Saturday, September 9, 2023

Halaman 396 al-Qasas, 28:85-88 dan al-'Ankabut, 29:1-6

 

PERKATAAN HARI INI  


كَذَبَ  Mendustakan, menafikan. 

282 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS  

1.     Kisah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya bersama kaumnya (28: 85-88) 

2.  Ujian dan balasan Allah kepada manusia (29:1-6)


Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 396, penghujung surah al-Qasas dan permulaan surah al-'Ankabut.

 

Surah al-Qasas menceritakan banyak ujian dan pancaroba bagi Nabi Musa AS. Surah ini seperti profil biodata Nabi Musa AS yang bermula daripada bayi sampailah Firaun dilemaskan oleh Allah SWT.

 

Ayat 28:85

 

إِنَّ ٱلَّذِى فَرَضَ عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لَرَآدُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ قُل رَّبِّىٓ أَعْلَمُ مَن جَآءَ بِٱلْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

 

Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): "Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata".

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini adalah amat ‘powerful’. Ia memberi satu pengharapan dan menunjukkan betapa panjang perjuangan Nabi Musa AS. Ini adalah syarat bahawa Nabi SAW akan berhijrah ke Madinah dan kembali ke Mekah seperti Nabi Musa AS yang berhijrah ke Madyan dan kembali ke Mesir dan kemudian berhijrah ke Palestin. Allah SWT janjikan kepada Nabi SAW bahawa baginda akan kembali ke Mekah.
  2. Sekarang ini, kita melihat ada umat Islam di seluruh dunia yang dihina. Mereka akan dikembalikan ke tempat yang mulia di akhir zaman ini. Syaratnya ialah mereka menghidupkan dan memperjuangkan al-Quran seperti Nabi Muhammad SAW.
  3. Nabi Musa AS telah ditohmah. Nabi SAW juga ditohmah dengan berbagai propaganda oleh orang musyrik Mekah. Allah SWT tahu siapa yang diberi hidayah.
  4. Zaman ini kalau hendak membawa perubahan kepada negeri/negara kita lihat siapa yang lebih tahu tentang hidayah ini. Sudah pasti Allah SWT yang lebih mengetahui. Hendaklah kita pegang kepada al-Quran, baca, sebarkan maka Insya Allah kejayaan bagi umat Islam seluruh dunia. Inilah janji Allah SWT.
  5. Ini memberi semangat seperti mana Nabi Musa AS ‘down’ dengan tentangan Firaun dan pengikutnya. Tetapi kerana ada mukjizat dan kitab Taurat, Nabi Musa AS mempunyai kekuatan untuk menentang Firaun dan kuncu-kuncunya.
  6. Kita ada mukjizat al-Quran yang memberi hidayah. Inilah kekuatan kita. Jangan lepaskannya.

 

Ayat 28:86

 

وَمَا كُنتَ تَرْجُوٓا۟ أَن يُلْقَىٰٓ إِلَيْكَ ٱلْكِتَٰبُ إِلَّا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ ظَهِيرًا لِّلْكَٰفِرِينَ

 

Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah berharap supaya Kitab Al Quran ini diturunkan kepadamu, (tetapi ia diturunkan kepadamu) hanyalah sebagai rahmat dari Tuhanmu, oleh itu janganlah engkau menjadi orang-orang kafir.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Muhammad SAW tidak mengharap al-Quran turun waktu baginda berada di Gua Hira’. Nabi Musa AS juga berjalan-jalan hendak mencari api sahaja tetapi akhirnya berjumpa dengan Allah SWT, dapat mukjizat dan Taurat.
  2. Begitu juga kita, semasa kecil dahulu pun tidak mencari al-Quran. Al-Quran ini bila diberi sahaja kepada musuh, mereka kalah. Syaratnya kita tahu bagaimana hendak menghargai mukjizat yang ada pada al-Quran.
  3. Ini semua adalah rahmat daripada Allah SWT. Jangan sekali-kali kita menolong orang kafir yang memperlekehkan al-Quran.
  4. Inilah masanya untuk kita memperjuangkan al-Quran selepas kita melihat kepada apa yang berlaku kepada Nabi SAW. Dengan al-Quran, 23 tahun ia mengubah masyarakat yang penuh dengan rasuah, kerosakan. Itulah proses yang akan mengubah sesuatu negara.

 

Ayat 28:87

 

وَلَا يَصُدُّنَّكَ عَنْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

 

Dan janganlah mereka (yang ingkar) dapat menghalangmu (daripada menyampaikan dan beramal dengan) ayat-ayat Allah sesudah ia diturunkan kepadamu; dan serulah manusia kepada (ugama) Tuhanmu; dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang menyertai orang-orang musyrik.

 

Pengajaran

 

  1. Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW ada cabaran. Orang kafir memberi tawaran demi tawaran agar baginda SAW tidak menyampaikan al-Quran.
  2. Teruskan mengajak manusia kepada Tuhan. Jangan jadi orang-orang Musyrik yang berkompromi. Tiga puluh juzuk al-Quran ini kita kena sampaikan, jangan simpan-simpan seperti Bani Israel yang menyimpan sebahagian Taurat kerana takut kelemahan mereka terbongkar.

 

Ayat 28:88

 

وَلَا تَدْعُ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ كُلُّ شَىْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُۥ لَهُ ٱلْحُكْمُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

 

Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Nabi SAW diingatkan supaya terus meminta dan bergantung hanya kepada Allah SWT. Begitu juga dengan kita.
  2. Setiap perkara akan binasa kecuali Allah SWT dan amalan-amalan kita yang dibuat hanya kerana Allah SWT (وَجْهَهُ). Allah lah yang menyusun kehidupan kita. KepadaNya kita semua akan kembali.
  3. Perjuangan al-Quran ini tidak bertepian walaupun usia kita sudah di akhir.

 

Surah 29: Al-'Ankabut (Labah-Labah)

 

Surah al-'Ankabut melatari perjuangan Nabi SAW dan para sahabat sehingga kita mendapatnya dengan selesa sekarang. Ini adalah surah Makkiyyah yang diturunkan kepada Nabi SAW sebelum berhijrah ke Madinah.

 

Orang Musyrik Mekah mengatakan pengikut Nabi SAW orang miskin. Mereka sebenarnya, rasa tertarik juga dengan apa yang Nabi SAW sampaikan. Mereka membuat berbagai perkara supaya Nabi SAW tidak terus berdakwah. Akhirnya sebahagian daripada para sahabat diseksa, antaranya keluarga Amar bin Yasir, Bilal b Rabbah yang diletakkan batu di dadanya dan diseksa. Khabab b Al Arat dibakar sehingga lemaknya memadamkan api-api yang membakarnya tetapi beliau tidak meninggal. Beliau berjumpa Nabi SAW bertanya bila Allah SWT hendak tolong.

 

Ayat 29:1

 

الٓمٓ

 

Alif, Laam, Miim.

 

Pengajaran

 

1.     Hanya Allah SWT yang tahu maksudnya. Dengan sikap kita merendah diri kepada Allah SWT maka Allah SWT akan berikan ilmu kepada kita iaitu al-Quran.

2.     Bila dengar bacaan al-Quran hendaklah kita senyap. Itulah cara berinteraksi dengan al-Quran, maka Allah akan berikan hikmah demi hikmah kepada hati yang merendah diri di hadapan al-Quran.

 

Ayat 29:2

 

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

 

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

 

Pengajaran

 

  1. Setiap orang yang beriman pasti akan diuji.

 

Ayat 29:3

 

وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَٰذِبِينَ

 

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah peringatan dari Allah SWT untuk mengetahui sama ada mereka betul-betul beriman atau mendustakan.
  2. Orang yang membenarkan akan terus berjuang kerana mereka tahu Allah SWT akan menguji mereka. Seperti emas yang dileburkan pada 2969 darjah celcius bagi mendapat emas tulen.
  3. Dunia ini adalah daerah ujian untuk dibersihkan kotoran dalam hati kita sehingga menjadi seperti emas yang tulen setelah dibakar. Sampai akhirat nanti tidak lagi dibakar kerana telah dibakar dengan ujian daripada Allah SWT di atas muka bumi ini.

 

Ayat 29:4

 

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن يَسْبِقُونَا سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ

 

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.

 

Pengajaran

 

  1. Ada orang yang berbuat jahat tetapi mereka merasa selesa dan dapat melepaskan diri.
  2. Sebenarnya Allah SWT memberi peluang untuk mereka kembali kepadaNya, bukannya Allah SWT melepaskan mereka untuk terus buat perkara dosa dalam kehidupan.

 

Ayat 29:5

 

مَن كَانَ يَرْجُوا۟ لِقَآءَ ٱللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ ٱللَّهِ لَءَاتٍ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

 

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

 

Pengajaran

 

  1. Inilah pujukan kepada Khabab dan orang-orang yang diuji Allah SWT.
  2. Waktu pertemuan dengan Allah SWT pasti datang. Khabab ingin bertemu Allah SWT tetapi ketika dibakar, Khabab tidak meninggal.
  3. Allah SWT dengar rintihan kita dan Allah SWT tahu apa yang kita perlukan. Khabab terus mengadu, Nabi SAW terus berdoa. Kita yang diuji juga teruslah berdoa agar Allah SWT memberi bantuan kepada kita.

 

Ayat 29:6

 

وَمَن جَٰهَدَ فَإِنَّمَا يُجَٰهِدُ لِنَفْسِهِۦٓ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَٰلَمِينَ

 

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.

 

Pengajaran

  1. Kalau kita berjuang dengan al-Quran dan amal-amal lain, manfaatnya adalah untuk diri kita.
  2. Allah SWT tidak memerlukan apa-apa. Allah Maha Kaya, kita yang miskin dan memerlukan Allah SWT.
  3. Kita bersungguh ini bukannya berperang seperti Nabi SAW dan sahabat-sahabat di Mekah. Perjuangan jihad ini kita bersungguh-sungguh di tempat kerja, duduk elok-elok di rumah, buat kebaikan elok-elok. Itulah jihad.
  4. Semoga Allah SWT terus pimpin kita dan al-Quran menjadi sumber rahmat.

 

RESOLUSI

 

Ingat!

  1. Komited dengan al-Quran untuk makin berjaya (28:85)
  2. Perjuangkan kasih sayang Allah SWT iaitu al-Quran (28:86)
  3. Jangan binasakan diri dengan menghalang al-Quran disampaikan (28:87-88)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya komited dengan al-Quran untuk makin berjaya.

 

Saya jelas saya mesti komited dengan al-Quran untuk makin berjaya. Saya jelas untuk perjuangkan kasih sayang Allah SWT iaitu al-Quran. Saya jelas untuk tidak binasakan diri dengan menghalang al-Quran.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk komited dengan al-Quran agar kami makin berjaya. Ya Allah, bantu kami untuk perjuangkan kasih sayang Mu iaitu al-Quran. Ya Allah, pimpin kami untuk tidak binasakan diri dengan menghalang al-Quran.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

 
































































































































      










    

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...