Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”
PERKATAAN HARI INI
طَبَعَ Menutup, mencetak.
11 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Semangat orang munafik yang lemah dan semangat orang mukmin untuk berjihad (87-89)
- Kemunafikan orang Arab Badwi dan permintaan mereka untuk tidak ikut berjihad (90)
- Keuzuran yang dibolehkan untuk tidak berjihad dan orang kaya yang tidak berjuang (91-93)
Mukaddimah
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT kita dapat meneruskan halaman terakhir daripada juz kesepuluh pada halaman 201 surah at-Tawbah. Satu pertiga al-Quran sudah kita lewati. Sembilan surah, sepuluh juzuk ini adalah satu anugerah daripada Allah SWT untuk kita memahami apakah yang diperjuangkan oleh Nabi SAW. Ianya adalah satu nikmat yang besar. Kita doakan Allah izinkan kita mengulangkaji dan menyambung lagi juzuk seterusnya agar kita dipimpin oleh hidayah yang akhirnya membawa kita ke jalan yang lurus sampai ke syurga.
Ayat [9:87]
رَضُوا۟ بِأَن يَكُونُوا۟ مَعَ ٱلْخَوَالِفِ وَطُبِعَ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ
“Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur), dan (dengan sebab itu) hati mereka dimeteraikan atasnya, sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang munafik mencari alasan untuk tidak ikut berperang. Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang tidak pergi berperang (ٱلْخَوَالِفِ) iaitu perempuan, anak-anak, orang yang lemah, orang yang sakit, dan orang yang sudah tua.
- Mengikut sunnah Rasulullah SAW, identiti sebagai seorang lelaki dan wanita hendaklah dibezakan. Latihan awal sebelum ke medan perang ialah di dalam solat. Lelaki mestilah pergi solat di masjid on-time. Disiplin ini penting untuk pergi berperang. Orang perempuan lebih baik solat di rumah kerana perlu mengurus anak dan hal rumah tangga. Solat tidak boleh dilewatkan kerana fokusnya ialah kepada Allah SWT. Anak lelaki hendaklah dilatih pergi solat berjemaah di masjid supaya terjaga sifat kelelakiannya.
- Orang munafik itu tidak mengerti makna iman dan perjuangan. Orang yang faqeh, iaitu mengerti erti kebaikan (يَفْقَهُونَ) akan berjuang. Contoh: Kalau sudah belajar agama tinggi tapi suka tinggal di rumah sahaja kononnya family man, itu menandakan orang itu tidak faqeh.
- Allah menutup hati orang munafik kerana mereka redha duduk goyang kaki. Mereka tidak mahu berusaha atas iman. Iman ini perlu diusahakan dan diperjuangkan. Allah tidak akan sia-siakan orang-orang yang berjuang dengan al-Quran, berjuang di tempat kerja dan tidak redha duduk goyang kaki.
Ayat [9:88]
لَٰكِنِ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ جَٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ وَأُو۟لَٰٓئِكَ لَهُمُ ٱلْخَيْرَٰتُ وَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
“(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.”
Mesej Dan Tindakan
- Nabi SAW pada usia 61 tahun memimpin 30,000 orang-orang beriman dalam perang Tabuk. Nabi SAW telah wafat tetapi perjuangan baginda SAW mesti kita teruskan.
- Hendaklah kita cari jalan untuk manfaatkan harta benda dan jiwa kita untuk fi sabilillah agar menjadi orang yang beruntung (ٱلْمُفْلِحُونَ) .
Ayat [9:89]
أَعَدَّ ٱللَّهُ لَهُمْ جَنَّٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
“Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
Mesej Dan Tindakan
- Allah menyediakan (أَعَدَّ ٱللَّهُ) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai untuk orang-orang yang berjuang fi sabilillah. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang agung.
- Orang-orang beriman bukan sekadar tengok yang di depan, tetapi mereka sudah nampak hujung perjalanan di akhirat. Berperit itu lumrah perjuangan. Nabi SAW dan orang-orang beriman tetap pergi berjuang walaupun cuaca panas dan perjalanan jauhnya ke Tabuk. Contoh sekarang: Kita sanggup meredah perjalanan yang panjang untuk balik kampung berjumpa ibu ayah kerana gembira hendak bertemu mereka.
- Kegembiraan yang lebih besar akan diperolehi bagi orang yang berjuang untuk kembali ke syurga bertemu Allah SWT. Inilah semangat yang dibina oleh para sahabat dan juga untuk kita. Kita berjuang bersungguh-sungguh kerana kita tahu ini adalah daerah perjuangan, hasilnya bila sampai di akhirat nanti.
Ayat [9:90]
وَجَآءَ ٱلْمُعَذِّرُونَ مِنَ ٱلْأَعْرَابِ لِيُؤْذَنَ لَهُمْ وَقَعَدَ ٱلَّذِينَ كَذَبُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ سَيُصِيبُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Dan datanglah pula orang-orang yang menyatakan uzurnya dari orang-orang "A'raab", memohon supaya mereka diizinkan (tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik di antara mereka) yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk (mendiamkan diri). (Oleh itu) orang-orang yang kafir di antara mereka, akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Mesej Dan Tindakan
- Orang-orang Arab Badwi meminta izin daripada Nabi SAW untuk tidak pergi berperang.
- Orang yang tidak mahu pergi berjuang tanpa alasan munasabah, akan diazab oleh Allah SWT.
Ayat [9:91]
لَّيْسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا۟ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦ مَا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ مِن سَبِيلٍ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Mesej Dan Tindakan
- Tiga golongan yang Allah SWT ampunkan jika tidak pergi berperang:
- Orang yang lemah
- Orang yang sakit kronik
- Mereka yang tidak ada modal untuk pergi. Mereka ikhlas hendak pergi tetapi tidak mampu.
- Tidak pergi berperang itu adalah berdosa tetapi Allah ampunkan kepada tiga golongan ini.
Ayat [9:92]
وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا۟ وَّأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا۟ مَا يُنفِقُونَ
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”
Mesej Dan Tindakan
- Orang miskin yang bersemangat untuk berjuang datang kepada Nabi SAW untuk diberikan kenderaan supaya mereka dapat ikut pergi. Nabi memberitahu mereka tidak ada kenderaan lagi untuk diberikan kerana semua telah digunakan termasuk yang diinfaq oleh sahabat-sahabat. Mereka balik dan menangis sedih kerana tidak mampu untuk menyumbang ke arah perjuangan.
- Inilah sifat orang beriman yang patut dicontohi. Sentiasa mencari jalan untuk pergi berjuang. Berlawanan dengan orang munafik yang walaupun kaya tetapi mencari alasan untuk tidak pergi berjuang.
- Ini adalah mesej besar untuk kita. Hendaklah kita bina anak-anak kita, staf di organisasi kita supaya suka berbincang dengan kita (مَآ أَتَوْكَ) bagi mencari jalan untuk berjuang.
- Allah puji mereka kerana mereka sudah buat yang terbaik walaupun tidak mampu.
Ayat [9:93]
إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَسْتَـْٔذِنُونَكَ وَهُمْ أَغْنِيَآءُ رَضُوا۟ بِأَن يَكُونُوا۟ مَعَ ٱلْخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).”
Mesej Dan Tindakan
- Ayat ini lebih kurang sama dengan ayat 86, 87. Sebelum ini mereka pergi berjumpa Nabi SAW untuk tidak pergi berperang kali itu sahaja dan mahu ikut lain kali. Orang begini mulut manis, jangan percaya. Mereka itu mampu pergi tetapi tidak bersungguh-sungguh untuk menghargai amanah dan iman yang dibekalkan oleh Allah SWT.
- Mereka yang minta izin untuk tidak pergi berperang itu adalah orang kaya. Orang kaya itu maksudnya dia ada lebih daripada apa yang diperlukan. Lebih itu perlu digunakan untuk perjuangan. Harta yang tidak digunakan untuk perjuangan ketika hidup, akhirnya harta itu akan ditinggalkan juga. Harta itu kalau sampai kepada anak-anak, tidak semestinya digunakan untuk perjuangan. Yang lebih sedihnya ada kemungkinannya kerana harta anak-anak bergaduh.
- Kalau harta yang ada lebih daripada cukup untuk keluarga, hendaklah kita fikirkan untuk menyumbang kepada projek-projek menaikkan nama Islam dan menyebarkan al-Quran. Jika kita abaikan hal ini, hati kita akan jadi semakin lemah, kita akan suka duduk-duduk goyang kaki. Hati kita akan dimetrai oleh Allah SWT sehingga kita tidak mengetahui akibat perbuatan buruk ini.
RESOLUSI MQT281
Ingat !!
- Mendalami ilmu agar faham hal agama dan sanggup berjuang (87)
- Gunakan harta dan anak pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan (88)
- Bersemangat untuk terlibat dalam jihad/perjuangan dan sedih jika tertinggal (92)
Lega kerana Allah ingatkan supaya gunakan harta dan anak-pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan.
Saya jelas untuk Saya jelas untuk mendalami ilmu agar faham hal agama dan sanggup berjuang. Saya jelas saya mesti gunakan harta dan anak pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan. Saya jelas saya mesti bersemangat untuk terlibat dalam jihad/perjuangan dan sedih jika tertinggal.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami.
Ya Allah, bimbing kami untuk mendalami ilmu agar faham hal agama dan sanggup berjuang. Ya Allah, bantu kami supaya dapat gunakan harta dan anak pinak untuk mendapatkan kebaikan dan kejayaan. Ya Allah, anugerahkan kami semangat yang kental untuk terlibat dalam jihad/perjuangan, janganlah Engkau biarkan kami tertinggal daripada terlibat dengan projek-projek kebaikan. Ya Allah, kami berlindung kepada Mu daripada sifat bakhil, pengecut dan malas.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
Alhamdulillah tamat Juz 10. Ya Allah, kurniakan kami kesempatan untuk terus menyelusuri setiap ayat dalam al-Quran sehingga tamat Juz 30 dan mengulang-ulangnya lagi. Semoga kami dapat beramal dengan setiap ayat yang telah dan akan kami tadabbur. Ya Allah Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid, bimbing kami untuk menjadi orang yang belajar dan mengajar al-Quran. Ya Wahhab, kurniakan kami semangat untuk terus berjuang membawa hidayah al-Quran. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.