Saturday, September 9, 2023

Halaman 392 al-Qasas, 28:51-59

 

PERKATAAN HARI INI  


 وَصَلَ Sampai, datang, meneruskan. 

12 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1. Fungsi al-Quran (28:51)
  2. Berimannya sekelompok ahli kitab terhadap al-Quran (28:52-55)
  3. Sanggahan terhadap syubhah-syubhah orang musyrik (28:56-59)














Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 392 untuk mendapat panduan daripada mukjizat al-Quran.

 

Ayat 28:51

 

وَلَقَدْ وَصَّلْنَا لَهُمُ ٱلْقَوْلَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

 

Dan demi sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya firman-firman Kami (Al-Quran) dengan berturut-turut kepada mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu beriman).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menyambungkan (وَصَّلْنَا) mesej tauhid dari nabi-nabi terdahulu sehingga sampai kepada al-Quran agar mereka mengambil peringatan.
  2. Mesej daripada Nabi Musa AS sampai kepada Nabi Isa AS dan Nabi SAW. Itulah mesej yang sampai kepada kita agar kita mengambil peringatan.
  3. Mesej tauhid adalah sesuatu yang konsisten, maka sudah tentu ia bermanfaat dan amat perlu diambil peringatan secara serius dalam kehidupan.
  4. Al-Quran adalah bahasa dakwah yang perlu kita sambungkan. Kongsikan dengan kawan apa yang kita belajar dari al-Quran. Sebenarnya kita menyambung lidah nabi-nabi sebelum ini. Semoga amalan menyampaikan al-Quran ini dapat membina rasa muslimin, menyerah diri kepada Allah SWT sehingga perangai kita akan ikut seperti ayat 54, 55.
  5. Nabi Musa AS dapat emak yang beriman, kakak yang beriman dan akhirnya dia dibesarkan dengan cara yang sempurna. Tetapi mungkin ada cabaran, Nabi Muhammad SAW emaknya wafat semasa baginda kecil, bapa saudaranya tidak beriman sampai ke hujung hayat.

 

Ayat 28:52

 

ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَٰهُمُ ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِهِۦ هُم بِهِۦ يُؤْمِنُونَ

 

Orang-orang yang Kami beri Kitab sebelum turunnya Al-Quran, mereka beriman kepadanya.

 

Pengajaran

 

  1. Saad bin Jubair menyatakan ada 70 orang dari Habshah datang untuk mendengar Nabi SAW membaca al-Quran dan mereka menangis. Mereka akhirnya beriman kepada Allah SWT.

 

Ayat 28:53

 

وَإِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِهِۦٓ إِنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّنَآ إِنَّا كُنَّا مِن قَبْلِهِۦ مُسْلِمِينَ

 

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan kepada mereka; mereka berkata: "Kami beriman kepadanya, sesungguhnya ia (al-Quran) adalah perkara yang betul benar dari Tuhan kami; sesungguhnya kami sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya".

 

Pengajaran

 

  1. Bacaan ayat al-Quran memberi impak kepada orang yang mendengar. Kita kena membacanya kepada orang Islam dan bukan Islam sebagai menjejaki sunnah Nabi SAW.
  2. Kalau zaman Nabi Musa AS baginda melemparkan tongkatnya. Zaman Nabi SAW baginda bacakan al-Quran, begitu juga zaman kita sekarang.
  3. Bila rombongan dari Habshah datang untuk mendengar Nabi SAW membaca ayat al-Quran, mereka terus beriman. Keadaan yang sama berlaku kepada Ratu Balqis dalam surah al-Naml yang beriman hasil dakwah Nabi Sulaiman AS (مُسْلِمِينَ  قَبْلِهِۦ مِن  كُنَّا  إِنَّا).
  4. Jangan kita segan-segan untuk membaca ayat al-Quran ini kepada rakan kita. Ambil peluang sampai mereka mendengar ayat al-Quran kerana bila ditilawahkan, baca terjemahan, tadabbur ia adalah satu cara untuk kita menjemput mereka kepada jalan hidayah.

 

 

Ayat 28:54

 

أُو۟لَٰٓئِكَ يُؤْتَوْنَ أَجْرَهُم مَّرَّتَيْنِ بِمَا صَبَرُوا۟ وَيَدْرَءُونَ بِٱلْحَسَنَةِ ٱلسَّيِّئَةَ وَمِمَّا رَزَقْنَٰهُمْ يُنفِقُونَ

 

Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Seseorang daripada latar belakang berbeza (Taurat atau Injil), bila mereka kembali kepada Islam, ini adalah satu usaha yang besar. Allah SWT beri ganjaran dua kali ganda atas kesabaran mereka seperti orang-orang dari Habshah itu. Abu Jahal dan orang musyrik lain, mengejek mereka tetapi mereka tetap meneruskan untuk beriman.
  2. Orang Islam sanggup menyerah diri kepada Allah SWT untuk mengkaji al-Quran. Merangkak-rangkak membaca pun mendapat dua kali ganda ganjaran kerana kesabaran mereka.
  3. Ini galakan untuk kita terus berusaha. Jangan patah semangat. Teruskan perjuangan dan kesabaran bersama al-Quran. Jika ada orang mengutuk, senyum sahaja. Tolak keburukan dengan kebaikan. Minta mereka doa supaya Allah SWT mudahkan bersama al-Quran.
  4. Orang yang beriman juga infaqkan sebahagian rezeki untuk jalan Alllah SWT.

 

Ayat 28:55

 

وَإِذَا سَمِعُوا۟ ٱللَّغْوَ أَعْرَضُوا۟ عَنْهُ وَقَالُوا۟ لَنَآ أَعْمَٰلُنَا وَلَكُمْ أَعْمَٰلُكُمْ سَلَٰمٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِى ٱلْجَٰهِلِينَ

 

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: "Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu; selamat tinggallah kamu; kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil".

 

Pengajaran

 

  1. Apabila mereka mendengar perkara sia-sia, mereka berpaling. Kita juga, ada orang mengumpat contohnya, berpalinglah.
  2. Ucapkan salam. Jangan berdamping dengan orang-orang jahil kerana mereka ada emosi negatif yang sedang dia sampaikan kepada kita seperti hasad, marah, mengumpat dan menyindir.
  3. Semoga kita terhindar daripada menjadi orang yang jahil dan jahil murakkab.

 

Ayat 28:56

 

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

 

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Muhammad SAW sangat ingin agar pak ciknya Abu Talib masuk Islam, tetapi Allah SWT mengingatkan bahawa baginda SAW hanya boleh menyampaikan. Nabi SAW sangat sedih tentang hal ini. Kita juga, boleh menyampaikan tetapi hanya Allah SWT yang boleh menyampaikan sesuatu itu ke hati masing-masing.
  2. Allah SWT yang berkuasa dan yang menghendaki (يَشَآءُ مَن) untuk seseorang itu mendapat hidayah. Namun, orang itu sendiri mesti mahukan hidayah maka Allah SWT akan mudahkan urusannya untuk mendapat hidayah. Tetapi kalau seseorang itu sombong, tidak mahu belajar, malah dia rasa tidak sesuai belajar kerana pangkat besar, sifat-sifat ini akan menyebabkan dia sebenarnya menghalang daripada hidayah Allah sampai kepada hatinya.

 

Ayat 28:57

 

وَقَالُوٓا۟ إِن نَّتَّبِعِ ٱلْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَآ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا ءَامِنًا يُجْبَىٰٓ إِلَيْهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَىْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

 

Dan mereka (yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)". Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).

 

Pengajaran

 

  1. Orang kafir tidak mahu ikut Nabi SAW kerana mereka takut diusir atau dihenyak (نُتَخَطَّفْ). Mereka akan menjadi target jika mengikut Nabi SAW.
  2. Allah SWT ingatkan bahawa Dia-lah yang melindungi dan menjadikan Mekah tempat yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisiNya.
  3. Allah SWT lah yang memberikan sumber keamanan sosial dan sumber ekonomi seseorang individu dan sesebuah negeri/negara. Ramai manusia tidak mengetahui bahawa hakikat keamanan dan kemakmuran/kestabilan ekonomi ada kaitan dengan Allah SWT. Mereka rasa merekalah yang buat.
  4. Covid-19, banjir mengingatkan kita bahawa kita kena serahkan kepada Allah SWT. Dia-lah yang mampu menguasai segala-galanya.

 

Ayat 28:58

 

وَكَمْ أَهْلَكْنَا مِن قَرْيَةٍۭ بَطِرَتْ مَعِيشَتَهَا فَتِلْكَ مَسَٰكِنُهُمْ لَمْ تُسْكَن مِّنۢ بَعْدِهِمْ إِلَّا قَلِيلًا وَكُنَّا نَحْنُ ٱلْوَٰرِثِينَ

 

Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam kehidupannya (yang serba mewah dan senang lenang). Maka itulah dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT ingatkan kita agar jangan sombong dan tidak bersyukur atas segala nikmat yang Allah telah berikan. Bila susah, kita ingat kepada Allah SWT. Bila sudah senang dan selesa kita lupa diri. Akhirnya tidak mahu berjuang, tidak mahu ingatkan orang, tidak mahu tolong betul-betul.
  2. Kalau sombong dan tidak bersyukur, Allah SWT akan binasakan nikmat yang telah diberikan.
  3. Hendaklah kita buat persediaan untuk gunakan keamanan dan rezeki agar semakin dekat dengan Allah SWT bukan untuk semakin jauh dariNya.

 

Ayat 28:59

 

وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِىٓ أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتِنَا وَمَا كُنَّا مُهْلِكِى ٱلْقُرَىٰٓ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَٰلِمُونَ

 

Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat keterangan Kami; dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.

 

Pengajaran

 

  1. Ini formula penting untuk kita ambil tindakan bagi menjaga keselamatan, keamanan dan kestabilan ekonomi negara.
  2. Allah SWT tidak akan hancurkan sesebuah negeri/negara selagi tidak dihantar rasul di tengah-tengah ibu kotanya untuk memberi peringatan. Tugas rasul kekal sampai sekarang iaitu untuk terus tilawah al-Quran kepada penduduk ibu kota. Dari ibu kota mesej akan tersebar ke seluruh negara.  
  3. Allah SWT tidak akan hancurkan sesebuah negeri/negara kecuali bila semua penduduk di dalam negeri/negara itu berlaku zalim (ظَٰلِمُونَ) setelah diberi peringatan. Kalau semua orang bersekongkol dengan orang yang zalim, maka akhirnya akan jatuhlah ekonomi dan sosial sesebuah negara.
  4. Al-Quran adalah suatu perkara yang perlu ditilawahkan banyak kali. Terus sebarkan program baca, faham, amal kerana untuk selamatkan negeri/negara sudah tentu kita perlukan mukjizat daripada Allah SWT.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Baca al-Quran untuk menjadi orang yang semakin berserah kepada Allah SWT (28:53)
  2. Berpaling atau jauhkan diri daripada sumber amalan buruk (28:55)
  3. Terus memberi peringatan dan sedar bahawa hidayah milik Allah SWT (28:56) 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk baca al-Quran agar saya menjadi semakin berserah kepada Allah.

 

Saya jelas saya mesti baca al-Quran untuk menjadi orang yang semakin berserah kepada Allah SWT. Saya jelas untuk berpaling atau jauhkan diri daripada sumber amalan buruk. Saya jelas saya mesti terus memberi peringatan dan sedar bahawa hidayah milik Allah SWT.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk baca al-Quran agar kami menjadi orang yang semakin berserah kepadaMu. Ya Allah, jauhkan kami daripada sumber amalan buruk. Ya Allah, pimpin kami untuk terus memberi peringatan, kami sedar bahawa hidayah adalah milikMu.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.












Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...