PERKATAAN HARI INI
قَصَّ / قَصَصَ = Menjejak, kisah
30 kali disebut dalam al-Quran
SINOPSIS
- Bantahan bahawa Nabi Isa adalah tuhan [3:62-63)
- Seruan kepada mengesakan Allah SWT dan agama Nabi Ibrahim [3:64-68]
- Usaha sebahagian ahli kitab untuk menyesatkan kaum muslimin, sikap mereka memanupulasi agama dan fanatisme agama [3:69-70)
Mukadimah
Alhamdulillah, semoga kita ceria bersama al-Quran. Hari ini kita akan sambung cerita keluarga Imran yang diwarisi oleh Maryam dan anaknya Isa a.s berjuang menegakkan kebenaran.
Dalam ayat terakhir surah al-Fatihah, kita memohon agar tidak jadi orang yang dimurkai dan orang yang disesatkan. Surah al-Baqarah banyak bercerita tentang orang yang dimurkai oleh Allah iaitu Bani Israel. Surah Ali-’Imran membawa kita untuk mempelajari tentang orang yang sesat iaitu kaum Nasrani yang mengagungkan Nabi Isa a.s sebagai anak Allah. Ada juga golongan Bani Israel yang benci kepada Nabi Isa a.s kerana baginda lahir tanpa ayah.
Ciptaan Nabi Isa (yang tiada ayah) dan Nabi Adam (tiada ayah dan ibu), adalah mudah bagi Allah. Banyak persamaan antara kisah Nabi Isa dan Nabi Adam yang kisah mereka disebut dalam Surah Al-Baqarah (Nabi Adam) dan Ali Imran (Nabi Isa). Ada ulamak mengatakan terdapat 25 persamaan antara kedua-dua nabi ini.
Ayat 61 menerangkan tentang mubahalah iaitu menentukan samada kita betul dan laknat akan kena kepada orang yang bersalah, atau sebaliknya untuk menentukan kebenaran.
Ayat [3:62]
إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْقَصَصُ ٱلْحَقُّ ۚ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ ٦٢
"Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Pengajaran
- Kisah Nabi Isa a.s. di dalam al-Quran adalah benar. Ia tidak sama dengan kisah yang ditokok tambah dan diubah dalam agama Nasrani. Yang benar ialah Al-Masih Isa Ibnu Maryam, dan yang tidak betul keimanan ialah Al-Masih Dajjal. Semoga kita bersama keluarga dan zuriat dapat membina keimanan dengan panduan dari Surah Ali-’Imran dan dapat melepasi ujian Dajjal di akhir zaman dan selamat hingga ke syurga.
- Perkataan مَا (bukan) di dalam وَمَا مِنْ إِلَٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُ adalah menunjukkan penafian daripada Allah kepada pemahaman salah orang-orang Kristian. Allah menegaskan perkara ini kerana keimanan kepada Tuhan yang Satu, yang Maha Esa adalah tidak dikaitkan dengan Isa sebagai anak Allah. Mungkin bagi orang yang sejak lahir sudah Islam tidak ada masalah, tetapi bila orang Kristian bertanya perkara ini, salah satu rujukannya ialah Surah Ali-’Imran ini.
- Allah menekankan yang Dia Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana kerana Allah amat berkuasa untuk berbuat apa sahaja ke atas orang yang mempermainkan agama.
- Ahli kitab ialah pakar kitab, tetapi malangnya mereka juga pakar membuat kerosakan/memanipulasi kitab. Semoga ulamak kita tidak bersikap seperti mereka.
Ayat [3:63]
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُفْسِدِينَ ٦٣
"Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan."
Ayat [3:64]
قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ كَلِمَةٍۢ سَوَآءٍۭ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِۦ شَيْـًۭٔا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًۭا مِّن دُونِ ٱللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَقُولُوا۟ ٱشْهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ ٦٤
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam".
Pengajaran Ayat 63-64
- Tugas kita adalah berdakwah menyampaikan kebenaran bahawa kita menyembah Allah yang Maha Esa.
- Allah mengetahui orang yang berbuat kerosakan kepada agama.
- Sebagai pendakwah, kita mestilah berhujah dengan memfokus kepada kesamaan untuk beribadah kepada Tuhan yang Esa.
- Janganlah kita memuja dan mendewakan manusia berlebihan (أَرْبَابً). Jangan mengambil tokoh-tokoh dalam kalangan manusia untuk menghalalkan yang haram dan sebaliknya. Dalam agama Kristian, paderi-paderi mereka boleh menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal.
Ayat [3:65]
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تُحَآجُّونَ فِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَمَآ أُنزِلَتِ ٱلتَّوْرَىٰةُ وَٱلْإِنجِيلُ إِلَّا مِنۢ بَعْدِهِۦٓ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ٦٥
"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?"
Ayat [3:66]
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ حَـٰجَجْتُمْ فِيمَا لَكُم بِهِۦ عِلْمٌۭ فَلِمَ تُحَآجُّونَ فِيمَا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌۭ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ٦٦
"Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya."
Ayat [3:67]
مَا كَانَ إِبْرَٰهِيمُ يَهُودِيًّۭا وَلَا نَصْرَانِيًّۭا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًۭا مُّسْلِمًۭا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ٦٧
"Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik."
Ayat [3:68]
إِنَّ أَوْلَى ٱلنَّاسِ بِإِبْرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَـٰذَا ٱلنَّبِىُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ۗ وَٱللَّهُ وَلِىُّ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٦٨
"Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.”
Pengajaran Ayat 65-68
- Semasa berdakwah dan berhujah, janganlah kita menggunakan fakta yang direka-reka untuk sedap dengar atau untuk memporak perandakan kebenaran.
- Dalam ayat 65, Allah menegur Orang Nasrani yang mengatakan Nabi Ibrahim adalah orang Nasrani sedangkan ikut garis masa ialah Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW. Taurat dan Injil turun kemudian selepas Nabi Ibrahim.
- Al-Quran membenarkan kitab-kitab dan nabi-nabi terdahulu.
- Janganlah kita membantah kebenaran yang disampaikan dalam al-Quran untuk kepentingan diri sendiri. Ulamak Yahudi mengetahui apa yang ada dalam Taurat tetapi mereka manipulasi untuk kepentingan diri,
- Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad SAW membawa agama tauhid sedangkan Nasrani dan Yahudi membawa agama yang dimanipulasi oleh ulamak mereka.
- Kita membaca al-Quran untuk menjejak kebenaran, bukan sekadar untuk mengetahui cerita sejarah.
- Orang yang berilmu janganlah manipulasi kebenaran untuk kepentingan diri, kaum atau organisasi sendiri.
- Cabaran utama untuk menuju kebenaran ialah bagi ustaz-ustazah yang mengajar. Masyarakat hanya belajar dan mengikut sahaja dari mereka. Penting untuk ulama dan ustaz ustazah untuk jujur menyampaikan yang benar sahaja agar tidak menjadi seperti orang sesat yang terdahulu yang mendewa-dewakan ulamak mereka.
- Pengikut Nabi Ibrahim adalah Nabi Muhammad SAW dan orang-orang beriman.
Ayat [ 3:69]
وَدَّت طَّآئِفَةٌۭ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ ٦٩
"Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu)."
Ayat [3:70]
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ ٧٠
"Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?"
Pengajaran Ayat 69-70
- Orang-orang yang sesat (Nasrani) berusaha menyesatkan umat Islam tetapi sebenarnya mereka menyesatkan diri mereka sendiri.
- Kita mestilah berwaspada dengan propaganda Nasrani yang cuba memasukkan elemen kesyirikan dan gaya hidup sesat kepada umat Islam melalui media, filem, pakaian, ekonomi dan banyak lagi. Mereka mencampur adukkan antara yang halal dan haram.
- Untuk menangkis serangan jahat orang yang cuba menyesatkan, maka kita mestilah menguatkan pengabdian kepada Allah dan jangan mudah terpengaruh dengan dakyah mereka.
- Walaupun ayat ini bercakap tentang ahli kitab, tetapi gejala tahu kebenaran tetapi kufur kepada kebesaran Allah boleh berlaku kepada kita juga. Antara sebab benda ini berlaku kerana terpengaruh dengan wang, kedudukan dan kuasa.
- Ini adalah peringatan daripada Allah kepada kita semua bahawa prinsip kita adalah prinsip kebenaran (al-Haq).
- Kita tidak boleh campurkan dunia dan akhirat dengan cara yang salah. Kita tidak menolak dunia tetapi jangan sampai melalaikan kita tentang akhirat.
RESOLUSI
Ingat !!
- Selalu jaga diri daripada berbuat kerosakan [3:63]
- Jangan suka berhujah tanpa ilmu [3:65]
- Hidayah akan melindungi kita dari kesesatan [3:69]
Lega kerana Allah SWT tunjukkan jalan kebenaran dan agar tidak jadi orang yang sesat.
Saya jelas untuk jaga diri daripada berbuat kerosakan dan untuk tambah ilmu agar terhindar dari kesesatan.
Ya Allah, jauhi kami dari tipu daya syaitan dan tipu daya manusia yang sesat. Ya Allah, pelihara kami daripada berbuat kerosakan. Ya Allah, lindungi kami daripada kesesatan.
Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Ya Allah, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.