Saturday, October 14, 2023

Halaman 448 Al-Saffat (37:52-76)

 

PERKATAAN HARI INI

 

طَلَعَ Mengawasi. 

19 kali disebut di dalam al-Quran







SINOPSIS  

  

  1. Orang Mukmin yang mukhlis (37:52-61)
  2. Balasan bagi orang zalim dan pelbagai bentuk azab di dalam Neraka Jahannam (37:62-74)
  3. Pengenalan Kisah Nabi Nuh AS (37:75-76)




Mukadimah

 

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pengajian pada halaman 448 Surah al-Saffat. Dalam surah al-Saffat ini kita diingatkan tentang kehebatan Alah SWT, mengenai syurga dan neraka sebelum masuk kepada kisah nabi-nabi yang menjadi insan-insan cemerlang yang diabadikan dalam surah ini.

 

Kita akan menyambung dialog mereka yang berada dalam syurga. Pada halaman lepas kita telah lihat seorang daripada ahli syurga bertanya kepada kawan-kawan di dalam syurga tentang seorang kawan yang tidak kelihatan di syurga bersamanya.

 

Ayat 37:52

 

يَقُولُ أَءِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُصَدِّقِينَ

 

"katanya: Adakah engkau juga salah seorang dari golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati pada hari akhirat)?

 

Pengajaran

 

  1. Mereka bertanya sama ada betulkah mahu membenarkan rasul tentang hari kebangkitan semula.

 

Ayat 37:53

 

أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَٰمًا أَءِنَّا لَمَدِينُونَ

 

"Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang, adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang telah kita lakukan? "

 

Pengajaran

 

  1. Betul ke setelah mati dan menjadi tulang belulang, akan dibangkitkan kembali?
  2. Kita akan ditanyakan segala yang kita buat di dunia ini. Jika kita tidak mengikut jalan agama, kita akan diazab.
  3. Setiap perkara dalam hidup kita akan ditanya. Semuanya sebagai hutang. Kalau kita ikut kriteria agama, akan lulus. Kalau kehidupan tidak diuruskan dengan cara agama, akan gagal.

 

Ayat 37:54

 

قَالَ هَلْ أَنتُم مُّطَّلِعُونَ

 

(Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: " Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?"

 

Pengajaran

 

  1. Ditanya apakah mahu melihat keadaan kawan yang mendustakan risalah rasul.

 

Ayat 37:55

 

فَٱطَّلَعَ فَرَءَاهُ فِى سَوَآءِ ٱلْجَحِيمِ

 

Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang.

 

Pengajaran

 

  1. Kawan itu tidak berada di syurga tetapi didapati berada di neraka. Dia dulu tidak yakin dengan adanya hari kebangkitan.
  2. Dia mempersoalkan hari akhirat dan tidak ambil agama ini secara serious.
  3. Di syurga kita boleh dapat apa sahaja, termasuk kalau hendak cari kawan.
  4. Berhati-hati ketika memilih kawan.
  5. Semoga kita menjadi kawan yang menuju Tuhan.

 

Ayat 37:56

 

قَالَ تَٱللَّهِ إِن كِدتَّ لَتُرْدِينِ

 

Ia pun (menempelaknya dengan) berkata:" Demi Allah! Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.

 

Pengajaran

 

  1. Bila didapati kawannya berada dalam neraka, dia bersumpah betul-betul bahawa kawannya itu hampir menceburkan dia dalam kebinasaan.
  2. Bila nampak kawan kena seksa, dia kutuk kawan itu.
  3. Dapat syurga adalah satu rahmat daripada Allah SWT.
  4. Jangan membantah kebaikan yang hendak dibuat oleh kawan, bimbang kita pula tidak dapat rahmat daripada Allah SWT.

Ayat 37:57

 

وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُحْضَرِينَ

 

"Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku (dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab) ".

 

Pengajaran

 

  1. Orang yang masuk ke syurga sedar yang ia masuk syurga bukan kerana amalnya tetapi kerana nikmat daripada Allah SWT.
  2. Kita selalu meminta kepada Allah SWT di dalam solat untuk diberikan nikmat hidayah. Kita juga kena minta untuk anak-anak dan keluarga kita diberikan nikmat oleh Allah SWT. Hanya dengan nikmat Allah SWT kita akan terhindar daripada azab neraka.

 

Ayat 37:58

 

أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ

 

(Kemudian ia berkata kepada rakan-rakannya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): " Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi, -

 

Pengajaran

 

  1. Kemudian ia berkata kepada rakan-rakannya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama: "Bukankah kita setelah mendapat nikmat-nikmat ini tidak akan mati lagi?"  
  2. Ahli syurga terus hidup dalam kenikmatan.
  3. Dia terkejut sangat bila melihat kawan yang berada dalam neraka. Tidak mati tetapi dalam azab.

 

Ayat 37:59

 

إِلَّا مَوْتَتَنَا ٱلْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ

 

"Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak akan terkena seksa?"

 

Pengajaran

 

  1. Kematian hanya sekali dan orang di syurga tidak akan diseksa.
  2. Orang yang masuk syurga semakin insaf apabila melihat kawannya berada di dalam neraka.
  3. Keimanan kepada hari akhirat ini akan memberi kesan, menggegarkan jiwa. Ia menjadi motivasi kepada kita untuk membuat persiapan ke akhirat.

 

Ayat 37:60

 

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

 

Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.

 

Pengajaran

 

  1. Ini kejayaan terbesar. Syurga adalah kenikmatan yang besar.

 

Ayat 37:61

 

لِمِثْلِ هَٰذَا فَلْيَعْمَلِ ٱلْعَٰمِلُونَ

 

Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).

 

Pengajaran

 

  1. Untuk memperolehi kemenangan ini maka kita mestilah beramal dengan bersungguh-sungguh semasa di dunia.
  2. Di dunia kita mungkin letih, boleh rehat tapi jangan lebih-lebih. Terus beramal bersungguh-sungguh untuk mendapat syurga. Kalau rasa letih, 'keep it up don't give up'.
  3. Syurga adalah tempat yang tidak ada letih.

 

Ayat 37:62

 

أَذَٰلِكَ خَيْرٌ نُّزُلًا أَمْ شَجَرَةُ ٱلزَّقُّومِ

 

Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum itu atau pokok zaqqum?

 

Pengajaran

 

  1. Kalau rasa letih beramal, ambil peringatan bahawa kita tidak mahu dihidang dengan buah pokok zaqqum.
  2. Kita mahukan makanan syurga yang sedap-sedap seperti halwa dan buah-buahan lazat.

 

Ayat 37:63

 

إِنَّا جَعَلْنَٰهَا فِتْنَةً لِّلظَّٰلِمِينَ

 

Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat).

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT jadikan pokok zaqqum sebagai satu ujian bagi orang yang zalim dalam neraka.

 

Ayat 37:64

 

إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِىٓ أَصْلِ ٱلْجَحِيمِ

 

Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang;

 

Pengajaran

 

  1. Pokok zaqqum adalah pokok yang tumbuh di dasar neraka jahim.
  2. Semakin orang kufur, semakin banyak ia tumbuh dalam neraka.

 

Ayat 37:65

 

طَلْعُهَا كَأَنَّهُۥ رُءُوسُ ٱلشَّيَٰطِينِ

 

Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;

 

Pengajaran

 

  1. Mayangnya seperti kepala syaitan. Kita tidak tahu rupa syaitan tetapi tahu syaitan itu buruk.
  2. Semoga kita jauhi daripada kekufuran agar tidak diazab di neraka.

 

Ayat 37:66

 

فَإِنَّهُمْ لَءَاكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ

 

Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.

 

Pengajaran

 

  1. Perut mereka dipenuh dengan zaqqum.
  2. Di syurga, tidak akan penuh-penuh perut penghuninya bila makan dan minum.

 

Ayat 37:67

 

ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِّنْ حَمِيمٍ

 

Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi - selain itu- satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.

 

Pengajaran

 

  1. Kemudian mereka diberi minum air yang panas menggelegak, sangat menyeksakan.

 

Ayat 37:68

 

ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى ٱلْجَحِيمِ

 

Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.

 

Pengajaran

 

  1. Mereka tetap kembali ke dalam neraka selepas minum.
  2. Di situlah kehidupan mereka yang mempersoalkan hari akhirat.

 

Ayat 37:69

 

إِنَّهُمْ أَلْفَوْا۟ ءَابَآءَهُمْ ضَآلِّينَ

 

Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan;

 

Pengajaran

 

  1. Mereka diseksa begini kerana dahulu mereka suka ikut nenek moyang mereka yang sesat.

 

Ayat 37:70

 

فَهُمْ عَلَىٰٓ ءَاثَٰرِهِمْ يُهْرَعُونَ

 

Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk neneknya.

 

Pengajaran

 

  1. Orang Islam pun ada yang beramal ikut tradisi nenek moyang, bukan berasaskan ilmu daripada al-Quran dan sunnah.
  2. Kita kena semak apa yang kita amalkan. Pastikan amal kita berasaskan kebenaran supaya dapat syurga dengan rezeki yang dimaklumi, dengan kemuliaan dan keenakan yang ada.
  3. Jika ikut orang terdahulu tanpa adanya asas yang benar, bimbang mengundang bala bencana.

 

Ayat 37:71

 

وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ ٱلْأَوَّلِينَ

 

Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga - sebelum kaummu (wahai Muhammad) - kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.

 

Pengajaran

 

  1. Kaum terdahulu juga ramai yang tersesat.
  2. Al-Quran sebagai peringatan, jangan ambil lewa.
  3. Syukur kita dapat tilawah al-Quran. Semoga Allah SWT terima segala yang kita buat ini sebagai amal soleh.

 

Ayat 37:72

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا فِيهِم مُّنذِرِينَ

 

Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT beri gambaran keadaan ahli neraka dalam ayat-ayat di atas supaya kita ambil peringatan, jangan bersikap seperti ahli neraka yang mendustakan hari akhirat, hanya ikut amalan nenek moyang yang tidak mengikut al-Quran dan sunnah atau ikut budaya yang tidak betul seperti rasuah dan mencuri masa kerja. Seperti ibu yang sayangkan anak menegur anaknya supaya tidak main basikal tepi longkang takut terjatuh dalam longkang.
  2. Nabi SAW dihantar untuk menegur.

 

Ayat 37:73

 

فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلْمُنذَرِينَ

 

Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran,

 

Pengajaran

 

  1. Allah SWT suruh kita lihat bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan rasul setelah diberi peringatan.

 

Ayat 37:74

 

إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

 

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan).

 

Pengajaran

 

  1. Hamba-hamba yang diikhlaskan oleh Allah SWT akan terselamat dan mendapat sebaik-baik balasan.

 

Ayat 37:75

 

وَلَقَدْ نَادَىٰنَا نُوحٌ فَلَنِعْمَ ٱلْمُجِيبُونَ

 

Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.

 

Pengajaran

 

  1. Contoh orang-orang yang diikhlaskan oleh Allah SWT adalah para  nabi. Mereka mengingatkan kepada kaum mereka, ada yang terima dan ada yang tidak terima.
  2. Salah satu contoh ialah Nabi Nuh AS. Baginda berdoa kepada Allah SWT memohon pertolongan. Allah SWT tidak terus menjawab doa baginda. Sampai 950 tahun baru doa baginda dijawab.
  3. Untuk menjadi orang yang mukhlasin kita kena banyak berdoa. Yang penting ialah apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita inginkan. Kadang-kadang jawapan doa kita 'on the way', kadang-kadang Allah SWT tangguhkan sampai di akhirat.

 

Ayat 37:76

 

وَنَجَّيْنَٰهُ وَأَهْلَهُۥ مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ

 

Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.

 

Pengajaran


  1. Allah SWT tangguhkan jawapan kepada doa Nabi Nuh AS adalah untuk menyelamatkan baginda bersama-sama dengan keluarganya dari kesusahan yang besar.

 

RESOLUSI

 

Ingat!


  1. Pilih kawan agar tidak terjerumus ke dalam azab Allah SWT (37:55)
  2. Jaga makanan halal di sini agar tidak diazab dengan zaqqum di akhirat (37:63)
  3. Berusaha menjadi orang yang diikhlaskan Allah SWT (37:74)

 

Saya berasa lega, Allah SWT ingatkan supaya jaga makanan halal agar tidak diazab di akhirat.

 

Saya jelas saya mesti pilih kawan agar tidak terjerumus ke dalam azab Allah SWT. Saya jelas saya mesti jaga makanan halal di sini agar tidak diazab dengan zaqqum di akhirat. Saya jelas saya mesti berusaha menjadi orang yang diikhlaskan Allah SWT.

 

Ya Allah, bimbing kami untuk pilih kawan agar tidak terjerumus ke dalam azab Allah SWT. Ya Allah, bimbing kami kami untuk jaga makanan halal di sini agar tidak diazab dengan zaqqum di akhirat. Ya Allah, bantu kami untuk berusaha menjadi orang yang diikhlaskan Allah SWT.

 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami, Ya Allah. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...