|
Mukadimah
Alhamdulillah, kita
dapat meneruskan pengajian pada halaman 432 Surah Saba' yang
memberi inspirasi kepada kita bagaimana menjadi umat Alhamdulillah.
Semoga masa yang diperuntukkan
bersama al-Quran menjadi saksi kita di akhirat nanti.
Orang-orang musyrik tidak mahu
beriman kerana ada dalam kalangan mereka sombong, bongkak. Mereka cuba
mengawal yang lemah.
Ayat 34:32
قَالَ
ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوٓا۟ أَنَحْنُ صَدَدْنَٰكُمْ عَنِ ٱلْهُدَىٰ بَعْدَ إِذْ جَآءَكُم بَلْ كُنتُم مُّجْرِمِينَ
Orang-orang yang sombong takbur itu
menjawab kepada orang-orang yang tertindas: Kamikah yang telah menghalang
kamu daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada kamu? (Bukan
kami yang menghalang) bahkan kamulah yang menyebabkan diri sendiri menjadi
orang-orang yang berdosa".
Pengajaran
- Ini adalah dialog antara orang
sombong dan orang yang lemah. Orang sombong kata mereka tidak menghalang
sesiapa menerima hidayah.
- Orang yang lemah membuat alasan
untuk tidak beriman. Mereka salahkan orang sombong kerana tidak dapat
hidayah.
- Ini juga berlaku kepada kita
sekarang. Contoh: Menyalahkan majikan bila tidak solat.
Ayat 34:33
وَقَالَ
ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ بَلْ مَكْرُ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَآ أَن نَّكْفُرَ بِٱللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُۥٓ أَندَادًا وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَجَعَلْنَا ٱلْأَغْلَٰلَ فِىٓ أَعْنَاقِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan berkata pula orang-orang yang
tertindas kepada orang-orang yang sombong takbur itu: "Tidak! Bahkan
(yang menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu memperdaya kami
malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami berlaku kufur kepada Allah dan
mengadakan sekutu-sekutu bagiNya. Akhirnya masing-masing diam sambil
memendamkan perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab; dan Kami
pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir itu. Mereka
tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.
Pengajaran
- Orang-orang yang lemah terus membalas
dengan menyalahkan orang-orang yang sombong. Mereka mengatakan orang-orang
sombong menghalang mereka daripada beriman dan mengajak kepada kekufuran.
- Akhirnya masing-masing diam sambil
menyesal dan kecewa semasa melihat azab di akhirat. Di akhirat, semua mereka
akan cuba menyembunyikan kesalahan masing-masing.
- Dipakaikan belenggu di leher mereka
kerana tidak bersyukur sewaktu di dunia.
- Orang sombong takbur kreatif buat
macam-macam perancangan malam dan siang untuk tarik orang suka kepada
perbuatan kufur.
- Kita perlu bertanggungjawab atas
hidayah yang kita dapat. Kita juga kena kreatif dan kerja kuat malam dan
siang untuk mengajak keluarga dan masyarakat ke arah kebaikan.
Ayat 34:34
وَمَآ
أَرْسَلْنَا فِى قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَآ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ كَٰفِرُونَ
Dan Kami tidak mengutus kepada
sesebuah negeri: seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang
berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap
mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya".
Pengajaran
- Bila dihantar orang yang memberi
peringatan, ramai orang-orang yang kaya raya tertipu dengan kesenangan mereka
(مُتْرَفُوهَآ).
- Kumpulan elit ini tidak puas hati
dengan risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
- Semoga kita tidak tertipu dengan
kesenangan yang Allah SWT kurniakan untuk kita.
Ayat 34:35
وَقَالُوا۟
نَحْنُ أَكْثَرُ أَمْوَٰلًا وَأَوْلَٰدًا وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ
Dan mereka berkata lagi: "Kami
lebih banyak harta benda dan anak pinak, dan kami pula tidak akan
diseksa".
Pengajaran
- Mereka kata mereka lebih banyak
harta dan anak pinak, dan mereka tidak akan diseksa.
- Perkataan dalam ayat ini seperti yang
diucapkan oleh pemuda yang ada dua kebun dalam Surah al-Kahfi. Di dalam Surah
Saba', kumpulan elit itu beramai-ramai berkata begitu.
- Poinnya, ada orang dia hanya
seorang sahaja yang rasa dirinya bagus. Dia sombong seorang-seorang seperti
cerita dalam Surah al-Kahfi. Dalam Surah Saba' ini Allah SWT ceritakan
tentang negara yang sombong. Mereka rasa sudah mewah. Tidak perlu lagi hendak
ubah cara hidup mereka.
- Inilah mesej yang besar kepada
kita. Semoga kita tidak jadi seperti orang-orang
مُتْرَفُوهَآ
yang
diceritakan dalam surah Saba' ini. Mereka merasa mereka adalah negara maju, dan
banyak harta. Mereka merasa mereka tidak akan diazab tetapi telah dibuktikan,
negara Saba' itu akhirnya hancur.
- Surah ini memberi panduan kepada
kita, kalau kita sayang negara ini, jangan biarkan orang elit yang tertipu
dengan dunia untuk memimpin negara. Mereka hanya pentingkan untuk dapat
kemewahan walaupun dengan cara tidak halal. Mereka tidak suka ada orang yang
menegur mereka kerana mengambil sumber-sumber yang tidak halal dan mereka
tidak menjaga amanah yang diberikan oleh pengikut.
- Salah satu daripada cabaran untuk
seseorang itu menjadi hamba Allah yang benar-benar menghambakan diri ialah
isu rezeki. Banyak sangat masa dihabiskan untuk mencari duit, kesannya sampai
tertinggal keutamaan menjaga diri, keluarga dan masyarakat. Tidak ada masa
untuk baca al-Quran, untuk tolong orang, dan untuk bersama keluarga pun
mungkin terhad.
- Mewah dan kaya tidak ada masalah,
tetapi jangan sampai menjadi tertipu dengan kekayaan dan kemewahan.
Ayat 34:36
قُلْ
إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang
dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat
itu).
Pengajaran
- Allah SWT yang menentukan kadar
rezeki seseorang. Dilapang atau dihadkan, hanyalah milik Allah SWT, bukan
kerana manusia itu sendiri.
- Ramai manusia tidak mengetahui
bagaimana untuk meminta pertolongan daripada Allah SWT agar dilapangkan
rezeki.
- Hakikatnya, mestilah kita makin
dekat dengan Tuhan kalau dilapangkan atau disempitkan rezeki.
Ayat 34:37
وَمَآ
أَمْوَٰلُكُمْ
وَلَآ أَوْلَٰدُكُم بِٱلَّتِى تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَىٰٓ إِلَّا مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَٰلِحًا فَأُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمْ جَزَآءُ ٱلضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا۟ وَهُمْ فِى ٱلْغُرُفَٰتِ ءَامِنُونَ
Dan bukanlah harta benda kamu dan
tidak juga anak pinak kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau
sedikitpun, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka
itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang mereka telah
kerjakan; dan mereka pula ditempatkan dalam mahligai-mahligai (di Syurga)
dengan aman sentosa.
Pengajaran
- Kemuliaan bukan kerana banyak harta
dan anak pinak. Yang menyebabkan seseorang itu mulia ialah bila dia beriman
dan beramal soleh. Bila bercakap tentang iman dan amal soleh, kita mungkin buat
berseorangan. Kita mungkin rasa terpencil dan perit kerana memilih untuk jauh
dari mereka yang tertipu dengan kesenangan.
- Yang penting ialah beriman dan
beramal soleh walaupun berseorangan. Balasannya adalah mahligai di syurga.
- Cabaran dalam zaman sekarang ialah
hendak memastikan harta kita halal itu memerlukan kekuatan iman dan amal
soleh.
- Mereka masuk ke syurga dalam
keadaan aman. Allah SWT highlight perkataan aman kerana bila di dunia ini
mereka disindir kerana tidak mahu bermewah dengan harta yang tidak halal.
- Ini adalah pujukan kepada Nabi SAW
dan para sahabat kerana mereka memilih untuk memberi harta yang mereka ada
untuk jalan Allah SWT.
Ayat 34:38
وَٱلَّذِينَ
يَسْعَوْنَ فِىٓ ءَايَٰتِنَا مُعَٰجِزِينَ أُو۟لَٰٓئِكَ فِى ٱلْعَذَابِ مُحْضَرُونَ
Dan orang-orang yang berusaha
menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat
melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab
seksa.
Pengajaran
- Orang-orang yang berusaha menentang
dan membatalkan ayat-ayat Allah SWT sangka mereka dapat lepas dari hukuman
Allah SWT. Sebenarnya mereka itu berada dalam azab yang amat sengsara.
- Contoh kaum Saba', mereka meminta
dijauhkan perjalanan supaya dapat memonopoli ekonomi. Mereka dah banyak
harta, kadang-kadang mereka bosan, akhirnya mereka monopoli untuk untung
berganda. Itulah yang membawa kehancuran Saba'.
- Isu rezeki boleh memporak
perandakan keadaan sesebuah negara. Mohonlah rezeki yang barakah, yang dapat mendekatkan
kita kepada Allah SWT dan agar kita tidak dilalaikan dengan rezeki tersebut.
Ayat 34:39
قُلْ
إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya
di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa
sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua
sebaik-baik Pemberi rezeki".
Pengajaran
- Ia adalah ulangan kepada ayat 36.
Bezanya Allah SWT melapangkan rezeki daripada kalangan hamba-hambaNya.
- Kalau mahu rezeki dilapang, kita mestilah
jadi hamba yang disayangi oleh Allah SWT. Untuk jadi hamba yang disayangi, mestilah
rendah diri dan buat apa yang Allah suruh.
- Makin kita jadi hamba, makin lagi
Allah berikan rezeki. Antara ciri seorang hamba yang disebut dalam ayat ini
ialah dia berinfaq dan dia yakin Allah SWT akan gantikan.
- Allah SWT boleh gantikan terus
menerus. Allah SWT gantikan dengan bukan sekadar duit. Allah bagi
kebahagiaan, kesihatan, suami isteri tidak bergaduh, anak mudah belajar dan
rezeki dalam berbagai bentuk.
- Yakinlah bahawa Yang memberi rezeki
adalah Allah SWT. Allah SWT mudah dan tidak terkesan pun dengan segala
perbendaharaan yang ada pada dunia ini untuk Allah bagi pada kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Bertanggungjawab kepada diri sendiri kerana
orang lain tidak akan bertanggungjawab di akhirat nanti (34:32)
- Jangan menjadi orang yang lemah dengan mudah
mempercayai propaganda kebatilan (34:33)
- Berjaga-jaga dengan kemewahan yang
menyebabkan kita mudah kufur (34:34)
Saya berasa lega,
Allah SWT akan beri rezeki kalau saya jadi hamba yang disayangi-Nya.
Saya jelas
saya mesti bertanggungjawab kepada diri sendiri
kerana orang lain tidak akan bertanggungjawab di akhirat nanti. Saya jelas jangan
menjadi orang yang lemah dengan mudah mempercayai propaganda kebatilan. Saya
jelas saya mesti berjaga-jaga dengan kemewahan yang menyebabkan saya mudah
kufur.
Ya Allah,
pimpin kami untuk bertanggungjawab kepada diri
sendiri kerana kami sedar orang lain tidak akan bertanggungjawab di akhirat
nanti. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan kami menjadi orang yang lemah
dengan mudah mempercayai propaganda kebatilan. Ya Allah, bimbing kami untuk
berjaga-jaga dengan kemewahan, jauhkan kami daripada menjadi orang yang
kufur.
Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya
tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada
ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau
redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan
hamba-hambaMu yang soleh.
Ya
Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk
kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu;
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan
dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat
dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.
|