْبَعْنَـٰهُمْ فِى هَـٰذِهِ ٱلدُّنْيَا لَعْنَةً ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ هُم مِّنَ ٱلْمَقْبُوحِينَ

 

Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

 

Pengajaran

 

  1. Di dunia lagi mereka dilaknat. Sampai sekarang orang yang zalim digelar Firaun. Itulah kesan kezaliman. Janganlah kita zalim di tempat kerja, dalam negeri/negara. Ambil maklum balas daripada orang yang kita pimpin dan cuba buat yang terbaik ikut kebenaran.
  2. Pada hari kiamat mereka dihina kerana semasa menjadi pemimpin mereka menghina rakyat. Inilah ancaman Allah SWT untuk pemimpin, tidak kira pemimpin besar atau kecil, dalam keluarga atau di mana-mana. 

Ayat 28:43

 

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ مِنۢ بَعْدِ مَآ أَهْلَكْنَا ٱلْقُرُونَ ٱلْأُولَىٰ بَصَآئِرَ لِلنَّاسِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

 

Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat, semoga mereka beringat.

 

Pengajaran

 

  1. Selepas Nabi Musa AS dan Bani Israel selamat daripada Firaun, Allah SWT berikan kitab Taurat. Sebelum itu baginda hanya ada mukjizat. Mesej utama baginda adalah anti kezaliman. Daripada Taurat mereka dapat hidayah, rahmah dan peringatan.
  2. Selepas Firaun terbenam, tidak ada lagi kehancuran secara besar-besaran (mass destruction). Bagi umat Nabi Muhammad SAW, banjir atau puting beliung itu bukan azab. Orang yang berjihad itulah yang akan menjadi azab kepada orang yang tidak beriman.
  3. Bagi Nabi Musa AS, dapat Taurat itu adalah menjadi sumber yang mencerahkan, sumber hidayah dan kasih sayang agar mereka mendapat pelajaran. Bagi kita, tiada lagi tongkat, tetapi kita ada al-Quran seperti ular yang menelan idea-idea sesat yang ada, pada masa sama ia adalah punca hidayah, kasih sayang daripada Allah SWT.
  4. Inilah satu-satunya mukjizat yang masih kekal. Segala mukjizat terdahulu masuk ke dalam al-Quran. Semoga kita ambil pelajaran daripada kisah hari ini.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Teruskan berdakwah dengan mukjizat yang dibekalkan oleh Allah SWT (28:36)
  2. Menegur mereka yang zalim kerana kezaliman itu lambang kegagalan (28:37)
  3. Jangan berlagak sombong yang akan membawa kebinasaan (28:40)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jangan buat kezaliman kerana itu lambang kegagalan.

 

Saya jelas saya mesti teruskan berdakwah dengan mukjizat yang dibekalkan oleh Allah SWT. Saya jelas saya mesti menegur mereka yang zalim kerana kezaliman itu lambang kegagalan. Saya jelas untuk tidak berlagak sombong yang akan membawa kebinasaan.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk teruskan berdakwah dengan mukjizat al-Quran. Ya Allah bimbing kami untuk menegur mereka yang zalim kerana kami sedar bahawa kezaliman itu lambang kegagalan. Ya Allah jauhkan kami daripada sifat sombong yang akan membawa kebinasaan.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.












Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...