Thursday, October 5, 2023

Halaman 433 Saba', 34:40-48

 

PERKATAAN HARI


 عَشَرَHidup. 

27 kali disebut di dalam al-Quran





SINOPSIS 

  1. Cercaan terhadap orang kafir pada Hari Kiamat di hadapan sembahan mereka (34:40-42)2.   Sebab-sebab orang kafir diazab (34:43-48)
  2. Sebab-sebab orang kafir diazab (34:43-48)

   



Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 433 Surah Saba'. Kita ingin mengambil hidayah demi hidayah daripada al-Quran. Semoga kita terus bersemangat dan Allah SWT terima sebagai amal soleh.

 

Ayat 29 hingga 33 bercerita tentang dakwah. Menyeru kepada kebaikan mencegah daripada kemungkaran. Apabila seseorang itu lemah, jangan sampai menyalahkan pada orang lain, tetapi teruskan perjuangan. Jangan sampai di akhirat nanti mereka mengatakan orang lain yang mengajak kepada keburukan, sedangkan masing-masing akan bertanggungjawab atas komitmen amal soleh masing-masing.

 

Ayat 34 hingga 39 tentang infak. Ada orang yang infak untuk sokong perjuangan dakwah, ada orang infak untuk buat kerosakan seperti menganjur konsert yang tidak bermanfaat.

 


Ayat 34:40

 

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَٰٓئِكَةِ أَهَٰٓؤُلَآءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ

 

Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya kepada malaikat: "Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu?"

 

Pengajaran

  1. Ada manusia yang kagum dengan malaikat sampai hendak menyembah malaikat. Ada orang yang mindsetnya hendak menyembah perkara yang baik-baik. Ada juga orang yang menyembah kepada nabi. Sebenarnya kita beriman kepada malaikat dan nabi, bukan menyembah mereka. Mereka rasa nabi boleh buat macam-macam padahal sebenarnya Allah SWT yang berkuasa. Kita kena jelas tentang keimanan.
  2. Pada hari akhirat Allah SWT akan tanya kepada malaikat adakah mereka setuju dengan orang yang menyembah mereka.

Ayat 34:41

 

قَالُوا۟ سُبْحَٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِم بَلْ كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ ٱلْجِنَّ أَكْثَرُهُم بِهِم مُّؤْمِنُونَ

 

Malaikat menjawab: "Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)".

 

Pengajaran

  1. Malaikat mensucikan Allah SWT dan memberitahu bahawa mereka tidak pernah menyuruh sesiapa menyembah mereka.
  2. Yang meniupkan was-was kepada penyembah berhala adalah jin yang kita tidak nampak.
  3. Begitu juga dengan bomoh. Ada orang yang berjumpa bomoh untuk menyelesaikan masalah mereka.
  4. Kalau ada masalah, carilah Tuhan. Al-Quran ada jawapan. Rujuk kepada orang yang tahu cara merujuk al-Quran untuk mencari solusi dalam kehidupan.

 

Ayat 34:42

 

فَٱلْيَوْمَ لَا يَمْلِكُ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ نَّفْعًا وَلَا ضَرًّا وَنَقُولُ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّتِى كُنتُم بِهَا تُكَذِّبُونَ

 

Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: "Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya".

 

Pengajaran

  1. Jiwa manusia dia hendak mencari manfaat dan mengelak mudarat dalam hidup. Itu fitrah kita. Kita lemah, memerlukan bantuan. Tetapi malaikat dan jin juga adalah makhluk Allah.
  2. Memahami psikologi manusia ini, janganlah kita mudah dimanipulasi. Jangan bergantung kepada makhluk lain.
  3. Pada hari akhirat nanti, orang-orang yang zalim itu akan merasakan azab neraka akibat apa yang mereka dustakan dahulu.
  4. Semoga kita tidak jadi orang-orang yang bergantung kepada makhluk lain. Hanya kepada Allah SWT kita meminta pertolongan.

 

Ayat 34:43

 

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتُنَا بَيِّنَٰتٍ قَالُوا۟ مَا هَٰذَآ إِلَّا رَجُلٌ يُرِيدُ أَن يَصُدَّكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُكُمْ وَقَالُوا۟ مَا هَٰذَآ إِلَّآ إِفْكٌ مُّفْتَرًى وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لِلْحَقِّ لَمَّا جَآءَهُمْ إِنْ هَٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

 

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri): "Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu"; dan mereka berkata lagi: (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka"; dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka: "ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata".

 

Pengajaran

  1. Al-Quran adalah solusi kepada segala masalah. Kita tilawahkan ayat-ayat al-Quran dan kita tadabbur ayat-ayatnya.
  2. Ada dalam kalangan orang musyrik mengatakan:
    • Nabi SAW sengaja hendak menghalang kebiasaan nenek moyang mereka.
    • Al-Quran adalah teori yang dibuat-buat oleh Nabi SAW.
    • Al-Quran adalah sihir yang nyata (مُّبِينٌ سِحْرٌ). Sebenarnya mereka mengiktiraf kehebatan al-Quran tetapi mereka tidak mengaku.
  3. Al-Quran adalah anugerah daripada Allah SWT kepada kita. Semoga Allah SWT penuhi dan baluti hati kita dengan al-Quran.
  4. Biarkan al-Quran berbicara, memandu kita dalam berfikir dan berperasaan. Hujah-hujah al-Quran pasti ia akan mencengkam jiwa kita.

 

Ayat 34:44

 

وَمَآ ءَاتَيْنَٰهُم مِّن كُتُبٍ يَدْرُسُونَهَا وَمَآ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِن نَّذِيرٍ

 

Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu).

 

Pengajaran

  1. Orang-orang musyrik itu tidak pernah belajar kitab-kitab sebelum ini. Tidak pernah ada peringatan yag sampai kepada mereka. Jadi mereka tidak tahu bahawa apa yang nenek moyang mereka buat itu adalah salah.
  2. Kalau kita belajar al-Quran betul-betul, kesannya:
  • kita akan sedar ada yang nenek moyang kita buat, bos atau senior kita buat itu tidak betul. 
  • kita tidak akan kata al-Quran itu buatan atau tipu-tipuan. Kita akan tahu al-Quran adalah kebenaran.
  • kita tidak akan mengatakan yang al-Quran itu sihir.  Kita akan katakan al-Quran itu sesuatu yang menakjubkan atau al-Quran al-Majid. Bila dengar, hati kita sangat terkesan seperti hendak pecah.

 

Ayat 34:45

 

وَكَذَّبَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَمَا بَلَغُوا۟ مِعْشَارَ مَآ ءَاتَيْنَٰهُمْ فَكَذَّبُوا۟ رُسُلِى فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ

 

Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak: mencapai satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).

 

Pengajaran

  1. Allah SWT menceritakan bahawa ada orang-orang sebelum mereka juga telah mendustakan rasul-rasul.
  2. Allah SWT menegur kaum musyrik yang mendustakan Nabi Muhammad SAW itu bahawa mereka tidaklah sehebat Nabi Sulaiman AS yang boleh terbang, atau kaum Saba' yang mempunyai bekalan makanan tidak putus-putus. Sedangkan kaum musyrik Mekah masih mengharapkan bekalan ekonomi daripada luar. Mereka tidak ada sumber ekonomi dan tanaman sendiri, tetapi masih mahu tunjuk hebat kepada Rasulullah SAW. Teruk betul perangai mereka. Itu sebagai tanda kemurkaan Allah SWT (نَكِيرِ) kepada mereka.
  3. Kita yang lemah ini kalau masih hendak tunjuk hero juga sepatutnya segan kepada Allah SWT.

 

Ayat 34:46

 

قُلْ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍ أَن تَقُومُوا۟ لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا۟ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَىْ عَذَابٍ شَدِيدٍ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).

 

Pengajaran

  1. Jangan terpengaruh dengan pandangan ramai yang menjurus kepada kebatilan. Ayat ini ada solusi.
  2. Kafir musyrik tidak berfikir secara objektif kerana mereka selalu bercakap sesama sendiri membawa cerita tidak benar.
  3. Dalam menentukan kebenaran, Allah SWT mengingatkan Nabi SAW supaya berfikir sendirian atau berbincang berdua dahulu supaya lebih objektif dalam melihat kebenaran. Selepas itu, barulah dibawa berbincang ramai-ramai untuk perlaksanaan.
  4. Nabi SAW bukan gila tetapi baginda mahu mengingatkan mereka dan kepada kita supaya tidak jatuh ke kancah neraka Allah SWT. Umpama ibu yang mengingatkan anak agar tidak terjatuh ke dalam longkang.

 

Ayat 34:47

 

قُلْ مَا سَأَلْتُكُم مِّنْ أَجْرٍ فَهُوَ لَكُمْ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu".

 

Pengajaran

  1. Nabi SAW buat dakwah ikhlas kerana Allah SWT dan tidak mengharapkan upah atas usahanya.
  2. Buatlah kerja dakwah ikhlas kerana Allah SWT supaya kita dapat bantuan Allah SWT untuk menjadi semakin berkesan dalam dakwah. Allah SWT sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu
  3. Orang yang membawa kebenaran akan diperhatikan. Kalau orang berilmu masih berkompromi dengan kebatilan seperti rasuah, ia akan membawa kepada kehancuran.

 

Ayat 34:48

 

قُلْ إِنَّ رَبِّى يَقْذِفُ بِٱلْحَقِّ عَلَّٰمُ ٱلْغُيُوبِ

 

Katakanlah lagi: "Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu (kepada Nabi-nabi pilihanNya) dengan perkara yang benar; Ia sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang ghaib".

 

Pengajaran

  1. Nabi SAW berjuang untuk membaling kebatilan.
  2. Kita juga mesti perjuangkan untuk membuang kebatilan dalam masyarakat dengan membawa masyarakat kembali kepada al-Quran dan sunnah.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Hargai al-Quran dan jangan beri alasan untuk mengambil pelajaran darinya (34:43)
  2. Berhati-hati dengan nikmat daripada Allah SWT agar ia tidak menyebabkan diri semakin kufur (34:45)
  3. Cari ketenangan untuk memikirkan kebenaran (34:46)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya berhati-hati dengan nikmat agar tidak menjadi kufur.

 

Saya jelas saya mesti hargai al-Quran dan jangan beri alasan untuk mengambil pelajaran darinya. Saya jelas untuk berhati-hati dengan nikmat daripada Allah SWT agar ia tidak menyebabkan diri semakin kufur. Saya jelas saya mesti cari ketenangan untuk memikirkan kebenaran.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk hargai al-Quran dan jangan beri alasan untuk mengambil pelajaran darinya. Ya Allah, pimpin kami untuk berhati-hati dengan nikmat daripada-Mu agar ia tidak menyebabkan diri semakin kufur. Ya Allah, bantu kami untuk cari ketenangan agar kami dapat memikirkan kebenaran.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...