PERKATAAN HARI INI
49 kali disebut dalam al-Quran
Istilah lain ialah tali yang dipegang untuk menunggang kuda atau higal yang mengikat serban yang dipakai oleh masyarakat arab.
SINOPSIS
- Kisah sembelih lembu betina (2:70-73)
- Kekerasan hati orang Yahudi (2:74)
- Kaum Yahudi dianggap mustahil beriman (2:75-76)
Mukadimah
Dalam surah al-Baqarah ayat 7, kita berdoa tidak mahu jadi orang yang dimurkai. Halaman 10 dan 11 ini Allah menceritakan sifat-sifat orang dimurkai supaya kita dapat ambil ibrah, jangan berperangai seperti mereka.
Ayat 70-71
قَالُوا۟ ٱدْعُ لَنَا رَبَّكَ يُبَيِّن لَّنَا مَا هِىَ إِنَّ ٱلْبَقَرَ تَشَـٰبَهَ عَلَيْنَا وَإِنَّآ إِن شَآءَ ٱللَّهُ لَمُهْتَدُونَ ٧٠
Mereka berkata lagi: "Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)".
قَالَ إِنَّهُۥ يَقُولُ إِنَّهَا بَقَرَةٌۭ لَّا ذَلُولٌۭ تُثِيرُ ٱلْأَرْضَ وَلَا تَسْقِى ٱلْحَرْثَ مُسَلَّمَةٌۭ لَّا شِيَةَ فِيهَا ۚ قَالُوا۟ ٱلْـَٔـٰنَ جِئْتَ بِٱلْحَقِّ ۚ فَذَبَحُوهَا وَمَا كَادُوا۟ يَفْعَلُونَ ٧١
Nabi Musa menjawab: "Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya". Mereka berkata: "Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
Bani Israel masih ragu-ragu dan tidak berpuas hati, terus bertanya tentang lembu betina yang Allah perintahkan untuk disembelih. Namun mereka sengaja bertanya lagi untuk melambatkan bukan mempercepatkan ke atas apa yang diperintahkan. Akibat daripada banyak bertanya, mereka merasa amat sukar untuk mencari lembu tersebut sehingga membebankan diri mereka sendiri. Padahal jika mereka ikut arahan dari awal lagi hanya perlu sembelih mana-mana lembu betina sahaja. Ulama membincangkan bahawa pertanyaan mereka tersebut menggunakan akal berasaskan hati yang bermasaalah. Oleh kerana mereka menyebut Insha-Allah, akhirnya mereka menjumpai lembu betina tersebut walaupun terpaksa membelinya dengan harga yang sangat mahal.
Akhirnya mereka menjumpai lembu tersebut dan hampir-hampir mereka tidak menyembelihnya sebab terasa takjub dengan kecantikan lembu tersebut.
Pengajaran
- Apabila mendapat sesuatu perintah Allah, kita mesti terus laksanakan. Jangan banyak soal.
- Banyak bertanya akan memberatkan perkara yang mudah.
- Jangan soal yang menyebabkan kita lambat untuk berbuat sesuatu.
- Kalau ada idea buat terus, kalau salah boleh diperbaiki. Kalau tunggu untuk sempurna, boleh menyusahkan.
- Jangan guna akal berasaskan hati yang ada masalah.
- Setiap kali buat sesuatu jangan lupa kata Insya Allah. Sebab kalau bergantung kepada perasaan, pengalaman dan pemikiran, kita akan sukar dalam hidup. Boleh tension dengan orang sekeliling buat perangai.
- Dengan Insya Allah, Allah akan susun orang lain mengikut kepada apa yang terbaik dalam hidup.
Ayat 72-73
وَإِذْ قَتَلْتُمْ نَفْسًۭا فَٱدَّٰرَْٰٔتُمْ فِيهَا ۖ وَٱللَّهُ مُخْرِجٌۭ مَّا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ ٧٢
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
فَقُلْنَا ٱضْرِبُوهُ بِبَعْضِهَا ۚ كَذَٰلِكَ يُحْىِ ٱللَّهُ ٱلْمَوْتَىٰ وَيُرِيكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ٧٣
Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
Kenapa Allah perintah untuk disembelihkan lembu tersebut? Sebab Allah ingin menyingkap satu peristiwa pembunuhan. Perkataan "iz" sebagai peringatan tentang satu peristiwa pembunuhan yang dilakukan oleh seorang Yahudi tetapi telah menafikan perbuatannya menyebabkan berlakunya tuduh menuduh sesama mereka. Maka Allah menyingkap apa yang mereka sembunyikan.
Apabila diletakkan sebahagian daripada bahagian lembu itu kepada mayat tersebut, dia kembali hidup dengan kekuasaan Allah lalu memberitahu siapa pembunuhnya. Hakikatnya, Allah menghidupkan semula orang yang telah mati dan ini sebagai tanda kekuasaan dan kebesaran-Nya supaya mereka menggunakan akal.
Pengajaran
- Allah Maha Berkuasa untuk menyingkap rahsia sesiapa sahaja yang menyembunyikan kebenaran.
- Allah tahu setiap yang kita buat. Tak boleh sembunyi daripada Allah.
- Allah boleh singkap perkara yang tidak benar dengan berbagai cara.
- Jangan main-main dengan mesej daripada Allah.
Ayat 74
ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُم مِّنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِىَ كَٱلْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةًۭ ۚ وَإِنَّ مِنَ ٱلْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ ٱلْمَآءُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ ٱللَّهِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ٧٤
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
Peristiwa yang berlaku dengan pelbagai bukti dan kebenaran sepatutnya menjadi pengajaran tetapi mereka tetap berdegil dan ingkar disebabkan hati mereka lebih keras lagi dari batu. Sebab itu Allah melaknat perbuatan mereka. Perkataan (hijaarah - batu) dikaitkan juga dengan neraka, di mana dalamnya adalah manusia dan batu. Jika tidak menjaga hati, maka akan jadi seperti batu di dalam neraka.
Hati manusia berpotensi menjadi 3 jenis batu:
- batu yang keras akan memancar air seperti sungai
- batu yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya
- batu yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah.
Mengikut ulamak, Saidina Abu Bakar apabila mendapat wahyu, hatinya membuak-buak seperti sungai kerana mendapat cahaya iman. Manakala Saidina Umar pula walaupun berhati keras tetapi apabila digegarkan dan terkesan dengan al-Quran, dia berjihad bersungguh-sungguh kerana merasai kemanisan iman.
Pengajaran
- Ilmu sahaja tidak mencukupi jika tidak diurus dengan hati yang ada rasa kehambaan kepada Allah untuk berjaya di dunia dan akhirat.
- Peranan akal untuk mengekang daripada terjatuh ke lembah yang tidak baik.
- Akal jika tidak diurus dengan hati yang baik akan menjadi sombong dan keras seperti batu.
Ayat 75-76
۞ أَفَتَطْمَعُونَ أَن يُؤْمِنُوا۟ لَكُمْ وَقَدْ كَانَ فَرِيقٌۭ مِّنْهُمْ يَسْمَعُونَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ يُحَرِّفُونَهُۥ مِنۢ بَعْدِ مَا عَقَلُوهُ وَهُمْ يَعْلَمُونَ ٧٥
(Sesudah kamu - wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu - mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah)?
وَإِذَا لَقُوا۟ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَإِذَا خَلَا بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍۢ قَالُوٓا۟ أَتُحَدِّثُونَهُم بِمَا فَتَحَ ٱللَّهُ عَلَيْكُمْ لِيُحَآجُّوكُم بِهِۦ عِندَ رَبِّكُمْ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ٧٦
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: "Kami telah beriman"; dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: "Patutkah kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?"
Walaupun ditunjuk mukjizat (Allah hidupkan orang yang mati) di depan mata, namun tetap berdegil sebab hati mereka keras. Mereka memahami apa yang diturunkan Allah dalam kitab mereka, tetapi masih membuat penyelewengan atas kepentingan diri mereka sendiri.
Apabila golongan munafik itu berjumpa dengan orang-orang beriman, mereka berkata "aamanna" tetapi apabila mereka berjumpa sesama mereka berkata "patutkah kamu cerita kepada mereka sebegitu". Kenapa tidak mengguna akal dengan cara yang baik?
Pengajaran
- Allah berkuasa menghidupkan yang mati.
- Cabaran akal - kalau belajar tinggi pun kalau hati keras, ada perasaan hasad dengki, itu boleh menghasad orang lain
- Kalau ada benda tidak betul, minta ampun daripada Allah.
- Kesilapan kita boleh terbongkar bila-bila kerana Allah Maha Berkuasa.
- Ikut perintah Allah dalam semua keadaan.
- Allah bagi hujjah untuk kita berfikir.
- Jaga hati daripada sifat hasad dengki.
- Allah laknat orang yang sifat hasad dengki.
- Jauhkan sifat racist.
- Kesan hati keras tidak dapat cahaya daripada Allah menyebabkan hati tak boleh sebarkan kebaikan.
- Untuk lembutkan hati, mesti respond kepada mesej daripada Allah.
- Jangan biarkan hati keras takut jadi batu bahan bakar api neraka.
- Hati adalah penentu kebaikan pada manusia.
- Teguran Allah kepada kita dengan COVID-19, jika kita masih tidak ambil peduli, maka kita juga seperti mereka.
- Allah tegur untuk bagi peluang kepada manusia kembali kepada Allah.
- Terus jaga iman.
- Quran membenarkan kitab terdahulu (Taurat).
- Pengurusan hati dengan cara berzikir.
- Untuk dapatkan hati yang lembut dan akal yang terkawal, mesti banyak berinteraksi dengan al-Quran.
- Peranan akal adalah untuk mengekang kita daripada jatuh ke lembah yang tidak baik. Kalau tak diuruskan dengan hati yang baik, ia akan jadi sombong.
- Semua manusia berpotensi untuk menerima ilmu asalkan dia menggunakan akal dengan panduan wahyu.
RESOLUSI
Ingat !!
- Kita dianjurkan untuk melaksanakan perintah yang mudah dan jangan memberatkan (2:70-71)
- Insya-Allah diucapkan untuk mendapat hidayah (2:70)
- Penting jaga akal dan hati (2:73-74)
Lega kerana Allah beritahu kita supaya ikut saja perintah-Nya dan jangan menyusahkan diri.
Saya jelas untuk taat kepada perintah Allah, sentiasa ucap Insya Allah untuk mendapat petunjuk Allah dan menjaga akal dan hati.
Ya Allah kurniakanlah kami hati yang sentiasa tenang, tunduk, berserah diri dan taat kepada-Mu dan jauhilah kami daripada hati yang berpenyakit dan hati yang keras dan mati.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi hadiah al-Quran kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Jadikan kami orang yang taat kepada perintah-Mu dan tidak mempersoal peraturan-Mu. Kami amat memerlukan hidayah-Mu.
Ya Allah, permudahkan segala urusan dalam kehidupan kami. Tetapkan hati kami untuk taat dalam melaksanakan perintah-Mu. Bersihkan hati kami dari sifat hasad dengki dan prasangka buruk.
Ya Allah, jadikan kami orang yang berilmu, beriman dan beramal soleh. Jadikan al-Quran sebagai syafaat untuk kami di akhirat dengan rahmat-Mu ya Allah. Kurniakan kami taufik dan hidayah agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Aamiin ya Mujib.