Sunday, October 1, 2023

Halaman 413 : Luqman, 31:20-28

PERKATAAN HARI INI  

 سَبَغَ Menganugerahkan. 2 kali disebut di dalam al-Quran

SINOPSIS   

  1. Cercaan terhadap orang musyrik atas kesyirikan mereka padahal mereka telah menyaksikan bukti petunjuk tentang tauhid (31:20-21)
  2. Manhaj orang mukmin yang benar dan jalan orang kafir yang buruk (31:22-24)
  3. Pengukuhan wujudnya Allah SWT, keluasan ilmu-Nya serta kuasa-Nya yang menyeluruh dan mencakupi segala sesuatu termasuk di antaranya adalah Ba'ts (31:25-28)

Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 413 surah Luqman. Semoga Allah SWT sentiasa menerima amal kita, menerima kesungguhan kita dan memberi hidayah demi hidayah kepada hati kita yang menghadapi pelbagai ujian, semoga Allah SWT pimpin kita sampai ke syurgaNya.

Pada halaman lepas kita telah lihat nasihat yang amat indah daripada Luqman. Di tengahnya kita dapat nasihat daripada Allah SWT supaya menjadi orang yang mensyukuri kedua ibu bapa kita.

Orang bersyukur adalah orang yang merendah diri. Maka dia gunakan suaranya, fizikalnya, dan memek mukanya juga adalah orang yang bersyukur merendah diri kepada Allah SWT ketika berinteraksi dengan manusia.

Ayat 31:20

أَلَمْ تَرَوْا۟ أَنَّ ٱللَّهَ سَخَّرَ لَكُم مَّا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُۥ ظَٰهِرَةً وَبَاطِنَةً وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُجَٰدِلُ فِى ٱللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَٰبٍ مُّنِيرٍ

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.

Pengajaran

  1. Allah SWT telah menundukkan (لَكُم سَخَّرَ) segala yang ada di bumi ini untuk kita. 
  2. Allah SWT menyuruh kita perhatikan segala nikmatNya dari zahir dan yang batin. Yang kita nampak secara zahir adalah tanda kasih sayang daripada Allah SWT.
  3. Kesan daripada melihat segala nikmat yang Allah SWT beri ini, sepatutnya kita makin tunduk. Tetapi ada manusia yang masih hendak berlawan dengan Allah SWT tanpa ilmu, tanpa hidayah, tanpa kitab yang jelas.
  4. Kalau ada ilmu, kita tidak akan menafikan kehebatan Allah SWT. Dengan hidayah kita tahu bahawa Allah membuat kebaikan kepada makhluk, maka kita tidak akan melawan Allah SWT. 
  5. Dengan rujukan daripada al-Quran yang mencerahkan, rupa-rupanya Allah SWT memberitau bahawa ada manusia yang suka berdebat melawan Allah SWT. Mereka tidak mahu solat, tidak menyeru kepada kebaikan dan tidak melarang kepada yang mungkar atau mencemik muka kepada ibu bapa atau kawan. Itu tanda dia suka berdebat dengan Allah SWT, tidak mahu ikut nasihat daripada Allah, yang disampaikan di dalam al-Quran.
  6. Bila kita pergi bercuti, jangan lupa perhatikan bintang pada waktu malam, perhatikan pohon-pohon yang ada, benda-benda di langit dan di bumi untuk kita senaraikan apakah nikmat-nikmat yang Allah SWT telah sempurnakan (وَأَسْبَغَ). 
  7. Allah SWT suruh kita perhati untuk dapat pahala dan untuk tidak mengabaikan ilmu, hidayah dan kitab yang kita sudah belajar. Inilah cara untuk aplikasi apa yang telah dipelajari daripada al-Quran. Gunakan peluang sambil duduk di tepi kolam, memancing, naik kuda, dll, perhatikan nikmat-nikmat yang Allah SWT telah lengkapkan untuk kita agar kita makin tunduk. Tanda tunduk kita ialah kembali kepada 'yuslim' menyerah diri dan buat yang terbaik atas apa seruan yang Allah SWT telah berikan.  

Ayat 31:21

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ أَوَلَوْ كَانَ ٱلشَّيْطَٰنُ يَدْعُوهُمْ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلسَّعِيرِ

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah", mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api neraka yang marak menjulang?

Pengajaran

  1. Apabila diingatkan kepada orang yang ingkar supaya ikut panduan al-Quran, mereka tidak mahu, bahkan mereka hanya menurut apa yang dibuat oleh nenek moyang mereka.  Contoh: Orang Korea tidak senyum kerana bagi mereka, itu lambang kelemahan. Ada orang bercakap dengan staf dengan menengking kerana ibu ayah mereka juga menengking waktu mereka kecil. 
  2. Allah SWT ingatkan bahawa kita ada al-Quran yang telah diturunkan. Syaitan suka kita ikut amalan orang-orang lama yang tidak berasaskan hidayah. 
  3. Syaitan tidak suka kita mengikut kepada panduan wahyu, ilmu, hidayah dan kitab yang mencerahkan, yang jelas panduannya sehinggakan kita tahu macam mana hendak berinteraksi dengan Allah, bersyukur, berinteraksi dengan ibu ayah, berinteraksi dengan manusia, jangan mencemik muka. Itulah lambang syukur kepada Allah SWT.

Ayat 31:22

وَمَن يُسْلِمْ وَجْهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ ٱسْتَمْسَكَ بِٱلْعُرْوَةِ ٱلْوُثْقَىٰ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.

Pengajaran

  1. Sesiapa yang berserah diri kepada Allah dengan ikhlas dan ia berusaha berbuat kebaikan, itu bermakna dia sedang berpegang kepada tali yang kuat. 
  2. Kita ini bagaikan berada dalam lautan kehidupan. Bila naik kapal, mungkin terumbang-ambing, maka kita kena pegang tali yang kuat, menyerah diri kepada Allah SWT. Menyerah diri bermaksud, jangan syirik kepada Allah SWT, bersyukur kepada Allah SWT, bersyukur kepada ibu ayah. Inilah ciri akhlak Islam yang perlu kita beri perhatian. 
  3. Kepada Allah lah kesudahan kita. Semuanya akan kembali kepada Allah SWT. Semoga kita dapat bawa yang terbaik menuju kepada Allah SWT.
  4. Untuk menjadi orang yang terbaik bila berhadapan dengan Allah SWT (ٱلْأُمُورِ عَٰقِبَةُ), hendaklah kita:
  5. berserah diri kepada Allah SWT dengan mengikut segala peraturanNya
  6. menjadi muhsin iaitu buat yang terbaik. 
  7. Kalau dahulu kita selalu masam muka sahaja dengan pasangan atau orang, tahun ini kita buat lebih baik lagi. Semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang muhsin, bukan buat sekadar hendak ikut sahaja (yuslim). Dengan mengambil dua kaedah ini, sebenarnya kita berpegang pada tali yang kuat. Tidak mungkin digoyah dalam hidup ini dan tidak mungkin digoyah sampai akhirat nanti sehingga mendapat gred A dan Allah SWT izinkan kita berada di syurgaNya, bersama dengan ahli keluarga kita, insya Allah.

Ayat 31:23

وَمَن كَفَرَ فَلَا يَحْزُنكَ كُفْرُهُۥٓ إِلَيْنَا مَرْجِعُهُمْ فَنُنَبِّئُهُم بِمَا عَمِلُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Pengajaran

  1. Allah SWT menasihatkan Nabi SAW dan kita juga sebagai pengikutnya, supaya tidak susah hati dengan orang yang kufur. Apa yang mereka buat, Allah SWT tahu, Allah SWT akan semak juga. 
  2. Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati setiap manusia, sama ada menyerah diri dan buat yang terbaik, ataupun kufur kepada segala nikmat dan juga kebesaran Allah SWT. Kalau seseorang itu buat sesuatu, mungkin bermanis muka, tetapi buat itu bukan kerana Allah SWT, itu juga Allah SWT tahu. Kalau buat kerana Allah SWT, mungkin mukanya masam tetapi dalam hatinya itu hendak buat yang terbaik atau ada kepayahan, ada ujian yang melanda, Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati itu. Yang penting kita hendak menyerah dan buat yang terbaik berdasarkan apa yang telah dicadangkan pada halaman 412.

Ayat 31:24

نُمَتِّعُهُمْ قَلِيلًا ثُمَّ نَضْطَرُّهُمْ إِلَىٰ عَذَابٍ غَلِيظٍ

Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.

Pengajaran

  1. Bagi orang yang kufur, mereka akan mendapat kesenangan sementara tetapi selepas itu akan mendapat azab yang sengsara.
  2. Mereka mendapat azab sengsara kerana bila dapat nikmat mereka tidak menghargainya. Allah SWT sudah buat yang terbaik, dia tidak balas dengan cara yang terbaik, maka dia sendiri yang menjemput azab itu. 
  3. Jika kita dapat nikmat, kita fikirkan dengan ilmu yang baik. Contoh, kita dapat nikmat al-Quran, kita betul-betul menghargai kitab ini, kesannya kita bersyukur, Allah SWT akan tambah lagi nikmatNya.

Ayat 31:25

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ ٱللَّهُ قُلِ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Pengajaran

  1. Pada ayat 20 Allah SWT suruh kita perhatikan (observe). Itu adalah satu ibadah yang penting untuk kita buat. Kita tengok alam sambil santai-santai. 
  2. Pada ayat 25 ini, Allah SWT suruh kita borak-borak. Kalau kita tanya soalan siapa yang jadikan langit dan bumi ini, semua akan jawab Allah SWT yang jadikan. Allah SWT ingatkan kita supaya ucapkan Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur. 
  3. Orang yang bersyukur itu dia merendah diri, dan menyerah diri kepada peraturan yang ada. Allah SWT sudah beri yang terbaik, kita juga kena buat yang terbaik. Bila kita tanya orang lain, atau tanya kepada diri kita, dan diucapkan Alhamdulillah, ia bukan sekadar perkataan ‘Segala Puji Allah', tetapi ia ada kesan yang patut muncul dalam hidup kita. Kesannya kita buat kerja yang terbaik supaya kita dapat bawa gred A bila sampai di hadapan Allah SWT.

Ayat 31:26

لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ

Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi; sesungguhnya Allah Dia lah jua yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

Pengajaran

  1. Ramai orang tidak ada ilmu menyebabkan dia tidak terkesan dengan Alhamdulillah. Kalau kita tahu yang Allah SWT sudah beri macam-macam, kita juga kena buat sesuatu yang macam-macam yang terbaik dalam hidup kita agar kita sampai ke akhirat nanti, dapat macam-macam yang lebih macam-macam, itulah namanya syurga. Contoh: Kalau orang yang tidak berilmu, bila dapat telefon pintar, dia baling dalam tong sampah kerana tidak tahu ia sesuatu yang berharga. 
  2. Hendaklah kita hargai nikmat mata, telinga dan lain-lain kerana ia adalah daripada Allah SWT yang menciptakannya untuk kita. Kesannya, kita dapat menikmati segala-gala nikmat yang lebih kekal di akhirat nanti. 
  3. Allah SWT kalau kita syukur atau kufur, Allah tetap al-Ghani, tidak perlukan syukur kita. Kita puji atau tidak, Allah tetap al-Hamid, tetap terpuji. Allah SWT tidak perlukan kita. 

Ayat 31:27

وَلَوْ أَنَّمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَٰمٌ وَٱلْبَحْرُ يَمُدُّهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَٰتُ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Pengajaran

  1. Allah SWT memiliki segala yang terhebat. 
  2. Kalau segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah peraturan Allah SWT, nescaya tidak akan cukup.
  3. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Kita tengok bintang, tengok pokok, malah pen yang kita ada juga adalah ketetapan daripada Allah SWT. 
  4. Semua formula yang ada, yang berkuasa ialah Allah al-Aziz. Tidak ada siapa yang sanggup lawan kepada al-Aziz. Semuanya ikut peraturan daripada Allah SWT. Hanya manusia dan jin yang tidak mahu menyerah diri dan berbuat yang terbaik. 
  5. Untuk pastikan kita menyerah diri: jangan syirikkan Allah, solat, syukur kepada ibu ayah, dan buat yang terbaik.  
  6. Allah al-Hakim susun semuanya dengan penuh bijaksana. Kita tidak mahu jadi pemimpin yang berkuasa tetapi tidak bijaksana untuk melaksanakan apa yang dirancang dalam keluarga, organisasi atau negara.

Ayat 31:28

مَّا خَلْقُكُمْ وَلَا بَعْثُكُمْ إِلَّا كَنَفْسٍ وَٰحِدَةٍ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌۢ بَصِيرٌ

(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Pengajaran

  1. Mudah bagi Allah SWT untuk mencipta dan membangkitkan kita semula. 
  2. Allah yang Maha Mendengar Maha Melihat. Allah SWT tahu cabaran kita, tahu apa yang kita buat atau yang kita tidak buat. Semuanya Allah SWT nampak dan dengar. 

RESOLUSI

Ingat!
  1. Tunduk kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada segala nikmat yang ditundukkan (31:20)
  2. Semak apa yang dibuat agar berasaskan ilmu dan bukan ikut-ikutan (31:21)
  3. Sentiasa buat terbaik dan menyerah diri kepada Allah SWT (31:22)
Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya tunduk dan syukur kepadaNya, agar saya dapat lebih banyak nikmat.

Saya jelas untuk tunduk kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada segala nikmat yang ditundukkan. Saya jelas untuk semak apa yang dibuat agar berasaskan ilmu dan bukan ikut-ikutan. Saya jelas untuk sentiasa buat terbaik dan menyerah diri kepada Allah SWT.

Ya Allah, jadikan kami orang yang tunduk kepadaMu dan jadikan kami orang yang bersyukur kepada segala nikmat yang ditundukkan kepada kami. Ya Allah, bimbing kami untuk semak apa yang dibuat agar berasaskan ilmu dan bukan ikut-ikutan. Ya Allah, pimpin kami untuk sentiasa buat terbaik dan menyerah diri kepadaMu.

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...