Tuesday, July 4, 2023

Halaman 232 : Hud, 11:89-97


PERKATAAN HARI INI:  


 شَقَّ /  شَقَقَ  = Sengsara, menentang.

 28  kali disebut di dalam al-Quran.

SINOPSIS   

  1. Sambungan kisah Nabi Syuaib AS (11:89-95)
  2. Kisah Nabi Musa AS bersama Firaun dan pemimpin kaumnya (11:96-97)


Mukadimah

Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah Hud pada halaman 232.  Hari ini kita akan sambung kisah Nabi Syuaib dan masuk kisah Nbai Musa bersama Firaun. Surah Hud ini penuh dengan peringatan untuk kita berjaga-jaga dan istiqamah dalam iman kepada Allah SWT. 

Ayat 11: 89

وَيَـٰقَوْمِ لَا يَجْرِمَنَّكُمْ شِقَاقِىٓ أَن يُصِيبَكُم مِّثْلُ مَآ أَصَابَ قَوْمَ نُوحٍ أَوْ قَوْمَ هُودٍ أَوْ قَوْمَ صَـٰلِحٍۢ ۚ وَمَا قَوْمُ لُوطٍۢ مِّنكُم بِبَعِيدٍۢ ٨٩

Dan wahai kaumku! Janganlah permusuhan kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi Soleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka).

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS mengingatkan kepada kaumnya tentang azab yang pernah dikenakan kepada kaum Nabi Nuh AS, Nabi Hud AS, Nabi Soleh AS dan Nai Lut AS kerana dosa-dosa mereka.
  2. Hendaklah kita ambil pelajaran daripada kisah-kisah orang terdahulu dan ceritakan kepada masyarakat supaya tidak melakukan kezaliman seperti mereka.
  3. Kisah yang berlaku dahulu banyak berulang di zaman ini seperti syirik, menipu, scam, LGBTQ. Semoga kisah-kisah ini dapat memberi keinsafan kepada orang-orang yang berbuat zalim. 

Ayat 11: 90

وَٱسْتَغْفِرُوا۟ رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوٓا۟ إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّى رَحِيمٌۭ وَدُودٌۭ ٩٠

Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi Maha Pengasih.

Pengajaran

  1. Bila sudah tahu buat dosa, segeralah beristighfar dan bertaubat. Taubat ada batas waktunya iaitu  sebelum nyawa sampai ke kerongkong. Jangan bertangguh untuk taubat kerana kita tidak tahu bila nyawa kita akan ditarik. 
  2. Allah SWT Maha Penyayang sudah buktikan kasih sayangNya kepada kita dalam banyak keadaan. Contohnya rahim ibu yang sempit boleh dilapangkan untuk menempatkan bayi membesar.
  3. Kalau stres, amalkan istighfar, taubat dan solat. Allah SWT akan melapangkan hidup kita. 
  4. Al-Quran pernah mengubah hidup orang Arab yang degil seperti Saidina Omar. Al-Quran akan memberi kesan yang tetap hebat kepada diri dan keluarga kita.

Ayat 11: 91

قَالُوا۟ يَـٰشُعَيْبُ مَا نَفْقَهُ كَثِيرًۭا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفًۭا ۖ وَلَوْلَا رَهْطُكَ لَرَجَمْنَـٰكَ ۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيْنَا بِعَزِيزٍۢ ٩١

Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah merejam engkau (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami!"

Pengajaran

  1. Kaum Nabi Syuaib AS melawan apa yang baginda nasihatkan. Mereka tidak suka nasihat yang disampaikan kerana ia mengacau bisnes, keluarga dan ekonomi mereka. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak faham apa yang dikatakan oleh Nabi Syuaib AS. 
  2. Mereka membuat serangan psikologi dengan merendah-rendahkan baginda. Mereka bagi peluang hanya kerana mereka menghormati keluarga Nabi Syuaib. Kalau tidak, pasti mereka akan rejam baginda.
  3. Janganlah kita jadi orang yang merendah-rendahkan kebenaran. Ini adalah perangai kaum yang derhaka kepada Allah SWT. 
  4. Janganlah menengok pada sudut fizikal sahaja. Allah SWT angkat kita bukan kerana fizikal. Contoh: Firaun itu hebat tetapi pengakhirannya dengan azab.
  5. Hendaklah kita jadi orang-orang yang menentang apa jua bentuk kezaliman yang dilakukan di dalam masyarakat.

Ayat 11: 92

قَالَ يَـٰقَوْمِ أَرَهْطِىٓ أَعَزُّ عَلَيْكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذْتُمُوهُ وَرَآءَكُمْ ظِهْرِيًّا ۖ إِنَّ رَبِّى بِمَا تَعْمَلُونَ مُحِيطٌۭ ٩٢

Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! (Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan perintahNya sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS membalas kepada kaumnya dengan mengutamakan Allah SWT dalam hujjahnya. Allah SWT tahu dan Allah SWT boleh kepung iaitu Dia boleh mengalahkan mereka jika mereka memandang enteng kepada Allah SWT. 
  2. Hendaklah kita jaga perkataan-perkataan yang melambangkan kesyirikan ataupun kehambaan seseorang. Seorang hamba Allah akan memikirkan teguran orang lain untuk muhasabah diri dan tidak akan memandang hina kepada orang lain. 

Ayat 11: 93

وَيَـٰقَوْمِ ٱعْمَلُوا۟ عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّى عَـٰمِلٌۭ ۖ سَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌۭ يُخْزِيهِ وَمَنْ هُوَ كَـٰذِبٌۭ ۖ وَٱرْتَقِبُوٓا۟ إِنِّى مَعَكُمْ رَقِيبٌۭ ٩٣

Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang ugama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu.

Pengajaran

  1. Nabi Syuaib AS menyuruh mereka buat apa yang mereka suka dan tunggulah azab. Nabi Syuaib AS juga menunggu untuk melihat mereka diazab. 
  2. Ayat ini memberi semangat kepada Nabi Muhammad SAW walaupun dihina. Begitu juga untuk kita.
  3. Jati diri, keyakinan perlu ada pada kita agar kita dapat terus sampaikan mesej kebaikan walaupun orang pandang semacam kepada kita. 

Ayat 11: 94

وَلَمَّا جَآءَ أَمْرُنَا نَجَّيْنَا شُعَيْبًۭا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ بِرَحْمَةٍۢ مِّنَّا وَأَخَذَتِ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّيْحَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دِيَـٰرِهِمْ جَـٰثِمِينَ ٩٤

Dan ketika datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

Ayat 11: 95

كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَآ ۗ أَلَا بُعْدًۭا لِّمَدْيَنَ كَمَا بَعِدَتْ ثَمُودُ ٩٥

(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! kebinasaanlah akhirnya bagi penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.

Pengajaran ayat 94-95

  1. Allah SWT menyelamatkan Nabi Syuaib AS dan orang-orang yang beriman dengan rahmatNya. 
  2. Kita selamat di dalam hidup ini adalah dengan rahmat Allah SWT. Bukan kerana amal atau kehebatan kita. 
  3. Orang-orang yang zalim mati bergelimpangan dibinasakan dengan suara yang menggempakan bumi. Hancur apa yang ada pada mereka seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ
  4. Hukum Allah SWT kepada manusia sama. Allah SWT akan menyelamatkan orang beriman dan mengazab orang yang zalim.
  5. Jika kita hendakkan keselamatan dunia akhirat, janganlah jadi orang yang zalim dan jangan memandang enteng kepada orang-orang yang membawa kebenaran. 

Ayat 11: 96

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَـٰتِنَا وَسُلْطَـٰنٍۢ مُّبِينٍ ٩٦

Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata:

Ayat 11: 97

إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإِي۟هِۦ فَٱتَّبَعُوٓا۟ أَمْرَ فِرْعَوْنَ ۖ وَمَآ أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍۢ ٩٧

Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.

Pengajaran

  1. Nabi Musa AS diutuskan kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang jelas nyata.
  2. Dalam hidup ini, kita kena ikut pemimpin yang benar-benar mengikut Allah SWT.
  3. Jika kita mahu berada di jalan yang lurus (رَشِيدٍ), kita mesti mengikut mukjizat yang ada sekarang iaitu al-Quran. Dalam al-Quran ini ada bukti-bukti keterangan yang nyata.
  4. Kalau kita kagum dengan al-Quran tetapi tidak ada hujjah yang jelas, atau falsafah yang tidak berasaskan Quran, itu juga tidak berada di jalan yang lurus.

RESOLUSI

Ingat!
  1. Banyakkan istighfar dan taubat untuk makin dekat dengan Allah Maha Pengasih (11:90)
  2. Utamakan Allah SWT dalam hidup (11:92)
  3. Jangan minta dicepatkan azab (11:93)
Saya berasa lega dapat dekat dengan Allah Maha Pengasih dengan saya banyakkan istighfar dan taubat.

Saya jelas untuk banyakkan istighfar dan taubat untuk makin dekat dengan Allah Maha Pengasih. Saya jelas saya mesti utamakan Allah SWT dalam hidup. Saya jelas untuk tidak minta dicepatkan azab.

Ya Allah, ampunkan kami, terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Bimbinglah kami untuk melakukan amalan yang membawa kami dekat dengan Mu wahai Tuhan yang Maha Pengasih. Ya Allah, pimpin kami untuk menjadi hamba yang sentiasa utamakan Mu dalam hidup kami. Ya Allah, jauhkan kami daripada azab di dunia dan azab di akhirat. 

Wahai Tuhan kami, ilhamkanlah kepada kami supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada kami dan kepada ibu bapa kami dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah kami dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ampunkan dosa kami. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankan doa kami Ya Allah Ya Mujib.




Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...