PERKATAAN HARI INI
جَمَعَ Berkumpul.
129 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Tatacara pembahagian harta rampasan perang (41)
- Perbanyakkan zikir kepada Allah SWT ketika bertempur (45)
Mukaddimah
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT pada hari ini kita dapat meneruskan pembelajaran pada Juz 10, halaman 183 surah al-Anfal untuk menyambung perbincangan yang ada kaitan dengan Surah At-Taubah. Surah Al-Anfal ada 75 ayat.
Hari ini kita bertemu jawapan kepada perkataan Al-Anfal yang disebut di awal surah. Ada lima istilah berkaitan Al-Anfal:
- Ghanimah - harta rampasan perang dari musuh terdiri dari barang-barang kekayaan mereka.
- Al-Fai'u - penyerahan negeri, segala apa yang dipunyai oleh musuh apabila diserahkan.
- Al-Anfal - harta rampasan yang diberikan oleh imam kepada pejuang sebagai tambahan kepada harta yang telah dibahagi-bahagikan.
- As-Salbu - apa yang di rampas dari badan musuh yang telah dibunuh seperti pedang dan perisai.
- As-Saffu - barang rampasan yang dipilih oleh ketua perang terlebih dahulu sebelum dibahagikan.
Ayat [8:41]
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُۥ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَـٰمَىٰ وَٱلْمَسَـٰكِينِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ إِن كُنتُمْ ءَامَنتُم بِٱللَّهِ وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا يَوْمَ ٱلْفُرْقَانِ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌرٌ
“Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami (Muhammad) pada "Hari Al-Furqaan", iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Mesej Dan Tindakan
- Kali ini Allah memberi jawapan tentang Anfal. Anfal itu adalah untuk Allah dan rasul. Bukan semua perkara daripada ghanimah untuk mereka yang berjuang. Anfal itu perlu dikumpulkan terlebih dahulu di hadapan Rasulullah SAW.
- Selepas dididik dengan 40 ayat, barulah Allah memberikan jawapan bagi pertanyaan tentang Anfal. Apabila berjuang, letakkan Allah dan Rasul di hadapan dan tidak boleh melangkaui Allah dan Rasul. Kalau ikut manusia, semua manusia mahu untuk dirinya. Ada bahagian orang lain yang perlu difahami tetapi jangan sampai melangkau Allah dan Rasul.
- Ghanimah mesti dibahagikan. Satu perlima adalah hak Allah yang perlu diberi kepada:
- Rasul (لِلرَّسُولِ) - menunjukkan keutamaan diberikan kepada rasul dan kaum kerabat Rasullullah SAW
- Anak yatim
- Orang miskin
- Musafir
- Mengikut sejarah, Nabi SAW tidak mengambil banyak pun harta ghanimah untuk diri dan keluarganya. Anaknya Fatimah mahukan pembantu pun, baginda SAW tidak memberi dan mengajarnya untuk berzikir. Banyak harta yang didapati diberikan kepada anak yatim, orang miskin dan orang musafir.
- Orang yang ada masalah iman, dia akan mahukan semaksima mungkin harta untuk dirinya.
- Yaum Al-Furqan (يَوْمَ ٱلْفُرْقَانِ) ada dua makna:
- Hari bertemunya dua pasukan dalam perang Badar - Ia menentukan siapa yang bersama Allah dan siapa yang tidak bersama Allah. Menentukan yang hak dan yang batil. Pasukan yang menang menunjukkan ia dibantu oleh Allah dan yang kalah dilaknat oleh Allah. Perang Badar bukan sekadar satu peperangan. Ia bermula dengan hanya ingin mengambil semula harta orang Islam yang dirampas oleh orang musyrik yang akhirnya bertukar menjadi peperangan.
- Hari turunnya wahyu pada 17 Ramadhan di Gua Hira’ - Yang diturunkan kepada Nabi SAW ialah al-Quran, bukan harta.
Ayat [8:42] Formula Kemenangan
إِذْ أَنتُم بِٱلْعُدْوَةِ ٱلدُّنْيَا وَهُم بِٱلْعُدْوَةِ ٱلْقُصْوَىٰ وَٱلرَّكْبُ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَلَوْ تَوَاعَدتُّمْ لَٱخْتَلَفْتُمْ فِى ٱلْمِيعَٰدِ وَلَٰكِن لِّيَقْضِىَ ٱللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَنۢ بَيِّنَةٍ وَيَحْيَىٰ مَنْ حَىَّ عَنۢ بَيِّنَةٍ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ
“(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat (ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah yang jauh (dari Madinah), sedang Kafilah (pembawa dagangan musuh) berada di tempat yang rendah dari tempat kamu (di tepi laut). Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan harinya. Akan tetapi (pertemuan angkatan kamu dengan angkatan mereka yang tidak disangka-sangka itu) ialah supaya Allah melakukan suatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya); kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Mesej Dan Tindakan
- Perang Badar ini tidak dirancang. Ia adalah ditetapkan (مَفْعُولًا) oleh Allah untuk mengasingkan mereka yang kafir dan menghidupkan yang beriman dengan 'bayyinah' iaitu al-Quran.
- Orang yang beriman, Allah akan membantu dan yang tidak beriman akan dihancurkan.
- Perkataan لَسَمِيعٌ عَلِيمٌ ini bermakna Allah amat mendengar segala-galanya, tidak bertepian. Allah tahu orang musyrik Mekah merancang dan orang Muslim pun merancang. Semua yang kita rancang, Allah tahu, baik mahupun tidak. Yang memperjuangkan Islam, Allah tahu. Yang mahu menghancurkan Islam pun Allah tahu. Allah akan menghidupkan hati orang beriman untuk mereka beroleh kejayaan. Inilah formula kemenangan dalam surah Al-Anfal.
- Ayat ini menerangkan lokasi perang Badar. Nabi SAW berjalan bersama pasukannya ke sumber air berhampiran Badar dan berhenti di situ. Al-Habab bin Munzir, setelah diberitahu baginda SAW bahawa berhenti di situ bukan wahyu, sekadar strategi perang, mencadangkan mereka ke tempat lain yang memungkinkan mereka memutuskan sumber air Badar dari kaum kafir. Keperluan mental, fizikal adalah penting terutamanya kerana ini adalah peperangan pertama. Nabi SAW bercampur dan bertanya pendapat masyarakat/sahabat kerana itu akan memberi semangat kepada sahabat.
Ayat [8:43] Cara Allah Membantu Sebelum Perang (Psywar)
إِذْ يُرِيكَهُمُ ٱللَّهُ فِى مَنَامِكَ قَلِيلًا وَلَوْ أَرَىٰكَهُمْ كَثِيرًا لَّفَشِلْتُمْ وَلَتَنَٰزَعْتُمْ فِى ٱلْأَمْرِ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ سَلَّمَ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
“(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Ia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”
Mesej Dan Tindakan
- Ini adalah God's intervention, bantuan Allah. Di dalam mimpi Nabi SAW dinampakkan tentera kafir itu sedikit, tidak kuat dari segi kualiti dan kuantitinya. Jika tidak digambarkan begitu, baginda SAW akan merasa lemah semangat. God's intervention amat penting dalam memberi semangat kepada kita untuk berjuang. Semangat daripada Allah adalah amat diperlukan.
- Perang Badar berlaku di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan bukanlah bulan banyak tidur dan makin lembab. Ia adalah bulan perjuangan.
- Allah amat tahu apa yang ada pada hati kita. Hati kita ada 4 lapisan: Sadr – qalb – fuad – lubb. ٱلصُّدُورِ adalah lapisan hati di mana syaitan meniupkan was-was. Di situlah kita rasa takut atau tak yakin. Allah tahu dan Allah mencampakkan kesejahteraan (سَلَّمَ) kepada orang Islam.
Ayat [8:44]
وَإِذْ يُرِيكُمُوهُمْ إِذِ ٱلْتَقَيْتُمْ فِىٓ أَعْيُنِكُمْ قَلِيلًا وَيُقَلِّلُكُمْ فِىٓ أَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِىَ ٱللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا وَإِلَى ٱللَّهِ تُرْجَعُ ٱلْأُمُورُ
“Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang Islam nampak musuh seperti sedikit bilangannya dan mereka jadi bersemangat. Musuh pula, bila melihat orang Islam sedikit, mereka mula rasa mudah sangat nak mengalahkan mereka. Mereka menjadi tidak berdisiplin.
- Inilah ketetapan daripada Allah SWT. Semua urusan kembali kepada Allah SWT.
- Pelajarannya: Kemenangan kita dalam apa pun, bukan kerana kekuatan kita. Semuanya adalah ketentuan Allah. Kejadian COVID19 ini pastinya adalah ketentuan Allah untuk melihat sama ada kita bertambah dekat pada-Nya atau semakin menjadi tidak bersemangat dan lemah. Semoga kita berjaya menjalani ujian COVID19, jadi orang yang bersemangat dan semakin dekat dengan Allah SWT
Ayat [8:45] Formula Untuk Kekalkan Kejayaan
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَٱثْبُتُوا۟ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
Mesej Dan Tindakan
- Apabila telah berjaya, Allah mengingatkan pada orang beriman dua perkara:
- Teguhkan pendirian di dalam hati ( فَٱثْبُتُوا۟ ).
- Banyakkan ingat Allah SWT agar berjaya/menang seterusnya.
- Peringatan ini adalah untuk bergerak ke hadapan, kerana di hadapan ada perang Uhud.
RESOLUSI MQT254
Ingat !!
- Selalu berdoa agar Allah SWT membimbing kita untuk membuat perancangan terbaik dalam hidup (42)
- Selalu sedar manusia mudah bertelagah untuk sesuatu perjuangan kecuali dibantu Allah SWT(43)
- Kuatkan semangat dengan perbanyakkan zikir kepada Allah SWT (45)
Lega kerana Allah akan bimbing saya sekiranya saya selalu berdoa kepada-Nya.
Saya jelas untuk selalu berdoa agar Allah SWT membimbing saya untuk membuat perancangan terbaik dalam hidup. Saya mesti selalu sedar bahawa manusia mudah bertelagah untuk sesuatu perjuangan kecuali dibantu Allah SWT. Saya jelas saya mesti kuatkan semangat dengan perbanyakkan zikir kepada Allah SWT.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk membuat perancangan terbaik dalam hidup. Ya Allah, jauhi kami daripada bertelagah, bantu kami untuk berjuang menyampaikan kebenaran daripada al-Quran. Ya Allah, tetapkan hati kami dalam agama-Mu, ingatkan kami untuk perbanyakkan zikir kepada-Mu dan kuatkan semangat kami untuk terus berjuang menegakkan tauhid.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.