PERKATAAN HARI INI
980 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Pembangunaan Ka'abah, do'a Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. (2:127-129)
- Kebodohan orang yang benci agama Nabi Ibrahim A.S. (2:130-132)
- Bantahan atas dakwaan Yahudi bahawa mereka menganut agama Nabi Ibrahim A.S. (2:133 -134)
Mukadimah
Dalam surah al-Fatihah kita memohon jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Allah berikan nikmat seperti nabi-nabi. Nabi Adam belajar, mengajar, mengalami ujian, tersilap, baginda cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun daripada Allah SWT. Inilah sikap yang perlu kita contohi. Hari ini kita menyambung kisah Nabi Ibrahim seorang pemimpin yang hebat. Kita sepatutnya mencontohi kepimpinan Nabi Ibrahim, juga Nabi Adam sebagai khalifah di dunia ini.
Kaum Yahudi dan Nasrani menyatakan mereka berasal daripada keturunan Nabi Ibrahim tetapi adakah mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim yang sebenarnya? Itulah persolan yang akan dijawab pada halaman 20 ini.
Ayat 127
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِـۧمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَـٰعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ١٢٧
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
Keterangan Ayat
Allah membawakan sejarah untuk kita kenang dan kita ingat. Bukan sekadar cerita penglipur lara tetapi ia adalah sejarah penting jalan orang-orang yang diberi nikmat. Nabi Ibrahim meninggikan asas binaan rumah Allah, iaitu Kaabah. Ketua projek ini ialah Nabi Ibrahim a.s dibantu oleh anaknya, Nabi Ismail. Dalam membina sebarang projek akan ada kepayahan. Tetapi Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Pengajaran
- Sebagai ibu ayah, mesti melibatkan anak-anak, zuriat dan pasukan kita untuk bersama dalam melakukan amal kebaikan dan selepas itu, jangan pula merasa hebat.
- Bila selesai sesuatu projek/amalan hendaklah berdoa agar Allah terima amalan tersebut.
- Doa adalah lambang kehambaan.
- Jangan ada rasa ujub (rasa diri hebat), sum'ah (suka dengar-dengarkan kepada orang lain) atau riak (nak nampak-nampakkan) bila membuat amalan.
- Allah Yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.
- Kalau kita ada kepayahan, Allah tahu apa yang kita lalui. Sudah tentu Allah akan bantu.
- Kalau ada lagi kepayahan sudah tentu Allah hendak kita menyerah diri kepada-Nya kerana syurga itu bukannya murah.
Ayat 128
رَبَّنَا وَٱجْعَلْنَا مُسْلِمَيْنِ لَكَ وَمِن ذُرِّيَّتِنَآ أُمَّةًۭ مُّسْلِمَةًۭ لَّكَ وَأَرِنَا مَنَاسِكَنَا وَتُبْ عَلَيْنَآ ۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٢٨
"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
Keterangan Ayat
Nabi Ibrahim a.s. memohon agar Allah menujukkan cara yang betul untuk beribadah. Ini penting kerana bila kita rasa sudah menyerah diri kepada Allah, maka hendaklah ikut manasik (tatacara) yang Allah tetapkan. Baginda juga memohon keampunan dan bertaubat. Walaupun baginda tidak ada dosa dan sudah berbuat baik tetapi baginda masih merasa kekurangan. Begitulah sikap para nabi.
Pengajaran
- Kalau sudah serah diri kepada Allah, doa kepada Allah, bertaubat dan minta Allah tunjukkan cara beribadah. Cari guru untuk belajar dari sumber yang asli.
- Janganlah kita rasa hebat dengan amalan baik kita.
- Manusia ada had dalam memaafkan sesama manusia tetapi Allah Maha Penerima Taubat. Keampunan-Nya tidak bertepi.
- Walaupun kita berkali-kali buat salah dan bertaubat, Allah masih tetap sayang seperti sebelum berbuat kesilapan.
- Doa Nabi Ibrahim ini sangat 'powerful' untuk kita amalkan, tutup dengan Asmaul Husna "innaka anta tawwaburrahim"
Ayat 129
رَبَّنَا وَٱبْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ١٢٩
"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
Keterangan Ayat
Ayat ini menjadi fokus yang kita perlu beri perhatian tentang modul tarbiyah. Rab, Tuhan yang mendidik dan membesarkan potensi yang ada pada kita. Nabi Ibrahim minta dibangkitkan seorang rasul daripada mereka.
Ayat seperti ini berulang 2 kali dalam al-Quran, al-Imran (3:164) dan al-Jumuah (62:2), tetapi kedudukan perkataan tilawah (membacakan), tazkiyah (menyucikan) dan taalim (mengajarkan) berbeza.
Ayat Ali-Imran (3:164)
لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًۭا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍ ١٦٤
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Al-Jumuah (62:2)
هُوَ ٱلَّذِى بَعَثَ فِى ٱلْأُمِّيِّـۧنَ رَسُولًۭا مِّنْهُمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍۢ مُّبِينٍۢ ٢
Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Pengajaran
- Pemimpin yang hebat banyak berdoa dan berfikir tentang generasi akan datang.
- Pemimpin yang hebat menjalani kehidupan dengan merujuk kepada panduan Allah yang terdapat dalam al-Quran.
- Orang yang kuat dan bijak sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT dengan tauhid yang betul-betul ikhlas dan bersih.
- Allah suruh kita lihat al-Quran untuk tilawah (baca-faham-amal). Lepas itu kita kena taalim untuk mendalami lagi ilmu. Insya Allah kita akan sentiasa dipandu oleh Allah SWT seperti Nabi Ibrahim, bukan ikut akal kita semata-mata atau jadi orang yang tidak soleh.
Ayat 130
وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَٰهِـۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَقَدِ ٱصْطَفَيْنَـٰهُ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُۥ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٣٠
Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).
Ayat 131
إِذْ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٣١
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
Ayat 132
وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبْرَٰهِـۧمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَـٰبَنِىَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ١٣٢
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".
Ayat 133
أَمْ كُنتُمْ شُهَدَآءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ ٱلْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنۢ بَعْدِى قَالُوا۟ نَعْبُدُ إِلَـٰهَكَ وَإِلَـٰهَ ءَابَآئِكَ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ إِلَـٰهًۭا وَٰحِدًۭا وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ ١٣٣
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)".Allah menyeru Nabi Ibrahim untuk menyerah diri kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim terus serah diri kepada Allah (aslamtu). Bani Israel yang banyak berdolak-dalih. Mereka tidak menyerah kepada Allah.
Ayat 134
تِلْكَ أُمَّةٌۭ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْـَٔلُونَ عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ١٣٤
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
Keterangan Ayat 130-134
Ayat 130-134 mengingatkan kita tentang legasi Nabi Ibrahim. Ini adalah kritikan kepada orang Yahudi. Sebenarnya mereka benci kepada agama Nabi Ibrahim. Akal mereka tidak cukup matang. Dalam kata lainnya, mereka bodoh. Mereka bertanya kenapa memilih Nabi Muhammad? Mereka sepatutnya tahu pilihan itu adalah hak Allah. Yang pentingnya kita kena jadi orang yang soleh seperti pilihan Allah SWT.
Yaakub ialah cucu Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub mewasiatkan kepada anak-anak mereka supaya tetap dalam keadaan Muslim.
Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub berwasiat kepada anak-anak mereka supaya jangan mati kecuali dalam Islam. Allah menemplak kepada Kaum Yahudi bahawa semua cerita Nabi Ibrahim dan Nabi Yakub itu sudah berlalu. Mereka dapat yang terbaik sebab mereka berusaha berserah diri kepada Allah Yang Maha Esa.
Nabi-nabi berhempas pulas, kita buat apa? Ini adalah terguran daripada Allah untuk kita agar berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan generasi keturunan kita mati dalam keadaan Muslim.
Pengajaran
- Agama yang diterima hanyalah Islam, bukan Yahudi bukan Nasrani.
- Kalau kita buat baik, Allah akan jaga anak-anak keturunan kita, insya Allah.
- Kalau sudah buat terbaik, bila ada ujian, serah kepada Allah.
- Perbanyakkan bercakap topik keagamaan dengan anak-anak ketika kita sihat agar di hujung usia juga dapat mengingatkan diri dan anak-anak menjadi orang yang soleh.
- Pastikan kita dan anak cucu kita menjadi orang yang berserah diri kepada Allah Yang Maha Esa.
- Kalau nak dapat yang terbaik mesti berusaha.
- Tidak boleh berbangga dari keturunan yang baik kalau kita sendiri tidak berusaha.
- Orang Islam zaman ini kena tanya kita buat apa untuk mengembalikan kegemilangan Islam.
- Kita hendaklah berkorban untuk agama dan banyak berdoa.
RESOLUSI
Ingat !!
- Selalu berdoa agar amalan keluarga kita diterima (2:127)
- Do'akan keislaman zuriat agama kita dan memohon Allah mengampunkan kita (2:128)
- Baca, fahami dan hayati al-Quran (2:129)
Lega kerana Allah ajarkan cara berdoa agar kekal sebagai orang beriman hingga ke akhir hayat.
Saya jelas untuk banyak berdoa memohon ampun daripada Allah dan berdoa agar zuriat kekal dalam Islam.
Ya Allah, Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara melakukan ibadah kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Penerima tobat, Maha Penyayang.