|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 424 surah
al-Ahzab untuk melihat panduan dan disiplin bagaimana kita hendak mengikut Nabi
SAW dalam menuju kejayaan di dunia sampai akhirat. Ada panduan jelas untuk
orang beriman dan ada peraturan yang dikhususkan untuk Nabi SAW.
Pada halaman lepas kita telah belajar
ciri-ciri orang yang beriman iaitu berzikir kepada Allah SWT, dan banyak
bertasbih serta tidak mahu terlibat dengan perkara yang sia-sia.
Ayat 33:44
تَحِيَّتُهُمْ
يَوْمَ يَلْقَوْنَهُۥ سَلَٰمٌ وَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
Sambutan penghormatan yang akan
diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan "Salam"
(selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan
yang mulia.
Pengajaran
- Ucapan penghormatan bagi orang mukmin ialah
memberi salam. Di dunia ini ada tingkat cara memberi salam: Yang muda memberi
salam kepada yang tua, yang bawah memberi salam kepada yang atas, yang
berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki.
- Di syurga, bukan sekadar beri salam sesama ahli
syurga, tetapi ada yang lebih istimewa. Ucapan kesejahteraan itu akan
diucapkan oleh Allah SWT kepada orang yang masuk ke syurga, sebagai ganjaran yang
amat mulia kerana dalam konflik, orang-orang beriman masih berpegang kepada
salam.
- Elakkan orang yang suka mengutuk.
Ayat 33:45
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَرْسَلْنَٰكَ شَٰهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami
mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira
(kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar).
Pengajaran
- Nabi SAW ialah saksi yang memberi kabar gembira
dan juga saksi kepada amaran Allah SWT yang kita lakukan.
- Kalau kita ikut kepada Nabi, maka kita
berperanan membawa khabar gembira dan memberi amaran. Cubalah ikuti dengan
sedaya mungkin kepada Nabi SAW kerana inilah peluang untuk kita jadikan Nabi
SAW saksi yang baik kepada kita di akhirat nanti.
Ayat 33:46
وَدَاعِيًا
إِلَى ٱللَّهِ بِإِذْنِهِۦ وَسِرَاجًا مُّنِيرًا
Dan juga sebagai penyeru (umat
manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan
sebagai lampu yang menerangi.
Pengajaran
- Nabi SAW dimandatkan oleh Allah SWT untuk
membawa cahaya nur yang menerangi dan tidak panas umpama sinar bulan di malam
hari, yang menyejukkan dan amat indah sehingga orang dapat menerima dengan
lebih mudah. Ikut Nabi yang menyampaikan seperti sinar bulan yang menyejukkan
dan ianya amat indah sehingga mudah orang menerimanya.
- Kita boleh menegur tetapi tidak perlu
menghentak-hentak meja, dikhuatiri membawa lebih banyak bahaya berbanding
dengan manfaat perubahan yang positif.
- Hendaklah kita jadi
مُّنِيرًا
سِرَاجًاseperti lampu yang terang benderang tetapi
cahayanya itu amat menyejukkan. Inilah peranan yang perlu kita bina dalam
diri kita mengikut kepada perjuangan Nabi SAW ketika bersama dengan
masyarakat, anak dan pasangan kita.
- Walaupun kita tahu kita ada lampu yang terang
tetapi jangan sampai kita memanaskan orang sahaja. Hendaklah kita menyejukkan
kerana kita tahu bahawa wahyu itu seperti air yang mengikut rentak,
menyejukkan tetapi pasti membawa perubahan kepada batu walaupun titisannya
kecil, sedikit semi sedikit.
- Kita sebagai umat Nabi SAW, hendaklah mengikut
kepada tugas Nabi SAW iaitu untuk mengajak orang kepada Allah SWT bukan
mengajak orang kepada diri kita atau kepada kumpulan kita. Jangan kita
tersalah tujuan dalam hidup kita. Orang yang paling layak untuk diikuti
adalah Nabi SAW.
- Ini adalah kewajipan daripada Allah SWT dan
mesti buat kerana Allah SWT. Ramai yang menyalahgunakan sampai
mendewa-dewakan Nabi SAW padahal Nabi itu untuk diikuti secara dekat,
dihormati dan mengikut kepada perjuangannya.
Ayat 33:47
وَبَشِّرِ
ٱلْمُؤْمِنِينَ
بِأَنَّ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَضْلًا كَبِيرًا
Dan (dengan itu) sampaikanlah berita
yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya
mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
Pengajaran
- Nabi SAW juga membawa khabar gembira kepada
orang-orang beriman bahawa mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar
(bonus) daripada Allah SWT.
- Kita akan mendapat bonus di akhirat dengan
syarat kita bersama dengan perjuangan Nabi SAW.
Ayat 33:48
وَلَا
تُطِعِ ٱلْكَٰفِرِينَ وَٱلْمُنَٰفِقِينَ وَدَعْ أَذَىٰهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
Dan janganlah engkau menurut kehendak
orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan
usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara
keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).
Pengajaran
- Ini ada kaitan dengan ayat 1 hingga 3 di awal
surah al-Ahzab. Ada tiga komponen penting dalam ayat ini yang perlu kita
ambil perhatian untuk mendapat ganjaran dan bonus besar daripada Allah SWT:
- Jangan taat kepada orang kafir dan munafik dari
segi akidah.
- Bila mereka menyakitkan hati kita, Allah SWT
suruh kita tinggalkan mereka. Jangan kita balas.
- Bergantung kepada Allah dan cukuplah Allah SWT
sebagai wakil.
- Dalam kes ini, Nabi SAW diserang secara
'character assassination' kerana Nabi SAW bernikah dengan Zainab. Dalam hadis
‘Ifk’ pada surah al-Nur juga, Nabi SAW tidak kata apa-apa tentang Aisyah kerana
yang betul-betul tahu hanyalah Allah SWT.
- Kalau tidak kita tidak bertawakal, kesannya
ialah kita boleh jadi depress. Allah SWT tahu kita boleh stres bab isu
keluarga tetapi Allah SWT berikan dos yang penting iaitu tawakal. Kita
mungkin depress tetapi tidaklah sampai mengambil keputusan untuk buat
perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Ayat 33:49
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا نَكَحْتُمُ ٱلْمُؤْمِنَٰتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Wahai orang-orang yang beriman,
apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu
ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap
mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu,
berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan
lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
Pengajaran
- Tidak ada iddah bagi isteri yang belum disentuh oleh suaminya bila
diceraikan.
- Adab yang diajar oleh Allah SWT dalam ayat ini iaitu berilah mut'ah (hadiah)
kepada bekas isteri dan berpisahlah dengan cara terbaik. Jangan kutuk-kutuk. Jaga
perkataan dari memburukkan bekas suami/isteri.
- Inilah adab orang-orang beriman. Ketika suka dia bercakap elok,
ketika tidak suka pun dia akan bercakap perkara yang baik kerana kita tidak
tahu perjalanan hidup kita seterusnya.
Ayat 33:50
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلنَّبِىُّ إِنَّآ أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَٰجَكَ ٱلَّٰتِىٓ ءَاتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَٰلَٰتِكَ ٱلَّٰتِى هَاجَرْنَ مَعَكَ وَٱمْرَأَةً مُّؤْمِنَةً إِن وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِىِّ إِنْ أَرَادَ ٱلنَّبِىُّ أَن يَسْتَنكِحَهَا خَالِصَةً لَّكَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ قَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِىٓ أَزْوَٰجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah
halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan
hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan
Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu
berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu
(dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah
bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak
perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama
denganmu; dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman
yang memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar
maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang demikian
adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang beriman umumnya;
sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada orang-orang
mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka
miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Pengajaran
- Spirit surah al-Ahzab ini ialah apa sahaja yang
Allah SWT tetapkan kita terima kerana ada hikmah di sebaliknya.
- Ayat ini adalah pemberitahuan kepada Nabi SAW
secara khusus untuk kita faham bagaimana peraturan yang Allah SWT berikan
khas untuk Nabi SAW. Ada orientalis yang cuba menghina Nabi SAW dengan
membawakan kes-kes yang ada dalam surah ini.
- Nabi SAW berkahwin dengan wanita yang merdeka
dan ada juga hamba sahaya yang dihadiahkan, seperti Mariah al-Qibtiah. Hamba
biasanya didapati dalam peperangan.
- Syarat-syarat dalam ayat ini adalah khas untuk
Nabi SAW sahaja. Ramai wanita yang menawarkan diri kepada Nabi SAW tetapi
baginda tidak menerima semuanya. Saidatina Aisyah rasa cemburu bila mendengar
ayat ini.
- Mahar untuk isteri-isteri Nabi SAW adalah 500
dinar, kecuali Ummu Habibah (Hindun) yang lebih sikit. Kebanyakan isteri Nabi
SAW adalah wanita yang telah kematian suami atau yang diceraikan dan
tujuannya adalah untuk menolong mereka.
- Jangan salah faham tentang ayat ini. Ketentuan
ini hanyalah khusus untuk Nabi SAW.
- Zainab dinikahkan dengan Nabi SAW daripada
langit. Semuanya adalah ketetapan daripada Allah SWT.
- Allah Maha Pengampun Maha Penyayang. Nabi
memang sibuk tetapi mengikut riwayat daripada Aisyah, Nabi SAW memang adil
dengan para isteri baginda SAW.
- Yang pentingnya ialah menjaga hak Allah SWT
apabila perjanjian yang berat itu telah dimetrai.
RESOLUSI
Ingat!
- Beri khabar gembira dan amaran untuk
menjejak tugas Nabi (33:45)
- Berazam menjadi pendakwah dalam tugas dan
kemampuan masing-masing (33:46)
- Jangan hiraukan orang yang mengganggu usaha
dakwah (33:48)
Saya berasa lega,
Allah SWT beri motivasi untuk jadi pendakwah bagi menjejaki tugas Nabi SAW
Saya jelas
saya mesti beri khabar gembira dan amaran untuk menjejak tugas Nabi. Saya
jelas untuk berazam menjadi pendakwah dalam tugas dan kemampuan masing-masing.
Saya jelas untuk jangan hiraukan orang yang mengganggu usaha dakwah.
Ya Allah, pimpin
kami untuk menjejak tugas Nabi beri khabar gembira dan amaran. Ya Allah,
bimbing kami untuk menjadi pendakwah dalam tugas dan kemampuan masing-masing.
Ya Allah, permudahkan urusan kami dalam usaha dakwah.
رَبَّنَا
اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
"Wahai Tuhan kami, ampunilah
kami dan saudara-saudara kami yang beriman lebih dahulu dari kami. Janganlah
Engkau tanamkan ke dalam hati kami perasaaan dengki kepada orang-orang yang
telah beriman lebih dahulu. Wahai tuhan kami, sungguh Engkau Maha Pemurah
lagi Maha Penyayang kepada semua makhluk-Nya." (al-Hasyr ayat 10)
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya
tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada
ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan
hamba-hambaMu yang soleh.
Ya
Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk
kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu;
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya. Ampunkan
dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|