Saturday, July 1, 2023

Halaman 172: Al-A'raf, 7:164-170

FORMULA UNTUK TERUS BERSAMA TAUHID

Perkataan hari ini:


وَعَظَ  Nasihat, peringatan


25 kali disebut dalam al-Quran


SINOPSIS   


  1. Peristiwa Sabtu (164-166)

  2. Kisah kaum Yahudi mengenai bukit yang terangkat, terhina di akhirat, terbahagi/berpecah-pecah di dunia, kecuali orang soleh (167-170)



Mukaddimah


Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan pengajian baca, faham, amal al-Quran di halaman 172. Semoga kita terus istiqamah baca dan tadabbur ayat-ayat al-Quran untuk memahami mesej daripada Allah SWT seterusnya beramal dengannya.


Pada halaman lepas kita telah melihat kisah hari Sabtu yang berlaku pada Bani Israel. Peraturan pada hari Sabtu mereka tidak boleh menangkap ikan. Mereka bermain dengan peraturan, letakkan pukat pada hari Jumaat atau mengambil ikan pada hari Sabtu tetapi tidak memakannya. Pelajarannya: Janganlah kita main-main dengan peraturan Allah SWT. Contoh: a) Amalan riba tapi letak sebagai hadiah/faedah, b) Rasuah yang dilabelkan sebagai hadiah.



Ayat [7:164]


وَإِذْ قَالَتْ أُمَّةٌۭ مِّنْهُمْ لِمَ تَعِظُونَ قَوْمًا ۙ ٱللَّهُ مُهْلِكُهُمْ أَوْ مُعَذِّبُهُمْ عَذَابًۭا شَدِيدًۭا ۖ قَالُوا۟ مَعْذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ


Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".



Mesej dan Tindakan:


  1. Kumpulah kedua ialah kumpulan yang berada di atas pagar. Mereka tidak mahu memberi nasihat kepada yang buat salah. Mereka menyatakan buat apa kisahkan mereka yang memang akan kena azab, "jangan jaga tepi kain orang".

  2. Kumpulan ketiga ialah kumpulan yang memberi nasihat. Mereka mengingatkan kepada hidayah. Mereka berbuat begitu sebagai alasan supaya mereka selamat daripada azab Allah SWT dan supaya orang berbuat salah itu bertakwa.

  3. Pelajaran untuk kita: 

    1. Jika kita tahu ada orang yang buat silap seperti rasuah dan menipu jangan dibiarkan. Kalau kita biarkan sahaja, kita jadi kumpulan kedua. 

    2. Kumpulan ketiga akan lakukan sesuatu kerana hendak menyelamatkan diri di hadapan Allah SWT dan mengharapkan orang yang diingatkan itu bertakwa. 

    3. Kumpulan ketiga tidak terus menghukum. Kalau kita ada kuasa dan kita sokong kepada kempen anti-rasuah kita termasuk kumpulan ketiga.  

    4. Kita mengingatkan kawan yang bersalah dengan rasa kasih sayang dan mengharap mereka menjadi orang bertakwa tetapi tidak terus menghukum dan membiarkan mereka.



Ayat [7:165]


فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦٓ أَنجَيْنَا ٱلَّذِينَ يَنْهَوْنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذْنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ بِعَذَابٍۭ بَـِٔيسٍۭ بِمَا كَانُوا۟ يَفْسُقُونَ


Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah akan menimpakan azab kepada orang yang zalim termasuk orang yang di atas pagar yang menghukum awal-awal.  

  2. Hanya golongan ketiga iaitu orang yang mencegah kemungkaran akan selamat. 

  3. Semoga kita menjadi orang yang mencegah kemungkaran agar selamat daripada azab Allah. 



Ayat [7:166]


فَلَمَّا عَتَوْا۟ عَن مَّا نُهُوا۟ عَنْهُ قُلْنَا لَهُمْ كُونُوا۟ قِرَدَةً خَـٰسِـِٔينَ


Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".


Mesej dan Tindakan:


  1. Bani Isreal yang menipu dalam peristiwa hari Sabtu telah dihina oleh Allah SWT. Mereka dihukum bertukar menjadi kera kerana mereka menghina perundangan daripada Allah SWT.

  2. Janganlah kita duduk diam melihat kemungkaran. Kita mesti bersama dengan orang-orang yang mencegah kemungkaran tersebut. 



 Ayat [7:167]


وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبْعَثَنَّ عَلَيْهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَن يَسُومُهُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَرِيعُ ٱلْعِقَابِ ۖ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ


Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Mesej dan Tindakan:


  1. Bani Israel telah diberikan banyak nikmat oleh Allah SWT. Namun mereka ingkar, maka Allah SWT hina mereka. 

  2. Allah SWT membuat pengumuman besar. Allah akan bangkitkan orang lain yang akan menghina mereka. Mereka berhijrah (diaspora) dan berpecah merata-rata dan terus dihina. Mereka dihina di Babylon, di Farsi, dan di Palestin. 

  3. Allah Maha Pengampun Maha Mengasihani. Allah utuskan Nabi Isa A.S untuk selamatkan mereka tetapi mereka tetap degil. Akhirnya mereka sendiri menzalimi diri mereka sehingga dihina. 



Ayat [7:168]


وَقَطَّعْنَـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أُمَمًۭا ۖ مِّنْهُمُ ٱلصَّـٰلِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَٰلِكَ ۖ وَبَلَوْنَـٰهُم بِٱلْحَسَنَـٰتِ وَٱلسَّيِّـَٔاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ


Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah memecah-mecahkan orang Yahudi ke seluruh dunia. Di dunia ini, ramai pemikir-pemikir dalam kalangan Yahudi seperti Einstein, pemegang hadiah Nobel yang diberikan kebaikan ( بِٱلْحَسَنَـٰتِ  ) dan juga ada yang diberikan keburukan ( ٱلسَّيِّـَٔاتِ ) seperti Karl Marx yang membawa idealogi Komunis oleh Allah SWT. Pelbagai orang dibangkitkan untuk menghina Bani Israel seperti Hitler di Jerman. Semuanya adalah supaya mereka kembali kepada Allah SWT.

  2. Pengajaran untuk kita:

    1. Berpisahnya Bani Israel satu dunia adalah untuk menunjukkan kebenaran al-Quran.

    2. Allah memecahkan mereka yang dahulunya daripada satu tempat kerana mereka tidak mengikut dan menghina kepada perundangan Allah. 

    3. Kita tidak mahu ahli keluarga kita, negeri kita berpecah kerana suka cut the corner, suka main-mainkan perundangan Allah dan tidak mencegah perkara buruk dalam masyarakat seperti rasuah dan amalan yang tidak berteraskan kepada al-Quran. 



Ayat [7:169]


فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌۭ وَرِثُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَـٰذَا ٱلْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌۭ مِّثْلُهُۥ يَأْخُذُوهُ ۚ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِم مِّيثَـٰقُ ٱلْكِتَـٰبِ أَن لَّا يَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ وَدَرَسُوا۟ مَا فِيهِ ۗ وَٱلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌۭ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ


Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: "Akan diampunkan kelak dosa kami" Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah menggantikan orang lain untuk mewarisi Kitab Taurat kerana Bani Israel tidak menghargainya. Apabila kitab Taurat terbakar di Babylon dan diselamatkan oleh Uzair, mereka memuja Uzair berlebihan sehingga menganggapnya anak Tuhan. 

  2. Yang mewarisi Kitab Taurat, mereka lebih memilih dunia. 

  3. Pelajaran untuk kita: 

    1. Jika kita menghormati ustaz/ulama, jangan sampai mengkultuskan/mensucikan mereka seolah-olah mereka tidak buat salah. Jika mereka silap, jangan kecewa. Doakan mereka.

    2. Allah sahaja yang Maha Suci. Manusia banyak kesilapan. 

    3. Orang-orang yang ada nilai agama jangan jual agama dengan mengambil sesuatu yang rendah. Kita tidak mahu bersama menutup kebenaran. Contoh: Jika ada ustaz/penceramah/YB yang dipanggil oleh syarikat tertentu untuk promosi produk/servis mereka dan menyuruh kita bercakap hanya apa yang mereka suka/suruh cakap sahaja, jangan terima. 

    4. Janganlah kita meletakkan dunia lebih tinggi daripada al-Quran. Contoh: Orang-orang yang mempunyai ilmu agama mempunyai tanggungjawab yang besar. Yang merosakkan Bani Israel adalah ulamaknya yang duduk senyap jadi kumpulan kedua yang tidak mengingatkan kesilapan yang dibuat oleh rakyat dan pemimpin.

    5. Ini ada kaitan dengan kisah Iblis dan Nabi Adam. Iblis nakkan kita ini tak payah keluar Islam pun tak apa. Jangan tinggal kan Quran pun tak apa. Tetapi senyap sahaja bila kemungkaran berlaku. Jangan tegur orang buat silap, nanti kena. Janganlah kita jadi 'syaitan bisu'. Kita mesti tegur bila ada orang buat silap. Kalau kita tidak tegur, nanti kita akan berpecah, dihina dan mudah dimanipulasi oleh orang zalim.

    6. Kepada yang belajar al-Quran, apabila kita faham perjanjian yang ada dalam al-Quran, jangan main-main kerana dunia. Contoh: Bila kita ada kuasa, kita lepaskan sahaja apabila dapat duit rasuah. Inilah punca kehancuran bagi sesuatu Bani Adam, samada individu, keluarga dan masyarakat.


Ayat [7:170]


وَٱلَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِٱلْكِتَـٰبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُصْلِحِينَ


Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).


Mesej dan Tindakan:


  1. Allah memuji satu golongan dalam Bani Israel yang perlu kita contohi. Mereka berpegang teguh kepada Kitab Taurat dan mendirikan solat. 

  2. Musleh ialah orang yang mengajak kepada kebaikan, bukan sekadar dia baik seorang. 

  3. Orang yang berpegang teguh ( يُمَسِّكُونَ ) kepada kitab akan menahan diri dari rasuah, sumber-sumber yang haram dan mereka mendirikan solat, maka Allah tidak akan mensia-siakan mereka. 

  4. Ada tiga sifat orang musleh: a) tahan diri dengan berpegang kepada al-Quran, b) mendirikan solat, c) berusaha memperbaiki keadaan hidupnya dan orang-orang di sekelilingnya.

  5. Semoga kita menjadi orang musleh. Allah bekalkan pahala bagi orang-orang yang sentiasa berbuat kebaikan dan mengajak orang lain berbuat kebaikan. Teruskan mengajak anak-anak, keluarga dan masyarakat untuk berbuat kebaikan, In Shaa Allah pahala menanti kita.


 RESOLUSI

Ingat !!

  1. Beri peringatan dan cegah kemungkaran sebagai tanda serius untuk menyelamatkan diri (165)

  2. Sentiasa minta ampun kepada Allah SWT biarpun ada azab yang akan melanda (167)

  3. Berjaga-jaga dengan ujian kebaikan dan keburukan dan segera kembali pada Allah SWT dalam apa jua keadaan (168)


Lega kerana Allah akan selamatkan saya sekiranya saya beri peringatan dan cegah kemungkaran.


Saya jelas untuk  beri peringatan dan cegah kemungkaran sebagai tanda serius untuk menyelamatkan diri. Saya mesti sentiasa minta ampun kepada Allah SWT biarpun ada azab yang akan melanda. Saya mesti berjaga-jaga dengan ujian kebaikan dan keburukan dan segera kembali pada Allah SWT dalam apa jua keadaan.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.  


Ya Allah, jadikan kami orang musleh. Ya Allah, bantu kami untuk beri peringatan dan cegah kemungkaran agar kami selamat dari azab Mu. Ya Allah, ampuni kami dan jauhi kami daripada azab di dunia dan azab di akhirat. Ya Allah, bimbing kami untuk berjaga-jaga dengan ujian kebaikan dan keburukan. Ya Allah, bantu kami untuk segera kembali kepada Mu dalam apa jua keadaan.


Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...