PERKATAAN HARI INI
نَصَرَ Pertolongan, bantuan yang besar
158 kali disebut di dalam al-Quran.
SINOPSIS
Allah tahu sikap dan perilaku kaum Yahudi [4:45]
Perintah Allah kepada ahlul kitab supaya mengimani al-Quran dan ancaman laknat Allah SWT kepada mereka [4:46]
Dosa yang diampuni dan dosa yang tidak diampuni [4:47-48]
Contoh lain perbuatan ahlul kitab dan balasannya [4:49-51]
Mukaddimah
Alhamdulillah pada hari ini kita meneruskan pengajian pada halaman 86 untuk memahami realiti pada zaman Nabi SAW dan cabaran-cabaran yang baginda hadapi untuk kita jadikan pengajaran dalam kehidupan sekarang.
Surah al-Fatihah memberi semangat kepada kita untuk kita memohon hidayah daripada Allah SWT pada setiap hari. Kita mohon bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk tunjukkan 'kami' jalan yang lurus. Kami bermakna, kita, anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita. Itulah semangat yang kita ingin sampaikan dan ulang-ulang setiap hari di dalam solat. Kita minta agar Allah tidak menjadikan kita musuh kepada agama ini seperti yang akan dipelajari pada hari ini.
Perjalanan kita dengan al-Quran di dalam My #QuranTime ini belum pun sampai ⅙ tetapi kita teruskan perlahan-perlahan sehingga tamat. Semoga dikira sebagai amal soleh untuk kita semua. Sambil buat baik jangan lupa doakan untuk ibu ayah. Anak soleh solehah yang mendoakan ibu ayah, adalah seperti KWSP untuk ibu ayah.
Semalam kita berbincang tentang orang yang diberi sebahagian kitab. Mereka menerima Taurat tetapi mereka menolak al-Quran. Mereka memilih untuk sesat dan menyesatkan. Apakah perkara sama berlaku di zaman ini? Ya, berlaku.
Ayat [4:45]
وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَآئِكُمْ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَلِيًّۭا وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ نَصِيرًۭا
"Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara mereka)."
Mesej:
Allah memberitahu Dia lebih mengetahui berkenaan musuh-musuh orang Islam iaitu orang Yahudi. Hamka dalam tafsirnya memberi komentar tentang sejarah orang Yahudi. Di zaman Hitler, mereka dipandang amat hina dan dibunuh begitu sahaja. Orang Yahudi yang bermusuh dengan Islam berbuat jahat dengan semua orang.
Allah memperkenalkan musuh ini agar kita tidak menjadikan Yahudi sebagai pelindung. Bagi orang Islam, cukuplah Allah sebagai kawan dan pelindung yang besar. Janganlah kita bergantung kepada mereka dalam urusan ekonomi, pendidikan dan lain-lain kerana memang telah terbukti mereka adalah musuh yang membuat angkara untuk melemahkan orang Islam.
Bila kita merasa lemah, sedih dan hilang semangat, jangan berharap dengan musuh untuk membantu. Ini adalah kerana musuh akan berbuat bermacam muslihat. Seperti yang pernah berlaku di Turki. Orang Yahudi telah berbaik dengan Inggeris, dan kemudiannya telah meminta tanah Palestin. Orang Inggeris telah menunaikan permintaan Yahudi kerana mereka mahu menyingkirkan Yahudi dari negara mereka dan menyingkirkan Islam dari Palestin.
Ambillah Allah sahaja sebagai wali yang pasti menolong dan melindungi kita pada setiap masa.
Ayat [4:46]
مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَٱسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍۢ وَرَٰعِنَا لَيًّۢا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًۭا فِى ٱلدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَٱسْمَعْ وَٱنظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَـٰكِن لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًۭا
"Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata dalam hati): "Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (mereka mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka)."
Mesej:
Orang Yahudi mengubah (يُحَرِّفُونَ) isi kitab untuk kepentingan mereka.
Orang Yahudi sungguh biadab. Mereka berkata "Kami dengar dan kami derhaka". Mereka buat-buat dengar tetapi sebenarnya mereka tidak mendengar.
Cara mereka menukar serta menyebut sesuatu perkataan itu secara licik untuk menghina dan memperli Nabi SAW dan agama Islam. Mereka menyebut وَرَٰعِنَا dengan ada sedikit tambahan sehingga maksudnya berubah kepada “Wahai pengembala kami!” (seolah memanggil "mana kuli saya!”). Peringatan: sebutan dan makhraj huruf yang tepat semasa membaca al-Quran amat penting.
Jika mereka mendengar dan taat, Allah berfirman yang itu adalah lebih baik untuk memimpin jiwa mereka.
Pengajarannya, kita di hari ini juga kena menjaga perkataan dan percakapan. Jika kita selalu bermain perkataan yang tidak tepat, ia akan memberi kesan buruk kepada hati. Kesannya, orang tersebut boleh menjadi kufur dan dilaknat, dan akhirnya mempunyai keimanan yang bermasalah.
Ayat[4:47]
مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِۦ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَٱسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍۢ وَرَٰعِنَا لَيًّۢا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًۭا فِى ٱلدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَٱسْمَعْ وَٱنظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًۭا لَّهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَـٰكِن لَّعَنَهُمُ ٱللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلًۭا
"Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.”
Mesej:
Allah memberi peringatan kepada kita supaya beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab yang terdahulu.
Allah juga peringatkan kepada kita untuk mengambil al-Quran secara keseluruhan, bukan ambil sebahagian atau tinggalkan sebahagian seperti kaum Yahudi.
Allah akan melaknat orang yang tidak ambil al-Quran secara keseluruhan iaitu dengan meratakan wajah (نَّطْمِسَ وُجُوهًا) mereka dan pusing kepala ke belakang.
Allah peringatkan bahawa Dia telah melaknat orang Yahudi yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu.
Jika seseorang tahu peraturan, tetapi tetap cuba berbuat muslihat dan melanggarnya, dia dianggap tidak beriman kepada kitab yang telah diberikan oleh Allah SWT secara keseluruhan.
Umat Nabi Muhammad SAW tidak seperti umat terdahulu, ditangguhkan balasan hingga ke hari kiamat. Namun jangan sampai kita ini membelakangkan al-Quran dan memilih-milih apa yang kita hendak sahaja.
Allah memang ada ketentuan dan peraturan-Nya. Jika taat, begini balasannya. Jika derhaka, begitu pula balasannya.
Hanya Allah tempat kita bergantung. Jika kita pasakkan perkara ini di dalam hati, insha-Allah Allah tidak akan tinggalkan kita.
Saling membantu, bukan menjadi seteru antara sesama kita, agar kita dibantu oleh Allah.
Ayat [4:48]
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفْتَرَىٰٓ إِثْمًا عَظِيمًا
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar."
Mesej:
Allah menerangkan sebab kenapa orang Yahudi sanggup menjadi musuh orang beriman dan mengubah isi kitab. Ini adalah kerana mereka menggangap mereka adalah yang paling bagus dan itu membawa kepada perbuatan syirik.
Allah tegaskan bahawa Dia tidak mengampunkan dosa syirik.
Orang berbuat dosa kerana mereka merasakan bahawa Allah tidak melihat mereka dipanggil musyrik. Ini adalah kerana semasa berbuat dosa, mereka tidak lagi ingat kepada Allah. Mereka menduakan Allah. Menganggap Allah tidak nampak ataupun memandang remeh hukuman Allah.
Syirik adalah kezaliman atau dosa yang besar (إِثْمًا عَظِيمًا). Ini yang menyebabkan orang Yahudi sanggup membunuh para nabi. Sedangkan dengan Tuhan pun mereka boleh ambil mudah, apatah lagi kepada sesama makhluk.
Menurut tafsir Hamka, ada syirik 'khafi (tersembunyi) dan jali (jelas)'. Kita kena menjauhi keduanya. Suka menunjuk-nunjuk kepada orang (riak) dan mahukan pujian itu adalah syirik khafi.
Sehingga sekarang ada orang yang masih tidak bergantung pada Allah sepenuhnya. Mereka percaya sesuatu (selain Allah) itu yang membuatnya berjaya dalam kehidupan.
Ayat [4:49]
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُم ۚ بَلِ ٱللَّهُ يُزَكِّى مَن يَشَآءُ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya); dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun."
Mesej:
Orang Nasrani menganggap mereka boleh berbuat apa sahaja kerana mereka percaya Isa sebagai penyelamat yang akan membolehkan mereka masuk ke dalam syurga.
Orang Yahudi merasa mereka hebat dan kalau masuk neraka pun, sekejap sahaja kerana mereka adalah ‘The Chosen Ones.’
Kefahaman ini ada juga dalam kalangan orang Islam yang Islam sekadar pada nama. Mereka tidak mahu memenuhi tuntutan agama tetapi tetap menyangka mereka akan masuk ke syurga selepas masuk sebentar ke dalam neraka.
Kita terpilih sekiranya kita melaksanakan tanggungjawab.
Lelaki hanya boleh terpilih menjadi ‘al-Rijal’ sekiranya mereka melaksanakan tugasnya seperti mencari dan memberi nafkah.
Al-Rijal atau al-Nisa' perlu melakukan tanggungjawab yang diamanahkan, barulah Allah menjaga hak-hak mereka.
Allah mengingatkan bahawa Allah lah yang menyucikan dan menentukan tempat kita di akhirat. Janganlah kita memandai mengaku dan menuntut kedudukan masing-masing.
Allah tidak menzalimi walaupun sedikit kepada kita (وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا). Bulu-bulu halus pada biji kurma dipanggil ‘fatil’ (فَتِيلًا). Sekecil itu pun Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya.
Kalau kita buat baik Allah akan balas. Jangan anggap kerana kita Islam, Allah akan terus bagi kebaikan.
Satu kesilapan besar syirik yang dilakukan orang terdahulu dan masih berlaku sehingga sekarang ialah bergantung kepada sesuatu selain Allah.
Ayat [4:50]
ٱنظُرْ كَيْفَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۖ وَكَفَىٰ بِهِۦٓ إِثْمًۭا مُّبِينًا
"Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata."
Mesej:
Allah suruh kita perhatikan betul-betul ( ٱنظُرْ ) bagaimana mereka melakukan penipuan terhadap Allah. Salah satu pembohongan orang Nasrani ialah mereka menyatakan Allah ada anak. Orang Yahudi pula memandang kecil hukuman di neraka.
Ada juga fahaman begini yang menyelinap dalam umat Islam. Berhati-hati dengan perkara ini dan jangan beranggapan lahir sebagai Islam sudah memadai untuk selamat di akhirat. Contohnya, sikap tak payah baca al-Quran kerana merasakan mereka sudah banyak buat perkara baik yang lain. Jika tidak memahami al-Quran, bagaimana nak tahu apa yang baik atau tidak serta membezakan antara benar atau batil?.
Allah tidak menzalimi hamba-Nya. Hamba-Nya yang menzalimi diri sendiri.
Ayat [4:51]
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ نَصِيبًۭا مِّنَ ٱلْكِتَـٰبِ يُؤْمِنُونَ بِٱلْجِبْتِ وَٱلطَّـٰغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا۟ هَـٰٓؤُلَآءِ أَهْدَىٰ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ سَبِيلًا
"Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah) bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad s.a.w)."
Mesej:
Orang yang beriman kepada sebahagian sahaja daripada kitab, menyebabkan mereka beriman kepada "Jibti" جِبْت ialah keimanan kepada perkara-perkara yang tidak benar. Contoh: Percayakan horoskop, ikat tali hitam untuk anak tidak diganggu syaitan dan sebagainya. Ada yang mengasapkan keris kerana percaya keris itu ada tuan yang menjaganya.
Yakinlah bahawa hanya Allah yang Maha Berkuasa.
Taghut adalah sumber-sumber kuasa yang ingin melawan kepada Allah. Jika ada pemimpin yang menghalang kepada agama, ini serupalah seperti taghut. Orang yang kafir mengatakan bahawa segala yang salah dari ‘jibti’ dan ‘taghut’ lebih mendapat hidayah daripada orang yang beriman.
Untuk menjauhi jibti dan taghut, hendaklah kita ikut al-Quran dan jangan percaya kepada yang lain. Jangan hanya menyebut kita mengikut al-Quran tetapi yang sebenarnya, kita tidak faham pun isi al-Quran. Usahakan untuk betul-betul memahami Al-Quran.
Allah tidak akan membantu orang-orang yang merasa diri mereka sempurna.
RESOLUSI
Ingat !!
Selalu mohon kepada Allah agar melindungi kita daripada musuh [4:45]
Selalu ambil pelajaran dari kisah lampau [4:47]
Elakkan diri dari menjadi orang yang mensucikan diri dan menganggap diri bagus [4:49]
Lega kerana Allah SWT melindungi saya daripada musuh kalau saya mohon perlindungan daripada-Nya.
Saya jelas untuk selalu mohon kepada Allah agar dilindungi daripada musuh. Saya mesti baca dan faham al-Quran supaya dapat ambil pelajaran daripada kisah lampau. Saya juga mesti elakkan diri daripada menjadi orang yang mensucikan diri dan menganggap diri bagus.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran.
Ya Allah, lindungilah kami daripada musuh. Jauhkan kami daripada menjadi orang yang merasakan diri kami bagus. Jauhkah sifat ujub dan riak dalam diri kami. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.