Tuesday, May 2, 2023

Halaman 37 : Al-Baqarah, 2:231-233

PERKATAAN HARI INI 


عَرَفَ   Mengetahui, maklum
71 kali disebut dalam Al-Quran


SINOPSIS   

  1. Kewajipan lelaki terhadap isteri yang ditalak dan hak perwalian untuk nikah [2:231-232]
  2. Mengupah orang untuk menyusui bayi, masa penyusuan dan nafkah anak [2:233]


Mukadimah

Perbincangan di halaman ini adalah perbincangan serius tentang panduan daripada Allah SWT bagi menghadapi cabaran atau konflik dalam rumah tangga. Semoga al-Quran menjadi taman-taman bunga di dalam hati kita untuk membina rumah tangga yang bahagia hingga ke syurga.

Bacaan al-Fatihah dimulakan untuk mengingatkan kita bahawa Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang kepada kita. Kita juga diingatkan untuk menjadi orang yang bersyukur kerana Allah berikan banyak nikmat yang tak terhitung di sepanjang hayat kita.  Kita boleh makan minum itu juga tanda sayang-Nya. Dengan rahmat dan kasih sayangnya jua, kadang-kala kita diuji dengan berbagai cabaran termasuklah cabaran/konflik rumah tangga. 

Persoalan yang selalu timbul: "Betul ke Allah sayang kerana hidup saya ini banyak cabaran?" Jangan dinafikan bahawa cabaran itu tandanya Allah sayang kepada kita. Umpama ibu yang memberi ubat pahit kepada anak yang sakit sebagai ikhtiar supaya anak sembuh. Anak mungkin meronta dan tidak mahu makan, tetapi ibu akan pastikan ubat itu ditelan oleh anak. Struggle ini bukan kerana benci tetapi kerana ibu sayang kepada anak dan mahukan anak sihat.

Ayat 231-234 adalah dua ayat akhir yang menutup perbincangan bagaimana menguruskan perceraian. Ada satu surah iaitu Surah al-Talaq yang akan menceritakan bagaimana menguruskan sebelum hendak berpisah dan jalan penyelesaian kalau sudah berpisah. 


Ayat [2:231]

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍۢ ۚ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًۭا لِّتَعْتَدُوا۟ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ وَلَا تَتَّخِذُوٓا۟ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ هُزُوًۭا ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَآ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَٱلْحِكْمَةِ يَعِظُكُم بِهِۦ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ ٢٣١

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


Pengajaran

  1. Sekiranya perceraian berlaku, isteri mesti mematuhi tempoh iddah. Iddah ialah tempoh masa wanita tidak boleh berkahwin lain bertujuan untuk:
    • Menentukan tentang nasab bagi memastikan isteri yang diceraikan mengandung atau tidak dalam tempoh itu. 
    • Memberi ruang masa untuk Isteri menguruskan emosi.  
  2. Suami dibenarkan rujuk kembali dengan cara yang baik dalam tempoh iddah.
  3. Jika terpaksa bercerai juga, hendaklah suami lepaskan dengan cara yang makruf (baik). Berbeza sedikit dengan peringatan dalam ayat [2:229], rujuk dengan baik, atau ceraikan dengan ihsan (amat baik). 
  4. Allah larang suami jika mahu rujuk semula, jangan menzalimi (ضِرَارًا) isteri.  Kalau tidak suka, jangan buat sesuatu yang teruk kepada isteri umpamanya mengugutnya.
  5. Allah mengingatkan bahawa perbuatan menzalimi isteri adalah sebenarnya suami menzalimi dirinya sendiri. Allah tahu dan akan memberi balasan kezalimannya di akhirat kelak. 
  6. Suami mesti menerima teguran ini sekiranya tidak mahu menerima balasan buruk di akhirat.
  7. Allah tidak suka kepada orang yang mengambil ayat-ayat Nya sebagai ejekan. Allah memberi izin kepada lelaki hak talak tetapi jangan dibuat main-main. 
  8. Hendaklah kita jaga adab-adab perceraian walau apa pun yang berlaku. 
  9. Apabila ada cabaran/konflik dalam rumah tangga kita hendaklah ingat kepada nikmat Allah berkaitan perkahwinan iaitu nikmat telah diberi pasangan, anak, dan keluarga. 
  10. Janganlah fokus kepada kesilapan atau perkara remeh dalam rumah tangga.
  11. Perpisahan diharuskan jika suami/isteri berpandukan hidayah al-Quran yang membawa kita semakin dekat dengan Allah. 
  12. Konflik/cabaran rumah tangga adalah ujian Allah untuk memberi pengajaran kepada kita. 
  13. Allah memujuk suami dan isteri untuk kembali kepada ke jalan hidayah agar menjadi orang yang bertaqwa supaya berjaya masuk ke syurga. 
  14. Hendaklah suami lebih takut untuk membuat kezaliman kerana Allah ingatkan bahawa Dia Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu.
  15. Allah nasihatkan kita agar jangan melampau ketika menghadapi konflik rumah tangga kerana emosi perlu diuruskan dengan panduan dari Allah SWT.


Ayat [2:232]

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحْنَ أَزْوَٰجَهُنَّ إِذَا تَرَٰضَوْا۟ بَيْنَهُم بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ ذَٰلِكَ يُوعَظُ بِهِۦ مَن كَانَ مِنكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۗ ذَٰلِكُمْ أَزْكَىٰ لَكُمْ وَأَطْهَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ٢٣٢

"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya."


Pengajaran

  1. Allah ingatkan tentang peranan wali agar jangan menghalang pasangan yang bersetuju berbalik semasa tempoh iddah. Jangan pula pergi 'bakar' perasaan mereka, mengapi-apikan mereka. 
  2. Orang beriman kepada Allah dan hari akhirat akan cuba menyatukan kembali pasangan yang ada cabaran. Jangan menjadi penghalang kepada sesuatu yang baik. 
  3. Allah ingatkan kepada kita bahawa Dia tahu segalanya.
  4. Wanita jangan ambil kesempatan meletakkan syarat yang melampau apabila suami setuju untuk berbaik kembali. Bersetujulah secara مَعْرُوف  (yang dimaklumi secara ‘uruf - kebiasaan)
  5. Jika ada konflik dalam keluarga, kita hendaklah ambil panduan dari al-Quran, pasti tidak rugi. Jika terpaksa berpisah pun, biarlah kerana Allah.
  6. Allah ingatkan bahawa wanita yang terlibat dalam cabaran/konflik rumah tangga ini adalah ibu-ibu yang perlu diuruskan dengan baik kerana mereka adalah ibu-ibu kepada generasi masa depan agar kita mendapat rahmatNya hingga ke syurga.


Ayat [2:233]

۞ وَٱلْوَٰلِدَٰتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَـٰدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَآرَّ وَٰلِدَةٌۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌۭ لَّهُۥ بِوَلَدِهِۦ ۚ وَعَلَى ٱلْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍۢ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍۢ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوٓا۟ أَوْلَـٰدَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّآ ءَاتَيْتُم بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌۭ ٢٣٣

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”


Pengajaran

  1. Allah perintahkan supaya ibu menyusukan anaknya (ٱلرَّضَاعَةَ ) selama dua tahun penuh bagi yang hendak menyusukan secara sempurna.
  2. Janganlah kita cuba memutuskan hubungan anak dengan ibu dan ayah walaupun suami isteri sudah bercerai.
  3. Allah suruh ayah memberi nafkah (pakaian, makanan) kepada anak dan bekas isterinya walaupun sudah bercerai. Kalau tak ikut suruhan Allah ini, bermakna suami menempah neraka.
  4. Ibu yang bersetuju menyusukan anaknya jangan membuat permintaan yang melampau kepada suami/bekas suami sehingga memudharatkan suami. Begitu juga dengan suami jangan membuat permintaan yang boleh memudaratkan ibu yang menyusu.
  5. Ahli keluarga juga perlu ambil kisah kepada ibu yang menyusu jika suami tidak bantu/tiada.
  6. Ayah dan ibu mestilah berbincang dengan baik sekiranya hendak memberhentikan anak menyusu.
  7. Ibu dan ayah juga boleh menyuruh orang lain menyusukan anaknya atas persetujuan bersama dan ayah kena tanggung bayar upah penyusuan dengan harga yang patut. 
  8. Tanggung jawab seorang ayah terhadap anaknya berterusan. Ingat! Allah Maha Melihat. 
  9. Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan seorang ibu untuk menyusukan dan memelihara anaknya. 
  10. Pasangan suami isteri hendaklah jadi orang bertakwa, walaupun selepas bercerai. 
  11. Binalah taqwa di awal perkahwinan agar semasa konflik tetap meneruskan kehidupan dengan panduan Allah supaya berjaya ke syurga. 
  12. Perceraian diizinkan Allah, walaupun tidak digemari, ia bukan perkara mungkar. Kalau terpaksa berpisah, wanita/lelaki yang bercerai itu di sisi Allah tidak ada beza martabatnya asalkan dia ikut panduan al-Quran.  
  13. Jika perlu mendapatkan nasihat dari ahli keluarga atau kaunselor, berhati-hati juga untuk mengelakkan dari menjadi lebih rumit.  Berjumpalah penasihat yang merujuk dan berpandukan kepada al-Quran.

Nota untuk kaunselor: Kaunselor barat biasanya bertanya pendapat orang yang datang berjumpanya tentang perceraian; "Apa pendapat kamu? " Dikhuatiri klien akan menjawab ikut emosi.  Kaunselor sepatutnya bertanya perkara-perkara yang positif. Ingatkan tentang nikmat-nikmat yang dirasai selama perkahwinan. Suruh mereka beristighfar dahulu. 


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan memperolok-olok ayat Allah dalam keluarga [2:231]
  2. Perbanyakkan memperingati nikmat besar dari Allah: Al-Quran dan As-Sunnah bagi mengurus keluarga [2:231]
  3. Fahami hak susuan bagi ibu atau isteri dengan baik [2:233]

Lega kerana Allah SWT ajar cara mengurus konflik rumah tangga dan tanggungjawab menyusukan anak.

Saya jelas untuk tidak memperolokkan ayat Allah dalam keluarga. Saya mesti ingat nikmat Allah apabila menghadapi cabaran dalam rumah tangga. Saya juga jelas tentang hukum menyusukan anak.

Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa. Ya Allah, bantu kami untuk membina keluarga yang bahagia. Jadikan kami dan pasangan kami orang yang berpegang teguh kepada perjanjian pernikahan kami. Kurniakan kami sifat sabar dan bertolak ansur dalam urusan rumah tangga. Jauhi kami dari konflik dalam keluarga. 

Ya Allah, Jadikan anak-anak yang kami susukan sebagai anak-anak soleh dan solehah. Semoga anak-anak kami menjadi penyejuk mata kami, yang akan mendoakan kebaikan untuk kami. Semoga kami sekeluarga berjaya di dunia dan berjaya masuk ke syurga Firdaus. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...