Monday, May 1, 2023

Halaman 4 : Al-Baqarah, 2:17-24

PERKATAAN HARI INI


جعل Memulai, mencipta, mewujudkan, menjadikan atau menetapkan
346 kali disebut dalam al-Quran.
خلق Mengadakan daripada tak ada kepada ada.


SINOPSIS   

  1. Sambungan Ciri Munafik (ayat 17-20)
  2. Perintah Untuk Menyembah Allah semata (ayat 21-22)
  3. Cabaran menyusun kalimah yang serupa dengan surah terpendik dalam al-Quran


Ayat 17-18

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى ٱسْتَوْقَدَ نَارًۭا فَلَمَّآ أَضَآءَتْ مَا حَوْلَهُۥ ذَهَبَ ٱللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِى ظُلُمَـٰتٍۢ لَّا يُبْصِرُونَ ١٧

Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

صُمٌّۢ بُكْمٌ عُمْىٌۭ فَهُمْ لَا يَرْجِعُونَ ١٨

Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).


Pengajaran

Pada awalnya mereka berada dalam kegelapan kemusyrikan. Semasa Nabi SAW tiba di Madinah, mereka telah memeluk Islam. Mereka berada dalam jalan petunjuk. Mereka mengaku beriman kepada Allah SWT dan iman mereka seperti orang yang menyalakan api. Mereka mengetahui mana yang halal dan mana yang haram, juga mengetahui mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka berasa bangga dengan Islam.

Maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya mereka. Kerana mereka kembali kafir. Mereka lebih memilih kesesatan dan meninggalkan keimanan. Maka Allah SWT mencabut iman dan hidayah. Lalu hati mereka dikunci mati, tidak lagi mampu menerima petunjuk. Mereka tidak lagi mengetahui mana yang halal dan haram, tidak pula tahu mana yang baik dan buruk.

Allah SWT membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Allah SWT juga membiarkan mereka terumbang ambing dalam kesesatan, kekufuran dan kemunafikan. Namun mereka tidak menyedarinya.

Mereka menjadi summun, iaitu tuli yang tidak dapat mendengar kebaikan. Mereka bukmun, iaitu bisu yang tidak dapat mengucapkan hal-hal yang bermanfaat bagi diri mereka. Mereka umyun, iaitu buta dalam kesesatan dan buta mata hatinya. Mereka tidak dapat mendengar petunjuk, tidak dapat melihatnya, dan tidak dapat memahaminya.

Kelak di hari kiamat mereka juga akan ditimpa kegelapan. Cahayanya tidak menyala sama sekali. Maka amal perbuatan jahatnya merupakan kegelapan baginya, sehingga mereka mendapati bahawa tidak ada suatu amal baik pun yang sesuai dengan kalimah la ilaha illallah daripada mereka.

Allah highlight NUR (cahaya) bukan NAR (api). Perumpamaan hidup tanpa cahaya adalah seperti orang TULI, BISU dan BUTA. Pedagang yang dalam perjalanan di padang pasir tidak akan jumpa jalan pulang kalau TULI, BISU dan BUTA. Begitu juga kita kalau tidak ada cahaya dari al-Quran maka kita tidak dapat berjumpa jalan untuk kembali ke syurga.


Ayat 19-20


أَوْ كَصَيِّبٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ فِيهِ ظُلُمَـٰتٌۭ وَرَعْدٌۭ وَبَرْقٌۭ يَجْعَلُونَ أَصَـٰبِعَهُمْ فِىٓ ءَاذَانِهِم مِّنَ ٱلصَّوَٰعِقِ حَذَرَ ٱلْمَوْتِ ۚ وَٱللَّهُ مُحِيطٌۢ بِٱلْكَـٰفِرِينَ ١٩

Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.

يَكَادُ ٱلْبَرْقُ يَخْطَفُ أَبْصَـٰرَهُمْ ۖ كُلَّمَآ أَضَآءَ لَهُم مَّشَوْا۟ فِيهِ وَإِذَآ أَظْلَمَ عَلَيْهِمْ قَامُوا۟ ۚ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَذَهَبَ بِسَمْعِهِمْ وَأَبْصَـٰرِهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ٢٠

Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Pengajaran

Ayat ini menjelaskan mengenai sikap sebahagian daripada orang munafik yang adakalanya mereka redha dengan kebenaran Islam, namun kadang-kadang mereka meraguinya.

Air daripada langit ada kaitannya dengan wahyu dari langit iaitu al-Quran. Ketika al-Quran diturunkan untuk menghidupkan hati yang mati, sambil menyebut mengenai ancaman dan balasan neraka bagi mereka yang mengingkari, serta bukti- bukti kebenaran ajarannya, mereka (orang munafik) menutup telinga bimbang akan terketuk pintu hatinya untuk mengikuti dan meyakini apa yang disampaikan al-Quran termasuk beriman akan kerasulan Muhammad SAW.

Sedangkan jika ada ayat yang berbicara tentang kesesatan, mereka memilih untuk diam dalam kebingungan bahkan tidak mahu meyakininya. Maka di akhir ayat, Allah SWT menyebut: Jikalau Aku menghendaki, nescaya Aku melenyapkan pendengaran dan penglihatan mereka.

Sesungguhnya Allah SWT berkuasa untuk mencabut penglihatan dan pendengaran secara zahir sebagaimana Allah SWT mencabutnya secara batin sehingga mereka buta dan tuli terhadap peringatan-Nya. Allah SWT juga berkuasa untuk mengazab mereka dengan azab yang pedih kerana sememangnya mereka layak untuk menerimanya.

Hujan adalah seperti Islam yang menghidupkan hati. Berdoalah agar kita menjadi orang yang menghargai nikmat Iman dan Islam.


Ayat 21

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُمْ وَٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ٢١

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.


Pengajaran

Allah ingatkan supaya sedar diri kita sebagai hamba yang Dia ciptakan agar sentiasa menjaga diri dari mara bahaya yang merosakkan iman dengan memohon pertolongan dari Nya.

Inilah seruan yang diberikan kepada seluruh manusia. Mesej ini bukan hanya untuk orang beriman sahaja, tetapi juga kepada mereka yang tidak beragama Islam.

Allah SWT mengajak hamba-hamba untuk beribadah kepada-Nya, dan Dia juga menekankan perkataan خَلَقَكُمْ.

Inilah satu ketauhidan (pegangan) yang penting untuk kita fahami. Sebab Dialah yang menciptakan kita dan seluruh manusia sejak masa Nabi Adam lagi.

Hal-hal yang berkaitan dengan kejadian dan kehidupan manusia adalah urusan Allah SWT. Misalnya tentang rezeki, nikmat hidup dan matinya seseorang. Manakala manusia pula harus memfokuskan dirinya untuk beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT mengakhiri ayat ini dengan perkataan takwa. Di mana hasil yang diperoleh oleh seorang hamba yang beribadah kepada-Nya ialah ketakwaan.

Maksud takwa ialah memohon pertolongan hanya daripada Allah SWT, mengerjakan perkara-perkara yang dapat mendatangkan redha Allah dan meninggalkan perkara-perkara yang mendatangkan murka-Nya.

Seseorang yang benar dalam ibadahnya akan bersikap sebagaimana orang-orang yang bertakwa. Sikap orang-orang yang bertakwa ialah mereka menunaikan hak-hak Allah dan menunaikan hak-hak makhluk-Nya. Maka, orang-orang yang benar dan baik ibadahnya nescaya akan memiliki budi pekerti yang soleh.


Ayat 22

ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًۭا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءًۭ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًۭا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًۭا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ ٢٢

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).


Pengajaran

Allah ingatkan kita bahawa Dia bagi macam-macam nikmat dalam kehidupan kita, maka kita mesti jadi orang yang bersyukur.

Hamparan yang disebut itu sifatnya lembut dan tidak panas. Jadi, maksud hamparan di dalam ayat ini merujuk kepada bumi. Apabila kita lihat perkara ini, dapat diketahui bahawa hamparan ini adalah salah satu nikmat daripada Allah SWT. Cuba bayangkan sekiranya bumi yang kita huni ini sama seperti planet-planet lain yang suhunya terlalu panas dan terlalu sejuk. Adakah kita boleh hidup dalam keadaan yang tidak selesa?

Allah SWT menciptakan langit dan bumi sebagai tempat yang sesuai untuk dihuni, yang mana di dalamnya terdapat pelbagai rezeki dan nikmat untuk dikecapi. Allah SWT juga menciptakan langit sebagai atap yang terjaga.

Bukan itu sahaja, Allah SWT juga menurunkan air hujan yang dapat menumbuhkan buah-buahan di bumi, yang mana ia juga menjadi rezeki bagi binatang-binatang yang ada di atasnya. Dengan air tersebut tumbuhlah pelbagai tanaman yang berpasang-pasangan, dan menjadi tempat kehidupan berbagai jenis binatang. Semua ini adalah rezeki yang amat indah.

Jika Allah SWT sudah memberi banyak rezeki dan perkara terbaik kepada kita, maka kita wajib meng Esakan dan bersyukur, serta taat kepada-Nya pula. Allah SWT juga melarang hamba-hamba-Nya berbuat syirik dengan menyembah selain daripada-Nya. Ini kerana hamba-hamba-Nya syirik adalah dosa yang paling besar dan tiada pengampunan untuknya. 

Sesungguhnya manusia memiliki ilmu sebagaimana yang mereka akui, maka selayaknya mereka mengetahui bahawa Allah SWT Yang Maha Pencipta dan Maha Pemberi nikmat yang berhak untuk disembah. Tetapi jika orang itu tidak berilmu, dia mungkin akan menganggap bahawa semua pemberian nikmat daripada Allah SWT itu seperti:

Sebagai hamba yang bertakwa, hendaklah kita zahirkan kesyukuran atas nikmat yang Allah SWT berikan dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Jangan sekali-kali menyekutukan-Nya dalam hidup kita.


Ayat 23 

وَإِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا۟ بِسُورَةٍۢ مِّن مِّثْلِهِۦ وَٱدْعُوا۟ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ٢٣

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.


Pengajaran

Ayat ini adalah satu cabaran di mana ia sebenarnya telah disahut oleh orang-orang kafir. Mereka cuba mencipta ayat-ayat seperti al-Quran tetapi sebenarnya ia langsung tidak sama. Ayat mereka boleh menipu orang yang tidak tahu tentang al-Quran tetapi buat golongan yang tahu betapa indahnya bahasa al-Quran, mereka akan lihat bahawa apa yang mereka (kafir) buat itu tidak sama langsung dengan bahasa al-Quran.

Orang yang mensyukuri nikmat Iman dan Islam tidak akan ragu kepada al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. Ingat! Jangan pandang enteng pada hidayah dalam keadaan kita berada pada rosy lane dan comfort zone.


Ayat 24

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا۟ وَلَن تَفْعَلُوا۟ فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِى وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَـٰفِرِينَ ٢٤

Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir.


Pengajaran

Allah ingatkan kita supaya takutlah terhadap api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu-batuan. Hendaklah kita berusaha memelihara diri daripada api neraka. Check diri agar jangan ada ciri-ciri Kafir atau hati yang keras seperti batu yang tidak mahu menerima kebenaran dari al-Quran.

RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan tinggal interaksi dengan al-Quran (2:17)
  2. Tunaikan ibadah kepada Allah untuk lahirkan taqwa (2:21)
  3. Lindungi diri dan keluarga dari neraka dengan taqwa (2:24)

Lega, Allah bongkarkan ciri Munafik supaya saya dapat jauhkan ciri-ciri ini. Sayangnya Allah kepada kita. Beritahu awal-awal dalam al-Quran.

Saya jelas untuk membuang sifat munafik dari diri. Oleh itu saya mesti istiqamah baca-faham-amal al-Quran supaya Allah kurniakan keberkatan dalam hidup. Nampak jalan yang lurus, elak jalan yang Allah Murka dan jalan sesat.

Ya Allah, bersihkan hati kami daripada sifat munafik, riak dan sombong. Anugerahkan kami hati yang ikhlas, istiqamah mengkaji al-Quran agar kami mendapat cahaya petunjuk untuk menjadi hamba-Mu yang sentiasa memperbaiki amalan. Jauhi kami dari kegelapan, bukakan pendengaran, penglihatan dan hati nurani kami untuk tadabbur tazakkur al-Quran dan tafakkur alam.

Ya Allah, kurniakan taufik dan hidayah Mu kepada kami agar kami berjaya di dunia dan berjaya di akhirat, jauhkan kami dari azab neraka.


RUJUKAN: MyQuranTime

Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...