Thursday, October 5, 2023

Halaman 434 Saba', 34:49-54 & Fatir (35:1-3)

 

PERKATAAN HARI INI 

فَاتَ / فَوَتَ Luput, Menyelinap. 

5 kali disebut di dalam al-Quran




SINOPSIS 

   

1.     Kebenaran akan menjadi jelas dan hakikat petunjuk (34:49-50)

2.     Menakutkan orang kafir dengan kerasnya hukuman dan keadaan mereka yang         baru beriman dan percaya ketika menyaksikan azab (34:51-54)

    

     3.     Beberapa bukti petunjuk akan kuasa Allah SWT, mengingatkan kepada nikmat-                         nikmat-Nya, serta penegasan tentang tauhid dan risalah (35:1-3)

Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 434 penutup surah Saba' dan dan permulaan Surah Fatir.

 

Kedua-dua surah ini bermula dengan Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah SWT yang mentafsirkan Alhamdulillah dalam surah al-Fatihah yang kita sentiasa baca berulang kali.

 

Surah Saba' memberi panduan kepada kita sebenarnya ada kisah kerajaan Nabi Sulaiman AS di utara Mekah, iaitu di Palestin juga di Selatan Mekah ada kerajaan Saba'.

 

Semoga kita istiqamah bersama al-Quran untuk terus menjadi umat Alhamdulillah.

 

Ayat 34:49

 

قُلْ جَآءَ ٱلْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ ٱلْبَٰطِلُ وَمَا يُعِيدُ

 

Katakanlah lagi: "Telah datang kebenaran (Al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat".

 

Pengajaran

 

  1. Ini adalah di antara kesimpulan penting surah ini. Allah SWT kemukakan pembuktian melalui sejarah untuk mengingatkan kepada orang-orang di Mekah bahawa ada kerajaan Nabi Sulaiman AS yang sudah habis. Kalau kerajaan Nabi Sulaiman AS masih ada dan kerajaan Saba' tidak hancur, Mekah tidak akan menjadi perhatian. Orang akan pergi ke kerajaan Nabi Sulaiman AS dan kerajaan Saba'.
  2. Di Mekah ada Kaabah. Orang ramai pergi ke Mekah itu adalah anugerah kebenaran daripada Allah SWT. Nabi SAW disuruh memberitahu kepada orang musyrik Mekah bahawa kebenaran pasti hadir dan kebatilan itu akan hancur.
  3. Allah SWT ingatkan bahawa al-Quran datang memberi segala kebaikan. Perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.

 

Ayat 34:50

 

قُلْ إِن ضَلَلْتُ فَإِنَّمَآ أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِى وَإِنِ ٱهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِىٓ إِلَىَّ رَبِّىٓ إِنَّهُۥ سَمِيعٌ قَرِيبٌ

 

Katakanlah lagi: "Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat".

 

Pengajaran

 

  1. Nabi SAW disuruh lagi memberitahu orang kafir bahawa sekiranya Nabi SAW sesat, maka bahaya kesesatannya akan menimpa diri baginda sendiri dan jika baginda beroleh hidayah, maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan oleh Tuhan kepada baginda.
  2. Nabi SAW dapat hidayah daripada Tuhan, orang musyrik itu dapat hidayah dari mana? Orang musyrik memang tahu bahawa wahyu al-Quran itu bukan datang daripada manusia.
  3. Allah SWT mengingatkan kepada orang musyrik dan kepada kita bahawa Allah SWT Maha Mendengar dan Maha Dekat.
  4. Orang musyrik merasakan Allah itu jauh, mereka boleh buat apa sahaja. Boleh menzalimi orang lain atau cakap apa sahaja seperti mengumpat sedangkan Allah Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Kita akan takut untuk buat yang tidak baik.

 

Ayat 34:51

 

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ فَزِعُوا۟ فَلَا فَوْتَ وَأُخِذُوا۟ مِن مَّكَانٍ قَرِيبٍ

 

Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab).

 

Pengajaran

 

  1. Ada orang rasa dia boleh lepas di dunia walaupun buat yang tidak baik. Namun, bila sampai di akhirat nanti, semua orang akan terkejut.
  2. Pada waktu itu semuanya akan diambil penghakiman daripada tempat yang dekat. Tidak akan lepas daripada Allah SWT. Allah amat dekat dan semuanya akan diambil penilaian sama ada menuju ke syurga Allah ataupun menuju kepada  azab daripada Allah SWT.

 

Ayat 34:52

 

وَقَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِهِۦ وَأَنَّىٰ لَهُمُ ٱلتَّنَاوُشُ مِن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ

 

Dan (pada ketika itu) mereka berkata: "Kami sekarang beriman kepada kebenaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w)"; (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat mencapai iman dari tempat yang jauh?

 

Pengajaran

 

  1. Mereka yang sampai di akhirat,  bila sudah terkejut barulah mengaku beriman kepada Allah SWT dan kalau boleh, mereka hendak mencapai tempat yang jauh iaitu dunia (ٱلتَّنَاوُشُ), untuk kembali beramal.
  2. Bila sampai akhirat, dunia adalah merupakan tempat yang jauh, mustahil untuk dicapai atau untuk kembali.  Contoh: Kalau hendak berjasa kepada ibu ayah kita, buatlah ketika mereka masih hidup. Kalau mereka sudah meninggal, boleh lagi tetapi seperti  ٱلتَّنَاوُشُ. Kita menyesal kalau tidak buat yang terbaik kepada mereka. Sudah terlambat.
  3. Harapnya kita bukanlah orang yang diceritakan dalam ayat ini.

 

Ayat 34:53

 

وَقَدْ كَفَرُوا۟ بِهِۦ مِن قَبْلُ وَيَقْذِفُونَ بِٱلْغَيْبِ مِن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ

 

Padahal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (sudah tentu salah).

 

Pengajaran

 

  1. Orang-orang yang kufur hendak kembali ke dunia untuk beriman. Padahal mereka telah mengingkarinya semasa di dunia. Mereka selalu melemparkan tuduhan-tuduhan mengenai kebenaran dan perkara ghaib.
  2. Walaupun hebat, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Daud AS tetap bersyukur, merendah diri kepada Allah dan juga percaya kepada perkara ghaib.
  3. Salah satu percaya perkara ghaib ialah membuat persediaan kepada hari akhirat. Orang yang faham tentang hari akhirat, mereka tahu bahawa dengan baca al-Quran mereka dapat pahala, dapat manfaat di dunia tetapi lebih daripada itu kerana hendak menyiapkan bekalan sampai ke akhirat.

 

Ayat 34:54

 

وَحِيلَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ مَا يَشْتَهُونَ كَمَا فُعِلَ بِأَشْيَاعِهِم مِّن قَبْلُ إِنَّهُمْ كَانُوا۟ فِى شَكٍّ مُّرِيبٍۭ

 

Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu; sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang meragukan.

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang kufur, semasa di dunia mereka dapat macam-macam seperti kekayaan, dan boleh buat apa sahaja.
  2. Sampai di akhirat nanti, kerana tidak beriman, tidak bersyukur dan menghalang orang berbuat baik, mereka juga terhalang daripada mendapat nikmat-nikmat daripada Allah SWT.
  3. Ucapan Alhamdulillah sepatutnya memberi kesan kepada kehidupan kita: jaga solat, amanah, hargai al-Quran.
  4. Orang yang benar-benar bersyukur akan dapat menghargai apa yang ada di dunia dan apa yang ada di akhirat tanpa ragu-ragu.

 

Surah ke-35: Fatir

 

Surah Saba' banyak bercerita tentang sejarah. Surah Fatir pula banyak bercerita tentang alam sekitar untuk kita sama melihat bagaimana Fatir (Pencipta) yang mencipta dan memastikan segalanya berada dalam keadaan amat cantik dan amat baik.

 

Di hujung Surah Saba', Allah SWT menyatakan ada orang yang kufur kepada Allah SWT dengan keraguannya itu terhalang daripada segala nikmat-nikmat yang mereka biasa dapat di atas muka bumi ini. 

 

Ayat 35:1

 

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ فَاطِرِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ جَاعِلِ ٱلْمَلَٰٓئِكَةِ رُسُلًا أُو۟لِىٓ أَجْنِحَةٍ مَّثْنَىٰ وَثُلَٰثَ وَرُبَٰعَ يَزِيدُ فِى ٱلْخَلْقِ مَا يَشَآءُ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

 

Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT menceritakan semula bahawa sebenarnya segala pujian bagi Allah yang mencipta, yang membentuk kepada semua langit dan bumi, dan menjadikan malaikat.
  2. Dalam al-Quran ada perkataan 'khaliq' - pencipta daripada kosong hingga jadi sesuatu. Bila Allah gunakan perkataan 'fatir', 'badigh', 'mujib' - contohnya beberapa perkataan yang berkaitan dengan penciptaan tapi ada kaitan dengan fasa-fasa dalam penciptaan.
  3. Fatir maksudnya bukan dicipta begitu sahaja tetapi dibentuk jadi cantik dan indah.
  4. فَاطِرِٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لِلَّهِ ٱلْحَمْدُ "Segala pujian bagi Allah yang mencipta, membentuk dan mencantikkan langit dan bumi". Kita lihat awan yang cantik, gunung-ganang, pokok-pokok yang ada, bumi yang indah. Semua itu sebagai satu perkara yang perlu kita puji pada Allah SWT - bersyukur.
  5. Makin kita bersyukur, kita tidak kufur. Makin kita bersyukur maka kita tahu bahawa kita jangan ragu-ragu kepada pencipta ini. Bila Pencipta ini bagi peraturan, hendaklah kita ikut sahaja. Benda semua sudah cantik, kalau kita yang tidak mahu ikut kepada peraturan yang cantik, kitalah yang bodoh, kitalah yang kufur. Nauzubillahi min zaalik.
  6. Selain daripada itu, Allah SWT menjadikan malaikat sebagai utusan. Malaikat ada sayap: 2, 3, 4. Kalau kapal terbang yang 2 sayap pun boleh laju, cuba bayangkan malaikat yang ada 3, 4 sayap. Ada yang kata Jibril ada 70 ribu sayap.
  7. Allah SWT boleh sahaja buat segala perkara 'kun fayakun'. Tetapi Allah SWT hendak menunjukkan kehebatan Allah SWT dengan menjadikan malaikat untuk membantu kita dalam kehidupan kita untuk terus bersyukur, untuk terus mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malaikat bukan untuk disembah tetapi untuk membantu kita.
  8. Allah SWT tambah lagi, Jibril yang banyak sayap, kelajuannya itu adalah amat laju daripada langit yang tujuh. Langit yang kita nampak adalah langit dunia. Itupun kita nampak sangat jauh. Langit-langit yang lain itu dilalui oleh malaikat Jibril sampai langit ke tujuh dalam peristiwa Isra' Mikraj. Jaraknya terlampau jauh. Dengan Allah SWT menjadikan ada sayap ini, berperanan untuk membantu bergerak dengan lebih lancar. Allah berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  9. Allah SWT menceritakan hebatnya Allah SWT, menciptakan cantik-cantik langit dan bumi ini, dan juga para malaikat yang berfungsi untuk membantu kita dan Allah berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
  10. Bila kita sudah tahu perkara ini, kesannya ialah kalau Allah SWT kawal yang besar-besar, yang kecil-kecil pun Allah SWT kawal, termasuklah atom-atom dalam tubuh kita ini, darah kita. Contoh: Deria bau pun Allah SWT yang kawal. Kalau Allah tarik sekejap nikmat itu seperti kesan kepada mereka yang kena jangkitan COVID-19, pada waktu itu tahulah bahawa kita tidak boleh hendak beli apa-apa pun untuk kembalikan balik deria bau tersebut kecuali kembali kepada قَدِيرٌ شَىْءٍ كُلِّ عَلَىٰ ٱللَّهَ إِنَّ. Barulah tahu bahawa hidung ini penting sangat.

 

Ayat 35:2

 

مَّا يَفْتَحِ ٱللَّهُ لِلنَّاسِ مِن رَّحْمَةٍ فَلَا مُمْسِكَ لَهَا وَمَا يُمْسِكْ فَلَا مُرْسِلَ لَهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

 

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Pengajaran

 

  1. Salah satu rahmat besar yang Allah SWT katakan ialah nikmat al-Quran. Bila dapat al-Quran ini, Allah buka pintu hati kita untuk menerima al-Quran, untuk baca, menghargai isi-isinya, kita akan rasa berbeza. Kalau selama ini kita baca sahaja begitu. Bila Allah SWT buka hati kita itu, tidak ada sesiapa yang dapat menghalang. Tetapi kalau ada seseorang dihalang, tidak ada sesiapa pula yang dapat membukanya.
  2. Di Mekah itu ada orang menghalang orang daripada memahami al-Quran. Sebenarnya kalau Allah SWT sudah buka hidayah untuk orang itu memahami al-Quran, maka itu adalah satu anugerah besar. Allah SWT juga berkuasa atas perkara tersebut. Jangan sampai kita kufur daripada peluang itu.

 

Ayat 35:3

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ هَلْ مِنْ خَٰلِقٍ غَيْرُ ٱللَّهِ يَرْزُقُكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَأَنَّىٰ تُؤْفَكُونَ

 

Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT mengingatkan manusia supaya ingatlah banyak-banyak nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita.
  2. Allah SWT berikan rezeki daripada langit iaitu hujan. Daripada bumi ada macam-macam rezeki seperti ikan dan petrolium.
  3. Tidak ada sesiapa kecuali Allah SWT yang memberi rezeki ini. Tetapi ada orang berpaling. Rezeki dia hendak daripada Allah SWT, tetapi perintah Allah SWT dia tidak mahu ikut.

 

Pohon melur menjadi penyeri

Nampak pokok dilompati tupai

Hanya Allah pemberi rezeki

Jangan degil, jangan diabai

 

RESOLUSI

 

Ingat!


1.     Yakin dengan kebenaran yang Allah SWT berikan dan perlu disampaikan (34:50)

2.     Bina keimanan sebelum terlambat (34:52)

3.     Sentiasa buat persediaan ke akhirat dan jangan ragukannya (34:54)

 

Saya berasa lega, Allah SWT berikan al-Quran sebagai sumber hidayah.

 

Saya jelas saya mesti yakin dengan kebenaran yang Allah SWT berikan dan perlu disampaikan. Saya jelas saya mesti bina keimanan sebelum terlambat. Saya jelas saya mesti sentiasa buat persediaan ke akhirat dan jangan ragukannya.

 

Ya Allah, tingkatkan keyakinan kami dengan kebenaran yang Engkau berikan dan bimbing kami untuk sampaikan kebenaran. Ya Allah, pimpin kami untuk bina keimanan sebelum terlambat. Ya Allah, bimbing kami untuk sentiasa buat persediaan ke akhirat dan jauhkan kami ragukannya.

 

Ya Allah, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib. 

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...