Thursday, October 5, 2023

Halaman 431 Surah Saba', 34:23-31

 

PERKATAAN HARI INI

  

فَتَحَ Membuka. 

 38 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS    


  1. Kebenaran terserlah di akhirat (34:23)
  2. Pengakuan orang musyrik bahawa Allah SWT yang memberi rezeki, serta pemberitahuan kepada mereka tentang sang hakim dan waktu penghakiman (34:24-30)
  3. Saling menyalahkan di akhirat kerana tidak mengikuti al-Quran (34:31)

        

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 431, Surah Saba'. Semoga Allah SWT redha kepada kita dalam usaha berinteraksi dengan al-Quran. Semoga kita istiqamah belajar dan menyampaikan al-Quran. Semoga Allah SWT kurniakan kita kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan di dunia sampai akhirat.

 

Ada 5 surah yang bermula dengan Alhamdulillah iaitu surah al-Fatihah, al-An'am, al-Kahfi, Saba' dan Fathir. Surah-surah ini adalah pencerahan kepada apa yang kita baca setiap hari dalam al-Fatihah. Kita bersyukur kepada Allah SWT yang bukan sekadar mencipta alam ini, tetapi juga Allah SWT turunkan kitab sebagai manual kita semua.

 

Dalam surah Saba' ini kita puji Allah SWT kerana adanya akhirat yang menyebabkan kita mampu untuk melihat kesan sesuatu perkara. Bila kita baca al-Quran, apa kesannya 5, 10, 30 tahun dan sampai ke akhirat nanti? Jika tidak, orang boleh buat apa sahaja, tidak kisah hendak tipu atau sakiti orang, yang penting dia dapat bahagian untuk diri sendiri. Dengan akhirat kita bersyukur bahawa keadilan akan ditentukan oleh Allah SWT.

 

Kita sudah bincang perkataan zarrah pada halaman lepas. Walau kecil macam mana pun, yang berkuasa pada zarrah dalam tubuh badan kita adalah Allah SWT. Jangan kita rasa bila berjaya buat projek, pandai cakap, berjaya dalam bisnes, semuanya kerana kehebatan kita. Itu adalah dengan bantuan daripada Allah SWT.

 


Ayat 34:23

 

وَلَا تَنفَعُ ٱلشَّفَـٰعَةُ عِندَهُۥۤ إِلَّا لِمَنۡ أَذِنَ لَهُۥۚ حَتَّىٰۤ إِذَا فُزِّعَ عَن قُلُوبِهِمۡ قَالُوا۟ مَاذَا قَالَ رَبُّكُمۡۖ قَالُوا۟ ٱلۡحَقَّۖ وَهُوَ ٱلۡعَلِیُّ ٱلۡكَبِیرُ

 

Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.

 

Pengajaran

  1. Apabila sampai di akhirat nanti, semua bantuan daripada manusia akan terputus kecuali apabila mendapat keampunan Allah SWT.
  2. Pada ayat 34:2, Allah SWT sebutkan ‘ar-Rahim al-Ghafur’ kerana Allah telah berikan banyak rahmat di atas muka bumi ini, dan ada silaturrahim dalam keluarga. Di akhirat silaturrahim akan terputus kecuali kalau semua dapat keampunan, barulah semuanya akan bertemu kembali
  3. Nabi Ibrahim AS ada ayah, tapi kerana ayahnya tidak dapat keampunan, di akhirat, habis tidak dapat bersama. Jadi, kita kena manfaatkan hubungan silaturrahim di dunia untuk ajak lebih ramai kepada keampunan. Ajak baca al-Quran, kongsi ilmu bermanfaat, supaya bila sampai di akhirat nanti Allah SWT beri syafaat kepada kita.
  4. Bila sampai di akhirat, mereka yang kufur akan tertanya-tanya. Malaikat juga bergetar bila sampai di akhirat kerana keadaan memang menakutkan bagi semua makhluk. Malaikat menjawab, "ini semua adalah kebenaran".
  5. Allah jua lah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya. Di dunia mungkin kita rasa paling tinggi, sombong, boleh takbur, sampai di akhirat nanti, semuanya akan tunduk.
  6. Ini satu pelajaran penting untuk kita sama-sama jiwai daripada dua tamadun yang besar iaitu tamadun Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS di utara Mekah dan juga kerajaan Saba' di Yaman selatan Mekah.
  7. Nabi Sulaiman tetap bersyukur tetapi kaum Saba' tidak bersyukur maka Allah SWT hancurkan di dunia lagi dan sampai di akhirat nanti akan ditentukan apakah nasib mereka. Ini peringatan untuk kita semua agar jangan sombong, tetapi kembalilah kepada Allah SWT.

 

Ayat 34:24

 

قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ قُلِ ٱللَّهُ وَإِنَّآ أَوْ إِيَّاكُمْ لَعَلَىٰ هُدًى أَوْ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

 

Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?" Terangkanlah jawabnya: "Ialah Allah; dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik - (tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): keadaan tetapnya di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata ".

 

Pengajaran

  1. Bila berjumpa perkataan قُلْ , menunjukkan Nabi SAW diajar untuk berdakwah kepada kaum musyrik.
  2. Nabi SAW disuruh bertanya "siapa yang beri rezeki kepada mereka?". Semua akan jawab pasti Allah SWT yang beri rezeki.
  3. Bab rezeki mereka kata Allah, tetapi tidak mahu ikut hidayah daripada Allah SWT.
  4. Ini adalah satu cara penghujahan. Rezeki ambil daripada Allah, signal internet ambil daripada Allah, tetapi waktu solat tidak ikut Allah suruh. Mereka ada kebingungan ( ضَلَٰلٍ ) dalam berfikir.

 

Ayat 34:25

 

قُل لَّا تُسْـَٔلُونَ عَمَّآ أَجْرَمْنَا وَلَا نُسْـَٔلُ عَمَّا تَعْمَلُونَ

 

(Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan".

 

Pengajaran

  1. Sebenarnya, orang musyrik Mekah yang buat salah, tetapi mereka tuduh Nabi SAW.
  2. Nabi SAW menjawab mereka tidak bertanggungjawab atas apa yang baginda lakukan dan baginda tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang mereka lakukan.
  3. Nabi SAW diajar supaya jangan konfrontasi dengan orang-orang musyrik tetapi tetap berhujah dengan lembut.

 

Ayat 34:26

 

قُلْ يَجْمَعُ بَيْنَنَا رَبُّنَا ثُمَّ يَفْتَحُ بَيْنَنَا بِٱلْحَقِّ وَهُوَ ٱلْفَتَّاحُ ٱلْعَلِيمُ

 

Katakanlah lagi:" Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Ia akan menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian yang benar; dan Dia lah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha Mengetahui segala-galanya".

 

Pengajaran

  1. Ayat ini dimulakan dengan  قُلْ  juga. Ini adalah cara Nabi SAW hendak berdakwah. Allah SWT ajarkan poin-poin untuk Nabi SAW dan kita juga dalam memaknai sejarah Nabi Sulaiman dan Saba'.
  2. Nanti Allah SWT akan kumpulkan kita semua. Allah SWT akan tentukan siapa yang berada di atas kebenaran. Allah Yang Maha Membuka (ٱلْفَتَّاحُ) lagi Maha Mengetahui.
  3. Bila kita buka al-Quran, buka bacaannya dan buka kefahamannya, ini sebenarnya satu pembongkaran rahsia-rahsia Tuhan agar selepas ini kita dapat ikut supaya kita tidak menyesal di akhirat kerana tidak membongkar isi al-Quran.
  4. Allah SWT akan bongkar kita di akhirat. Segala kebaikan dan keburukan yang kita lakukan di dunia akan dibongkar. Semoga kita dapat buka al-Quran dan baiki kesilapan kita agar sampai di sana kesilapan kita tidak lagi terbongkar.
  5. Semoga Allah buka hati kita untuk diisi dengan softwer daripada langit melalui al-Quran ini.
  6. Semua perkataan  قُلْ  yang ada dalam al-Quran itulah yang Nabi SAW sampaikan selama 23 tahun Nabi SAW berdakwah di Mekah dan Madinah.

 

Ayat 34:27

 

قُلْ أَرُونِىَ ٱلَّذِينَ أَلْحَقْتُم بِهِۦ شُرَكَآءَ كَلَّا بَلْ هُوَ ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

 

Katakanlah lagi: "Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

 

Pengajaran

  1. Nabi SAW diajarkan oleh Allah SWT supaya menyuruh orang musyrik tunjukkan sifat-sifat ketuhanan yang ada pada makhluk yang mereka syirikkan dengan Allah SWT.
  2. Semua yang disyirikkan itu seperti berhala, kubur, orang tertentu tidak pun mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Hanya Allah SWT Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
  3. Inilah poin-poin yang perlu kita cakapkan bila berborak-borak dengan kawan-kawan sebagai satu usaha untuk ikut kepada Nabi SAW.

 

Ayat 34:28

 

وَمَآ أَرْسَلْنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

 

Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

 

Pengajaran

  1. Nabi SAW diutus kepada seluruh umat manusia, bukan hanya orang Arab.
  2. Gunakan peluang untuk mengikut Nabi SAW dalam menyampaikan kebenaran kepada orang lain. Cari cara bagaimana hendak sampaikan isi al-Quran kepada umat Muhammad SAW yang jumlahnya lebih 1.5 billion dan juga kepada yang bukan Islam. Ramai manusia tidak tahu isi al-Quran.
  3. Sahabat-sahabat Nabi SAW bertebaran ke seluruh dunia menyampaikan risalah al-Quran.
  4. Semoga kita juga dapat menjadi orang yang terus mendidik kepada ahli keluarga kita dan orang lain.

 

Ayat 34:29

 

وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَٰدِقِينَ

 

Dan mereka (yang ingkar) bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"

 

Pengajaran

 

1.     Orang-orang musyrik bertanya bila akan berlaku hari akhirat.

2.     Bila tidak tahu, mereka minta perkara yang tidak patut minta.



Ayat 34:30

 

قُل لَّكُم مِّيعَادُ يَوْمٍ لَّا تَسْتَـْٔخِرُونَ عَنْهُ سَاعَةً وَلَا تَسْتَقْدِمُونَ

 

Jawablah (wahai Muhammad): "Untuk kamu disediakan satu hari yang kamu tidak dapat melambatkannya sesaat pun, dan tidak pula kamu dapat menyegerakannya".

 

Pengajaran

  1. Allah SWT ajarkan kepada Nabi SAW poin untuk menjawab pertanyaan mereka. Bila sudah sampai masanya, hari akhirat tidak boleh dicepatkan atau dilambatkan.
  2. Itu adalah satu janji Allah SWT. Kalau buat apa yang Allah SWT suruh, akan dapat ganjarannya nanti.
  3. Buatlah persediaan untuk hari akhirat seperti yang Allah SWT perintahkan. Begitulah sayangnya Allah SWT kepada kita, beri peluang untuk kita buat persediaan.

 

Ayat 34:31

 

وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ بِهَٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَلَا بِٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّٰلِمُونَ مَوْقُوفُونَ عِندَ رَبِّهِمْ يَرْجِعُ بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ ٱلْقَوْلَ يَقُولُ ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ لَوْلَآ أَنتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ

 

Dan orang-orang yang kafir berkata: Kami tidak akan beriman sama sekali kepada Al-Quran ini dan tidak juga kepada Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya". Dan (sungguh ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab), masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain. Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang sombong takbur (yang menjadi ketuanya): "Kalaulah tidak kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami sudah menjadi orang yang beriman".

 

Pengajaran

  1. Semasa di dunia orang-orang kafir tidak mahu beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab terdahulu.
  2. Apabila sampai di akhirat, mereka menyalahkan orang lain yang menyebabkan mereka tidak beriman.
  3. Bila kita mendalami al-Quran, ia akan menyebabkan kita tidak menyalahkan orang lain.
  4. Kalau kita lemah, kita tetap akan berusaha. Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana akan bantu.
  5. Orang yang bersama al-Quran ada identiti dan tetap teguh. Semoga Allah SWT pimpin kita selamanya.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Selalu mendekati Allah SWT untuk mendapatkan syafaat-Nya di akhirat (34:23)
  2. Yakin Allah SWT pemberi rezeki setiap masa (34:24)
  3. Cari ilmu untuk mengetahuai berita gembira dan amaran daripada Allah SWT melalui Nabi (34:28)

 

Saya berasa lega, Allah SWT akan beri syafaat di akhirat kalau saya selalu dekati-Nya.

 

Saya jelas saya mesti  selalu mendekati Allah SWT untuk mendapatkan syafaat-Nya di akhirat. Saya jelas saya mesti yakin Allah SWT pemberi rezeki setiap masa. Saya jelas saya mesti cari ilmu untuk mengetahuai berita gembira dan amaran daripada Allah SWT melalui Nabi.

 

Ya Allah, pimpin kami untuk selalu mendekati-Mu. Ya Allah, kurniakan kami syafaat di akhirat. Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami bahawa Engkau Ya Ghani, Ya Mughni pemberi rezeki setiap masa. Ya Allah, bimbing kami cari ilmu untuk mengetahui berita gembira dan amaran daripada-Mu melalui Nabi SAW.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...