PERKATAAN HARI INI:
أَجَرَ = Memberi upah, membalas.
108 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Nabi Nuh A.S tidak minta balasan dan tidak mendabik dada (11:29-31)
- Permintaan kaum Nabi Nuh A.S agar disegerakan azab dan mula berputus asa (11:32-35)
- Nabi Nuh A.S tidak dibenarkan bersedih kerana kaumnya yang dibinasakan dan Allah SWT memerintahkannya membuat bahtera (11:36-37)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran surah Hud pada halaman 225. Semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada al-Quran. Hari ini kita akan berkenalan dengan tokoh bapa mithali yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran iaitu Nabi Nuh AS. Ini adalah mesej penting kepada ayah-ayah yang sedang membina pemimpin pada masa akan datang.
Selamat Hari Ayah!
Ayat 11:29
وَيَـٰقَوْمِ لَآ أَسْـَٔلُكُمْ عَلَيْهِ مَالًا ۖ إِنْ أَجْرِىَ إِلَّا عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَمَآ أَنَا۠ بِطَارِدِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ ۚ إِنَّهُم مُّلَـٰقُوا۟ رَبِّهِمْ وَلَـٰكِنِّىٓ أَرَىٰكُمْ قَوْمًۭا تَجْهَلُونَ ٢٩
Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.
Pengajaran
- Nabi Nuh AS adalah nabi yang mengajak orang kepada tauhid di dalam dan di luar rumah secara istiqamah bertahun-tahun lamanya.
- Pada halaman lepas, pembesar-pembesar kaum pada zaman Nabi Nuh AS (Mala’) memandang hina kepada kaum Nabi Nuh AS yang miskin. Mereka itu golongan berharta dan suka menyebarkan pengaruh.
- Nabi Nuh AS mengatakan bahawa baginda tidak meminta sebarang upah menyampaikan agama Allah itu. Baginda hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata.
- Keadaan yang berlaku pada zaman Nabi Nuh AS juga berlaku di zaman ini. Orang-orang yang ada harta, ada pangkat, segelintir dari mereka hendak memanipulasi kepada golongan agama. Jangan sampai mesej kebenaran itu dimanipulasi kerana harta dan kuasa.
- Mereka memandang hina (بِطَارِدِ) dan mengusir orang-orang beriman. Nabi Nuh AS memuliakan orang-orang beriman dengan mengiktiraf bahawa mereka itu akan berjumpa Tuhan. Golongan yang tidak bijak dan beremosi (تَجْهَلُونَ) adalah mala’ (pemimpin) yang membuat pernilaian tidak berteraskan ilmu yang sebenar. Mereka itu suka menghukum pada pandangan pertama.
- Ini yang memberi harapan kepada Nabi Muhammad SAW untuk mempertahankan sahabat-sahabat baginda yang beriman walaupun mereka adalah hamba seperti Saidina Bilal bin Rabah.
- Sebagai seorang pendakwah, ibu ayah, janganlah kita bersikap diskriminasi dalam menyampaikan kebenaran.
Ayat 11:30
وَيَـٰقَوْمِ مَن يَنصُرُنِى مِنَ ٱللَّهِ إِن طَرَدتُّهُمْ ۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٣٠
Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?
Pengajaran
- Menghalau orang berbuat baik adalah salah satu punca seseorang itu akan mendapat azab daripada Allah SWT.
- Allah SWT mengingatkan kita bahawa pertolongan Allah SWT akan datang kepada orang yang membantu orang lain yang menghadapi cabaran dalam masyarakat.
Ayat 11:31
وَلَآ أَقُولُ لَكُمْ عِندِى خَزَآئِنُ ٱللَّهِ وَلَآ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ وَلَآ أَقُولُ إِنِّى مَلَكٌۭ وَلَآ أَقُولُ لِلَّذِينَ تَزْدَرِىٓ أَعْيُنُكُمْ لَن يُؤْتِيَهُمُ ٱللَّهُ خَيْرًا ۖ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا فِىٓ أَنفُسِهِمْ ۖ إِنِّىٓ إِذًۭا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٣١
Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang zalim".
Pengajaran
- Mereka meminta macam-macam daripada Nabi Nuh AS.
- Nabi Nuh AS mengatakan:
- baginda tidak simpan gudang rezeki daripada Allah SWT,
- baginda tidak mengetahui perkara yang ghaib,
- baginda bukan malaikat dan tidak dapat mengawal apa-apa pun.
- Mereka mencabar Nabi Nuh AS kerana mereka memandang hina kepada orang lain.
- Tanda seorang penzalim ialah dia pandang hina kepada orang lain.
- Contoh: Adik-adik yang dapat banyak A dalam peperiksaan, perlu menyantuni kawan di kelas belakang. Ada sekolah-sekolah yang mengasingkan pelajar-pelajar cemerlang sehingga ada dalam kalangan mereka yang merasakan bahawa mereka hebat dan merekalah yang menaikkan nama sekolah. Ini adalah bibit-bibit membina penzalim dalam masyarakat. Kita doakan cikgu-cikgu bukan menjadi ejen begitu dengan kita mengambil pelajaran daripada ayat ini.
Ayat 11:32
قَالُوا۟ يَـٰنُوحُ قَدْ جَـٰدَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَٰلَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَآ إِن كُنتَ مِنَ ٱلصَّـٰدِقِينَ ٣٢
Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
Pengajaran
- Nabi Nuh AS menyeru kaumnya dalam masa yang sangat panjang.
- Dalam kehidupan kita ini, hendaklah kita perjuangkan kebenaran. Kalau kebenaran tidak diperjuangkan, penzalim-penzalim akan memperjuangkan kebatilan. Mereka merasakan kebatilan adalah perkara yang betul. Contoh: Mengatakan industri arak adalah keperluan. Kalau tutup kilang akan menyebabkan orang hilang pekerjaan. Hendaklah kita tahu peluang pekerjaan ada pada perkara lain yang tidak melanggar perintah Tuhan.
- Kalau kita tahu perkara itu tidak betul, hendaklah kita perjuangkannya seperti Nabi Nuh AS. Baginda tidak mahu anaknya, keluarganya dan masyarakat ditindas oleh penzalim-penzalim.
- Kaum Nabi Nuh AS mula mencabar baginda untuk menurunkan azab yang diperkatakannya.
- Seorang ibu ayah, pendakwah, ustaz, ustazah ada ganjaran di sisi Allah. Allah susunkan rezeki kita. Jangan bimbang. Jangan bergantung kepada manusia sehingga kita memanipulasi, menukar mesej kebaikan, menghina dan melakukan diskriminasi dalam kita menyampaikan mesej kebaikan dan mesej dakwah kepada Allah SWT.
Ayat 11:33
قَالَ إِنَّمَا يَأْتِيكُم بِهِ ٱللَّهُ إِن شَآءَ وَمَآ أَنتُم بِمُعْجِزِينَ ٣٣
Nabi Nuh menjawab: "Sesungguhnya Allah jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Ia kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah!
Pengajaran
- Nabi Nuh AS menjawab dengan penuh berhikmah. Baginda menegaskan bahawa Allah SWT lah yang berkuasa dan tiada siapa yang dapat melemahkan kuasa Allah SWT.
- Janganlah kita emosi macam orang yang mencabar kerana mereka itu jahil. Jangan pula kita balas dengan keadaan jahil.
- Dalam usaha menyampaikan dakwah, hendaklah kita tetap menjaga keimanan dan akhlak, bercakap dengan penuh kasih sayang dan bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan orang tersebut, bukan kerana hendakkan ganjaran kepada kita.
Ayat 11:34
وَلَا يَنفَعُكُمْ نُصْحِىٓ إِنْ أَرَدتُّ أَنْ أَنصَحَ لَكُمْ إِن كَانَ ٱللَّهُ يُرِيدُ أَن يُغْوِيَكُمْ ۚ هُوَ رَبُّكُمْ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ٣٤
Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya kamu akan kembali".
Pengajaran
- Ini jawapan daripada Nuh AS sebagai bapa mithali (contoh pendakwah). Nabi Nuh AS tetap memasukkan nilai kepada Tuhan.
- Perkataan نُصْحِىٓ maksudnya ialah nasihat yang banyak, panjang, serius, berkali-kali. Nabi Nuh AS mengakui bahawa baginda tidak mampu memberi kesan. Yang memberi kesan hanyalah Allah SWT.
- Nabi Nuh AS masih tetap menasihati, mengajak semua kembali kepada Allah SWT.
Ayat 11:35
أَمْ يَقُولُونَ ٱفْتَرَىٰهُ ۖ قُلْ إِنِ ٱفْتَرَيْتُهُۥ فَعَلَىَّ إِجْرَامِى وَأَنَا۠ بَرِىٓءٌۭ مِّمَّا تُجْرِمُونَ ٣٥
(Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta: bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh diperintahkan menjawab dengan berkata: "Kalau aku yang mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku".
Pengajaran
- Mereka menuduh Nabi Nuh AS berdusta namun Nabi Nuh AS tetap konsisten dalam memberi peringatan kerana yang dimahukannya ialah supaya semua orang selamat.
- Nabi Nuh AS menyebut baginda tidak menanggung dosa orang yang menuduhnya.
Ayat 11:36
وَأُوحِىَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُۥ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ ءَامَنَ فَلَا تَبْتَئِسْ بِمَا كَانُوا۟ يَفْعَلُونَ ٣٦
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
Pengajaran
- Ayat ini adalah peringatan kepada Nabi Nuh AS, Nabi Muhammad SAW dan juga kepada kita.
- Surah ini turun di penghujung fasa Nabi Muhammad SAW di Mekah sebelum hijrah. Nabi Hud AS dan Nabi Muhammad SAW juga dipujuk oleh Allah SWT supaya mereka tidak bersedih hati kerana kaum mereka buat tanpa ilmu yang benar.
- Kita juga diajar supaya tidak bersedih jika ada dakwah kita tidak diterima kerana jika diikutkan bersedih, akhirnya kita kecewa. Ambil iktibar daripada kisah Nabi Yunus yang kecewa dan terpaksa melalui ujian di dalam perut ikan.
- Hendaklah kita ingat, hanya Allah SWT yang berupaya menambahkan faham dan iman.
Ayat 11:37
وَٱصْنَعِ ٱلْفُلْكَ بِأَعْيُنِنَا وَوَحْيِنَا وَلَا تُخَـٰطِبْنِى فِى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓا۟ ۚ إِنَّهُم مُّغْرَقُونَ ٣٧
'
"Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan)".
Pengajaran
- Allah SWT memberi bimbingan kepada Nabi Nuh AS untuk membuat bahtera di tempat yang tidak ada laut.
- Teruslah kita berusaha. Jangan kisah tentang orang-orang zalim. Buat projek menyelamatkan orang-orang beriman. Orang yang degil akan ditenggelamkan.
- Hendaklah kita ingat, kita tak mampu menanamkan iman. Kita tidak tahu bila iman akan masuk dan bila orang-orang sekitar kita akan lemas. Selagi nyawa di kandung badan, jangan berhenti membawa kebenaran kepada keluarga dan masyarakat.
- Iman bukan diwarisi. Ia datang daripada Allah SWT yang menjadi panduan kita.
RESOLUSI
Ingat!
- Jangan ikut perasaan negatif ketika berhadapan dengan kebenaran (11:29)
- Keimanan tetap utuh kepada Allah SWT dan tidak mendabik dada ketika menyeru kebaikan (11:31)
- Jangan bersedih dengan orang yang degil (11:36)
Saya berasa lega Allah SWT beri motivasi untuk tidak bersedih, terus sampaikan kebenaran kepada keluarga dan masyarakat walaupun mereka degil.
Saya jelas untuk tidak ikut perasaan negatif ketika berhadapan dengan kebenaran. Saya jelas saya mesti jaga keimanan supaya tetap utuh kepada Allah SWT dan tidak mendabik dada ketika menyeru kebaikan. Saya jelas untuk tidak bersedih dengan orang yang degil.
Ya Allah, bimbing kami untuk menjaga perasaan agar tidak negatif ketika berhadapan dengan kebenaran. Ya Allah, tetapkanlah hati kami dalam keimanan, jauhkan kami daripada sifat sombong dan mendabik dada ketika menyeru kebaikan. Ya Allah, kuatkan hati kami untuk istiqamah menyampaikan kebenaran dan tidak bersedih dengan orang yang degil.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.