Wednesday, May 3, 2023

Halaman 57 : Ali-’Imran, 3:53-61

 

PERKATAAN HARI INI 


تَبِعَ = Ikut, menurut, patuh 

174 kali disebut di dalam al-Quran



SINOPSIS  

  1.  Sambungan kisah Nabi Isa dengan kaumnya yang beriman dan yang kafir [3:53-58]
  2. Bantahan terhadap tuduhan bahawa Nabi Isa adalah anak tuhan dan al-Mubahalah [3:59-62]


Mukadimah

Alhamdulillah kita dapat terus bersama-sama mengkaji surah Ali-’Imran yang banyak menceritakan tentang orang-orang sesat iaitu golongan manusia yang kita minta untuk tidak jadi seperti mereka dalam ayat 7 surah al-Fatihah 

( صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ - 1:7

Surah al-Fatihah juga dinamakan sebagai surah as-syifa' (surah penyembuh). Al-Quran sebagai penyembuh hati dan penyakit fizikal. Dengan membaca al-Fatihah berulangkali, kita ingin mengingatkan diri bahawa kita memerlukan hidayah daripada Allah SWT setiap masa. Salah satu hidayah penting ialah kita percaya dan beriman kepada Nabi Isa, Nabi Musa, dan Nabi Muhammad SAW

Daripada ayat 52, Hawariyyun (sahabat setia Nabi Isa a.s) memberi jaminan untuk menolong baginda. Ini dikaitkan dengan golongan Ansar yang menolong Nabi SAW di Madinah. 



Ayat [3:53]


رَبَّنَآ ءَامَنَّا بِمَآ أَنزَلْتَ وَٱتَّبَعْنَا ٱلرَّسُولَ فَٱكْتُبْنَا مَعَ ٱلشَّـٰهِدِينَ ٥٣

"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".

Pengajaran

  1. Allah mengajar kita untuk bercakap terus kepada-Nya dengan menggunakan perkataan  رَبَّنَآ. Dalam agama Kristian, mereka meletakkan kesaksian kepada Nabi Isa a.s. Bagi mereka kesaksian Isa mencukupi bagi mereka sebagai jaminan masuk ke syurga. 
  2. Dalam agama Islam, percaya kepada Nabi Muhammad SAW tidak bermakna kita selamat segalanya. Percaya mesti dikuti dengan taat (وأطعنا) kepada Allah dan rasul-Nya.
  3. Bukti bersasksi kepada Allah dan rasul ialah kita mestilah ikut secara dekat dan rela (وَٱتَّبَعْنَا) apa yang Allah SWT perintahkan dan ikut apa yang Nabi tunjukkan.



Ayat [3:54]


وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ ٥٤

"Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya."


Pengajaran

  1. Ada pengikut Nabi Isa membuat tipu daya (مَكَر) untuk membunuh Nabi Isa. Dalam al-Quran Allah tidak memperincikan cerita Nabi Isa a.s diangkat ke langit. Allah telah menukar muka pengikut Nabi Isa a.s yang menipu itu menjadi seperti Nabi Isa. Orang menyebut rabbana kepadanya dan dia telah disalib.  Mereka menyangka  Nabi Isa lah yang salib itu. 
  2. Allah SWT berkuasa membalas tipu daya orang kafir dengan berbagai cara.



Ayat [3:55]


إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَىٰٓ إِنِّى مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَىَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَجَاعِلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوكَ فَوْقَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ ٥٥

"(Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan."


Pengajaran

  1. Allah SWT mengambil Nabi Isa a.s secara sempurna (مُتَوَفِّيكَ) iaitu jasad dan roh. 
  2. Pada akhir zaman, Allah akan mengembalikan Nabi Isa untuk menjelaskan kefahaman yang salah terhadap Nabi Isa a.s.
  3. Orang Islam yang mengikut Nabi Muhammad SAW dan Nabi Isa a.s akan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah.
  4. Allah ingatkan kita bahawa kita akan kembali kepada-Nya dan akan diberi balasan terhadap apa yang kita lakukan semasa di dunia.
  5. Hendaklah kita jadi orang yang mempunyai ilmu yang betul tentang Allah dan rasul agar kita dapat bersihkan diri daripada perselisihan tentang agama yang sebenar.



Ayat [3:56]


فَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ فَأُعَذِّبُهُمْ عَذَابًۭا شَدِيدًۭا فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٥٦

"Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.”


Pengajaran

  1. Allah memberi azab di dunia dan di akhirat kepada orang yang kufur kepada Allah dan meyembunyikan kebenaran tentang nabi.
  2. Orang yang kufur tidak dapat ditolong oleh sesiapa. 
  3. Kesan kufur boleh jadi sakit jiwa dan stress semasa di dunia yang sukar ditolong oleh orang lain melainkan istighfar minta ampun dan minta pertolongan daripada Allah.



Ayat [3:57]


وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ فَيُوَفِّيهِمْ أُجُورَهُمْ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٥٧

"Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim."


Pengajaran

  1. Allah akan sempurnakan ganjaran kepada orang yang beriman dan beramal soleh. 
  2. Allah akan memberi balasan yang baik kepada orang sabar ketika dizalimi. Contoh: Bersabarlah bila ada orang potong 'queue' masa beratur atau memandu. 
  3. Jika orang kafir menzalimi orang Islam, Allah akan membalas kepada mereka. 
  4. Jika kita rasa hendak menzalimi orang, ingatlah amaran daripada Allah ini.



Ayat [3:58]


ذَٰلِكَ نَتْلُوهُ عَلَيْكَ مِنَ ٱلْـَٔايَـٰتِ وَٱلذِّكْرِ ٱلْحَكِيمِ ٥٨

"Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat, lagi sentiasa terpelihara)."


Pengajaran

  1. Nabi Muhammad SAW tahu cerita Nabi Isa a.s daripada wahyu Allah.
  2. Allah berikan peringatan hikmah agar kita bijak membezakan hujah yang betul atau salah. 
  3. Bijak dan berhikmah ini sangat penting untuk mendapat kebenaran.



Ayat [3:59]


إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ ۖ خَلَقَهُۥ مِن تُرَابٍۢ ثُمَّ قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ ٥٩

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" maka menjadilah ia."


Pengajaran

  1. Allah meningatkan kita kuasa dan kehebatan-Nya yang menjadikan Nabi Isa tanpa ayah dan Nabi Adam tanpa ibu dan ayah. 
  2. Allah berkuasa menjadikan apa sahaja yang Dia inginkan ( كُن فَيَكُونُ).
  3. Allah sayangkan kita semua dan ingin kita kembali kepada Allah dengan kebenaran.



Ayat [3:60]


ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْمُمْتَرِينَ ٦٠

"Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu."


Pengajaran

  1. Orang Islam beriman pada tanda-tanda kekuasaan Allah dengan menggunakan akal yang Allah berikan bagi membeza yang benar dan yang salah.
  2. Kita tidak boleh berhujah berdasarkan kaedah misteri.
  3. Janganlah kita ragu-ragu terhadap kekuasaan Allah SWT.



Ayat [3:61]


فَمَنْ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا۟ نَدْعُ أَبْنَآءَنَا وَأَبْنَآءَكُمْ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَـٰذِبِينَ ٦١

"Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta."


Pengajaran

  1. Allah mengajar kepada Nabi SAW untuk mubahalah iaitu berdoa bersungguh-sungguh supaya Allah laknat pihak yang berdusta. Mubahalah bukan main-main dan ditakuti oleh orang Kristian. Mereka tahu azab Allah itu betul. 
  2. Keimanan hanya kepada Allah semata-semata. Umpama burung yang keluar dengan perut kosong pada waktu pagi, dan kembali dengan perut yang penuh di waktu petang. Malangnya, orang Kristian bertawakkal kepada selain Allah. 
  3. Berimanlah dengan kebenaran agar tidak mendapat laknat Allah.
  4. Orang yang berdusta dilaknat Allah.


RESOLUSI 


Ingat !!

  1. Jangan melakukan tipu daya pada Allah yang amat bijak menyusun strategi [3:54]
  2. Tetap beriman dan melakukan amal soleh [3:57]
  3. Beriman dengan kebenaran dan bukan dengan teka-teka seperti orang Nasrani [3:61]

Lega kerana Allah SWT beritahu Dia akan menolong hambanya yang beriman dan beramal soleh.

Saya jelas untuk terus berusaha membina iman dan mempelajari ilmu yang benar agar dapat menjadi penolong agama Allah yang berkesan dan tidak beramal dengan ilmu yang salah.

Ya Allah, jauhi kami dari tipu daya syaitan dan tipu daya manusia yang sesat. Kurniakan kami kekuatan dan kesabaran untuk melakukan amal soleh.

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...