Tuesday, May 2, 2023

Halaman 38 : Al-Baqarah, 2:234-237

PERKATAAN HARI INI 


طَلَقَ   Cerai
23 kali disebut di dalam Al-Quran


SINOPSIS  

  1. Iddah perempuan yang ditinggalkan mati suaminya [2:234]
  2. Pinangan secara kiasan kepada perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya [2:235]
  3. Perempuan yang ditalak sebelum digauli dan mut’ahnya atau wajibnya separuh mahar untuknya [2:236-237]


Mukadimah

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya Allah mengizinkan kepada kita untuk terus mengkaji  hidayah daripada Allah SWT. Kita memohon supaya kita dilimpahi dengan cahaya ‘nur’ (نور) yang menyejukkan dari al-qamar (bulan) iaitu cahaya terang tetapi menyejukkan. Cahaya ‘Dhia’ (ضياء) pula daripada as-syams (matahari) yang sifatnya panas dan dikaitkan dengan sabar. Semoga Allah terus pancarkan cahaya nur yang menyejukkan dan dhia' yang memanaskan untuk kita terus sabar dan istiqamah tilawah al-Quran bagi mendapatkan hidayah dalam kehidupan seharian.

Syukur kepada Allah SWT yang memberikan tazkirah demi tazkirah kepada kita melalui al-Quran. Istilah tazkirah (تذكرة) selain peringatan maksudnya adalah tiket. Umpama nak masuk ke stadium atau naik bas, kita kena ada tiket. Bila kita mendapat lebih banyak tazkirah umpama mendapat lebih banyak tiket untuk menjadi asbab menjemput rahmat Allah SWT dan kita menjadi hamba yang diizinkan masuk ke syurga . Itulah matlamat tadabbur tazakkur, untuk kita bersama baca, faham, dan amal al-Quran. 

 أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ialah ayat istia'zah iaitu lafaz yang menghasilkan perlindungan dan naungan Allah dari syaitan yang dilaknat. Hukum membaca isti'azah ialah sunat muakkad dan merupakan amalan yang sangat dituntut ketika hendak membaca Al-Quran. 

Bila kita nak memulakan bacaan al-Quran, maka mohonlah perlindungan Allah dari syaitan yang direjam. Baca sekali sahaja pada permulaan. Bila sedang membaca al-Quran dan kita berhenti kerana kena buat aktiviti yang tidak berkaitan dengan al-Quran, istia'zah semula bila mahu menyambung bacaan. Sekiranya terbersin atau diselangi dengan pengajian al-Quran, tidak perlu istia’zah semula. Istia'zah ini bukanlah dari ayat al-Quran.

Halaman 35 menceritakan tentang permulaan nikah, halaman 36 dan 37 pula tentang panduan perpisahan dan halaman 38 ini, menyentuh tentang panduan perpisahan akibat kematian. 

Al-Quran bukan sekadar menyebut bab gembira sahaja tetapi bab-bab kematian dan perpisahan juga ada panduannya untuk mencapai taqwa. Bahagia selama-lamanya tidak wujud di dunia. Setiap pasangan mungkin berpisah samada awal (bercerai) atau lambat (kematian).


Ayat [2:234]

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًۭا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍۢ وَعَشْرًۭا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌۭ ٢٣٤

"Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan."


Pengajaran

  1. Allah memberikan panduan bagaimana menguruskan isteri yang kematian suami. Ini menunjukkan al-Quran ada nilai yang baik bagi membina akhlak dan bersikap dengan betul dalam semua keadaan termasuk soal ini.
  2. Isteri yang kematian suami mestilah mematuhi peraturan iddah selama tempoh 4 bulan 10 hari. Semasa tempoh berkabung, wanita ini tidak boleh berhias, berwangi dan keluar rumah suka-suka. 
  3. Hikmah berkabung ialah untuk:
    • memastikan kebersihan rahim bagi menentukan mengandung atau tidak, 
    • menafikan tuduhan dan buruk sangka kepada wanita yang kematian suami. 
  4. Islam sangat menjaga status seorang isteri/wanita. 
  5. Selepas iddah, bolehlah berurusan seperti biasa dengan cara yang baik (bil ma’ruf بِٱلْمَعْرُوفِ ), jangan berlebihan atau ada agenda yang tidak baik. 
  6. Setiap ayat al-Quran ada nilai dan peraturan. Nilai yang lurus untuk melahirkan akhlak dan untuk bersikap dengan sikap yang betul ketika mematuhi peraturan. Contoh: Orang yang sikap dan nilainya tidak betul, akan terburu-buru. Umpama di lampu merah, terus pecut tanpa melihat dan memikirkan orang lain, makcik tua yang sedang melintas di jalan itu, boleh mendapat mudharat akibat tindakan yang tidak bernilai.  Ini ialah mematuhi peraturan  tanpa nilai dan tanpa sikap yang betul.


Ayat [2: 235]

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِۦ مِنْ خِطْبَةِ ٱلنِّسَآءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِىٓ أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَـٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّآ أَن تَقُولُوا۟ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا ۚ وَلَا تَعْزِمُوا۟ عُقْدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبْلُغَ ٱلْكِتَـٰبُ أَجَلَهُۥ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ فَٱحْذَرُوهُ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ ٢٣٥

"Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar."


Pengajaran

  1. Bila dalam iddah, lelaki boleh menyatakan keinginan meminang wanita yang dalam iddah itu tetapi dengan cara sindiran/kiasan. Contohnya:  Ibnu Abbas pernah berkata, "Sungguh aku mengharapkan seorang wanita solehah". 
  2. Allah ajar teknik melamar secara sindiran untuk menjaga kehormatan wanita. 
  3. Allah tahu bila lelaki berminat kepada wanita ia pasti akan menyebut-nyebut wanita yang hendak dinikahinya kerana janda menjadi perhatian orang. 
  4. Lelaki tidak dibenarkan membuat perjanjian secara sulit untuk tetapkan (confirm) keinginan itu atau memberi syarat kepada wanita itu untuk menerimanya, sebelum habis tempoh iddah. 
  5. Allah Maha Penyantun, mengulang 'Allah Tahu" berulang-ulang kali mengajar kita untuk menyantuni wanita dengan memberi masa kepadanya untuk bertenang dan mengurus emosi selepas kematian suami.
  6. Allah melindungi wanita yang kematian suami.
  7. Allah beri banyak peringatan kepada lelaki supaya melindungi wanita yang kematian suami. Wanita yang ditinggalkan suami selalu disalah anggap oleh masyarakat. Malahan para isteri juga takut dengan gelaran janda sehingga sanggup didera asalkan tidak bercerai. 
  8. Kita kena perjuangkan hak wanita dengan panduan daripada al-Quran.


Ayat [2:236]

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا۟ لَهُنَّ فَرِيضَةًۭ ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى ٱلْمُوسِعِ قَدَرُهُۥ وَعَلَى ٱلْمُقْتِرِ قَدَرُهُۥ مَتَـٰعًۢا بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ ٢٣٦

"Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi "Mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan."


Pengajaran

  1. Ayat ini berkenaan peraturan pernikahan yang terpaksa bercerai sebelum pasangan bersama (hubungan suami isteri) atau sebelum tetapkan maskahwin. 
  2. Allah menyuruh lelaki menggembirakan wanita yang diceraikan begini dengan memberikan mut'ah (hadiah) mengikut kemampuannya.
  3. Lelaki hendaklah buat yang terbaik agar dapat menjadi orang yang Muhsinin iaitu orang yang cemerlang di sisi Allah. Contoh: Dia akan beri hadiah yang terbaik lebih daripada apa yang dia niatkan. Salah seorang yang digelar muhsinin ialah Nabi Yusuf, yang tetap berbaik dengan saudara-saudaranya yang tidak berlaku baik kepadanya, walaupun setelah baginda menjadi Menteri Kewangan. 
  4. Peraturan Islam amat cantik. Kalau hendak berpisah pun bagi yang terbaik apatah lagi kalau tetap bersama, maka bagilah yang lebih baik ( حَقًّا عَلَى ٱلْمُحْسِنِينَ ).


Ayat [2:237]

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةًۭ فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّآ أَن يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَا۟ ٱلَّذِى بِيَدِهِۦ عُقْدَةُ ٱلنِّكَاحِ ۚ وَأَن تَعْفُوٓا۟ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۚ وَلَا تَنسَوُا۟ ٱلْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ٢٣٧

"Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”


Pengajaran

  1. Ayat ini berkenaan peraturan pernikahan yang terpaksa bercerai sebelum pasangan bersama (hubungan suami isteri) tetapi telah ditetapkan maskahwin.
  2. Allah memberi peraturan, jika mahar telah ditentukan,  lelaki hendaklah memberikan setengah (satu perdua) dari mahar itu kecuali jika wanita itu memaafkan ( يَعْفُونَ ).
  3. Lelaki yang Muhsinin akan memberi lebih ( يَعْفُوَا۟ ) atau semua mahar yang telah dipersetujui. 
  4. Allah menyuruh kita mengingatkan kebaikan (فضل) masing-masing dan melarang perpisahan dengan permusuhan. 
  5. Perpisahan sekiranya terpaksa, hendaklah dibuat atas dasar takwa.
  6. Allah suka kepada orang yang memaafkan kerana sifat pemaaf adalah sifat orang bertaqwa.
  7. Allah Maha Melihat apa yang kita lakukan.  Bila kita sedar Allah melihat, pasti kita akan membuat yang terbaik. 
  8. Yang masih ada isteri, janganlah pernah melupakan kebaikan isteri. Waktu konflik pun Allah aturkan segalanya dengan baik, apatah lagi yang sedang berada dalam alam rumah tangga.
  9. Hargai pasangan dan rumah tangga yang dibina atas dasar takwa. 
  10. Allah menyatakan dengan terperinci di dalam al-Quran tentang peraturan berumah tangga untuk menyelamatkan kita bukan sahaja di dunia malah di akhirat.
  11. Jangan melupakan kelebihan yang Allah berikan kepada kita dan keluarga. Bersyukurlah!
  12. Jiwa-jiwa yang pedih dan merana boleh diubat dengan penawar al-Quran. 
  13. Istiqamahlah memaafkan.
  14. Begitu cantik sekali aturan yang Allah beri untuk kita ikuti. Subhanallah!


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Menghormati waktu iddah adalah untuk menjaga keharmonian dan keturunan [2:234]
  2. Uruskan perkahwinan cara terbaik, biarpun ada konflik [2:236]
  3. Memaafkan itu diutamakan dalam urusan konflik rumah tangga [2:237]

Lega kerana Allah SWT ajar cara mengurus konflik rumah tangga dan sifat memaafkan.

Saya jelas tentang peraturan iddah untuk wanita yang kematian suami. Saya mesti uruskan perkahwinan mengikut panduan Allah dan mengamalkan sifat memaafkan.

Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertaqwa. 

Ya Allah, bantu kami untuk mengurus keluarga mengikut peraturan Mu agar kami menjadi orang yang bertaqwa. Ya Allah, jadikan kami, pasangan kami dan keturunan kami orang yang berpegang teguh kepada peraturan yang telah Engkau tetapkan supaya kami bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Kurniakan kami sifat orang yang Muhsinin, suka memaafkan dan istiqamah dalam membuat kebaikan. 

Ya Allah, kurniakan kami sifat sabar dan bertolak ansur dalam urusan rumah tangga. Jauhi kami dari konflik dalam keluarga. Semoga kami sekeluarga berjaya di dunia dan berjaya masuk ke syurga Firdaus. 



Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...