PERKATAAN HARI INI
زَعَمَ Mengaku, menuntut
17 kali disebut di dalam al-Quran
SINOPSIS
Anggapan dan sikap kaum munafik [4:60-63]
Kewajipan taat kepada Rasulullah SAW [4:64-65]
Mukaddimah
Alhamdullillah, pujian kepada Allah agar kita terus dipimpin untuk memahami dan memahami inpati al-Quran. Segala apa yang berlaku di dunia ini kita mesti ingat yang kita masih ada al-Quran sebagai mukjizat. Semasa zaman Nabi Musa, Firaun dan pembesarnya membuat berbagai angkara tetapi mukjizat Nabi Musa berjaya menyelamatkan Bani Israel. Selagi kita membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran, insya Allah, kita akan dipimpin oleh Nya.
Surah al-Fatihah yang dibaca berulang kali adalah untuk melonjakkan semangat kita agar menjadi umat Alhamdulillah. Kesannya ialah kalau dalam hidup kita ada cubaan yang melanda, kita masih lagi terus mengatakan Alhamdulillah. Allah telah berikan nikmat yang tidak terkira kepada kita. Maka hati kita akan kembali berbunga-bunga dan mekar kembali. Inilah rahsia sahabat-sahabat kita di Palestine yang terus ceria walaupun mereka menghadapi musuh kerana mereka ada Alhamdulillahi rabbil'alamin.
Pada halaman 88 ini kita mahu lihat ciri-ciri orang munafik dan lihat apakah kita mempunyai ciri-ciri tersebut. Jika ada, kita perlu buang. Kita juga hendak lihat bagaimana untuk mendepani mereka yang mempunyai ciri-ciri ini.
Pada halaman lepas, kita telah belajar bahawa seorang pemimpin perlu menunaikan amanah seperti yang tersebut di dalam ayat 58. Pada ayat 59 pula, Allah mengingatkan jika pemimpin menunaikan amanah, rakyat wajib taat kepadanya selagi pemimpin kembali kepada Allah dan Rasul. Jika ada pertelagahan, kita kena cepat-cepat kembali kepada Allah dan Rasul sebagai tanda kita menuju ke arah yang baik. Allah ingatkan kepada pemimpin dan pengikut agar jangan mengambil al-Quran separuh-separuh.
Ayat [4:60]
أَلَمْ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ ءَامَنُوا۟ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوٓا۟ أَن يَكْفُرُوا۟ بِهِۦ وَيُرِيدُ ٱلشَّيْطَٰنُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا
"Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh."
Mesej:
Orang yang betul-betul beriman kepada al-Quran dan kitab-kitab terdahulu tidak akan berhakim dengan taghut.
Asbabun nuzul ayat ini: Menurut Ibnu Hatim, dulu Abu Barzah al-Aslami seorang dukun yang membantu memutuskan perselisihan orang-orang Yahudi. Orang Islam pun ada berjumpa dia untuk menenung dan jampi serapah, tidak menggunakan panduan daripada al-Quran. Zaman ini pun masih ada orang Islam yang baca Yassin malam Jumaat tetapi bila barang hilang dia pergi berjumpa bomoh, ini adalah salah dan mesti dielakkan. Itu tandanya masih mengikut taghut ( يَتَحَاكَمُوٓا۟ إِلَى ٱلطَّٰغُوتِ ).
Syaitan ingin menyesatkan kita sejauh-jauhnya ( ضَلَٰلًۢا بَعِيدًا ) sehinggakan rasa tidak bersalah buat perkara-perkara yang sebenarnya bergantung kepada taghut. Contoh: Masuk hutan, minta izin 'nenek/penunggu hutan' dan di rumah, di tempat kerja kita menggunakan pendinding-pendinding.
Hendaklah kita menjauhkan diri daripada perbuatan yang tidak berpandukan al-Quran dan sunnah.
Ayat [4:61]
وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ رَأَيْتَ ٱلْمُنَٰفِقِينَ يَصُدُّونَ عَنكَ صُدُودًا
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah berhakim kepada hukum Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan kepada hukum Rasulullah," nescaya engkau melihat orang-orang munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan bersungguh-sungguh daripada menghampirimu."
Mesej:
Orang Munafik tidak suka kalau diperingatkan untuk kembali kepada sumber perundangan yang betul iaitu al-Quran dan sunnah.
Hendaklah kita baca dan faham al-Quran dan sunnah dengan betul-betul agar bila ada isu dalam kehidupan, kita tahu di mana hendak rujuk. Bukan rujuk 'uskun' atau manusia bersifat Munafik.
Kita hendaklah sentiasa sedar bahawa orang Munafik bersungguh-sungguh menghalang manusia daripada kembali kepada al-Quran dan sunnah.
Ayat [4:62]
فَكَيْفَ إِذَآ أَصَٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌۢ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ثُمَّ جَآءُوكَ يَحْلِفُونَ بِٱللَّهِ إِنْ أَرَدْنَآ إِلَّآ إِحْسَٰنًا وَتَوْفِيقًا
"Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil bersumpah: "Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang berbalah)."
Mesej:
Orang Munafik tidak mengaku kesalahan yang mereka lakukan. Bila berjaya dan ada manfaat kepada mereka, mereka akan cepat-cepat mengaku. Kalau berlaku sebaliknya, mereka berlepas tangan.
Orang Munafik bermulut manis dengan mengatakan apa-apa yang mereka buat adalah untuk kebaikan dan perdamaian.
Jangan mudah berlepas tangan bila sesuatu masalah timbul selepas kita buat sesuatu perkara.
Kita mesti ambil tanggung jawab untuk merancang sesuatu tindakan berdasarkan al-Quran dan sunnah serta
berdoa untuk mendapat hasil yang terbaik dengan izin Allah.
Allah ajar Nabi SAW dan kita, cara untuk mensikapi orang yang bersifat Munafik iaitu:
Berpaling dari mereka. Tunjukkan kepada mereka yang kita tidak suka dengan perbuatan buruk tersebut.
Beri nasihat dengan perkataan yang berkesan. Kalau perlu sentap, teruskan supaya hati mereka terkesan dan sedar kesilapan yang mereka lakukan.
Hendaklah kita menerima al-Quran seratus peratus.
Allah ingatkan kita bahawa fungsi Rasul adalah untuk ditaati, bukan untuk dipuja-puja.
Selawat kepada Nabi adalah untuk membina hubungan dengan Nabi walaupun kita tidak pernah berjumpa baginda. Makin banyak berselawat, makin banyak kita mengkaji apa Nabi buat, apa perasaan Nabi dan kita semakin menghayati perjuangan Nabi.
Semakin kita baca al-Quran dan belajar hadis, semakin kuat untuk kita berjuang seperti Nabi. Itulah kesan selawat yang perlu kita bina dalam diri.
Sekarang rasul sudah tiada, hendaklah kita rujuk kepada ulamak Quran dan ulamak bidang kepakaran (ulamak pewaris Nabi) yang relevan dengan isu semasa.
Kalau kita membuat kesilapan, cepat-cepat bertaubat, minta ampun kepada Allah dan rujuklah kepada Allah dan rasul.
Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihi. Dia akan bantu kita mencari jalan keluar atas sebarang masalah yang dihadapi.
Ayat [4:63]
أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يَعْلَمُ ٱللَّهُ مَا فِى قُلُوبِهِمْ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَعِظْهُمْ وَقُل لَّهُمْ فِىٓ أَنفُسِهِمْ قَوْلًۢا بَلِيغًا
"Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati mereka."
Mesej:
Ayat [4:64]
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ ٱللَّهِ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ جَآءُوكَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ ٱللَّهَ وَٱسْتَغْفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُوا۟ ٱللَّهَ تَوَّابًا رَّحِيمًا
"Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."
Mesej:
Ayat [4:65]
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."
Mesej:
Allah bersumpah dengan diri-Nya sendiri. Menunjukkan ini adalah perkara besar yang kita mesti beri perhatian.
Orang yang beriman dan membaca al-Quran mestilah menjadikan sunnah Nabi SAW sebagai sumber rujukan utama untuk melakukan semua perkara dalam kehidupan kerana Nabi adalah 'Quran berjalan'.
Kalau kita tidak tahu, tanya pakar dalam bidang masing-masing dan berbincang. Jangan ambil tindakan sendiri tanpa pastikan ianya seperti yang Nabi SAW lakukan. Pada zaman Nabi SAW, sahabat ada bidang kepakaran tersendiri. Antara yang pakar dalam al-Quran seperti Ibnu Abbas, Aisyah dan Ibnu Mas'ud.
Bila ada perselisihan, kembalilah kepada al-Quran. Itulah bukti keimanan kita. Serah betul-betul kepada Allah. Jangan biarkan syaitan bertepuk tangan.
Al-Quran dan sunnah adalah panduan di dalam hidup kita dalam berinteraksi dengan keluarga dan masyarakat.
Kalau silap, kita mengaku dan minta maaf. Kita kena sentiasa belajar. Jangan bercakap seolah-olah kita ini bersih sangat. Sebagai pemimpin juga, jika bercakap seperti bersih sangat sedangkan ada masalah, orang akan tahu.
Kita ingin menjadi orang yang menyerah, memperbaiki tanpa merasa berat menerima teguran supaya kita dapat bertemu Allah SWT dengan hati yang sejahtera.
RESOLUSI
Ingat !!
Berhati-hati dengan ajakan ke jalan taghut - kepimpinan berasakan syaitan[4:60]
Sampaikan kepada orang yang degil dengan perkataan yang berkesan [4:63]
Tanda iman sebenar? Jadikan Nabi sebagai sumber hukum [4:65]
Lega kerana Allah SWT ingatkan untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan dalam kehidupan.
Saya jelas untuk berhati-hati dengan ajakan ke jalan taghut. Saya mesti mensikapi orang yang bersifat Munafik seperti yang Allah ajar kepada Nabi SAW. Saya jelas untuk jadikan Nabi sebagai sumber hukum.
Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan menyampaikan al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam penyelesaian masalah hidup kami.
Ya Allah, bantu kami untuk menjauhi taghut. Ajarkan kami ilmu al-Quran dan sunnah supaya kami dapat jadikan al-Quran dan sunnah sebagai sumber rujukan dalam berhukum. Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah Ya Mujib.