PERKATAAN HARI INI:
صَنَعَ = Membina, mengilang.
20 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
- Nabi Nuh A.S membina bahtera (11:38-41)
- Berakhirnya badai taufan, diselamatkan kapal Nabi Nuh A.S serta dibinasakan putera Nabi Nuh A.S meskipun dia telah meminta pertolongan untuk anaknya (11:42-45)
Mukadimah
Alhamdulillah, kita dapat teruskan pembelajaran surah Hud pada halaman 226 yang semuanya tentang kisah Nabi Nuh AS. Inilah formula istiqamah dalam kehidupan.
Nota: Pada ayat 41 ada cara bacaan Hafsun an-'Asim yang agak ganjil dinamakan 'imalah'. Perkataan مَجْر۪ىٰهَا dibaca condong sedikit iaitu 'majreha'.
Ayat 11: 38
وَيَصْنَعُ ٱلْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌۭ مِّن قَوْمِهِۦ سَخِرُوا۟ مِنْهُ ۚ قَالَ إِن تَسْخَرُوا۟ مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ ٣٨
“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: "Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu."
Pengajaran
- Pada halaman lepas Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh AS supaya membina bahtera yang besar (ٱلْفُلْكَ). Pembesar-pembesar yang tidak beriman mengejek Nabi Nuh AS beramai-ramai kerana baginda membina bahtera di tempat yang tidak ada air.
- Proses membuat bahtera itu sangat panjang. Nabi Nuh AS dan orang-orang yang beriman perlu menanam pokok terlebih dahulu untuk mendapatkan kayu bagi membuat bahtera tersebut.
- Nabi Nuh AS membalas ejekan mereka setelah baginda menerima wahyu daripada Allah SWT bahawa mereka itu akan ditenggelamkan selepas tidak menerima dakwah yang diberikan selama ratusan tahun.
Ayat 11: 39
فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌۭ يُخْزِيهِ وَيَحِلُّ عَلَيْهِ عَذَابٌۭ مُّقِيمٌ ٣٩
“Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak".”
Pengajaran
- Nabi Nuh AS mengatakan kepada pembesar-pembesar bahawa mereka akan didatangi azab yang menghinakan di dunia dan pada hari akhirat mereka akan ditimpa azab yang kekal (مُّقِيمٌ عَذَابٌ).
Ayat 11: 40
حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَمْرُنَا وَفَارَ ٱلتَّنُّورُ قُلْنَا ٱحْمِلْ فِيهَا مِن كُلٍّۢ زَوْجَيْنِ ٱثْنَيْنِ وَأَهْلَكَ إِلَّا مَن سَبَقَ عَلَيْهِ ٱلْقَوْلُ وَمَنْ ءَامَنَ ۚ وَمَآ ءَامَنَ مَعَهُۥٓ إِلَّا قَلِيلٌۭ ٤٠
“(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.”
Pengajaran
- Nabi Nuh AS terus membuat kapal sehingga siap. Apabila sampai masanya, air pun membuak-buak keluar daripada muka bumi (ٱلتَّنُّورُ).
- Nabi Nuh AS diarahkan membawa haiwan secara berpasangan dan kaumnya yang beriman ke dalam bahtera.
- Surah ini turun di penghujung fasa Makkiyyah sebagai pujukan kepada Nabi Muhammad SAW agar baginda jangan berputus asa di dalam menghadapi kaum yang degil.
Ayat 11: 41
۞ وَقَالَ ٱرْكَبُوا۟ فِيهَا بِسْمِ ٱللَّهِ مَجْر۪ىٰهَا وَمُرْسَىٰهَآ ۚ إِنَّ رَبِّى لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ ٤١
“Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: 'Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya'. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Pengajaran
- Nabi Nuh AS perintahkan pengikut-pengikutnya yang beriman naik ke atas bahtera. Diriwayatkan, sekitar 80 orang sahaja yang naik ke bahtera Nabi Nuh AS.
- Pada mulanya bahtera tidak berjalan lancar (مَجْر۪ىٰهَا) dan orang-orang yang di dalam bahtera itu juga terhuyung hayang kerana bahtera dilanda ombak besar. Mereka berdoa kepada Allah SWT.
- Cara bacaan مَجْر۪ىٰهَا secara imalah membayangkan keadaan bahtera yang bergerak laju dan terumbang ambing. Mereka selamat dengan keampunan dan rahmat kasih sayang Allah SWT.
- Proses membuat bahtera memakan masa yang panjang. Mereka perlu menanam pokok untuk mendapatkan kayu bagi membuat bahtera. Semua ini adalah dalam pengawasan Allah SWT.
- Ini adalah kemahiran kejuruteraan yang sudah ada pada zaman Nabi Nuh AS. Ia adalah tanda kehambaan kepada Allah SWT apabila kemahiran itu dibuat atas nama perjuangan agama. Jurutera yang buat projek ikut SOP yang betul sebenarnya berada di jalan yang diredhai Allah SWT.
Ayat 11: 42
وَهِىَ تَجْرِى بِهِمْ فِى مَوْجٍۢ كَٱلْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ٱبْنَهُۥ وَكَانَ فِى مَعْزِلٍۢ يَـٰبُنَىَّ ٱرْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ ٱلْكَـٰفِرِينَ ٤٢
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".”
Pengajaran
- Bahtera belayar membawa mereka meredah ombak besar laksana gunung-ganang. Menurut Ibnu Abbas RA, bahtera itu besarnya 1200 hasta x 600 hasta, sesuai untuk belayar meredah ombak besar.
- Teknologi kejuruteraan pada waktu itu adalah amat mantap. Semua itu berlaku dengan pengawasan daripada Allah SWT yang memberi panduan kepada Nabi Nuh AS dan sahabat-sahabatnya sebagai jurutera untuk membina bahtera itu.
- Nabi Nuh AS masih memanggil anaknya naik ke dalam bahtera dengan bahasa yang lemah lembut, "Wahai anak kesayanganku' (يَٰبُنَىَّ), naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir."
Ayat 11: 43
قَالَ سَـَٔاوِىٓ إِلَىٰ جَبَلٍۢ يَعْصِمُنِى مِنَ ٱلْمَآءِ ۚ قَالَ لَا عَاصِمَ ٱلْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ ٱللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحَالَ بَيْنَهُمَا ٱلْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ ٱلْمُغْرَقِينَ ٤٣
Anaknya menjawab: "Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.”
Pengajaran
- Anak Nabi Nuh AS tidak mahu naik ke dalam bahtera. Dia menjawab yang dia akan mencari perlindungan (سَـَٔاوِىٓ) ke gunung. Nabi Nuh AS menyatakan bahawa tiada siapa yang selamat kecuali yang mendapat keampunan Allah SWT dan kasih sayangNya.
- Anak Nabi Nuh AS ditenggelamkan bersama-sama orang-orang yang tenggelam.
- Dalam peristiwa banjir besar itu, orang-orang yang beriman dapat perlindungan dan keselamatan kerana kasih sayang Allah SWT. Hendak dapat kasih sayang Allah, perlu dapat keampunan Allah (pada ayat 41).
- Dalam zaman ini, kalau kita hendak dapat perlindungan perlu dapat kasih sayang Allah, hendak dapat kasih sayang Allah perlu dapat keampunan Allah. Kita perlu banyak istighfar. Itulah yang dibawa oleh nabi-nabi.
- Bila beribadah kepada Allah, menghambakan diri kepada Allah, kita mohon ampun di atas segala kesilapan kita. Insya Allah kita akan dilindungi dengan kasih sayang daripada Allah SWT.
Ayat 11: 44
وَقِيلَ يَـٰٓأَرْضُ ٱبْلَعِى مَآءَكِ وَيَـٰسَمَآءُ أَقْلِعِى وَغِيضَ ٱلْمَآءُ وَقُضِىَ ٱلْأَمْرُ وَٱسْتَوَتْ عَلَى ٱلْجُودِىِّ ۖ وَقِيلَ بُعْدًۭا لِّلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٤٤
“Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim".”
Pengajaran
- Allah SWT mengarahkan bumi, "Wahai bumi telanlah airmu (مَآءَكِ ٱبْلَعِى), dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu."
- Penggunaan يَٰٓأَرْضُ menunjukkan bumi memang menunggu sahaja arahan daripada Allah SWT untuk menelan air yang membuak-buak. Allah SWT mengarahkan untuk bumi menelan air sahaja secara spesifik, bukan segala yang lain. Air surut secara perlahan-lahan mengikut proses. Bahtera selamat berlabuh di atas gunung Judi.
- Pengajaran buat kita, sedangkan bumi tempat kita berpijak pun terus menyahut arahan Allah SWT, apatah lagi kita sebagai manusia. Hendaklah kita lakukan segera arahan Allah SWT seperti solat dan sebagainya.
- Kepada ibu-bapa, guru-guru dan ketua, apabila memberi arahan, berikan arahan yang spesifik untuk memudahkan perlaksanaannya.
- Hendaklah kita ambil perhatian bahawa untuk selamat dalam kehidupan, kita mesti memohon keampunan untuk mendapatkan kasih sayang Allah SWT.
Ayat 11: 45
وَنَادَىٰ نُوحٌۭ رَّبَّهُۥ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ٱبْنِى مِنْ أَهْلِى وَإِنَّ وَعْدَكَ ٱلْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ ٱلْحَـٰكِمِينَ ٤٥
“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".”
Pengajaran
- Kasih sayang Nabi Nuh AS kepada anaknya sampai ke hujung. Nabi Nuh AS tetap mahu anaknya diselamatkan walaupun anaknya tidak mendengar nasihat.
- Nabi Nuh AS merayu kepada Allah SWT, "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya."
RESOLUSI
Ingat!
- Terus utuh dalam melaksanakan projek kebenaran (11:38)
- Kekal istiqamah beriman walau sedikit (11:40)
- Terus prihatin pada keluarga (11:42)
Saya berasa lega Allah SWT beri motivasi untuk terus utuh dalam melaksanakan projek kebenaran walaupun tidak disenangi oleh orang lain.
Saya jelas untuk terus utuh dalam melaksanakan projek kebenaran. Saya jelas saya mesti kekal istiqamah beriman dan melakukan amal walau sedikit. Saya jelas untuk terus prihatin pada keluarga.
Ya Allah, tetapkan hati kami untuk terus utuh dalam melaksanakan projek kebenaran. Ya Allah, bimbing kami untuk istiqamah beriman. Ya Allah, pimpin kami untuk terus prihatin pada keluarga.
Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.