PERKATAAN HARI INI
63 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Peringatan agar tidak mengikuti kaum Yahudi dan Nasrani (2:120-121)
- Allah mengingatkan tentang nikmat-Nya dan mengingatkan akhirat (2:122-123)
- Ujian kepada Nabi Ibrahim AS, karakteristik Kaabah, dan keutamaan Makkah (2:124-126)
Mukaddimah
Bani Israel ini pernah berpeluang mendapat hidayah (hadiah) dengan dihantarkan rasul-rasul kepada mereka. Tetapi kerana mereka tidak menghargai hadiah, sampai extremenya mereka membunuh rasul-rasul yang membawa hadiah. Memang perangai mereka sangat teruk.
Hari ini kita melihat kesimpulan akhir kisah tentang Bani Israel diikuti dengan kisah Nabi Ibrahim.
Ayat 120
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ ٱلْيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعْتَ أَهْوَآءَهُم بَعْدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Keterangan Ayat
Ayat 119 menyebut tentang Nabi menyampaikan khabar gembira dan amaran daripada Allah tetapi Bani Israel tetap degil. Allah memujuk, yang penting kita buat kerja kita, sampaikan khabar gembira dan beri peringatan. Nabi ingin mempengaruhi kaum Yahudi di Madinah tetapi mereka tetap degil.
Sebenarnya kaum Yahudi tidak akan redha kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka tahu bahawa Nabi memang bagus, tetapi mereka tidak beriman Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul. Mereka hendak orang Islam ikut "millah", jalan hidup mereka terutama dari segi gaya hidup dan akidah.
Allah menegaskan bahawa petunjuk yang betul ialah daripada Allah, bukan daripada Yahudi, Nasrani atau manusia. Itulah hadiah yang paling berharga. Allah mengingatkan Nabi dan sahabat cukuplah petunjuk daripada Allah. Bila dapat hadiah ini jangan ikut hawa nafsu. Yahudi dan Nasrani sudah banyak ilmu tetapi mereka hendak Allah ikut cakap mereka.
Ayat 121
ٱلَّذِينَ ءَاتَيْنَـٰهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ يَتْلُونَهُۥ حَقَّ تِلَاوَتِهِۦٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِۦ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ ١٢١
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
Keterangan Ayat
Allah memuji kepada orang yang beriman. Bila mereka dapat ilmu, mereka membaca al-Quran dengan betul-betul, mereka akan dapat pertolongan dan menjadi wali kepada Allah SWT. آتَيْنَاهُمُ Allah bangga dengan orang yang tilawah (baca-faham-amal) al-Quran.
Ayat 122
يَـٰبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتِىَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّى فَضَّلْتُكُمْ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ ١٢٢
Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
Keterangan Ayat
Ayat (2:47) sama dengan ayat ini. Allah perintah Bani Israel untuk mengingati nikmat-Nya dengan membaca al-Quran, bukan baca Taurat. Semua nikmat yang Allah berikan kepada mereka tersenarai dalam al-Quran.
يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ - 2:47
Ayat 123
وَٱتَّقُوا۟ يَوْمًۭا لَّا تَجْزِى نَفْسٌ عَن نَّفْسٍۢ شَيْـًۭٔا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌۭ وَلَا تَنفَعُهَا شَفَـٰعَةٌۭ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ ١٢٣
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
Keterangan Ayat
Ayat ini serupa dengan ayat (2:48) tetapi ayat ini ada perkataan عَدْلٌ, ayat 2:48 ada perkataan شَفَاعَةٌ .
وَاتَّقُوا يَوْمًا لَّا تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلَا يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ - 2:48
Bezanya, pada ayat 48 ialah tentang Allah tidak menerima syafaat nabi, kitab dan malaikat untuk Bani Israel kerana mereka menolak para nabi, kitab dan malaikat.
Sebab itu bila baca al-Quran kita kena ikut satu demi satu. Bukan sekadar baca berulang kali sahaja. Mesti baca, faham dan beramal dengan al-Quran. Dengan itu kita akan sentiasa jadi orang yang beriman kepada Allah SWT, dapat menjadi wali Allah (berkawan dengan Allah) dan mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
Pengajaran Ayat 120-123
- Berhati-hati dengan propaganda Yahudi dan Nasrani yang mahu kita ikut lifestyle dan akidah mereka.
- Gunakan ilmu dengan cara yang betul iaitu untuk mentauhidkan Allah SWT, memperbaki ibadah dan lifestyle.
- Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sahaja. Mesti baca-faham-amal al-Quran.
- Allah SWT hanya tolong orang yang tilawah (baca-faham-amal) al-Quran.
- Orang yang kufur kepada nabi, kitab dan malaikat mereka itulah orang yang rugi kerana tidak mendapat pertolongan Allah SWT.
Ayat 124
۞ وَإِذِ ٱبْتَلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَـٰتٍۢ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّى جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًۭا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِى ٱلظَّـٰلِمِينَ ١٢٤
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."
Keterangan Ayat
Ayat ini tentang kisah bapa kepada orang-orang yang beriman iaitu Nabi Ibrahim yang diangkat oleh Bani Israel. Mereka berbangga bahawa mereka keturunan Nabi Ibrahim, tetapi mereka hanya fokus kepada Israel sahaja iaitu keturunan Nabi Yaakub (anak Nabi Ishak). Keturunan Nabi Ismail mereka tidak terima.
Berkenalan dengan Nabi Ibrahim (Abraham - dalam bahasa Hebrew maksudnya "ayah ketua kepada ramai - ayah kepada pemimpin umat")
Ab - ayah
Rabb - ketua
Ham - ramai
Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk melakukan beberapa perkara:
- hancurkan berhala
- berhijrah daripada negeri
- menyembelih Nabi Ismail
- bina Kaabah
- seru manusia menunaikan haji
Semua perintah tersebut Nabi Ibrahim buat dengan berjaya. Nabi Adam gagal tetapi berjaya selepas bertaubat. Bani Israel diuji tetapi gagal. Iblis diuji suruh sujud, dia enggan lalu gagal dan dia salahkan Allah. Kita selaku Bani Adam nak jadi macam mana? Kalau boleh kita nak jadi macam Nabi Ibrahim atau Nabi Adam. Nabi Adam tersilap sikit tapi bertaubat lalu Allah angkat, Allah bantu. Bani Israel ikut iblis, kita tak mahu jadi begini.
Nabi Ibrahim ialah seorang pemimpin yang selalu mendoakan generasi yang akan datang. Allah kabulkan doa baginda asalkan jangan jadi orang yang zalim.
Pengajaran
- Laksanakan perintah Allah dengan sempurna baru dapat jadi pemimpin yang berjaya.
- Selalulah berdoa kebaikan untuk zuriat kita.
- Allah tidak kabulkan doa orang yang zalim.
Ayat 125
وَإِذْ جَعَلْنَا ٱلْبَيْتَ مَثَابَةًۭ لِّلنَّاسِ وَأَمْنًۭا وَٱتَّخِذُوا۟ مِن مَّقَامِ إِبْرَٰهِـۧمَ مُصَلًّۭى ۖ وَعَهِدْنَآ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِىَ لِلطَّآئِفِينَ وَٱلْعَـٰكِفِينَ وَٱلرُّكَّعِ ٱلسُّجُودِ ١٢٥
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud".
Keterangan Ayat
Ayat ini ialah tentang membina Kaabah. Kaabah ini sebenarnya institusi penting untuk membina generasi yang memimpin atas dasar hidayah daripada Allah. Kaabah juga lambang kepada kiblat, lambang solat kita. Selagi kita jaga solat, Insya Allah kita akan menjadi pemimpin kepada dunia.
Pengajaran
- Kaabah lambang perpaduan umat Islam.
- Untuk jadi pemimpin yang berjaya, jagalah solat.
Ayat 126
وَإِذْ قَالَ إِبْرَٰهِـۧمُ رَبِّ ٱجْعَلْ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنًۭا وَٱرْزُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُۥ قَلِيلًۭا ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ ١٢٦
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".
Keterangan Ayat
Nabi Ibrahim berdoa untuk orang beriman sahaja tetapi Allah berfirman kepadanya yang Dia tetap memberi rezeki kepada untuk orang kafir untuk sementara, di dunia ini.
Pengajaran
- Ujian dalam kehidupan adalah anugerah besar daripada Allah (Contoh: Ujian COVID-19)
- Allah Maha Pemurah beri kesenangan kepada semua manusia.
- Kalau tidak beriman, kesenangan itu hanya sementara, azab neraka menanti.
- Tingkatkat iman supaya Allah beri kesenangan di dunia dan kesenangan di akhirat.
RESOLUSI
Ingat !!
- Jangat ikut hawa nafsu, tetapi ikut ilmu (2:120)
- Ingat hidayah? Tilawah Quran (2:121)
- Jadikan Nabi Ibrahim sebagai contoh pemimpin berjaya (2:2:124-126)
Lega kerana Allah beri al-Quran sebagai sumber ilmu untuk menjadi penawar hati agar tidak jadi seperti Bani Israel yang mempunyai hati yang sakit.
Saya jelas untuk tidak ikut nafsu, untuk bersungguh-sungguh tilawah al-Quran agar berjaya memimpin diri, keluarga dan masyarakat mentauhidkan Allah.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Kurniakan kami bantuan untuk berpegang teguh kepada hadiah Mu ya Allah. Kami amat memerlukan hidayah-Mu. Jadikan kami orang yang sentiasa menghargai nikmat-Mu dengan rajin mengkaji al-Quran.
Ya Allah, kurniakan kami istiqamah mengkaji al-Quran, supaya kami faham untuk beramal yang terbaik dan menyampaikan mesej kebenaran daripada-Mu. Jadikan al-Quran sebagai pembimbing kami di dunia. Kurniakan kami taufik dan hidayah agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Jauhi kami dari azab neraka. Aamiin ya Mujib.