Saturday, July 1, 2023

Halaman 162 : Al-A'raf, 7:88-95

 

PERKATAAN HARI INI

 عَادَ  @ عَوَد  Kembali

63  kali disebut dalam al-Quran.


SINOPSIS   

  1. Dialog Nabi Syuaib as dengan tokoh-tokoh di kalangan kaumnya dan azab gempa yang ditimpakan kepada mereka (88-93)
  2. Sunnah (ketentuan) Allah SWT dalam memberi kesempitan dan kelapangan sebelum membinasakan suatu kaum (94-95)


CATATAN (BACA-FAHAM-AMAL)  


Doa:

سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

"Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"


رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا

"Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku"


MUQADDIMAH

Alhamdulillah, kita dapat menyambung pembelajaran pada halaman 162. 

Intisarinya ialah tentang pentingnya kita berdoa dan pentingnya kita menjawab perintah Allah. Kita mesti beriman bahawa apa yang kita minta itu Allah akan beri sama baik ataupun lebih baik daripada apa yang kita minta. Allah pasti beri yang terbaik kerana Allah mengetahui apa yang terbaik untuk kita. 

Teruskan berdoa kerana doa itu adalah lambang kita seorang hamba. Itu lah yang kita baca di dalam Surah al-Fatihah. Hanya kepadaMu kami beribadah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan. Kita berdoa dengan jiwa kehambaan untuk mendapat bantuan daripada Allah SWT. 

Kita menyambung kisah Nabi Syuaib yang amat dekat dengan hati kita. Kisah-kisah dalam al-Quran adalah sesuatu yang membuka perspektif kita. Kita akan lihat bahawa Nabi Syuaib berjuang dan itulah juga perjuangan kita. Ada cabaran-cabaran yang dialami, mungkin itulah cabaran yang perlu kita sikapi dengan panduan dan pujukan daripada al-Quran. Inilah kisah yang dibawa kepada Nabi Muhammad SAW yang berjuang di Mekah dan dengan bacaan inilah yang melembutkan hati Nabi SAW, para sahabat. Kita juga kena terus berjuang.  Keep it up, dont give up.

Ini adalah satu peringatan besar bagaimana kita nak memastikan kalau sempit kita diselamatkan Allah. Kalau kita senang kita tetap diselamatkan Allah. Kita tidak mahu jadi seperti apa yang berlaku kepada orang terdahulu yang disempitkan untuk disempitkan lagi, atau dilapangkan itu sebagai peluang terakhir untuk dapat makan makanan yang terbaik, lepas itu 'zas' habis daripada kehidupan.

Kesempitan ialah satu peringatan besar bagi kita. Kita tidak mahu menjadi orang terdahulu yang kesempitan dan disempitkan lagi oleh Allah asbab kedegilan mereka. 

Marilah kita bersama-sama berkongsi program ini. Semoga ia menjadi asbab kita semua belajar al-Quran untuk menghargai nikmat al-Quran al-Karim dan semoga hati kita sentiasa terbuka untuk menghayati ayat-ayat Allah. Inilah petunjuk sebenar dalam kehidupan kita untuk bertemu dengan Rabbuljalil. 


Ayat [7:88]

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لَنُخْرِجَنَّكَ يَـٰشُعَيْبُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَكَ مِن قَرْيَتِنَآ أَوْ لَتَعُودُنَّ فِى مِلَّتِنَا ۚ قَالَ أَوَلَوْ كُنَّا كَـٰرِهِينَ

Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib berkata: "Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami". Nabi Syuaib menjawab: "Adakah (kamu hendak melakukan yang demikian) sekalipun kami tidak menyukainya”.

Mesej dan Tindakan:

1. Ini lah antara silibus yang penting untuk anak-anak kita yang habis belajar, atau penjawat awam atau swasta yang ingin naik pangkat. Kisah Nabi Syuaib ini adalah kisah yang penting dalam menjaga kestabilan ekonomi dan sosial. Lebih daripada itu ia bercakap tentang integriti di tempat kerja ataupun ketika bermuamalah sesama manusia. 

2. Pada halaman lepas, Allah mengingatkan kepada Nabi Syuaib dan juga pengikutnya, iaitu jika ada satu kumpulan yang beriman dan satu lagi tidak beriman, orang beriman kena bersabar. Teruskan usaha mengingatkan kepada orang-orang yang tidak jujur, curang dalam melakukan amanah kehidupan kerana Allah akan menjadi hakim yang bijaksana menentukan keadaan dan pada waktunya kalau perlu dijatuhkan hukuman kepada mereka yang tidak jujur, Allah akan bongkar dan Allah akan beritahu kepada dunia. 

3. Perkataan yang diucapkan oleh Nabi Shuaib ini dibalas oleh pembesar-pembesar ( ٱلْمَلَأُ) pada masa itu. Mereka menghalau Nabi Shuaib. Seperti sekarang juga, orang yang berkuasa mesti akan mengeluarkan orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Nabi Syuaib dan pengikutnya dipulau kecuali jika sanggup mengikut style mereka itu yang menipu, mengurangkan timbangan sebagai cara mereka. Mereka tak puas hati kerana ditegur oleh Nabi Syuaib dan pengikut-pengikutnya yang beriman.

4. Nabi Syuaib membesar dalam satu kawasan yang sama dengan pembesar-pembesar itu namun baginda tidak geng dengan mereka. Apabila baginda bersuara tidak mahu ikut kebejatan mereka, Nabi Syuaib diketepikan. Nabi Shuaib tetap beritahu baginda tak suka perbuatan mereka. 


Ayat [7:89]

قَدِ ٱفْتَرَيْنَا عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا إِنْ عُدْنَا فِى مِلَّتِكُم بَعْدَ إِذْ نَجَّىٰنَا ٱللَّهُ مِنْهَا ۚ وَمَا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّعُودَ فِيهَآ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُ رَبُّنَا ۚ وَسِعَ رَبُّنَا كُلَّ شَىْءٍ عِلْمًا ۚ عَلَى ٱللَّهِ تَوَكَّلْنَا ۚ رَبَّنَا ٱفْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِٱلْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْفَـٰتِحِينَ

"Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah, jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".

Mesej dan Tindakan:

1. Ini adalah perjuangan ekonomi yang juga perjuangan tauhid. Berhala di zaman itu ialah ekonomi yang curang. Orang ada kuasa kerja, dengan kerajaan tetapi lepas tu diambil duit atau ada yang wujudkan komplot geng untuk kacau orang. Contoh: Di negara kita, adanya gangster atau kartel yang bekerjasama agar yang penting kontena boleh masuk ke dalam negara membawa perkara-perkara yang tidak betul untuk makanan kita. Ini adalah perkara yang pernah berlaku. 

2. Allah selamatkan Nabi Shuaib daripada jalan hidup curang. Kita dah dapat al-Quran. Kita sedar bahawa kita tak mahu makan makanan yang haram dalam kehidupan. Kita sudah jelas perkara tersebut. Bagi mereka yang kontraktor contohnya, kalau selama ini sogok di bawah meja, di tepi meja, tapi bila sedar saya baca Quran, saya tak boleh makan harta yang batil, itu tanda Allah selamatkan kita. Allah telah mengingatkan kita, jangan kita nak kembali semula kepada jalan kehidupan begitu. 

3. Walaupun kita bersemangat tetapi kita tahu Allahlah yang berkuasa atas setiap sesuatu. Ilmu Allah amat luas tetapi bila kaumnya korup, baginda bertawakkal dan mohon doa kepada Allah SWT setelah buntu menguruskan mereka yang rasuah dan penipu. "Wahai Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim".

4. Kita doakan minta dibukakan hati orang-orang yang curang dalam berjual beli dan yang curang dalam kuasa. Kita minta supaya sentiasa  ada whistle blower yang mahu membuka kebenaran. Kita tak ada pilihan, kita mesti memilih jalan tauhid. Jalan tauhid dalam bab ekonomi dan kuasa kita kena beritahu apabila ada yang tak betul.


Ayat [7:90]

وَقَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ لَئِنِ ٱتَّبَعْتُمْ شُعَيْبًا إِنَّكُمْ إِذًۭا لَّخَـٰسِرُونَ

Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi Syuaib (kepada orang ramai): "Sesungguhnya jika kamu mengikut Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah orang-orang yang rugi".

Mesej dan Tindakan:

1. Ini adalah ancaman daripada pembesar yang curang kepada pengikut Nabi Syuaib. Mereka diancam akan menjadi orang yang rugi.

2. Kita kena kuat semangat kerana itu perjuangan tauhid dalam berhadapan dengan kumpulan ekonomi yang bejat, yang tipu dan tidak jujur dalam sesebuah organisasi, negeri atau negara.

3. Semoga kita semua terselamat dari wabak COVID19 dan terselamat daripada kecurangan ekonomi dan kita mengikut apa yang Allah perintahkan seperti yang dilakukan oleh Nabi Syuaib.

4. Hendaklah kita berwaspada, rasuah sekarang ada dalam bentuk tiket umrah dan haji agar tidak didedahkan kecurangan mereka. 


Ayat [7:91]

فَأَخَذَتْهُمُ ٱلرَّجْفَةُ فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَارِهِمْ جَـٰثِمِينَ

Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

Ayat [7:92]

ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ شُعَيْبًۭا كَأَن لَّمْ يَغْنَوْا۟ فِيهَا ۚ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ شُعَيْبًۭا كَانُوا۟ هُمُ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.

Mesej dan Tindakan ayat 91-92:

  1. Kedegilan kaum Nabi Syuaib menyebabkan Allah binasakan mereka dengan gempa sehingga semua bangunan dan bisnes mereka hancur lebur dan mereka mati bergelimpangan. Mereka dimusnahkan, menjadi seperti padang jarak padang tekukur.
  2. Merekalah yang rugi kerana mendustakan kejujuran, amanah dan tauhid kepada Allah SWT.
  3. Kalau kita sekarang merasakan bisnes hancur dengan COVID19, cepat-cepat kembali kepada ekonomi yang jujur kerana itu lambang tauhid. Kalau tidak, Allah akan hancurkan sepertimana yang berlaku kepada pengikut Nabi Shuaib.


Ayat [7:93]

فَتَوَلَّىٰ عَنْهُمْ وَقَالَ يَـٰقَوْمِ لَقَدْ أَبْلَغْتُكُمْ رِسَـٰلَـٰتِ رَبِّى وَنَصَحْتُ لَكُمْ ۖ فَكَيْفَ ءَاسَىٰ عَلَىٰ قَوْمٍۢ كَـٰفِرِينَ ٩٣

Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap orang-orang kafir (yang telah binasa itu)".

Mesej dan Tindakan:

1. Nabi Syuaib sedih tetapi tetap ada rasa marah juga dengan kaumnya. Beliau sudah memberi teguran tetapi didustakan.

2. Jangan kita jadikan agama sebagai sanitiser untuk sekadar menutup kebejatan seperti membuat program agama untuk mengabui mata orang sedangkan tetap meneruskan rasuah, penipuan dan segala macam kebejatan ekonomi.

3. Hendaklah kita bersihkan semuanya kerana khuatir terpaksa kembali kepada 'millatina'. Mereka tak mahu ditegur, letakkan agama pada satu sudut sahaja dan terus membuat curang.


Ayat [7:94]

وَمَآ أَرْسَلْنَا فِى قَرْيَةٍۢ مِّن نَّبِىٍّ إِلَّآ أَخَذْنَآ أَهْلَهَا بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَضَّرَّعُونَ

Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Mesej dan Tindakan:

  1. Allah timpakan kesusahan kepada kaum Nabi Syuaib kerana mereka curang dalam ekonomi.
  2. Allah beri kita ujian dan kesusahan agar kita bermunajat kepadaNya. Allah nak suruh kita kembali kepadaNya. Kesan daripada wabak COVID19 ini bukan hanya fenomena alam yang boleh dihilangkan dengan vaksin. Kita kena bertaubat, memohon ampun kepada Allah SWT dan kembali mengamalkan al-Quran agar kehidupan kita menjadi lebih baik selepas Allah angkat wabak ini.


Ayat [7:95]

ثُمَّ بَدَّلْنَا مَكَانَ ٱلسَّيِّئَةِ ٱلْحَسَنَةَ حَتَّىٰ عَفَوا۟ وَّقَالُوا۟ قَدْ مَسَّ ءَابَآءَنَا ٱلضَّرَّآءُ وَٱلسَّرَّآءُ فَأَخَذْنَـٰهُم بَغْتَةًۭ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)". Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Mesej dan Tindakan:

1. Kita takut jika kita tidak kembali kepadaNya, selesa dengan kemudahan yang akan diberi selepas ini nanti dan kita kembali kepada cara lama, minum arak, buat kemaksiatan, khuatir Allah akan musnahkan kita terus.

2. Allah berikan kita ujian-ujian ini agar kalau ada yang tak jujur dan rasuah, cukup-cukuplah! Kalau ada yang berkuasa nak menindas dan memanipulasi kepada orang ramai, cukup-cukuplah! Ini peringatan daripada Allah untuk kita bersama. 

3. Semoga al-Quran bukan sebagai sanitizer tetapi ia adalah sebagai vaksin yang menguatkan diri kita. Dapat orang rasuah, kita tolak. Kalau dalam susah kita rasa nak hulur, kita sekat kerana kita tahu bahawa lambang kepada tauhid adalah jujur dalam ekonomi. Kalau ada orang tegur, kita tak marah seperti al-malak(pembesar-pembesar) pada ayat 88. 

4. Allah pernah turunkan azab dahulu, dan tidak mustahil Allah akan buat lagi kalau kita terus-terusan membuat kemaksiatan.


RESOLUSI 

Ingat !!

1. Berjaga-jaga dengan orang yang suka menipu dalam transaksi atau muamalat (ayat 88)

2. Elakkan menipu dalam bisnes kerana ia menipu Allah SWT (ayat 89)

3. Apabila ada ujian, cepat-cepat tunduk kepada Allah SWT agar dibantu (ayat 94)


Lega kerana Allah akan bantu sekiranya saya cepat-cepat tunduk kepada Allah apabila ada ujian.

Saya jelas untuk berjaga-jaga dengan orang yang suka menipu dalam transaksi atau muamalat. Saya mesti elakkan menipu dalam bisnes kerana ia menipu Allah SWT. Saya jelas untuk cepat-cepat tunduk kepada Allah SWT agar dibantu apabila ada ujian.

Ya Allah, terima kasih kerana Engkau memberi nikmat al-Quran dan Rasul kepada kami. Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurniakan kepada kami. Ya Allah, Ya ‘Alim, Ya Hakim, Ya Rashid, kurniakan kami ilmu dan kebijaksanaan untuk baca-faham-amal al-Quran agar kami dapat menjadi orang yang berilmu, beriman, beramal dan bertakwa. Ya Allah, jadikan kami orang yang belajar dan mengajar al-Quran serta menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan hidup kami. 

Ya Allah, pelihara kami daripada orang yang suka menipu dalam transaksi atau muamalat. Ya Allah, jauhi kami daripada terlibat dengan perbuatan menipu dalam bisnes. Ya Allah, bimbing kami untuk cepat-cepat tunduk kepada Mu apabila ada ujian. Ya Allah, bantu kami dalam menghadapi segala ujian yang Engkau turunkan. Ya Allah, kurniakan kami kesabaran dan kekuatan untuk menolak rasuah dan segala perbuatan curang dalam ekonomi. 

Ya Allah, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkan kami dari azab neraka. Perkenankanlah doa kami Ya Allah, Ya Mujib.


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...