Sunday, July 2, 2023

Halaman 183 : Al-Anfal, 8:46-52

PERKATAAN HARI INI

صَبَرَ Bersabar.

103 kali disebut dalam al-Quran 


SINOPSIS   

  1. Taat dan tidak berbantahan (46-47)
  2. Syaitan berlepas diri daripada orang kafir ketika krisis dalam Perang Badar dan ketika orang munafik menghina orang beriman (48-49)
  3. Penghancuran golongan kafir dan musyrik kerana perbuatan mereka yang buruk seperti halnya penghancuran terhadap pengikut Firaun (50-52)


Mukaddimah


Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT pada hari ini kita dapat meneruskan pembelajaran pada Juz 10, halaman 183 surah al-Anfal. Kita mahu terus melihat apakah isi surah al-Anfal ini yang gaya bahasanya, isinya hampir sama dengan surah yang ke-9, surah al-Taubah. Kita sudah nampak susur galur kaitan di antara surah Madaniyyah yang panjang, surah al-Baqarah, ali-Imran, al-Anfal dan at-Taubah. Semuanya ada kaitan dengan perjuangan Badar sebagai satu daripada al-Furqan (Yaumul Furqan) yang membezakan antara yang hak dan yang batil.   

Kita sudah bersedia dengan Rejab, Syaaban dan semoga diberi peluang ke Ramadhan. Program ini juga adalah sebagai persediaan Ramadhan yang indah. Semoga solat dalam Ramadhan nanti akan menjadi satu kenangan indah dengan kita memahami isi kandungan surah yang dibaca.  

Pada halaman lepas kita telah belajar tentang seruan Allah kepada orang beriman supaya teguh dan banyak mengingat Allah agar berjaya. 


Ayat [8:46]

وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَٱصْبِرُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Allah perintahkan supaya taat kepada Allah dengan mengikut Rasul, sebagai panglima perang yang membawa mesej daripada Allah SWT.
  2. Bila seseorang hendak pergi berjuang, kena teguh diri, banyak ingat Allah dan jangan berselisih (وَلَا تَنَٰزَعُوا۟), berbalah. Jika tidak, belum berjuang lagi sudah lemah semangat (فَتَفْشَلُوا). Bila kita terus menerus berhujah dengan manusia, takut nanti akan membawa kepada kehancuran. Contohnya bila nak membantu orang susah, janganlah berhujah sangat dengan orang kerana pasti akan ada yang tidak setuju dan menghalang. Kita tahu niat kita adalah untuk mengikut perintah Allah dan teruskan.
  3. Walaupun dalam Peperangan Badar tentera Islam sudah pun menang, tetap juga kena bersungguh-sungguh. Allah mengingatkan agar jangan berselisih sebagai persediaan untuk umat Islam menuju ke hadapan.
  4. Bersabar adalah dengan buat seoptimum mungkin, dengan bersungguh-sungguh. Walaupun dalam hati ada rasa tak selesa tetap juga bersabar buat perkara kebaikan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
  5. Nak sabar:
    • kena teguhkan diri
    • ingat Allah banyak-banyak
    • taat kepada rasul dan 
    • jangan berbalah - kekuatan dalam diri manusia akan hancur bila berbalah 

Ayat [8:47]

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ خَرَجُوا۟ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Orang musyrik, bila keluar dari Mekah, mereka angkuh (بَطَرًا) kerana mereka kaya dan banyak peralatan. Mereka riak dan memandang rendah orang Islam serta menghalang jalan kebaikan. Allah tahu cara mereka dan Allah pasti memberi balasan (مُحِيطٌ)
  2. Peringatan buat kita, bila kita sudah kaya, ada kuasa, janganlah menjadi angkuh seperti mereka.

Ayat [8:48]

وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيْطَٰنُ أَعْمَٰلَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ ٱلْيَوْمَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَإِنِّى جَارٌ لَّكُمْ فَلَمَّا تَرَآءَتِ ٱلْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّى بَرِىٓءٌ مِّنكُمْ إِنِّىٓ أَرَىٰ مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ وَٱللَّهُ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu". Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: "Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya".”


Mesej Dan Tindakan

  1. Mereka terpengaruh dengan syaitan yang menghias amal kebaikan mereka nampak seperti bagus dan syaitan memberi motivasi kepada orang musyrik bahawa tidak ada sesiapa yang akan dapat mengalahkan mereka. Syaitan berkata bahawa mereka berjiran, pendamping bagi mereka (جَارٌ لَّكُمْ).
  2. Bila syaitan nampak dua pasukan itu bertemu, dia berundur diri dan melepaskan diri. Syaitan takut juga kepada Allah, sebenarnya. Syaitan pun takut, tetapi ada manusia yang langsung tidak takut. Terus ambil rasuah.

Ayat [8:49]

إِذْ يَقُولُ ٱلْمُنَٰفِقُونَ وَٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ غَرَّ هَٰٓؤُلَآءِ دِينُهُمْ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata: "Orang-orang (Islam) itu telah diperdayakan oleh ugama mereka (sehingga mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya)". Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah (dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Di kalangan umat Islam di dalam Peperangan Badar, tidak ada munafik. Munafik terdapat di Mekah. Merekalah yang mengeluarkan idea-idea kotor tentang orang-orang beriman. Mereka mengatakan orang beriman itu tertipu. Janganlah kita sebagai orang beriman melabelkan orang lain sebagai taksub, fanatik kecuali perkara itu memang jelas salah.
  2. Bila ada orang kecam kita, jangan balas balik. Balas orang bodoh, kita jadi bodoh. Balas orang gila, kita pun jadi gila.
  3. Apabila seseorang berjuang betul-betul pada Allah, bermulalah bantuan daripada Allah al-Aziz. Dengan memahami Allah itu Maha Berkuasa, dia tetap akan bersemangat walaupun orang kecam, kutuk. Dia yakin apa yang dibuat adalah berdasarkan apa yang al-Quran cakap.
  4. Apabila seseorang bertawakal kepada Allah al-Hakim, dia akan menjadi orang yang bijaksana dia akan dapat ilham demi ilham daripada Allah SWT.

Ayat [8:50]

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذْ يَتَوَفَّى ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ يَضْرِبُونَ وُجُوهَهُمْ وَأَدْبَٰرَهُمْ وَذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

“Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): "Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar".”


Mesej Dan Tindakan

  1. 1. Orang-orang kafir mendapat bencana daripada tentera Islam dan juga malaikat. Malaikat memukul mereka di muka dan di belakang waktu mengambil nyawa mereka. Inilah azab yang pedih bagi mereka yang kufur kepada Allah.

Ayat [8:51]

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّٰمٍ لِّلْعَبِيدِ

“(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Mereka menerima azab kerana dosa mereka sendiri.
  2. Allah tidak menzalimi hamba-hambaNya.

Ayat [8:52]

كَدَأْبِ ءَالِ فِرْعَوْنَ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَفَرُوا۟ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِىٌّ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

“(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.”


Mesej Dan Tindakan

  1. Keadaan orang kafir adalah sama dengan kaum-kaum terdahulu. Dinasti Firaun ini panjang. Firaun adalah satu gelaran. Firaun di zaman Nabi Musa berbeza dengan Firaun di zaman Nabi Yusuf.
  2. Realiti azab yang diberi kepada Firaun, kaum Tsamud dan kaum ‘Ad ada persamaan polanya. Mereka diberi azab-azab kecil dahulu seperti kutu, katak. Bila azab kecil tidak dihiraukan, Allah turunkan azab besar yang menghancurkan mereka.
  3. Azab kecil di zaman Nabi Muhammad SAW adalah dalam bentuk teguran daripada sahabat-sahabat terhadap kebatilan. Azab besarnya ialah kalah dalam peperangan. Kemenangan di Badar adalah azab ke atas orang kafir.
  4. Zaman sekarang, bila berlaku pertembungan antara orang kafir yang memusuhi Islam dengan kita, orang Islam perlu bersedia dan membina kekuatan untuk mempertahankan agama. Tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
  5. 5. Semoga Allah pelihara keselamatan kita daripada azab kecil atau besar.


RESOLUSI MQT255 

Ingat !!

  1. Elakkan berselisih pendapat dengan mencari titik temu untuk berjuang ke depan (46)
  2. Buat kerana Allah SWT, bukan kerana angkuh dan mahu dipuji ketika membuat kebaikan (47)
  3. Jangan beri ruang kepada syaitan untuk menguasai dan mengalahkan kita (48)

Lega kerana Allah ingatkan saya supaya buat kebaikan kerana Allah SWT.

Saya jelas untuk elakkan berselisih pendapat dengan mencari titik temu untuk berjuang ke depan. Saya mesti buat kerana Allah SWT, bukan kerana angkuh dan mahu dipuji ketika membuat kebaikan. Saya jelas untuk tidak beri ruang kepada syaitan untuk menguasai dan mengalahkan kita. 

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.

Ya Allah, jauhkan kami daripada berselisih pendapat, bantu kami mencari titik temu untuk berjuang ke depan. Ya Allah, pimpin kami untuk buat kebaikan dengan ikhlas, jauhi kami daripada sifat angkuh dan mahukan pujian. Ya Allah, lindungi kami daripada pengaruh syaitan yang merosakkan amalan kami kami.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Rujukan: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...