Sunday, October 1, 2023

Halaman 409 : Al-Rum, 30:42-50

PERKATAAN HARI INI 

 وَجَّهَ Menghadap. 78 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Balasan bagi orang yang berbuat kerosakan dan orang kafir serta balasan bagi orang Mukmin (30:42-45)
  2. Menjadikan angin dan hujan sebagai salah satu bukti petunjuk akan kuasa dan keesaan Allah SWT (30:46-50)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 409, surah al-Rum untuk kita menghargai formula untuk membina tamadun, negara, negeri, organisasi yang berjaya.

Surah ini tidak begitu terkenal, tetapi rupa-rupanya untuk kita membina negara, negeri ini perlu ditadbir dengan ketauhidan yang benar. Ia membina pemimpin dan rakyat yang sama-sama mencapai ketenangan dan keamanan yang diberikan oleh Allah SWT.

Pada ayat 41, kita telah belajar bahawa kerosakan yang berlaku di darat dan di lautan berpunca daripada tangan-tangan manusia. Allah SWT memberi ujian untuk kita kembali kepada fitrah Allah SWT, mengembalikan balik kepada peraturan yang Allah SWT tetapkan di dalam al-Quran ini.

Ayat 30:42

قُلْ سِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلُ ۚ كَانَ أَكْثَرُهُم مُّشْرِكِينَ

Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik".

Pengajaran

  1. Allah SWT menyuruh kita berjalan di muka bumi untuk melihat bagaimana kesan kebinasaan kepada orang-orang terdahulu.
  2. Kebanyakkan tamadun yang jatuh itu adalah kerana mereka mensyirikkan Allah SWT. Contoh: Pemimpin yang telah ada kuasa dan harta tidak cakna kepada rakyat. Mereka mensyirikkan Allah SWT dengan meletakkan kuasa/harta sebagai Ilah. 

Ayat 30:43

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ ٱلْقَيِّمِ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِىَ يَوْمٌ لَّا مَرَدَّ لَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ ۖ يَوْمَئِذٍ يَصَّدَّعُونَ

(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah ugama yang betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan).

Pengajaran

  1. Untuk mengelakkan daripada kebinasaan, kita kena bangkitkan agama ini dalam masyarakat sebelum kita mati atau sebelum hari kiamat.
  2. Kita kena mengambil tindakan segera untuk buat islah, bukan terus buat kerosakan. Contoh: Kalau sudah ada kuasa, hentikan industri yang haram seperti riba, arak, judi.
  3. Selepas kematian/hari kiamat kita akan terpisah daripada keluarga, kecuali yang sama-sama bangkit membuat islah dalam agama yang lurus seperti yang kita belajar dalam al-Quran ini.

Ayat 30:44

مَن كَفَرَ فَعَلَيْهِ كُفْرُهُۥ ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًا فَلِأَنفُسِهِمْ يَمْهَدُونَ

Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;

Pengajaran

  1. Sesiapa yang kufur, tidak ikut panduan agama yang lurus ini, maka dia akan menanggung bencana kekufuran itu pada dirinya.
  2. Ini bermakna kalau kita tidak bersyukur untuk memperjuangkan agama ini, maka kita akan merasakan kesan rosaknya.
  3. Sesiapa yang beramal soleh, maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka di akhirat. Malah di dunia lagi mereka akan dapat tinggal di negara yang aman, ekonomi baik dan kesenangan-kesenangan yang lain.

Ayat 30:45

لِيَجْزِىَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن فَضْلِهِۦٓ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.

Pengajaran

  1. Membaca surah al-Rum ini sebenarnya kita kena bangkit untuk memperjuangkan agama yang lurus ini bukan sekadar di tikar sembahyang tetapi juga kena berusaha melakukan islah dalam masyarakat. Contoh: Kalau ada orang-orang yang merosakkan sistem ekonomi dalam negara sehingga harga barangan naik melambung, kita kena bangkit perjuangkan kerana Allah SWT telah bagi banyak kepada negara kita.
  2. Allah SWT akan membalas orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.
  3. Ini adalah satu semangat yang Allah SWT berikan kepada kita untuk beriman dan beramal soleh. 
  4. Amal soleh ada banyak. Di dalam ayat ini amal soleh adalah dengan bangkit dengan nilai yang lurus untuk melawan kepada kerosakan yang berlaku agar dapat dibaiki. 
  5. Beramal soleh ini adalah satu daripada kurniaan daripada Allah SWT. Kita kena ingat bahawa kalau kita bangkit, kita beriman dengan al-Quran ini, dapat beramal soleh ini adalah merupakan kurniaan daripada Allah SWT.
  6. Allah SWT tidak suka kepada orang-orang yang kufur, iaitu orang yang tidak percaya kepada balasan daripada Allah SWT. Dia hanya mengharapkan balasan daripada manusia. Contoh: Kalau dia sokong sistem monopoli, dia akan dapat bahagian dia atau orang tidak kacau dia.
  7. Setiap hari dalam solat kita berikrar untuk mencari redha Allah SWT. Kita dirikan solat, itu adalah tiang agama, di luar solat kita kena perjuangkan kalau ada benda yang tidak mencapai redha Allah SWT dalam keluarga, organisasi, dan negara kita.

Ayat 30:46

وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَن يُرْسِلَ ٱلرِّيَاحَ مُبَشِّرَٰتٍ وَلِيُذِيقَكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَلِتَجْرِىَ ٱلْفُلْكُ بِأَمْرِهِۦ وَلِتَبْتَغُوا۟ مِن فَضْلِهِۦ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur.

Pengajaran

  1. Ini adalah ayat untuk menteri yang menguruskan ekonomi, perdagangan, dan kepenggunaan.
  2. Salah satu tanda kebesaran Allah SWT ialah Dia menghantarkan angin. 
  3. Perumpamaan dalam surah ini agak mencabar. Kita kena fikirkan betul-betul perkaitan antara ayat-ayat. Tengok kepada angin, tengok kepada rasul yang Allah SWT kirim.
  4. Dengan angin, kesannya kita dapat rahmah, hujan, kapal dapat belayar, kita dapat mencari rezeki daripada Allah SWT. Kita bersyukur. Angin kita tidak dapat kawal. 

Ayat 30:47

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ رُسُلًا إِلَىٰ قَوْمِهِمْ فَجَآءُوهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَٱنتَقَمْنَا مِنَ ٱلَّذِينَ أَجْرَمُوا۟ ۖ وَكَانَ حَقًّا عَلَيْنَا نَصْرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

Pengajaran

  1. Allah SWT mengutuskan rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad SAW kepada kaum masing-masing. 
  2. Angin bawa hujan, Nabi bawa wahyu. Kedua-duanya turun daripada langit untuk mengingatkan kepada kaum-kaum agar jom lah kita dapat rahmat Allah SWT. Dapat hujan kita ‘happy’ sangat, dapat wahyu kita pun ‘happy’. 
  3. Orang-orang yang melakukan dosa (أَجْرَمُوا۟) tidak suka kepada wahyu, maka biarkan Allah SWT menguruskan mereka. Tugas kita adalah mengingatkan, ajak mereka untuk meredakan kerosakan yang berlaku dalam keluarga, organisasi, dan negara.
  4. Allah SWT akan menyeksa orang-orang yang berdosa dan Allah SWT akan tolong orang-orang yang beriman.

Ayat 30:48

ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَـٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;

Pengajaran

  1. Allah SWT mengirimkan angin untuk menggerakkan awan. Keluar daripada awan itu hujan.
  2. Hujan ada alamat, sepertimana ujian/musibah yang berlaku juga ada alamat. Tidak berlaku secara rawak. Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT untuk diberikan kepada hambanya. 
  3. Hambanya yang mendapat hujan akan bergembira. 
  4. ‘Patern’ ayat-ayat dalam halaman ini, Allah SWT kirim angin, kirim rasul, kirim angin lagi.

Ayat 30:49

وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ

Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.

Pengajaran

  1. Bila tidak ada hujan, mereka berputus asa.
  2. Bagi setengah orang, bila rasul datang muka mereka jadi gelap kerana takut ditegur.
  3. Sebenarnya hujan dan rasul adalah punca rahmat daripada Allah SWT.
  4. Kalau kita gembira bila nampak hujan, maka kita juga gembira bila dapat al-Quran. 
  5. Jangan rasa putus asa dengan kerosakan dalam keluarga, organisasi, negara bila melihat pemimpin-pemimpin yang kemarau hatinya melakukan rasuah, kerana kita boleh bangkit dengan wahyu. Kita baca al-Quran, sebarkan dan buat program di kementerian-kementerian yang ada. Kesannya, kemarau hati-hati manusia, hati-hati pemimpin yang disiramkan dengan al-Quran, akhirnya akan bangkit hati-hati yang subur. 

Ayat 30:50

فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَـٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Pengajaran

  1. Allah SWT suruh kita memperhatikan tanda-tanda rahmat Allah SWT, bagaimana Allah SWT menghidupkan bumi sesudah matinya dengan tanam-tanaman yang menghijau subur. Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  2. Ini akan memantapkan keyakinan kita bahawa apa sahaja kerosakan yang berlaku dalam dunia ini boleh dibaiki. Syaratnya mestilah kita menjauhkan daripada syirik. Sumber yang menjauhkan daripada syirik ialah dengan dihantarkan wahyu kepada hati-hati yang rasakan mereka boleh buat apa sahaja dalam hidup mereka tanpa kisah kepada orang lain yang memerlukan khidmat mereka untuk islah membuat kebaikan.
  3. Kesimpulan halaman ini; Allah SWT turunkan rahmatnya kepada kita dalam dua bentuk iaitu angin dan rasul yang membawa al-Quran:
    • Allah SWT hantar angin - Dengan itu dapat belayar, dapat banyak sumber ekonomi dengan angin sahaja. Allah SWT boleh terbangkan kapal di langit dan kapal di air. Allah SWT juga hantar angin untuk menggerakkan awan yang berat sehingga memberi kesan kepada keluarnya air yang menghidupkan tanah yang kontang.
    • Allah SWT hantar rasul membawa risalah al-Quran - Perhatikan air menghidupkan tanah kontang, wahyu menghidupkan hati yang kontang. Inilah cara Allah SWT menghidupkan yang mati. Untuk menggerakkan tamadun yang dipimpin oleh hati-hati yang hidup adalah wahyu. Allah SWT berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Kita gunakan rahmat Allah SWT ini, insya Allah tanpa putus asa, terus bangkitkan agama ini, ia akan memberi kehidupan semula kepada negara ini sehinggakan kita jauh daripada kerosakan-kerosakan dalam pelbagai sektor yang ada.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Bermusafir untuk mengambil pelajaran kesan orang yang syirik kepada Allah SWT (30:42)
  2. Siapkan tempat tinggal senang di akhirat dengan berbuat amal soleh (30:44)
  3. Ambil pelajaran daripada angin yang memberi kesan keamanan dan ekonomi (30:46)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan untuk siapkan tempat tinggal senang di akhirat dengan berbuat amal soleh.

Saya jelas untuk bermusafir bagi mengambil pelajaran kesan orang yang syirik kepada Allah SWT. Saya jelas saya mesti siapkan tempat tinggal senang di akhirat dengan berbuat amal soleh. Saya jelas untuk ambil pelajaran daripada angin yang memberi kesan keamanan dan ekonomi.

Ya Allah, berikan kami kesempatan untuk bermusafir bagi mengambil pelajaran kesan orang yang syirik kepadaMu. Ya Allah, bantu kami untuk siapkan tempat tinggal senang di akhirat dengan berbuat amal soleh. Ya Allah, bimbing kami untuk ambil pelajaran daripada angin yang memberi kesan keamanan dan ekonomi.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...