Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
حَلَفَ Bersumpah.
13 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Penjelasan tentang keadaan orang munafik yang tertinggal dari perang (62-66)
- Sifat-sifat orang munafik dan balasan bagi mereka di akhirat (67-68)
Mukaddimah
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kita dapat teruskan pengajian pada halaman 197 untuk Baca-Faham-Amal. Setiap hari kita diajarkan Allah al-Quran melalui guru-guru, juga di dalam berbagai medium. Dengan kasih sayang Allah ar-Rahman dalam surah ke-55, Allah mengatakan عَلَّمَ ٱلْقُرْءَانَ ( Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran) iaitu nikmat paling tinggi yang Allah letakkan dekat dengan ar-Rahman kemudian barulah خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ ( Dia lah yang telah menciptakan manusia) dan seterusnya.
Ini menunjukkan bahawa apabila kita diberikan peluang tetapi sebenarnya bergantung kepada sejauh mana kita menjawab pertolongan ataupun peluang yang Allah berikan. Kita ucapkan syukur betul-betul kerana ini adalah satu tanda kesungguhan kita ingin kembali kepada Allah, istilah bahasa Arabnya تَابَ membawa kepada surah at-Tawbah yang kita ikuti dan mungkin sebahagiannya kita rasa garang sikit, sebab itu tak ada basmallah dalam surah ini. Ini adalah antara fasa akhir Nabi SAW bersama wahyu setelah 13 tahun berdakwah dengan memujuk tetapi tak berkesan juga mesej yang disampaikan maka akhirnya diletakkan hukuman kepada orang-orang yang munafik/hipokrit.
Semoga kita diberikan istiqomah di atas jalan kebenaran kerana kita bimbang sifat-sifat munafik yang disebut dalam al-Quran ini ada dalam diri kita. Kita mahu kembali kepada Allah dengan jiwa yang salim, jauh dari sifat syirik, kufur dan munafik kerana ia akan membinasakan kita.
Pada halaman lepas kita telah belajar bahawa orang munafik meremehkan Nabi SAW. Mereka berkata Nabi SAW mendengar semua yang orang kata dan lurus bendul. Itu sebenarnya satu petanda tentang bagaimana sikap Nabi SAW yang mendengar semua orang tanpa memilih-milih. Kemudian Nabi SAW menyaring apa yang dikatakan, berteraskan keimanan. Itu adalah sebagai satu rahmat dalam kalangan orang yang beriman. Nabi SAW mendengar daripada semua golongan dengan sikap empati yang luar biasa. Nabi cakap pada akal orang yang berhujah dengan baginda.
Sebagai ibu/ayah, walaupun kita CEO yang biasa urus hal-hal besar tetapi bila balik ke rumah dan bercakap dengan anak, kenalah sesuaikan cara bercakap dengan keadaan keluarga. Contoh: Cakap assalamualaikum pun ikut cara anak sebut. Bukan mereka ikut cara kita kerana mereka belum sampai ke tahap kita tetapi kita pernah melalui tahap mereka.
Ayat [9:62]
يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَحَقُّ أَن يُرْضُوهُ إِن كَانُوا۟ مُؤْمِنِينَ
“Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang munafik dipulaukan oleh orang beriman kerana mereka tidak pergi ke Perang Tabuk. Mereka bersumpah untuk mencari redha orang beriman kerana mereka telah hilang pengaruh.
- Allah ingatkan bahawa mereka sepatutnya mencari redha Allah. Taat kepada Allah bermakna taat kepada Rasul.
- Orang munafik tidak suka ada autoriti yang lebih tinggi daripada mereka. Padahal Allah sudah kata bahawa Nabi SAW adalah orang yang dipilih. Orang Yahudi tak puas hati kerana sebenarnya mereka tak puas hati Nabi daripada orang Arab, bukan dalam kalangan orang Yahudi.
- Peringatan untuk kita: Kalau kita mencari redha manusia, ada kemungkinan kita boleh menjadi munafik. Mencari redha Allah dan rasul itu tandanya betul-betul kita ini sedang membina iman kepada Allah SWT. Contoh: Kalau ada orang yang tak puas hati dengan rupa parasnya bermakna dia tak puas hati dengan Allah SWT yang menjadikannya. Mereka mengubah rupa untuk mencari redha manusia bukan mencari redha Allah SWT dan rasul.
Ayat [9:63]
أَلَمْ يَعْلَمُوٓا۟ أَنَّهُۥ مَن يُحَادِدِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَأَنَّ لَهُۥ نَارَ جَهَنَّمَ خَٰلِدًا فِيهَا ذَٰلِكَ ٱلْخِزْىُ ٱلْعَظِيمُ
“Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar.”
Mesej Dan Tindakan
- Dalam konteks Perang Tabuk, orang munafik tidak pergi berperang. Dalam konteks kita sekarang, sekiranya kita langgar had yang Allah tetapkan itu bermakna kita menentang perintah-perintah Allah dan RasulNya.
- Bila Allah bagi had/hudud, kita jangan langgar had itu. Had selain itu ialah menjaga aurat, menjaga janji. Allah tidak suka orang yang memungkiri janji yang telah dimetrai.
- Allah mengancam orang yang menentang Nya. Allah suruh pergi berperang untuk melindungi orang beriman, menaikkan nama Allah dan Islam. Orang yang tidak mahu pergi berperang balasannya adalah neraka jahanam dan mereka kekal di dalamnya. Ini adalah kehinaan yang amat besar.
- Orang munafik merasa dipulaukan selama 40-50 hari itu adalah penghinaan. Jadi mereka buat macam-macam. Itu rupa-rupanya penghinan kecil berbanding dengan azab neraka yang akan kekal di dalamnya. Kaab bin Malik ditawarkan oleh seorang raja yang bukan Islam untuk bersamanya. Kaab bin Malik mempertahankan keimanan, berkata bahawa kena pulau itu perit tetapi kalau bersama orang kafir lagi perit kerana akhirnya akan diazab di neraka yang lebih perit.
- Bagi ibu bapa yang perit menguruskan anak-anak, bayangkan di akhirat nanti perit yang lebih teruk sekiranya tidak menjaga mereka yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Kita tak mahu dihina di dunia dan di akhirat. Maka jalankanlah tanggungjawab sebagai ibu-bapa atau tugas-tugas lain yang menjadi amanah kita.
Ayat [9:64]
يَحْذَرُ ٱلْمُنَٰفِقُونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِمَا فِى قُلُوبِهِمْ قُلِ ٱسْتَهْزِءُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مُخْرِجٌ مَّا تَحْذَرُونَ
“Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): "Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai).”
Mesej Dan Tindakan
- Orang munafik takut dibongkarkan perkara buruk mereka dengan turunnya surah. Mereka sensitif tentang perkara ini.
- Sebagai orang beriman, kita sepatutnya lebih sensitif kepada ayat-ayat al-Quran yang membongkar sikap buruk kita.
- Semoga kita lebih lagi takut untuk berjanji/bersumpah sedangkan kita tak dapat tunaikan janji-janji tersebut. Bimbang kita akan dilaknat oleh Allah SWT.
- Perkataan sumpah berulang tujuh kali dalam surah at-Tawbah ini agar kita menjaga perkataan kita, jangan manis di bibir mulut sahaja.
- Dengan rasa takut ini kita sepatutnya lebih berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan daripada sifat orang munafik yang suka bersumpah.
Ayat [9:65]
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"”
Mesej Dan Tindakan
- Nabi nampak ada sahabat yang memberi sebahagian tamarnya kepada keluarga dan setengah kepada yang berjuang. Baginda SAW berkata itu adalah sesuatu yang baik. Orang munafik pula mempermain-mainkan sumbangan sahabat itu. Bila sampai hal itu kepada Nabi SAW, mereka berkata mereka hanya bergurau, main-main sahaja.
- Orang-orang munafik suka main-main dan buat lawak tentang agama. Berhati-hatilah supaya kita tidak mudah mempermain-mainkan orang yang berbuat kebaikan seperti mereka.
- Janganlah kita main-main bab-bab agama, Allah dan Rasul. Orang yang suka main-main itu petanda kehidupan orang itu ada masalah dengan Allah dan Rasul.
Ayat [9:66]
لَا تَعْتَذِرُوا۟ قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَٰنِكُمْ إِن نَّعْفُ عَن طَآئِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَآئِفَةًۢ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ مُجْرِمِينَ
“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”
Mesej Dan Tindakan
- مُجْرِمِينَ ialah orang yang berbuat jenayah. Mereka diminta untuk pergi berperang tetapi mereka memandang enteng. Malah mereka memperolok-olokkan suruhan Nabi SAW.
- Kewajipan perang ini kita kena ambil ikut konteks. Ayat ini mendisiplinkan kita tetapi ia perlu difahami dalam konteks yang betul. Jangan pula kita aplikasi pada tempat yang salah. Contoh: Bila ketua minta buat sesuatu, lambat sikit sudah kata ciri munafik. Perkara itu perlu kita elakkan.
- Janganlah kita mudah memunafikkan orang. Kalau kita jumpa sifat-sifat itu maka hendaklah kita didik untuk kembali balik kepada trek disiplin yang diperlukan. Perlu komunikasi yang jelas. Perang ini wajib hanya setelah puluhan tahun Nabi SAW berdakwah. Semua wajib pergi berperang kecuali wanita, kanak-kanak dan yang dibenarkan oleh Nabi SAW.
- Allah tidak memaafkan orang munafik kerana mereka sudah dapat iman, tahu kebenaran tetapi mereka kufur. Mereka melanggar perintah Allah dan mempermainkan Allah dan Rasul. Mereka adalah penjenayah besar dalam masyarakat.
Ayat [9:67]
ٱلْمُنَٰفِقُونَ وَٱلْمُنَٰفِقَٰتُ بَعْضُهُم مِّنۢ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِٱلْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ
“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah menjelaskan bahawa orang munafik lelaki dan perempuan antara satu sama lain adalah sama level. Mereka tidak menjaga sesama sendiri kerana masing-masing ada agenda tersendiri. Orang Islam mengangkat kalimah Allah dengan berinfaq sebahagian harta mereka.
- Mereka menyeru kepada perkara mungkar dan mencegah kepada kebaikan. Bagi orang Islam, kita menyediakan keperluan keluarga tetapi pada masa sama berinfak untuk mengangkat kalimah Allah di atas muka bumi ini.
- Orang munafik itu kedekut. Mereka melupakan Allah maka Allah pun melupakan mereka. Inilah balasan kerana sifat mereka yang fasik, derhaka kepada Allah. Mereka lupa bahawa Allah yang berikan segala-galanya tetapi mereka cari tuhan lain.
Ayat [9:68]
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱلْمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَٰلِدِينَ فِيهَا هِىَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ ٱللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ
“Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknat mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah menjanjikan orang munafik dan orang-orang kafir adalah sama taraf. Allah melaknat mereka dan bagi mereka azab neraka yang kekal.
- Semoga Allah SWT jauhkan kita daripada sifat-sifat munafik.
RESOLUSI MQT275
Ingat !!
- Jangan sekadar manis bercakap mencari reda manusia tetapi carilah reda Allah SWT (62)
- Jangan mempermain-mainkan agama dan ayat Allah SWT (65)
- Jauhkan sifat munafik yang menyeru kepada mungkar dan menghalang kebaikan (67)
Lega kerana Allah ingatkan supaya jauhkan daripada sifat munafik.
Saya jelas untuk tidak sekadar manis bercakap mencari reda manusia tetapi saya mesti mencari reda Allah SWT. Saya jelas untuk tidak mempermain-mainkan agama dan ayat Allah SWT. Saya jelas saya mesti jauhkan sifat munafik yang menyeru kepada mungkar dan menghalang kebaikan.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk mencari reda Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada mempermain-mainkan agama dan ayat Mu. Ya Allah, jauhi kami daripada sifat munafik yang menyeru kepada mungkar dan menghalang kebaikan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.