Saturday, September 9, 2023

Halaman 397 Al-'Ankabut, 29:7-14

 

PERKATAAN HARI INI

 

  وَصَّ  Mengajak, berwasiat. 

32  kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS 

 

  1. Ganjaran untuk mereka yang beriman (29:7)
  2. Kerasnya orang yang dibebani kewajipan, fenomena ujian terhadap orang mukmin dan ancaman terhadap orang kafir dan munafik (29:8-13)
  3. Kisah Nabi Nuh AS dengan kaumnya (29:14)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 397 surah al-'Ankabut. Halaman ini penuh dengan debaran.

 

Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa jihad di Mekah itu bukan jihad di medan perang tetapi jihad untuk bertahan daripada berperang. Itu lagi mencabar. Kita boleh hendak balas tetapi kita tidak balas. Manfaatnya bukan untuk Allah tetapi untuk diri sendiri.

 

Ayat 29:7

 

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَحْسَنَ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

 

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan - dengan sebaik-baik balasan.

 

Pengajaran

 

  1. Ayat ini memberi semangat kepada sahabat-sahabat Nabi SAW di Mekah dan juga kepada kita. Saad b Abi Waqas diuji oleh ibunya.
  2. Hari ulang tahun mengingatkan kita untuk persedian bekal ke sana. Setiap kali kita diberikan nafas, diberikan peluang untuk bertemu dengan ahli keluarga, bertemu ulang tahun, kita kena tengok iman dan amal soleh kita bertambah ke tidak.
  3. Semoga Allah menghapuskan keburukan kita dan balas amalan  yang terbaik sahaja. Itulah janji Allah SWT kepada orang yang beriman dan beramal soleh.
  4. Masa di Mekah, belum ada solat, haji, zakat, puasa. Bila dapat surah ini Allah kata akan bagi ganjaran. Jadi, mereka kena buat apa? Tanda iman pada waktu itu ialah komited dengan perjuangan. Jangan melawan kepada orang yang menyerang kita. Itulah amal soleh pada waktu itu. Berada bersama Nabi SAW tidak popular. Perjuangan tidak boleh berganjak. Di Mekah mereka dihenyak, dihentam, dipukul oleh orang-orang musyrik.

 

Ayat 29:8

 

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حُسْنًا وَإِن جَٰهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَآ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.

 

Pengajaran

 

  1. Kita berterima kasih kepada ibu ayah kita yang mengajar kita tentang iman dan amal soleh. Itulah hadiah paling berharga. 
  2. Jika ibu ayah bersungguh-sungguh menyuruh jadi syirik jangan ikut. Mereka mungkin tidak ada ilmu.
  3. Ini adalah kisah Saad b Abi Waqas. Dia amat rapat dengan ibunya. Bila dia memilih untuk memeluk Islam emaknya tidak mahu makan selagi anaknya tidak kembali ke agama lama. Dia mendapat tekanan emosi.
  4. Berbuat baik dengan ibu ayah amat penting sangat. Tetapi  Saad b Abi Waqas perlu membuat pilihan. Ini mengingatkan kita betapa kita dapat baca Quran, emak ayah kita juga dapat baca Quran. Ini adalah satu nikmat yang besar hasil perjuangan orang-orang terdahulu.

 

Ayat 29:9

 

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَنُدْخِلَنَّهُمْ فِى ٱلصَّٰلِحِينَ

 

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu Kami akan masukkan mereka dalam kumpulan orang-orang yang soleh (dengan mendapat sebaik-baik balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT akan menghapuskan kesilapan-kesilapan kita yang lepas kalau kita beriman dan beramal soleh.
  2. Kalau seseorang itu beriman dan beramal soleh, pasti Allah akan masukkannya dalam kumpulan orang-orang soleh. Saad bin Abi Waqas kehilangan emak, Bilal bin Rabbah hilang kawan-kawan, Ammar kehilangan keluarga, kerana mereka beriman.
  3. Ini adalah satu peringatan kepada kita bahawa jalan iman dan amal soleh di Mekah ini berbeza dari di Madinah. Ia memerlukan komitmen daripada Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda.

 

Ayat 29:10

 

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ فَإِذَآ أُوذِىَ فِى ٱللَّهِ جَعَلَ فِتْنَةَ ٱلنَّاسِ كَعَذَابِ ٱللَّهِ وَلَئِن جَآءَ نَصْرٌ مِّن رَّبِّكَ لَيَقُولُنَّ إِنَّا كُنَّا مَعَكُمْ أَوَلَيْسَ ٱللَّهُ بِأَعْلَمَ بِمَا فِى صُدُورِ ٱلْعَٰلَمِينَ

 

Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: "Kami beriman kepada Allah"; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: "Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu". (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?

 

Pengajaran

 

  1. Saad dan Bilal ditawarkan dengan pilihan yang lebih baik supaya tidak beriman, tetapi mereka menolak. Allah SWT mengetahui apa yang ada di dalam hati manusia.
  2. Orang beriman takut azab tetapi mereka tidak kisah disakiti. Orang yang ada penyakit dalam hati dia kena cuit sikit sudah give up. Ujian adalah untuk naikkan taraf kita dan azab ialah hukuman kalau seseorang itu gagal dalam sesuatu ujian.
  3. Menjaga ibu ayah dengan cara yang terbaik adalah wajib tetapi jangan berkompromi tentang iman dan amal soleh yang perlu diperjuangkan.
  4. Fasa Makkiyyah adalah fasa yang berat. Kita perlu ambil berat dalam hidup kita. Jangan kita rasakan bahawa iman dan amal soleh hanya solat dan baca Quran tetapi perlu perjuangakn nilai iman itu dalam kehidupan. Biarpun jadi seperti Saad b Abi Waqas, kita tetap juga berjuang dalam kehidupan untuk keimanan kita.

 

Ayat 29:11

 

وَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ

 

Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya Ia mengetahui akan orang-orang yang munafik.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengetahui siapa yang beriman, siapa yang munafik.
  2. Ini satu-satunya surah Makkiyyah yang sebut tentang munafik.
  3. Perjuangan Saad b Abi Waqas, Summayah, Bilal adalah perjuangan iman. Hari kematian mereka itu disambut oleh masyarakat dunia, bukan hari kelahiran mereka.
  4. Bila sambut hari kelahiran, jangan lupa hari kematian kita bagaimana agar kita tidak tersasar terlalu bergembira dengan peluang yang Allah SWT beri. Sahabat-sahabat Nabi SAW dahulu sering diacukan dengan pelbagai cabaran dan tombak kehidupan. Kesan daripada al-Quran, semangat mereka itu berterusan hingga sekarang.
  5. Semoga kita dapat ambil pelajaran dengan setiap nafas kita yang dipinjamkan oleh Allah SWT.

 

Ayat 29:12

 

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّبِعُوا۟ سَبِيلَنَا وَلْنَحْمِلْ خَطَٰيَٰكُمْ وَمَا هُم بِحَٰمِلِينَ مِنْ خَطَٰيَٰهُم مِّن شَىْءٍ إِنَّهُمْ لَكَٰذِبُونَ

 

Dan berkata pula orang-orang yang kufur ingkar kepada orang-orang yang beriman: "Ikutlah jalan ugama kami, dan kami sedia menanggung kesalahan-kesalahan kamu (kalau kamu mengira perbuatan itu salah)". Padahal mereka tidak akan dapat menanggung kesalahan orang-orang yang bersalah itu sedikitpun, dan sesungguhnya mereka adalah berdusta.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT memberitahu apa yang orang kafir tawarkan kepada para sahabat. Mereka mahu sahabat mengikuti style mereka. Mereka akan tanggung dosa, padahal mereka sendiri tidak sanggup menangung dosa sendiri. Ini hanya sekadar kata-kata manis orang-orang kafir untuk mempengaruhi orang-orang yang beriman. Di sebalik dosa mereka itu adalah azab daripada Allah SWT.
  2. Zaman sekarang, ada orang yang sanggup coverline orang yang berbuat kejahatan. Ini adalah kaedah berfikir yang dinyatakan pada ayat ini. Contoh: Buat satu kesalahan, dia bina sistem-sistem yang ada untuk menutup dosa yang dilakukan.
  3. Mereka itu penipu. Allah SWT yakinkan kita bahawa dosa tidak boleh ditanggung oleh orang lain.

 

Ayat 29:13

 

وَلَيَحْمِلُنَّ أَثْقَالَهُمْ وَأَثْقَالًا مَّعَ أَثْقَالِهِمْ وَلَيُسْـَٔلُنَّ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ عَمَّا كَانُوا۟ يَفْتَرُونَ

 

Dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu.

 

Pengajaran

 

  1. Bagi orang beriman, dosa adalah umpama gunung yang mereka takuti menghempap diri mereka. Jangan kita rasa dosa macam lalat. Tepis sahaja habis dosa.
  2. Salah satu kebohongan orang kafir ialah mereka hendak pikul dosa orang lain, selain daripada syirik kepada Allah, buat dosa dan kemungkaran. Semua itu akan ditanyakan kepada mereka.
  3. Janganlah kita pandang enteng tentang dosa. Jangan senang-senang cover dosa orang lain. Jangan main-main dengan dosa dan jenayah dalam kehidupan kita.
  4. Semua perbuatan ini dapat dihindari dengan sabar atas segala ujian.

 

Ayat 29:14

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِۦ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلَّا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ ٱلطُّوفَانُ وَهُمْ ظَٰلِمُونَ

 

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).

 

Pengajaran

 

  1. Perbuatan sabar ini diwakili oleh Nabi Nuh AS yang amat sabar. Nabi Nuh AS berdakwah kepada kaumnya selama 950 yang penuh kesengsaraan, kesulitan, tetapi baginda tetap bersabar.
  2. Allah SWT menghancurkan orang yang ingkar dengan taufan.
  3. Ini memberi semangat kepada kita untuk terus mendidik keluarga, masyarakat untuk kembali kepada al-Quran. Jangan give-up.
  4. Kalau rasa macam hendak down bila kita lakukan kebaikan, ingat peristiwa Nabi Nuh AS. Allah SWT tetap memberi kemenangan kepada pejuang keimanan. Bila ada kezaliman berlaku dalam masyarakat, kita terus lawan kezaliman tersebut, kita perjuangkan keadilan kerana ianya adalah perjuangan nabi-nabi terdahulu dan Allah SWT pasti bantu.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Tingkatkan iman dan amal soleh untuk dihapuskan keburukan kita serta dibalas yang terbaik daripada amalan kita (29:7)
  2. Sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa (29:8)
  3. Jika disakiti sesama manusia, yakin bahawa ujian itu daripada Allah SWT untuk mendekatkan diri pada-Nya (29:10)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan hapuskan keburukan dan Allah akan balas yang terbaik daripada amalan saya kalau saya tingkatkan iman dan amal soleh.

 

Saya jelas saya mesti tingkatkan iman dan amal soleh untuk dihapuskan keburukan saya serta dibalas yang terbaik daripada amalan saya. Saya jelas untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa. Saya jelas, jika disakiti sesama manusia, saya mesti yakin bahawa ujian itu daripada Allah SWT untuk mendekatkan diri pada-Nya.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk tingkatkan iman dan amal soleh. Ya Allah, hapuskan keburukan kami, kurniakan kami balasan yang terbaik daripada amalan kami. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa kami. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa ujian daripada Mu adalah untuk kami mendekatkan diri pada-Mu.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

 

 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...