Tadabbur ayat Solat
Surah Al-Maidah Ayat 55 (ms 117)
Tajuk: Siapa Wali Allah ?
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Al-Maidah, 5:54
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
Al-Maidah, 5:56
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
At-Taubah, 9:71
وَٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ ٱللَّهُ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Keterangan Ayat
Wali berasal dari kata akar ولي yang bermakna ‘dekat’.
232 kali disebut dalam al-Quran.
Dari kata akar terbit perkataan ‘wala – yali’ yang bermakna:
- Dekat dengan
- Mengikuti
- Menguasai
- Menolong
- Mencintai
- Dll
Semuanya menunjukkan kepada ‘kedekatan’ (Rujukan: Ensiklopedia Al-Quran, ms 1060)
Dalam Surah Al-Maidah ayat 55 ini, Allah tegaskan bahawa penolong atau wali kita hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman.
Allah SWT memberitahu sifat-sifat orang-orang beriman:
Mereka mendirikan solat. Ini adalah contoh ibadat yang diwajibkan kepada manusia, berkenaan dengan menjaga hubungan dengan Allah SWT. Ada banyak lagi ibadah-ibadah lain, tetapi Allah SWT beri contoh solat, kerana solat adalah ibadat yang paling utama. Maka solat hendaklah diamalkan seperti yang sepatutnya dengan menjaga syariat dan kaifiatnya sesuai dengan sunnah.
Sabda Rasulallah (s.a.w): ‘Sollu kama ra-aitumuni usalli...’ [Maksud: Bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku (Nabi (s.a.w) bersolat ...] [HR Bukhari]
Dan dalam bentuk amalan kemanusian, Allah SWT sebut mereka menunaikan zakat iaitu mereka menjaga hubungan sesama manusia lain. Dengan mengeluarkan zakat, bukan sahaja kita menunaikan perintah Allah SWT, tetapi kita merapatkan hubungan sesama manusia juga.
Dan mereka itu tunduk patuh kepada segala arahan Allah SWT. Mereka mudah turut segala arahan dan hukum yang Allah SWT telah tetapkan. Ini adalah salah satu daripada maksud tunduk dalam ayat ini.
Atau, ada juga pendapat yang kata ia bermaksud rukuk dalam solat. Jadi ia adalah sambungan daripada ibadah solat yang disebut sebelum ini. Ditambah tentang rukuk dalam ayat ini kerana hendak membezakan solat kita dan solat Ahli Kitab yang lain. Mereka juga solat, akan tetapi rukun rukuk tidak ada dalam solat mereka.
Rukuk juga ditafsirkan sebagai mereka merendahkan diri dengan orang lain, tidak sombong dan jaga akhlak.
Rukuk Juga boleh bermaksud mereka tidak berbangga dengan amalan kebaikan yang mereka telah lakukan.
Orang beriman juga menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.
Allah memberikan bukti kasihNya kepada kita dengan diturunkanNya al-Quran dan diutuskan Rasulullah.
Orang-orang beriman sentiasa berusaha menunaikan perjanjian yang telah dibuat.
Allah akan kurniakan kemenangan yang sebenarnya iaitu syurga kepada orang-orang beriman.
Tentang Wali
Pemahaman sebahagian manusia bahawa wali-wali adalah orang-orang yang mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa umumnya.
Terdapat banyak ayat dalam al-Quran yang mencerita dan menerangkan perihal golongan yang digelar sebagai wali Allah SWT. Sememangnya wali-wali Allah SWT merupakan golongan yang diberi kedudukan yang istimewa berdasarkan tingkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Mari kita lihat apa yang Allah SWT kata tentang wali.
Firman Allah SWT:
أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّـهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿٦٢﴾ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ ﴿٦٣﴾
Maksudnya: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
(Surah Yunus, 62-63)
Ibnu Kathir menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah adalah golongan yang beriman dan bertakwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia.
Wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakkal kepada Allah SWT. Mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti balasan di akhirat.
Di dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan terdapat golongan yang menjadi wali atau penolong kepada kebaikan, mereka ini diberi cahaya keimana serta kehidupan mereka berpandukan kepada syariat Allah SWT. Selain itu, golongan yang menjadi wali atau penolong kepada kemungkaran merupakan golongan yang dikeluarkan daripada cahaya kebenaran dan menjadi pengikut atau wali syaitan. Firman Allah SWT:
اللَّـهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya: Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
(Surah al-Baqarah, 257)
Allah SWT memberi pelindungan kepada hamba-Nya yang beriman dengan memberi petunjuk kepada jalan yang benar dan mengeluarkan mereka dari kegelapan perkara yang syak dan syubhah kepada cahaya ilmu dan keyakinan. Disebalik itu, golongan yang kafir dan kufur kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, mereka ini dibantu oleh Taghut iaitu syaitan dalam setiap perkara yang dilakukannya dan mereka juga dikeluarkan daripada cahaya keimanan dan kebenaran kepada kegelapan dalam melakukan perkara yang kufur dan nifaq serta kesesatan. (Tafsir Al-Munir)
Kesimpulannya, wali Allah boleh dikenali dengan sifat keimanan dan ketakwaan mereka terhadap Allah SWT. Mereka sentiasa mendahului perintah Allah SWT dan syariat yang dibawa Baginda SAW daripada kehendak dirinya dan manusia. Mereka juga sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.
Oleh itu, tiada sesiapa yang boleh menentukan secara pasti atau muktamad bahawa seseorang itu adalah wali kecuali Allah SWT. Manusia hanya dapat menilai seseorang itu hanya zahir amalannya sahaja dan sebaiknya kita bersangka baik terhadap sesama manusia. Ini kerana hanya Allah SWT yang Maha mengetahui zahir dan batin hamba-Nya
Peringatan
1. Penolong kita hanyalah Allah, Rasul dan orang-orang beriman.
2. Sifat orang-orang beriman (5:54, 5:55 dan 9:71)
a. Kasih kepada Allah
b. Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman
c. Berlaku tegas terhadap orang-orang kafir
d. Berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah
e. Tidak takut kepada celaan orang yang mencela
f. Jaga hubungan dengan Allah melalui solat
g. Jaga hubungan dengan manusia menunaikan zakat
h. Tunduk menjunjung perintah Allah
i. Menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.
3. Allah memberikan limpah kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
4. Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
5. Golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah tetap menang.
Petunjuk dan Tindakan Beramal
1. Dirikan solat sebagai tanda kita betul-betul kasih pada Allah.
2. Berusaha bersungguh-sungguh mencari harta supaya dapat menunaikan zakat untuk membantu masyarakat.
3. Tilawah al-Quran sebagai tanda kita bersama dengan Allah.
4. Ikut SAW sunnah Rasulullah tanda kita bersama baginda.
5. Rapat dengan orang mukmin yang lain, iaitu hidup dalam jamaah Islamiah.
6. Menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan.
7. Merendahkan diri dengan orang lain, tidak sombong.
8. Jaga akhlak dan cara komunikasi dengan manusia yang lain.
9. Bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman.
10. Berlaku tegas terhadap orang-orang kafir.
11. Berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah.
12. Tidak takut kepada celaan orang yang mencela apabila kita buat kebajikan.
13. Untuk jadi orang menang hendaklah kita berpegang kepada ugama Allah.
14. Berusaha dalam meningkatkan amalan kebaikan dengan cara mengikuti amalan yang dilakukan oleh para wali Allah berdasarkan al-Quran dan Sunnah.
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Semoga kita sentiasa mendapat rahmat dan pertolongan daripada Allah SWT untuk menjadi hambaNya yang taat dan khalifahNya yang dapat menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan dikurniakan kepada kita syurga Firdaus.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Wallahua’lam
Rujukan
1. Nota My #Qurantime
2. Memahami Al-Quran Petunjuk Kita, Haji Mohamed Ayob Yasin
3. Tafsir Al-Munir
4. celiktafsir.net
5. Ensiklopedia Al-Quran