PERKATAAN HARI INI
879 kali disebut dalam al-Quran
امن berkaitan iman, aman dan amanah (daripada perkataan أَفَتُؤْمِنُونَ )
Mengikut Asfahani, amanah yang Allah beritahu dalam surah al-Ahzab ada beberapa maksud termasuk huruf hijaiyyah, tauhid, tanggungjawab dan akal. Apabila 4 perkara ini digabungkan, akal yang diberikan Allah adalah amanah untuk mengenal tauhid, bersifat adil agar dengan keadilan itu dapat berfikir waras dan dapat membaca huruf hijaiyyah, iaitu huruf-huruf al-Quran. Sesiapa yang ada akal tetapi tidak mahu mengenal huruf hijaiyyah sebenarnya dia tidak menunaikan amanah.
SINOPSIS
- Beberapa kes pelanggaran janji oleh kaum Yahudi (2:84-86)
- Sikap kaum Yahudi terhadap para rasul dan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah (2:87-88)
Ulangkaji
- Apakah yang berlaku kepada Bani Israel sebagai peringatan kepada kita ummat yang membaca al-Quran.
- Dalam al-Fatihah ayat 7 - kita mohon menjadi orang yang diberi nikmat. Salah satu nikmat ialah apabila kita dapat membaca dan tadabbur al-Quran baris demi baris. Ada pahala untuk dunia dan akhirat. Untuk kejayaan di dunia kita perlukan pahala dan ganjaran daripada Allah untuk memudahkan urusan.
- Orang yang bertaqwa sentiasa ada jalan keluar.
- Kita tak mahu jadi orang yang dimukai dan sesat seperti yang kita sedang pelajari dalam surah al-Baqarah.
- Untuk dapat pelajaran daripada surah ini, bila baca, tukarkan Bani Israel/Yahudi kepada diri kita sebab al-Quran untuk kita. Yahudi hanya kisah kaum terdahulu yang mengenepikan petunjuk daripada kitab.
Ayat 84-86 : Kisah kaum Yahudi yang melanggar perjanjian
Ayat 84
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَكُمْ لَا تَسْفِكُونَ دِمَآءَكُمْ وَلَا تُخْرِجُونَ أَنفُسَكُم مِّن دِيَـٰرِكُمْ ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ ٨٤
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
Ini adalah tahap mikro (tahap kecil) - setiap individu kena buat 5 amalan yang Allah ingatkan dalam ayat 83 (1. jangan syirikkan Allah, 2. berbuat baik kepada ibu-bapa, sanak saudara, anak yatim dan orang miskin, 3. bertutur dengan baik kepada manusia, 4. dirikan solat dan 5. tunaikan zakat). Kalau buat betul-betul amalan mikro ini Insya Allah kita tidak akan menghadapi masalah yang besar (Makro). Tetapi kalau ada masalah dalam amalan pada ayat 83, kita mungkin menghadapi masalah yang besar kerana itu melanggar janji kepada Allah SWT.
Kalau tak faham al-Quran kita tak tahu bahawa semua ini penting untuk kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.
Kesannya boleh menyebabkan masyarakat yang menumpahkan darah. Orang beriman, sesama kita adalah satu darah. Bunuh seorang beriman adalah sebahagian daripada darah kita juga.
Pengajaran
- Gagal buat 5 amalan yang Allah sebut dalam ayat 2:83, boleh mengakibatkan masalah yang besar dalam keluarga dan masyarakat.
- Seseorang yang tidak menjaga perkara-perkara tersebut sebenarnya telah melanggar perjanjian dengan Allah.
- Jaga hubungan dengan ibu-bapa, kaum kerabat, anak yatim dan orang miskin kalau tak mahu hidup susah.
- Jaga cara berkomunikasi dengan orang lain. Tutur kata bukan sahaja dengan mulut. Apa yang kita tulis atau komen di media sosial juga mesti dijaga.
- Dirikan solat dengan sempurna supaya dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
- Tunaikan zakat, beri sedekah untuk membersihkan harta bagi membantu mereka yang memerlukan agar kestabilan masyarakat terjaga.
Ayat 85
ثُمَّ أَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ تَقْتُلُونَ أَنفُسَكُمْ وَتُخْرِجُونَ فَرِيقًۭا مِّنكُم مِّن دِيَـٰرِهِمْ تَظَـٰهَرُونَ عَلَيْهِم بِٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَإِن يَأْتُوكُمْ أُسَـٰرَىٰ تُفَـٰدُوهُمْ وَهُوَ مُحَرَّمٌ عَلَيْكُمْ إِخْرَاجُهُمْ ۚ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ ٱلْكِتَـٰبِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍۢ ۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْىٌۭ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلْعَذَابِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ٨٥
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
Wahyu ini turun merujuk kepada perbuatan kaum Yahudi yang ramai di Madinah ketika itu. Tujuan ayat ini adalah untuk mengajak kepada Tauhid.
Pada mulanya mereka berjanji untuk hidup bersatu secara aman damai agar kuat menghadapi musuh. Allah mencela Bani Israel kerana tidak menunaikan janji dengan melakukan perkara berikut:
- mereka membunuh satu sama lain,
- mengusir sesama mereka daripada kampung halaman secara zalim (disebabkan sengketa dalam keluarga),
- saling membantu dalam kejahatan dan permusuhan,
- menebus tawanan (mengikut perintah Taurat) untuk tujuan mengusir padahal mereka dilarang mengusirnya.
Dengan sebab inilah Allah mengancam mereka dengan kehinaan dan kesengsaraan hidup di dunia dan azab yang pedih di akhirat.
Pengajaran
- Sentiasa ingat perjanjian dengan Allah yang kita ucapkan dalam dua kalimah syahadah.
- Tauhid itu bukan sekadar bercakap di mulut sahaja tetapi perlu dilaksanakan dengan perbuatan.
- Menganiaya sesama Islam dan sesiapa sahaja adalah seperti menganiaya diri sendiri sebab perbuatan itu dimurkai Allah.
- Jaga hubungan keluarga dan sesama manusia supaya tidak timbul masalah dalam masyarakat.
- Jangan berpecah-belah dan berpuak-puak sesama Islam.
- Allah benci orang yang bersikap perkauman/berpuak.
- Tidak menepati janji boleh menyebabkan kita jadi hina dan sengsara di dunia serta mendapat azab akhirat.
- Mesti ikut perintah Allah secara keseluruhan, tak boleh pilih-pilih untuk kepentingan diri/kaum supaya kita tidak mendapat kehinaan di dunia dan akhirat.
- Jangan putar belit ayat al-Quran untuk justify dosa dan permusuhan kerana perbuatan ini memberikan kesan yang besar kepada masyarakat.
- Belajar baca-faham al-Quran adalah amanah yang wajib ditunaikan.
- Allah tidak pernah lalai dengan apa yang kita buat.
Ayat 86
أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ٨٦
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.
Untuk merebut kesenangan hidup, kemegahan dunia, dan ketinggian pandangan dalam masyarakat, ulamak Yahudi mengenepikan perintah Taurat. Akhirnya mereka kehilangan harta benda dan terusir dari Madinah dan di akhirat akan mendapat azab. Ini berlaku kerana kaum Yahudi melanggar perjanjian dengan Allah iaitu mereka tidak mengambil keseluruhan ajaran dari kitab Taurat dan tidak menerima al-Quran.
Pengajaran
- Hidup di dunia akan selamat dan berjaya kalau kita ikut sepenuhnya perintah/larangan Allah yang termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.
- Kalau mahu pertolongan Allah, jangan sekali-kali langgar perjanjian dengan Allah atau manusia.
- Dunia adalah tempat untuk perniagaan dan melabur bagi mendapat keuntungan hakiki di akhirat.
- Jangan sekali-kali mungkir janji.
Ayat 87-88 : Tentang sikap kaum Yahudi terhadap para rasul dan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT.
Ayat 87
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَى ٱلْكِتَـٰبَ وَقَفَّيْنَا مِنۢ بَعْدِهِۦ بِٱلرُّسُلِ ۖ وَءَاتَيْنَا عِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱلْبَيِّنَـٰتِ وَأَيَّدْنَـٰهُ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ ۗ أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمْ رَسُولٌۢ بِمَا لَا تَهْوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًۭا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًۭا تَقْتُلُونَ ٨٧
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
Pengajaran
Allah menemplak orang Yahudi dan mengingatkan mereka bahawa mereka mendapat nikmat besar dua tokoh besar dari kaum mereka iaitu Nabi Musa dan Nabi Isa. Mereka dapat nikmat yang berterusan. Tetapi bila datang Nabi Muhammad SAW yang bukan dari kaum Yahudi, mereka bersifat perkauman (racist). Mereka menyombong-nyombongkan diri dengan membuat perancangan untuk menunjukkan diri hebat.
Ayat 88
وَقَالُوا۟ قُلُوبُنَا غُلْفٌۢ ۚ بَل لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَقَلِيلًۭا مَّا يُؤْمِنُونَ ٨٨
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.
Kaum Yahudi begitu sombong berkata "hati mereka tertutup". Sebenarnya bukan hati mereka tertutup, tetapi mereka telah dikutuk oleh Allah sebab kekufuran mereka. Majoriti Yahudi ingkar tetapi ada sedikit yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW semasa di Madinah.
Pengajaran
- Nikmat besar kepada kita ialah al-Quran dan Rasul.
- Kalau ada orang bawa mesej kebenaran - tidak kira orang muda/tua atau kaum manapun, jangan ditolak.
- Jangan perasan hebat, jangan menyombongkan diri.
- Bukalah hati untuk menerima kebenaran daripada al-Quran.
- Jangan terlibat dalam apa-apa perancangan yang bertentangan dengan al-Quran.
RESOLUSI
Ingat !!
- Elakkan memilih-milih untuk taat agar tidak ditimpakan azab di dunia dan akhirat (2:85)
- Syukur dengan nikmat dan cepat taubat jika diingatkan kesilapan (2:87)
- Jangan sombong dengan ilmu yang ada hingga tertutup atau terhijab dari kebenaran (2:88)
Lega kerana Allah memberitahu sikap buruk kaum Yahudi agar kita tidak menjadi seperti mereka yang akan mendapat azab di dunia dan di akhirat.
Saya jelas untuk menjaga akidah dengan taat sepenuhnya kepada perintah/larangan Allah dalam al-Quran dan mengikut akhlak Nabi Muhammad SAW.
Ya Allah, bimbing kami supaya tidak memilih-milih untuk taat agar tidak ditimpakan azab di dunia dan akhirat. Ya Allah, jadikan kami orang yang bersyukur dengan nikmat dan cepat taubat jika diingatkan kesilapan. Ya Allah, jauhi kami daripada menjadi sombong dengan ilmu yang ada, bukalah pintu-pintu kebenaran untuk kami.