Thursday, June 1, 2023

Halaman 85 : Al-Nisa', 4:38-44

 PERKATAAN HARI INI        

   مَالَ /   مَيَلَ  Cenderung, harta 

    86 kali disebut di dalam al-Quran


SINOPSIS   

  1. Larangan riak ketika  berinfaq, berat/berkira-kira untuk berinfaq [4:38-39]

  2. Dorongan untuk melakukan dan melaksakan perintah agama dan ancaman terhadap maksiat [40-42]

  3. Haramnya solat ketika mabuk dan bolehnya bertayamum bila tidak ada air [4:43]

  4. Sikap dan perilaku kaum Yahudi [4:44]


CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL)  Tuan Fazrul Ismail,  Ustaz  Tarmizi Abdul Rahman



Doa:

 سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ 

2:32  "Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".


 رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا 

20:114 "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"


Mukaddimah


Alhamdulillah, kita bertemu untuk meneruskan pengajian di halaman 85 juz 5 surah al-Nisa'. Didoakan kita terus istiqomah bersama  surah al-Fatihah kerana ia memberi manfaat yang besar kepada kita. Al-Fatihah memberi lonjakan kepada hati supaya kita menjadi kuat bagi menghadapi ujian daripada Allah SWT setiap hari. Dengan menghayati al-Fatihah, kita sedar Allah pasti akan jaga kita dengan penuh rahmah dengan sifat ar-Rahman dan ar-RahimNya.


Ayat [4:38]


وَٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَمَن يَكُنِ ٱلشَّيْطَٰنُ لَهُۥ قَرِينًا فَسَآءَ قَرِينًا


"Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan."


Mesej:


  1. Bersedekah dengan riak (menunjuk-nunjuk) adalah perbuatan syirik. 

  2. Allah mencela perbuatan sengaja menunjuk-nunjuk kerana mereka sebenarnya tidak betul-betul beriman kepada Allah dan hari akhirat. 

  3. Orang yang riak hanya ingin mendapat manfaat daripada manusia, bukan ingin manfaat daripada Allah.


  1. Infak adalah puncak perjuangan bagi orang beriman, jadi jangan cemarkan perjuangan dengan riak. 

  2. Riak melambangkan iman seseorang itu kosong pada waktu melakukan perbuatan tersebut. Aktiviti riak ini umpamanya pelajar, bila di depan guru buat yang terbaik, di belakang guru tidak begitu. Di dalam facebook, nampak baik tetapi sebaliknya lain. Orang Yahudi dan Nasrani ditemplak kerana sikap mereka yang begitu. 

  3. Orang yang riak sebenarnya bersahabat baik ( قَرِينًا ) dengan syaitan yang menjadi penasihatnya. 

  4. Janganlah kita menjadikan syaitan sebagai qarin. Jadikan al-Quran sebagai penasihat.  

  5. Dalam tafsir Hamka, orang yang riak diumpamakan seperti labi-labi. Akan mengeluarkan kepala hanya bila ada sesuatu dan  akan menyorokkan muka bila diminta berinfak. Orang-orang yang ada penyakit hati, ia hanya mahu kebaikannya ditatang. Bila disinggul, dia terus tidak mahu berinfak.

  6. Dengan tilawah al-Quran, hati kita akan jadi sejahtera, boleh infak tanpa riak.


Ayat [4:39]


وَمَاذَا عَلَيْهِمْ لَوْ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ وَكَانَ ٱللَّهُ بِهِمْ عَلِيمًا


"Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka."


Mesej:


  1. Allah memanggil dan bertanya kepada orang-orang beriman untuk meningatkan bahawa, walaupun infak itu berat tetapi manfaatnya besar untuk orang yang menginfak.

  2. Infak bermakna melabur. Melabur RM1 ganjarannya RM700.

  3. Ganjaran tersebut hanya akan diperolehi oleh orang yang berinfak hanya kerana Allah, bukan dengan riak. 

  4. Allah sentiasa tahu apa niat di hati hamba-Nya bila mereka berinfak. 


Ayat [4:40]


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَظْلِمُ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ وَإِن تَكُ حَسَنَةً يُضَٰعِفْهَا وَيُؤْتِ مِن لَّدُنْهُ أَجْرًا عَظِيمًا


"Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang amat besar."


Mesej:


  1. Allah memberitahu bahawa berinfaklah walaupun sangat kecil ( مِثْقَالَ ذَرَّةٍ - seperti zarah). 

  2. Kebaikan yang dibuat walaupun kecil, nilainya sangat besar di sisi Allah.

  3.  Allah tahu kedudukan dan kemampuan setiap hamba-Nya. Jadi, infaklah dengan ikhlas ikut kemampuan kita. Allah tidak menzalimi hamba-Nya. 

  4. Setiap kebaikan kecil yang kita lakukan mempunyai tenaga (energy) yang memberi kesan besar.  

  5. Allah akan memberikan ganjaran yang besar ( أَجْرًا عَظِيمًا ) atas setiap kebaikan yang kita buat. Janganlah kita berasa kecewa bila orang tidak mengucapkan terima kasih bila kita berbuat baik. 

  6. Tidak ada apa pun milik kita di dunia ini. Banyakkanlah bersedekah. Kebaikan sebesar zarah pun Allah pandang.

  7. Infakkan harta memang mencabar sebab manusia semulajadinya cenderung kepada harta yang dicari dengan bersusah payah. Melawan kecenderungan kepada harta adalah perjuangan yang besar, maka Allah akan kurniakan ganjaran yang besar juga.

  8. Kebaikan yang kita buat sepatutnya bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia. Allah lah tempat kita menunjukkan segalanya.


Ayat [4:41]

فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍۭ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِ شَهِيدًا


"Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini."


Mesej:


  1. Rasulullah SAW akan menjadi saksi kepada perbuatan kita di akhirat nanti. 

  2. Jika sekarang kita buat kebaikan, Nabi SAW akan gembira, tapi kalau kita buat keburukan, Nabi akan bersedih.  Nabi SAW pernah menangis teresak-esak mendengar Abdullah Ibnu Mas'ud membaca ayat ini. Umpama seorang ibu dipanggil ke sekolah anak. Jika diberi hadiah satu talam, pasti ibu itu bangga. Tetapi jika diberitahu anak dihukum dan untuk melihat anak disebat, sangat menyedihkan. Begitulah sedihnya Nabi SAW bila kita tidak berjuang seperti yang Nabi SAW lakukan.  

  3. KIta harapkan Nabi SAW menjadi saksi kebaikan yang kita lakukan.


Ayat [4:42]

يَوْمَئِذٍ يَوَدُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَعَصَوُا۟ ٱلرَّسُولَ لَوْ تُسَوَّىٰ بِهِمُ ٱلْأَرْضُ وَلَا يَكْتُمُونَ ٱللَّهَ حَدِيثًا


"Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah (ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah."


Mesej:


  1. Pada hari akhirat nanti walaupun orang kafir tidak mahu dibangkitkan untuk menerima balasan buruk kerana kebakhilan dan sifat riak mereka, namun mereka tidak akan terlepas daripada hukuman Alah.

  2. Di dunia kita boleh sembunyikan harta, ilmu dan lain-lain tetapi semua sifat buruk itu akan terbongkar bila tiba di akhirat. 


Ayat [4:43]

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَقْرَبُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنتُمْ سُكَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا۟ مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِى سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا۟ وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَآءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ ٱلْغَآئِطِ أَوْ لَٰمَسْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءً فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًا طَيِّبًا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا


"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun."


Asbabul nuzulnya meriwayatkan bahawa, Saidina Ali pergi ke majlis dan mabuk sehingga tidak dapat membaca Surah al-Kafirun dengan betul. Waktu itu, arak belum lagi diharamkan lagi.  Saidina Ali dan sahabat-sahabat lain tidak minum arak selepas ditegur. Ini petanda bahawa para sahabat sangat sensitif. Ini juga menunjukkan revolusi ke arah pengharaman arak.


Mesej:


  1. Allah melarang kita daripada menjadi mabuk kerana keadaan itu boleh menyebabkan kita tidak sedar dan tidak tahu apa yang dibaca dalam solat.

  2. Walaupun tidak minum arak dan mabuk, tetapi jika kita solat dengan tidak tahu apa yang kita baca, ini juga mestilah dielakkan. Kita kena berusaha untuk faham dan hayati apa yang kita baca dalam solat. Jangan mabuk hal dunia di dalam solat.

  1. Jangan solat dalam keadaan hadas besar. Mesti mandi wajib dulu. 

  2. Bila sakit dan bila tiada air, kita dibolehkan bertayammum dengan tanah yang bersih di muka dan tapak tangan. 

  3. Allah Maha Pemaaf Maha Pengampun.

  4. Allah amat sayang kepada umat terdahulu dan kepada kita. Hukum-hukum diturunkan secara bertahap. Tidak sekaligus hingga menyusahkan manusia. Begitu juga dengan kita bila berinteraksi dengan manusia, kena ada tahap-tahapnya.  


Ayat [4:44]


أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًا مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ يَشْتَرُونَ ٱلضَّلَٰلَةَ وَيُرِيدُونَ أَن تَضِلُّوا۟ ٱلسَّبِيلَ


"Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan."


Mesej:


  1. Allah mengingatkan kita tentang orang yang telah diberi sebahagian kitab, iaitu Taurat. Taurat mereka ambil, bila al-Quran datang mereka tolak. Contoh: Dilarang memancing pada hari Sabtu tetapi mereka pusing peraturan dan buat apa yang Allah larang.

  2. Allah ingatkan kepada kita jangan memilih syaitan sebagai qarin, sebaliknya pilihlah al-Quran di dalam hidup kita. 

  3. Syaitan sentiasa berusaha untuk menjadikan kita orang yang sesat. Kalau kita tidak mengambil al-Quran sepenuhnya, iaitu secara holistik, sebenarnya kita sedang mengambil syaitan sebagai penasihat.



RESOLUSI


Ingat !!

  1. Niat berinfaq hanya kerana Allah SWT [4:38]

  2. Sentiasa berbuat baik kerana Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar [4:40]

  3. Jaga solat dengan penuh kesedaran [4:43]


Lega kerana Allah SWT akan memberi ganjaran besar atas setiap perbuatan baik.


Saya jelas untuk niat infak hanya kerana Allah. Saya mesti berusaha untuk berbuat baik dan menjaga solat dengan penuh kesedaran.


Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran. 


Ya Allah, bersihkan hati kami daripada sifat riak. Bantu kami untuk berbuat baik. Kurniakan kami ilmu agar kami dapat menjaga solat dengan penuh kesedaran. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...