Wednesday, December 4, 2024

Ayat Solat-14 : Al-Maidah Ayat 12

Tadabbur ayat Solat


Surah Al-Maidah, 5:12 (ms 109)


Tajuk: Tanda Syukur ialah Dengan Berbuat Kebajikan


۞ وَلَقَدْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ ٱثْنَىْ عَشَرَ نَقِيبًۭا ۖ وَقَالَ ٱللَّهُ إِنِّى مَعَكُمْ ۖ لَئِنْ أَقَمْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَيْتُمُ ٱلزَّكَوٰةَ وَءَامَنتُم بِرُسُلِى وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ ٱللَّهَ قَرْضًا حَسَنًۭا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّـٰتٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۚ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul"


Keterangan Ayat


Allah ‎SWT memberikan contoh mereka yang mungkir janji iaitu Bani Israel. Surah Al-Baqarah ayat 83 (ms 12) menghuraikan perjanjian tersebut:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”


Perjanjian ( مِيثَـٰقَ ) Allah dengan Bani Isreal sama dengan umat Nabi Muhammad. 
  • Asasnya mentauhidkan Allah SWT
  • Berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin
  • Berkata kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik
  • Dirikan sembahyang 
  • Beri zakat


Nota: Perjanjian ( مِيثَـٰقَ ) - Kata akarnya وثق dijumpai 34 kali dalam al-Quran.

Allah ‎SWT telah melantik 12 ketua agama dalam kalangan Bani Israel. Ini kerana mereka itu terbahagi kepada 12 puak daripada keturunan anak-anak Nabi Yaakub a.s. Yang dimaksudkan dengan naqib ialah pemimpin atas kabilah ma¬sing-masing untuk mengajak mereka berjanji setia agar tunduk dan taat kepada Allah ‎SWT, rasul, dan kitab-Nya.


Pada zaman Rasulullah SAW, perjanjian Al-Aqabah 1 melibatkan 12 orang pemimpin Ansar: 3 orang daripada kabilah Aus; 9 orang dari kabilah Khazraj.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Urusan manusia masih tetap lancar selagi mereka diperintah oleh dua belas orang lelaki.”


Sesungguhnya Allah akan bersama kamu (Allah akan melindungi, mengawasi, menolong dan membalas atas amal-amal perbuatan mereka) selagi kamu lakukan 5 perkara:
  • Solat - Amalan perbuatan badan untuk jaga hubungan dengan Allah ‎SWT.
  • Bayar zakat (wajib) - Amalan dari segi harta untuk mengeratkan hubungan sesama manusia. Amalan ini membersihkan jiwa.
  • Beriman dengan semua rasul - Akidah
  • Membantu rasul (melakukan kerja dakwah)
  • Pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik (sunat) – yang paling sukar

Allah guna perkataan وَأَقْرَضْتُمُ (dan kamu meminjam) tak guna ‘anfaqtum’. Allah guna perkataan ‘pinjam’ sebab Allah tahu perangai manusia ‘mengharap akan dapat balik setelah bagi pinjam’. Kita akan bagi pinjam kepada orang yang ada jaminan untuk dapat balik. 


Dalam ayat 5:12 ini, yang diberi pinjam itu Allah - yang pasti akan bayar balik, dan Allah bayar balik 700 kali ganda.


قَرْضًا حَسَنًۭا – Pinjaman yang baik. Duit itu mesti halal, dapat dengan cara yang betul. Pinjaman diberi dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan keduniaan. Maka pinjaman kepada Allah ‎SWT adalah infaq yang ikhlas yang mengharapkan balasan daripada Allah ‎SWT sahaja di akhirat kelak.


Orang yang lakukan 5 perkara ini pasti Allah akan:
Ampunkan dosa (hapuskan dari kamu segala kejahatan/dosa)
Masukkan ke dalam syurga yang sentiasa mengalir dari bawahnya sungai-sungai (4 jenis sungai - susu, madu, arak, air yang diproses)


Sesiapa yang engkar maka sesungguhnya mereka sesat daripada jalan yang betul/kebenaran. Sekiranya mungkir janji, kufur dengan segala arahan dalam ayat ini, maka itu bermaksud mereka telah sesat dari jalan yang benar. Kesannya mereka akan menjalani kehidupan yang salah di dunia ini dan di akhirat kelak mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.


Peringatan


  1. Allah ingatkan kita supaya benar-benar ambil pelajaran daripada kisah Bani Israel yang melanggar perjanjian dengan Allah. 
  2. Islam iktiraf kumpulan-kumpulan masyarakat. Mereka lebih mengenali dan memahami apa yang dilalui dalam kalangan mereka, apakah harapan mereka dan sebagainya. Maka dilantik pemimpin dalam kalangan juga yang lebih mengenali hati budi mereka.
  3. Bani Israil keturunan Nabi Yaakub berjanji dengan Allah dan Allah juga berjanji dengan mereka, "Bahawa Aku adalah beserta kamu". Begitu juga dengan kita yang juga sudah berjanji dengan Allah melalui dua kalimah syahadah. 
  4. Allah akan menolong kita dan membalas dengan mengampun dosa-dosa dan memasukkan kita ke dalam syurga sekiranya kita lakukan 5 perkara ini.
  5. Allah ‎SWT sentiasa memerhatikan apa sahaja yang kita lakukan. Kalau kita melanggar perjanjian, maka kita akan dipertanggungjawabkan nanti.
  6. Kalau tak buat 5 perkara di atas, Allah tidak akan memberi perlindungan kepada kita. Pastikan perkara-perkara ini tidak diabaikan.
  7. Amat penting kita memelihara janji, etika, adab dan akhlak yang luhur lagi tinggi dalam kehidupan agar sentiasa mendapat rahmat, keberkatan dan keredaan Allah.
  8. Kesalahan-kesalahan adalah perkara yang menjauhkan kita dari Allah. Dosa membuat kita liat untuk beramal soleh dan boleh membawa kepada kesesatan. Akhirnya habis kebahagiaan dalam diri, keluarga, negeri dan negara.


Petunjuk Dan Tindakan Beramal


  1. Kita mestilah berusaha untuk mendirikan solat, menunaikan zakat, beriman kepada Rasul-rasul, dan meneruskan tanggungjawab menyebarkan al-Quran dan menegakkan agama Allah. 
  2. Memberi sedekah dan berbuat baik kepada orang lain bukan untuk mendapatkan keuntungan dunia atau pujian dari manusia, tetapi sebagai bentuk ibadah kepada Allah.
  3. Kita mestilah lebih cakna tentang kewajipan zakat, jadi kita mesti belajar tentang apakah yang perlu dizakatkan daripada pendapatan dan harta kita.
  4. Berusaha menguatkan iman kepada Rasul-rasul dengan mengkaji sirah para rasul dan menjiwai sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.
  5. Berperanan aktif dalam dakwah menyebarkan islam dan giatkan islah dalam keluarga dan masyarakat.
  6. Berbuat baik kepada sesama manusia, memberikan sedekah dengan ikhlas, dan memperlihatkan kebaikan hati tanpa mengharapkan imbalan dunia.
  7. Tetap mematuhi perjanjian dengan Allah dan menjauhi segala bentuk kekufuran setelah menerima nikmat dan petunjuk-Nya.
  8. Menjaga kesucian perjanjian dengan Allah dan mempraktikkan ajaran-ajaran-Nya agar mendapatkan rahmat dan pertolongan Allah.
  9. Sempurnakan segala perjanjian kerana Allah Taala akan menyoal tentang penunaian perjanjian itu dan akan menghisab setiap mereka yang memungkiri dan membatalkan perjanjian.
  10. Islam menekan berat terhadap kewajipan menyempurnakan perjanjian, kerana penunaian perjanjian merupakan tempat pergantungan kejujuran, kepercayaan dan kebersihan di dalam hati nurani individu dan di dalam kehidupan bermasyarakat.
  11. Memberikan pinjaman yang baik kepada Allah mengajarkan bahwa tindakan baik seharusnya dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan keuntungan dunia atau pujian manusia. 

اَللَّهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا إتِّبَاعَه وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابَه

“Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.”


Wallahua’lam


Rujukan

  1. Nota My #Qurantime
  2. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
  3. Tafsir Al-Munir
  4. celiktafsir.net
  5. Tadabbur Ustaz Abd Muein Abd Rahman, 07 Ogos 2019|Surah Al - Ma'idah ayat 11 – 12, https://www.youtube.com/watch?v=sqtaiR9x58Y


Halaman 601 : Al 'Asr 103 : 1-3 & Al Humazah 104 : 1-9 & Al Fil 105 : 1-5

  Surah Al 'Asr PERKATAAN HARI INI   خَسِرَ   =   rugi Diulang  63 kali sahaja di dalam Al-Quran SINOPSIS    1.    Risalah kehidupan ata...