PERKATAAN HARI INI
1390 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Bantahan atas klaim umat Yahudi bahawa mereka menganut agama Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yakub AS (2:135-137)
- Celupan Iman dan pengaruhnya dalam jiwa dan kehambaan kepada Allah (2:138-141)
Mukadimah
Alhamdulillah hari ini kita mendalami halaman terakhir dalam Juzuk Pertama. Ummul Quran, al-Fatihah dibaca berulang kali tanpa jemu. Pada ayat 6 dan 7 kita berdoa memohon kepada Allah agar ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang berjaya seperti yang disebut dalam Halaman 1 al-Baqarah. Bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat seperti yang diceritakan dalam Halaman 7-19.
Ayat 135
وَقَالُوا۟ كُونُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ تَهْتَدُوا۟ ۗ قُلْ بَلْ مِلَّةَ إِبْرَٰهِـۧمَ حَنِيفًۭا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ١٣٥
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik".
Keterangan Ayat
Ayat ini menyatakan bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani di Madinah mengajak orang-orang Islam masuk agama mereka untuk mendapat petunjuk. Sedangkan Yahudi dan Nasrani saling mengata antara satu sama lain. Sesama mereka, mereka bermusuh. Tetapi bila bercakap dengan orang Islam mereka bersatu untuk menghancurkan kebenaran yang ada.
Allah ajarkan kepada orang Islam untuk mengatakan bahawa 'millah' Ibrahim yang lurus dalam kebenaran. Lurus itu maksudnya ia membawa kita kepada kebaikan, ketenangan berbanding dengan Yahudi dan Nasrani yang agama mereka itu mempunyai banyak kecelaruan. Mereka mengikut hawa nafsu sendiri malah telah diubah-ubah oleh imam-imam mereka.
Dihujung ayat ini Allah sebutkan وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ . Perkataan مَا itu patut kita beri perhatian. مَا bukan sekadar kata tidak, ia bermaksud 'bukan', untuk menyatakan bahawa Nabi Ibrahim itu tidak ada unsur syirik. Ini untuk menangkis tohmahan Yahudi dan Nasrani yang mengatakan Nabi Ibrahim terlibat dengan unsur syirik semasa baginda tercari-cari Tuhan yang sebenarnya.
Pengajaran
- Kita mesti sedar bahawa orang Yahudi dan Nasrani bergabung mengajak kita mengikut perangkap mereka.
- Dengan tilawah al-Quran, kita akan sedar tentang propaganda mereka.
- Hendaklah kita tetap teguh berada dalam agama Islam kerana inilah jalan lurus yang diminta dalam al-Fatihah.
- Islam adalah agama yang membawa kepada kebaikan dan ketenangan.
- Agama Yahudi dan Nasrani adalah agama yang celaru sebab sudah diubah-ubah oleh imam-imam mereka.
Ayat 136
قُولُوٓا۟ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ إِلَىٰٓ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَآ أُوتِىَ ٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ ١٣٦
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".
Keterangan Ayat
Dalam ayat ini Allah mengajar umat Islam untuk beriman dengan iman yang tepat. Allah perintahkan supaya orang beriman bersatu dengan menggunakan kalimah قُولُوٓ. Ini bermakna kita kena beramai-ramai kuatkan iman kepada Allah dan berpegang teguh kepada al-Quran dan kitab-kitab yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi terdahulu untuk meneguhkan hati kita. Peneguhan (affirmation) ini penting supaya hati kita tidak mudah menjadi lemah yang boleh menyebabkan hati kita diresapi oleh syirik kepada Allah. Kesan syirik ini akan menyebabkan kita akan stress dalam hidup.
Pengajaran
- Umat Islam ada susur galur sampai kepada Nabi Ibrahim.
- Nabi Muhammad diberi kurnia yang berbeza daripada Nabi Musa.
- Kita tidak tolak Nabi Musa dan Nabi-nabi terdahulu serta kitab-kitab mereka
- Semua Nabi-nabi terdahulu juga membawa ajaran yang sama iaitu untuk mentauhidkan Allah.
- Jangan mengaku Islam pada waktu tertentu sahaja untuk kepentingan diri.
- Kita mestilah mengesakan Allah SWT dan menyerah diri kepada-Nya.
- Orang Islam mesti bersatu untuk mencapai kemenangan melawan unsur syirik.
- Betulkan akidah kepada Allah SWT supaya hidup tenang.
Ayat 137
فَإِنْ ءَامَنُوا۟ بِمِثْلِ مَآ ءَامَنتُم بِهِۦ فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ ۖ وَّإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّمَا هُمْ فِى شِقَاقٍۢ ۖ فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ ۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ ١٣٧
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Keterangan Ayat
Perhatikan kepada kalimah فَقَدِ ٱهْتَدَوا۟ (Maka sesungguhnya mereka telah mendapat petujuk). Allah beritahu kepada kita jika orang Yahudi dan Nasrani beriman sebagaimana kita beriman tentu mereka juga mendapat petunjuk. Malangnya mereka memilih-milih untuk beriman. Mereka tidak terima semua yang Allah perintahkan melalui kitab yang diturunkan kepda Nabi Musa dan Nabi Isa.
Sebagai Muslim yang sebenarnya kita terima semua yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah kesinambungan legasi Nabi Ibrahim hasil doa baginda pada ayat 129.
Tilawah, ta'alim, tazkiah diminta oleh Nabi Ibrahim dalam doanya, tetapi Allah memberi tilawah dan tazkiah dulu, baru ta'alim. Allah mahu membersihkan hati terlebih dulu kerana untuk mendapat cahaya petunjuk daripada al-Quran, hati mesti bersih.
Kalau sesama Islam bermusuh, bermakna ada masalah dengan iman. Ramai yang membaca al-Quran tetapi bermusuh sesama sediri. Mengapa jadi begini? Padahalnya semua membaca al-Quran yang sama. Ayat ini memberi jawapannya; iaitu yang paling memusuhi Islam ialah Yahudi dan Nasrani tetapi jika orang Islam sendiri bermusuh, ini menyamai perangai mereka.
Ada yang mengatakan Islam ini mundur tetapi Allah memberitahu bahawa Dia akan mencukupkan bagi orang yang beriman (فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ). Allah akan beri pertolongan.
Pengajaran
- Sebagai orang beriman, hendaklah kita yakin dengan pegangan agama yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
- Jangan pernah merasa rendah diri sebagai orang mukmin. Contoh: Dalam pejabat, jangan takut-takut nak beritahu nak pergi solat di awal waktu.
- Ketidakyakinan itu ada kaitan dengan keimanan yang tidak mantap.
- Kalau kita betul-betul beriman Allah akan cukupkan. Yang penting bila kita beriman, yakinlah kita sentiasa ada backup daripada Allah.
- Yakin Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Allah sentiasa mengetahui keperluan kita.
- Berdoalah kepada Allah dalam kita berdepan dengan ideologi yang berbagai.
- Hendaklah kita beritahu kepada anak-anak dan keluarga bahawa cukuplah Allah bagi kita.
- Hendaklah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk membina identiti muslim, Allah akan mencukupkan.
- Berusahalah membersihkan hati agar cahaya petunjuk al-Quran mudah meresap ke dalam hati kita.
- Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu bapa yang mencorakkan kehidupan mereka.
- Dalam zaman sekarang, Yahudi dan Nasrani membuat serangan pemikiran melalui televisyen, telefon, internet dll. Mereka sentiasa membuat propaganda dan agenda untuk melemahkan umat Islam.
- Kita hendaklah sentiasa bersedia menangkis serangan mereka dengan memantapkan keimanan bersama keluarga iaitu kembali baca-faham-amal al-Quran
Ayat 138
صِبْغَةَ ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبْغَةًۭ ۖ وَنَحْنُ لَهُۥ عَـٰبِدُونَ ١٣٨
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
Keterangan Ayat
صِبْغَةَ bermakna celupan. Celupan Allah bermakna agama Allah. Ini adalah perumpamaan seperti baju putih yang dicelup betul-betul akan jadi cantik. Celupan agama Allah yang cantik kesannya akan menjelmakan kecantikan itu dalam diri melalui gaya hidup sebagai mukmin sejati.
Pengajaran
- Agama Allah yang paling baik.
- Hendaklah kita membetulkan akidah, ibadat dan gaya hidup seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
- Jangan terpengaruh dengan gaya hidup Yahudi dan Nasrani.
- Hendaklah kita tilawah al-Quran untuk mendapat panduan sebenar kehidupan.
- Kalau kita hendak dimuliakan oleh Allah kita kena bersedia mencelupkan diri dalam agama Allah dengan proses yang betul sehingga budi pekerti dan gaya hidup kita menjadi seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.
- Kalau hendakkan celupan yang cantik, maka kita kena berkorban. Bersedia untuk menukar cara kita berfikir dan cara kita berperasaan.
Ayat 139
قُلْ أَتُحَآجُّونَنَا فِى ٱللَّهِ وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ وَلَنَآ أَعْمَـٰلُنَا وَلَكُمْ أَعْمَـٰلُكُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُخْلِصُونَ ١٣٩
Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya;
Pengajaran
- Jangan berdebat tentang Allah.
- Allah adalah 'master' yang mendidik kita.
- Hendaklah kita buat amalan betul-betul ikhlas kerana Allah sebab kita sudah mengaku 'Dia adalah Tuhan'.
- Kita mungkin tidak tukar agama tetapi secara sedar atau tidak, apa yang kita buat mungkin mengikut gaya hidup mereka.
- Allah tidak pernah marah atau jemu, walaupun kita berbuat dosa. Dia Maha Menerima taubat hamba-Nya.
- Teguhkan iman agar tidak mudah terpengaruh dengan jalan hidup Yahudi dan Nasrani.
Ayat 140
أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَٰهِـۧمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطَ كَانُوا۟ هُودًا أَوْ نَصَـٰرَىٰ ۗ قُلْ ءَأَنتُمْ أَعْلَمُ أَمِ ٱللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَـٰدَةً عِندَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ ١٤٠
"Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?" Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.
Pengajaran
- Allah lah yang tahu siapa yang Islam sebenar-benarnya.
- Al-Quran adalah SOP, jadi kita kena kembali kepada al-Quran untuk semak apa yang kita buat betul atau tidak.
- Bersedia untuk ubah gaya hidup kalau apa yang kita buat tidak menepati panduan daripada al-Quran.
Ayat 141
تِلْكَ أُمَّةٌۭ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْـَٔلُونَ عَمَّا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ١٤١
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.
Pengajaran
- Jangan terbuai dan bernostalgia dengan kegemilangan orang terdahulu, tanya diri kita apa yang kita buat untuk kembalikan kegemilangan Islam.
- "Let bygones be gold, istighfar, move forward and do the best to live a life of a real muslim"
- Kuatkan hati kita bahawa jalan kehambaan dan bukan musyrik adalah yang benar.
- Jalan Islam bukan jalan main-main.
- Walaupun apa pekerjaan kita, buatlah yang terbaik agar kita tercelup dengan celupan dan acuan Allah.
- Hidup dan mati kita hanyalah kerana mempertahankan ketauhidan kepada Allah SWT.
- Butikan kita dapat memberi sumbangan agar dapat mengembalikan kecemerlangan berteraskan wahyu daripada Allah SWT.
- Celupan Allah harganya tidak ternilai, maka kita mesti bekerja keras dengan membuat amalan yang diredhai Alah SWT.
RESOLUSI
Ingat !!
- Menjadikan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad sebagai panduan gaya hidup ( 2:136)
- Kuatkan keimanan kepada Allah, nescaya akan diberikan kecukupan (2-137)
- Selalu semak gaya pemikaran dan perasaan kita agar sentiasa berteraskan kehambaan kepada Allah (2-138)
Lega kerana Allah beritahu jalan hidup Islam membawa ketenangan dan kecukupan dalam hidup.
Saya jelas untuk menjadikan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad sebagai panduan gaya hidup. Saya jelas untuk kuatkan keimanan kepada Allah supaya diberikan kecukupan. Saya mesti selalu semak gaya pemikaran dan perasaan agar sentiasa berteraskan kehambaan kepada Allah.
Ya Allah, bimbing kami untuk menjadikan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad sebagai panduan gaya hidup. Ya Allah, kuatkan keimanan kami kepada-Mu. Kurniakan kami kecukupan dalam mengharungi hidup ini. Ya Allah, pandu kami semak gaya pemikaran dan perasaan agar kami sentiasa berteraskan kehambaan kepada-Mu.