PERKATAAN HARI INI
قوم / قام Berdiri, teguh
Disebut 660 kali di dalam al-Quran.
SINOPSIS
Kepimpinan lelaki atas wanita dan menyelesaikan sengketa suami isteri [34-35]
Akhlak daripada al-Quran. Hanya menyembah Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, kerabat dan jiran tetangga [36-37]
CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL) Tuan Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali
Doa:
سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
2:32 "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا
20:114 "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"
Mukaddimah
Alhamdulillah kita dapat meneruskan pembelajaran dalam surah al-Nisa'. Surah ini menerangkan kepada kita tentang peraturan di dalam dan di luar rumah serta membongkar rahsia orang-orang munafik pada zaman Rasulullah SAW. Semoga kita tidak menjadi seperti orang Munafik. Allah memberi panduan-panduan agar keluarga kita diselamatkan dan berjaya masuk syurga sekeluarga.
Di dalam surah al-Nisa', Allah mengingatkan jika kita menjaga keluarga sebaik mungkin, sebenarnya kita sedang menjejaki jalan orang-orang yang diberi nikmat yang kita doa berulang kali dalam al-Fatihah.
Ayat [4:34]
ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ فَٱلصَّٰلِحَٰتُ قَٰنِتَٰتٌ حَٰفِظَٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ وَٱلَّٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا
"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar."
Mesej:
Allah memberitahu peranan lelaki dan wanita adalah berbeza. Lelaki adalah pelindung kepada wanita. Al-rijal diangkat bukan kerana dia lahir sebagai seorang lelaki tetapi al-rijal adalah satu status di dalam sebuah keluarga. Perkataan al-rijal bermakna lelaki yang berdiri atas kaki sendiri, mencari nafkah.
Allah yang memilih fungsi lelaki dan wanita. Kita tidak boleh protes pilihan Allah. Suami mencari nafkah untuk keluarga, isteri tidak perlu. Wanita boleh membantu mencari nafkah dengan izin suaminya.
Allah juga memberitahu peranan wanita sebagai isteri, mestilah sentiasa taat ( قَٰنِتَٰتٌ ) dan sentiasa bersedia untuk membantu suami. Tidak bertangguh. Orang yang 'qonitat', bila sahaja diminta, terus dapat apa yang kita mahu.
Isteri solehah bertanggung jawab menjaga kehormatan diri, menjaga harta suami dan urusan rumah tangga apabila suami mencari nafkah.
Tugas lelaki/suami, carilah nafkah diluar dan tidak perlu bimbang hal di rumah kerana isteri akan uruskan.
Sekiranya isteri nusyuz (menyeleweng atau derhaka) iaitu tidak melaksanakan kebaikan kepada suami dan bersifat memberontak atau pendendam. Contoh: Apabila disuruh solat, tidak dituruti, contohnya. Ada saja alasan untuk tidak berbuat apa yang suami suruh.
Isteri yang membebel tidak dianggap nusyuz. Contoh: Saidina Omar juga pernah dileteri oleh isterinya. Bagi anak-anak kecil, kepakaran isteri membebel diperlukan kerana anak-anak perlu diingatkan berulang-ulang kali. Dalam surah ar-Rahman juga Allah mengulang-ulang sebanyak 31 kali.
Allah ajar, sekiranya isteri nusyuz, suami hendaklah buat perkara-perkara berikut ikut turutan:
Nasihati isteri ( فَعِظُوهُنَّ ) untuk taat dan menghindari maksiat. Kalau perlu, bawa jumpa kaunselor atau orang lain untuk dinasihati. Mulakan dengan komunikasi antara suami isteri.
Asingkan tempat tidur ( وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ ) sebagai pengajaran. Bab tidur ini sensitif. Jangan suka-suka sahaja nak asingkan.
Tidak berkesan juga, baru boleh pukul dengan pukulan ringan (وَٱضْرِبُوهُنَّ). Bukan pukul untuk mencederakan. Memukul dengan satu dua jari pun, sebenarnya akan buat isteri faham.
Janganlah suami mencari-cari jalan untuk menyakiti dan mengungkit kesalahan isteri.
Yang paling berkuasa dan paling besar dalam sebuah rumah tangga ialah Allah, bukan suami.
Fokus ayat ini ialah kepada lelaki sebagai pemimpin. Suami kena mengalah sebagai tanda tidak ego dan tidak sombong.
Lelaki mestilah seorang yang berdiri teguh, sanggup berdikari mencari nafkah dan memberi perlindungan kepada wanita untuk melayakkan dia digelar al-rijal, bukan 'muzakkar' semata-mata kerana 'muzakkar (jantan)' juga ada pada binatang.
Al-Rijal bukan sekadar lahir sebagai lelaki jantan tetapi lelaki yang sebenar-benarnya berfungsi mengikut apa yang Allah beritahu dalam ayat ini.
Ayat [4:35]
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَٱبْعَثُوا۟ حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِۦ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن يُرِيدَآ إِصْلَٰحًا يُوَفِّقِ ٱللَّهُ بَيْنَهُمَآ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
"Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya."
Mesej:
Jika sengketa berterusan, datangkan seorang wakil (orang tengah) daripada pihak lelaki dan seorang wakil daripada perempuan.
Jika kedua-dua suami isteri benar-benar mahukan perdamaian (ada ulamak tafsirkan 'kedua-dua' itu adalah wakil-wakil yang dilantik), Allah akan memberi taufik iaitu jalan penyelesaian.
Suami isteri kena ada rasa ingin membaiki (islah) perhubungan. Kalau ada dalam hati suami isteri perasaan tidak mahu berbaik (give up), Allah tidak akan memberi taufik kepada keluarga itu sehinggakan tidaklah mereka
menjadi bahagia.
Allah Maha Mengetahui apa yang ke depan dan ke belakang, sama ada pasangan itu akan kekal atau tidak. Yang pentingnya kita kekal dalam amal soleh (islah) untuk membaiki keluarga kita. Allah Maha Melihat apa saja perasaan dan fikiran pada suami isteri yang bersengketa.
Semoga kita terus bahagia melaksanakan akhlak daripada al-Quran dalam ayat seterusnya.
Untuk melahirkan lelaki 'al-rijal', anak-anak lelaki mestilah dididik dengan akhlak al-Quran iaitu:
Beribadah kepada Allah dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun.
Berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran yang dekat (saudara mara), jiran yang jauh, rakan sejawat, musafir, hamba sahaya.
Bila anak-anak telah dilatih untuk berbuat baik kepada ibu bapa, mereka akan juga berbuat baik kepada isterinya dan dapat menjaga kepada ahli keluarganya.
Allah tidak suka orang yang khayal, merasa dirinyalah yang paling bagus. Orang begini dipanggil فَخُورًا . Dia merasa dialah yang besar. Yang sebenarnya Allahlah yang paling besar. Inilah tarbiah yang mesti diberi di dalam keluarga kita sebagai panduan.
Didiklah anak lelaki menjadi rijal agar mendapat kurniaan yang banyak daripada Allah SWT.
Suami janganlah kedekut dan menyuruh keluarga kedekut.
Suami kena meneguhkan isteri dan bukan manipulasi isteri.
Al-Rijal tidak menghalang orang lain berbuat baik dan terlalu berkira-kira. Kalau ada kelebihan rezeki mereka tidak menyembunyikan dan tidak menyalahgunakan kurniaan Allah SWT.
Bila suami mahu meluang masa untuk keluarga, jangan kita pula menjadi penghalang dan mengajaknya ke tempat lain.
Orang yang bakhil dan menghalang orang berbuat baik akan dibalas dengan kehinaan oleh Allah.
Allah ingatkan kita supaya mengajar anak-anak lelaki agar tidak menjadi bakhil kerana bakhil adalah sifat orang yang ego.
Ayat [4:36]
وَٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا۟ بِهِۦ شَيْـًٔا وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا وَبِذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْجَارِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْجَارِ ٱلْجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلْجَنۢبِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَٰنُكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri;"
Mesej:
Ayat [4:37]
ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ وَيَأْمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلْبُخْلِ وَيَكْتُمُونَ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا
"Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina;"
Mesej:
RESOLUSI
Ingat !!
Bina generasi lelaki yang melindungi wanita [4:34]
Wanita jaga diri dan harta suami serta tidak ceroboh atau melampau [4:34]
Berbuat baik dengan ibu ayah [3:36]
Lega kerana Allah SWT menekankan agar wanita dilindungi.
Saya jelas untuk bina anak cucu menjadi lelaki yang melindungi wanita. Saya juga mesti jaga diri, harta suami serta tidak ceroboh atau melampau. Saya mesti berbuat baik dengan ibu ayah dan berakhlak dengan akhlak al-Quran.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran.
Ya Allah, bantu kami untuk membina generasi lelaki yang melindungi wanita. Jadikan kami wanita yang menjaga diri dan harta suami serta tidak ceroboh atau melampau. Ya Allah bantu kami untuk berakhlak dengan akhlak al-Quran. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.