Tuesday, May 2, 2023

Halaman 39 : Al-Baqarah, 2:238-245

PERKATAAN HARI INI 


حَفِظَ   Menjaga, sensitif
Disebut 44 kali di dalam al-Quran


SINOPSIS 

  1. Menjaga Solat (238-239)
  2. Wasiat nafkah setahun bagi perempuan yang ditinggal mati suaminya dan Mut'ah bagi setiap perempuan yang ditalak (240-242)
  3. Matinya berbagai umat akibat sikap pengecut dan kedekut dan hidupnya mereka kerana keberanian dan banyak berinfak (243-245)


Mukadimah

Alhamdulillah kita teruskan pengajian untuk mendalami nur cahaya daripada Allah SWT. Kita sudah hampir ke penghujung Juzuk Kedua.  Semoga Allah izinkan kita untuk khatam tadabbur sekurang-kurangnya sekali sepanjang hidup kita. Kalau tidak diprogramkan, mungkin agar sukar untuk kita meneliti satu persatu ayat dalam al-Quran. Semoga kita istiqamah untuk teruskan tilawah bersama.

Al-Fatihah dibaca tanpa jemu agar kita dapat membajai jiwa dengan sifat syukur walaupun kita menghadapi cabaran dalam rumah tangga.


Ayat [2:238] 

حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِينَ ٢٣٨

"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk."


Halaman 28 penuh dengan panduan mengenai balu yang kematian suami dan perceraian. Tiba-tiba ayat 238 ini bercerita tentang solat.


Pengajaran

  1. Dalam keadaan galau dan trauma ketika perceraian, Allah mengingatkan suami isteri agar jangan terputus hubungan dengan pencipta mereka. Rasa sedih dan keseorangan jangan sampai hilang punca. Punca itu ialah daripada Allah SWT.
  2. Allah suruh jaga Solat Wusta iaitu solat asar. 
  3. Allah juga ingatkan bahawa ini ada kaitan dengan wasatiah iaitu di tengah-tengah antara solat dengan solat itu jangan putus hubungan dengan Tuhan.  
  4. Hubungan suami isteri mungkin dilanda masalah kerana keduanya tidak khusyuk, tidak merendah diri dan tidak ikut peraturan Allah SWT. 
  5. Jika menghadapi cabaran dalam rumah tangga, suami isteri mestilah solat dengan penuh khusyuk kepada Alah SWT.


Ayat [2:239] 

فَإِنْ خِفْتُمْ فَرِجَالًا أَوْ رُكْبَانًۭا ۖ فَإِذَآ أَمِنتُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَمَا عَلَّمَكُم مَّا لَمْ تَكُونُوا۟ تَعْلَمُونَ ٢٣٩

"Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya."


Pengajaran

  1. Allah ingatkan solat mesti dilaksanakan walaupun dalam keadaan ketakutan akibat perbalahan, atau ketika peperangan.
  2. Dalam keadaan aman, solat mesti dikerjakan dengan lebih sempurna.
  3. Allah mengajar kita supaya solat/jaga hubungan dengan-Nya dalam semua keadaan, tidak kira susah atau senang.
  4. Solat adalah penawar hati yang gundah gulana dan penenang emosi kita.


Ayat [2:240]

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًۭا وَصِيَّةًۭ لِّأَزْوَٰجِهِم مَّتَـٰعًا إِلَى ٱلْحَوْلِ غَيْرَ إِخْرَاجٍۢ ۚ فَإِنْ خَرَجْنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِى مَا فَعَلْنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعْرُوفٍۢ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ ٢٤٠

"Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."


Pengajaran

  1. Allah mengingatkan suami agar sentiasa mengingati mati dengan menyediakan wasiat untuk kemaslahatan isteri yang akan ditinggalkan.
  2. Suami mestilah menyediakan wasiat untuk nafkah (makan, pakai, tempat tinggal) kepada isteri yang akan ditinggalkan ialah setahun tempuhnya. 
  3. Allah sangat tegas dengan suami untuk menjaga hak balu. 
  4. Allah dengan sifat al-Azeez, al-HakimNya menunjukkan Dia yang berkuasa dan dihormati.   
  5. Allah menegaskan hal wasiat ini kepada suami dan orang-orang di sekitar kerana Allah amat bijaksana menguruskan hak-hak balu.


Ayat [2:241]

 وَلِلْمُطَلَّقَـٰتِ مَتَـٰعٌۢ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ ٢٤١

"Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut'ah (pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa."


Ayat [2:242]

 كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ ٢٤٢

"Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya."


Pengajaran ayat 241-242

  1. Perempuan yang diceraikan, suami perlu beri nafkah yang menyenangkan (  بِالْمَعْرُوفِ ).
  2. Orang-orang yang bertakwa akan menjaga hak-hak wanita yang diceraikan. 
  3. Pemimpin, Ajk surau dan komuniti  juga bertanggungjawab menjaga hak mereka dengan baik agar wanita yang diceraikan ini tidak terjatuh ke dalam bahaya seperti mencari sumber haram atau mengganggu rumah tangga orang lain.
  4. Allah amat memperjuangkan hak mereka dan kita juga mesti menggunakan akal untuk memahami keadaan mereka dan bersama memperjuangkannya agar menjadi orang yang bertaqwa.
  5. Teras kepada pengurusan konflik rumah tangga ialah  حَفِظَ. Suami isteri mesti menjaga dan sensitif kepada keperluan masing-masing, menjaga solat dan menjaga peraturan yang Allah tetapkan. Begitu juga dengan ibu-bapa dan masyarakat mesti menjaga serta melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan perintah dan peraturan Allah terjaga dalam keluarga.


Ayat [2:243] 

۞ أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ خَرَجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ ٱلْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ ٱللَّهُ مُوتُوا۟ ثُمَّ أَحْيَـٰهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ٢٤٣

"Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu " kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur."


Ayat 242 merupakan ayat terakhir mengenai konflik dalam rumah tangga. Ayat 243 ini Allah membawa kepada konflik di luar rumah iaitu perang. 

Allah membawakan berita tentang beberapa ribu Bani Israel yang keluar daripada negeri mereka untuk mengelakkan wabak taun. Mereka keluar sebab takut mati, tapi mereka mati juga. Satu pendapat lagi menyatakan yang mereka itu keluar ke Babylon kerana takut untuk berperang kerana hati mereka mati. Kemudian Allah bangkitkan generasi baru yang hidup hati mereka dan berperang kerana Allah.


Ayat [2:244]

وَقَـٰتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌۭ ٢٤٤

"Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran ugamaNya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."


Pengajaran ayat 243-244

  1. Allah berkuasa menghidupkan dan memberi kurniaan kepada manusia tetapi manusia tidak bersyukur.
  2. Kita tidak boleh lari dari mati tapi kita mesti bersedia untuk mati dalam kebaikan.
  3. Tanda bersyukur ialah berjuang untuk kebenaran. 
  4. Allah menyuruh kita berperang ke jalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh. 
  5. Allah Maha Mendengar Maha Mengetahui apa saja perjuangan kita baik dalam rumah tangga atau luar rumah. Contoh perjuangan dalam rumah: Mengejutkan anak solat, masak untuk keluarga memang memenatkan tetapi Allah Tahu dan akan membalas usaha kita dengan kebaikan. 


Ayat [2:245]

مَّن ذَا ٱلَّذِى يُقْرِضُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا فَيُضَـٰعِفَهُۥ لَهُۥٓ أَضْعَافًۭا كَثِيرَةًۭ ۚ وَٱللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْصُۜطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ٢٤٥

"Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan."


Pengajaran

  1. Rezeki yang kita dapat adalah milik Allah yang dipinjamkan kepada kita.
  2. Allah berkuasa meluaskan atau menyempitkan rezeki kita.
  3. Allah memberi motivasi kepada kita supaya infaq (duit, harta, tenaga, ilmu dll) dengan ikhlas.
  4. Allah akan membalas kebaikan (infaq) kita dengan balasan yang berlipat kali ganda dengan apa yang kita keluarkan. Contoh 1: Kita pinjamkan sejam sahaja untuk tilawah al-Quran. Allah akan lapangkan masa bagi kita. Allah akan membalas dengan kebaikan lain yang lebih banyak. Contoh 2: Ayah mahu membeli makanan untuk anak tetapi terlupa membawa wallet. Ayah itu meminta untuk  meminjam duit dari anak, yang asalnya, dari dia juga. Ayah mahu meminjam RM50, anak merasa berat sikit nak memberi sebab dah merasa duit itu dia yang punya. Ayah berjanji nak memberi lebih supaya anak tidak ragu-ragu untuk memberi. Bila nampak dapat lebih, kita mudah nak memberi pinjaman.
  5. Bila kita beri sedekah, duit kita tidak hilang begitu sahaja, ia dipindahkan ke akaun akhirat. Contoh: Orang bekerja bila lihat akaun RM100,000 di KWSP pun sudah gembira, apatah lagi bila kita lihat akaun di akhirat nanti. 
  6. Jangan jadi seperti Bani Israel yang kedekut, yang perlu di rayu-rayu untuk meminjamkan harta mereka.
  7. Kita mestilah menggunakan rezeki (duit, harta, masa lapang, kesihatan, ilmu dll) yang Allah pinjamkan kepada kita untuk perjuangan dalam rumah tangga dan juga di luar rumah. Semua kebaikan ini akan mendapat ganjaran yang banyak di dunia dan akhirat.


RESOLUSI 

Ingat !!

  1. Jangan putuskan hubungan dengan Allah apabila berlaku konflik sesama manusia (238)
  2. Sedar bahawa solat amat penting walaupun dalam darurat (239)
  3. Sentiasa bersedia meminjamkan harta untuk Allah (245)

Lega kerana Allah SWT ajar cara mengurus konflik rumah tangga dengan bersolat dan infaq.

Saya jelas untuk jaga hubungan dengan Allah dalam semua keadaan solat dan infaq.

Ya Allah, bantu kami untuk mengurus keluarga mengikut peraturan Mu agar kami menjadi orang yang bertaqwa. Jadikan kami, pasangan kami dan keturunan kami orang yang berpegang teguh kepada peraturan yang telah Engkau tetapkan supaya kami bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. 

Ya Allah, jadikan kami orang yang taat mendirikan solat dan ikhlas berinfaq. Ya Allah, bantu kami untuk membuat kebaikan kepada ibu-bapa kami, anak-anak kami, adik-beradik kami, saudara-mara kami dan orang-orang yang memerlukan. Semoga kami sekeluarga berjaya di dunia dan berjaya masuk ke syurga Firdaus. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...